30 August 2016

HARI SUDAH SIANG!




              HARI SUDAH SIANG!

Pagi pun datang tanpa sinar matahari.

Udara dingin. terasa nyaman tiupan angin. kabus masih menebal. burung-burung hanya bertengek di hujung ranting dengan malas.

Di tanah kebun. mereka awal-awal pagi sudah bangun, keluar berjalan kaki melihat-lihat kesan hujan. malam tadi, ketika yang lainnya tidur nyenyak, angin bertiup kencang, hujan turun membasahi bumi.

Mereka berempat menghampiri anak sungai. air yang dikepung selama ini bentengnya pecah. arus keruh, deras mengalir bersama ikan patin, talapia, keli dan baung. ranting-ranting, daun-daun dan lumpur turut bersama menggikut arus mudik ke hilir.

Tidak dapat digambarkan betapa ketika itu rasa sedih pilu bergelombang di dada mereka. sudah berbulan-bulan ikan itu diberi makan, membesar dan semakin membesar. tiba-tiba hilang begitu sahaja. apapun mereka tetap bersyukur kepada Tuhan kerana sebahagian ikan-ikan itu masih ada, berenang-renang didalam arus, timbul diantara daun-daun kering  dan dicelah-celah lumpur pekat.
 







24 August 2016

SENGAJA AKU DATANG ke KOTA MU



Masa berlalu. Dia keluar dari restoran mamak Haji Shahol setelah membayar harga minuman. Menyusuri kakilima rumah kedai, naik tangga escaltor, melalui cafe dan butik di Nu Sentral, masuk ke lorong lrt, mengimbas kad myrapid, memanjat tangga escalator - anak tangganya banyak. Tidak sempat dia membilang kerana matanya, mindanya ketika itu ada ruang lompong. Dia terkejut beruk sebaik menjejakkan kaki dilantai tempat menunggu lrt. Orang sangat ramai. Ramainya seperti menunggu keretapi di Tokyo. Jika ada lapan gerabak, maka ada lapan barisan, beratur menunggu di lantai platform. Dia turut beratur disalah satu barisan. Sementara menunggu ketibaan lrt, ada yang membaca the Sun, ada yang sedang melayan handpon, sedang melopong dan ada yang sedang meneropong gelagat orang lain. Tidak seorang pun membaca buku. Pelik barangkali, jika ada orang membaca buku.

Bunyi dari gerabak lrt menghampiri stesen. Tritt! Tritt! Trittt! Semua pintu terbuka secara automatik. Ramai penumpang keluar tetapi lebih ramai yang hendak masuk. Dalam perut lrt sudah penuh. Ada pengawal terpaksa menolak penumpang masuk supaya pintu lrt boleh ditutup. Pintu lrt sudah ditutup. Dia dan bebrapa penumpang dibelakangnya tidak sempat masuk. Orang ramai beratur seperti sebelumnya. Dia menunggu lagi. Menguji tahap kesabaran. Ujian dia bukan setakat bersabar tetapi ada ujian yang lebih berat iaitu ujian mata.

Mata dia pasti terpandang lenggang-lenggog gadis kota yang bergetah. Seperti yang pernah didengarnya dari bibir Hamka[1], pada kuliah Magrib  Masjid Negara. 'Boleh melihat perempuan tetapi hanya sekali pandang dan pandangan itu tