25 January 2016

ADAKAH MINAT KITA SAMA!



Minat Yang Sama!


1-
Sahabatku! Salam sejahtera buat anda yang sedang membaca blog #Kakicontenglukisan. Adakah minat kita sama! Jawapannya mungkin kebetulan sama dalam cara berpakaian, meminati lukisan, merakam gambar, membaca cerpen, menulis puisi, berbasikal atau sekali-sekala mengembara secara backpacker.


Cuba kita perhatikan, orang yang seleranya kearah seni seperti pelukis atau penulis misalnya, cara berpakaian mereka nampak lain dari kebiasaan. Mereka gemar tampil dengan fesyen yang boleh dikatakan sebagai melawan arus. Seperti lelaki misalnya, ada antara mereka yang bersanggol atau berambut panjang tetapi kemas. Mereka kekadang gemar memakai kemeja-T yang dipadankan jacket kulit serta jeans yang bertampal dipeha dan lutut. Ada juga pelukis atau penulis lelaki yang tidak mementingkan penampilan diri. Mereka kelihatan terlalu simple dengan hanya menyarung jeans lusuh, kemeja labuh, berseliper dan rambut pula berjuraian sepertinya macam tidak terurus.

Hobi dan gaya hidup mereka juga tidak sama  dengan kebanyakan orang. Mereka gemar mengumpul barang-barang lama  yang ada unsur sejarah seperti botol minuman, tin rokok, piring hitam, cawan, pinggan mangkuk, gambar, buku atau perabot yang direka oleh tukang yang ada nama misalnya. Begitu juga dengan tempat kediaman mereka, pasti ada laman atau ruang santai yang dihiasi dengan pelbagai spesis tanaman hijau atau berbunga.


Minat Yang Berbedza!
2-
Kegemaran setiap orang ada juga yang tidak sama, malah bertukar ikut umur, pendidikan dan kemampuan.  Dolu, masa aku masih dibangku sekolah, suka mengumpul stem. Bahan bacaan pulak Utusan Pelajar dan novel remaja. Kemudian bila masuk alam dewasa, bertukar hobi kepada pengumpul duit lama. Bahan bacaan juga beralih kepada majalah Dewan Budaya dan Dewan Masyarakat serta novel yang lebih berat.

Masa zaman remaja, aku udah mengenali dari jauh pengarang novel seperti Ishak Hj Muhammad [Pak Sako], Harun Aminurrashid, Ahmad Boestamam, Kassim Ahmad, Khadijah Hashim, Abdul Samad Ahmad, Johan Jaaffar, Shahnon Ahmad, dan lain-lain. Sering membaca majalah, buat aku mengingati nama-nama penulis sajak dan cerita pendek ketika itu seperti Tongkat Warrant, Keris Mas, A Samad Said, Masuri SN, Salmi Manja, Rejab FI dan Pyanhabib misalnya.


Bertukar Minat!
3-
Kini, aku tidak lagi membaca novel. Aku lebih berminat pada cerpen dan puisi. Mungkin cerpen ceritanya lebih ringkas dan dibaca sekali duduk. Kita boleh baca cerpen  ketika sarapan pagi, menunggu tren atau sedang menaiki ferry. Aku juga baru mengenali penulis cerpen dan sajak [sekadar menyebut beberapa nama] seperti Ismas Saring, Rahimidin Zahari, SM Zakir, Sutung Umar RS, Anwar Ridhwan dan Zaen Kasturi.

Minat boleh bertukar dan yang pasti, aku tidak lagi mengumpul stem dan duit lama. Aku juga hanya sesekali membaca majalah Dewan Budaya dan Dewan Masyarakat. Ini disebabkan aku  sudah terjebak dengan facebook, blog dan foto telefon pintar. Walaupun aku seakan terperangkap dalam kepompong maya, aku tidak mahu terus terapung-apung kelemasan disitu. Sedaya upaya aku cuba keluar dari kepompong internet dengan sesekali  mengembara, menikmati dunia luar secara backpacker.


4- Backpacker!

Tujuan mengembara cara backpacker pada setiap individu adalah berbedza. Ada yang gemar memilih jalan yang sukar semata-mata mahu menikmati kepuasan diri. Mereka ini biasanya memilih lokasi yang jarang dilalui kebanyakan orang dan memilih kemah sebagai tempat berehat dan tidur.

Sebahagian backpacker pula hanya memilih tempat bersejarah dengan mengambil gambar untuk dijadikan koleksi dan kenang-kenangan. Kembara seperti ini lebih dikenali sebagai 'backpacker town to town' dan kebanyakan mereka akan tinggal dihotel bajet atau asrama. Tujuan pengembaraan bukan sekadar untuk menguji ketahanan mental dan fizikal tetapi tentunya lebih dari itu. Yang pasti dapat sedikit pengajaran melalui pandangan mata hati dan berfikir diluar tempurung.


Nota Lutut : Jangan jadikan diri kita seperti bidalan 'Katak DiBawah Tempurung'. Keluarlah mengembara melihat dunia. Nanti dunia akan bagitahu, bahawa hidup kita tiada bayang-bayang tanpa kesetiaan bulan dan matahari. Ya Sahabat! Kekadang kita lupa untuk melihat
- memikir tentang diri kita, makhluk dan alam, siapa pemilik dan penciptanya].  
- Titek! 



     

20 January 2016

NENAS, NANGKA & PISANG



Assalamu'alaikum!

Aku cuba beberapa kali untuk menaip tetapi sering terganggu kerana line tak cukup bagus. Kekadang, tengah asyik menaip terputus pulak line internet. Tupasal, kengkawan yang sekali-sekala singgah kat blog aku pasti terserempak dengan entri yang tergantung. Kira tak siaplah Bro!

Bermula dengan entri 'Rindu di Kota Cinta' [25/12/15] [mirip cerita pendek] sambungan kisah lelaki bernama Johan dari entri 'Langit November' yang aku post pada 2012/15, sayangnya entri tersebut tergantung begitu sahaja. Seterusnya entri yang tak siap-siap seperti entri 'Bunga!' [23/12/25], 'Aku Musykil' [30/12/15], 'Aku, Baha & Kota Melaka [30/12/15], 'Bilik @Hotel Budjet'[8/1/16] dan yang terakhir ialah entri 'Perjumpaan!' [15/1/16].

Harap-harap kali ini, entri yang aku sedang taip ne tiada gangguan, walaupun pada hakikatnya ketika nak loading, dia perpusing-pusing kat satu tempat yang digelar connecting. Dahtu pulak,  terpaksa mengambil masa beberapa saat berpusing-pusing, kekadang membawa ke-minit demi minit. Fuhhh! Part menunggu nelah yang buat aku pening, kesudahannya tentulah aku tidak ada mood  untuk terus menaip. Klik kat X, habis cerita!


[1] Berbalik pasal nenas!
Nenas atau nanas yang berasal dari Amerika Selatan ini juga dikenali melalui nama botaninya sebagai Ananas Comosus dari famili  Bromeliaceae. Buah nenas selalunya dimakan begitu sahaja atau dibuat jus, jem dan jeli. Sering di gunakan sebagai acar mentah, masak kari, masak pajeri, gulai ikan masin serta dicampur dalam nasi goreng. Di kilang pula, nenas dibuat jus dan ditinkan dalam  kepingan bulat serta dalam bentuk koktel buah-buahan.

Kegunaan lain ialah batang dan buahnya menjadi sumber #proteas yang digunakan untuk melembutkan daging. Malah, di Taipei dan di Filipina, serabut nenas dibuat kain yang dikira berkualiti juga. Dari sudut perubatan pula, nenas mengandungi vitamin A dan B, boleh mengurangkan lemak dalam badan, meredakan bengkak kerana radang atau busung.

Khasiat ubatan lain, akar nenas dibuat seperti teh herba dengan mencampurkan sedikit akar betik untuk mengeluarkan batu karang dalam ginjal. Buahnya pula dibuat jus minuman untuk melawaskan buang air kecil, sakit kerongkong, masalah hati dan demam kuning. Kira, makan buah nenas atau minum jusnya baik untuk mencuci bahan toksik dan dikira sebagai [sebahagian] bahan terapi alternatif untuk mengubati kanser.


[2] Nangka! 
Nama botaninya dikenal sebagai Artocarpus Heterophyllus dari keluarga Moraceae. Berasal dari India. Kini nangka ditanam sekitar kawasan tropika dan subtropika. Jika di Pahang, nangka banyak ditanam di Taman Kekal Pengeluaran Makanan [TKPM] Lancang. Nangka yang di tanam selalunya jenis nangka madu dan jenis Mastura. Akan berbuah dalam jangkamasa 2-8 tahun. Jika jenis benih klon yang baik iaitu dipropagasikan secara tampang akan mencapai penghasilan buah yang maksimum antara 8-15 tahun. Di Malaysia, jika cuaca baik, pokok akan berbuah sepanjang tahun dan paling ketera musim buah nangka antara April-Ogas atau September-Disember.



Buah nangka biasanya dimakan mentah atau dibuat jem, jeli, acar, dodol, pengat dan ditinkan atau dibuat manisan kering, aiskrim serta dijadikan kerepek. Buah nangka juga boleh dijadikan minuman #smoothies [iced blended] dengan mencampurkan sedikit perahan limau [fresh orange], sedikit air gula, ketulan ais dan susu cair. Malah, kulit nangka yang dibuang bahagian luarnya boleh dijadikan #mandai iaitu direndam dengan air garam, disimpan selama dua-tiga hari sebelum digoreng. Rasanya enak, seakan-akan rasa ayam gitu. [Sebelum ini, hanya kulit cempedak [tiwadak'] sahaja yang biasa dibuat #mandai].

Seperti nenas, nangka juga mempunyai khasiat perubatan jika akar nangka direbus dan air rebusannya diminum boleh merawat asma, cirit-birit, demam panas dan penyakit kulit. Daunnya pula jika dibakar bersama jagung dan tempurung kelapa sampai hangus lalu abunya ditaburkan atau dicampur minyak dan disapu boleh merawat usler dan luka. Getah nangka pula jika dicampur cuka boleh merawat bisul dan bekas patukan ular.



[3]
Pisang.

Ada banyak jenis pisang. Walaupun banyak jenis tetapi dalam bahasa botaninya dikenali sebagai Musa L. Pisang berasal daripada pisang liar spesies Musa dari famili Musaceae. Pisang mengandungi kimia seratonin yang merangsang otot licin dalam usus dan norepinefrin yang digunakan untuk merawat penyakit jantung jenis tertentu. Ia juga mengandungi kalium dan vitamin C.

Pisang pula berasal dari Asia Tenggara. Jarak masa menanam pokok pisang dan memungut hasil adalah antara 9-18 bulan, bergantung jenis pisang, cuaca, cukup baja, jenis tanah dan persekitaraan. Buah yang masak selalunya di makan begitu sahaja atau digoreng, dibuat cake, cucur kodok, lempeng, bubur, kerepek atau dibuat pisang salai.

Dari segi khasiat ubatan, air rebusan akar pisang yang dicampur sedikit gula, jika diminum boleh merawat masalah kurang darah. Kulit buah muda pula, diparut dan dikeringkan lalu dikisar dan dibakar hingga menjadi abu, andainya disapu pada usler,kudis atau bisul boleh beransur baik dengan izin Allah. Air rebusan kulit buah pisang muda, jika diminum boleh menurunkan tekanan darah. Daun pisang yang direbus, airnya jika dibuat mandian boleh merawat kayap. - Titek!


Nota Lutut : Sumber sebahagian cerita kat atas, aku kutip dari buku 'Terapialami'. Sekiranya anda ingin mencuba membuat #mandai sila singgah di laman web dan taip Mandai Banjar atau ingin merasa keenakan #Smoothies dari buah nenas, nangka dan pisang, anda hanya perlu klik smoothies, anda akan dapat recipenya! #Cubalah!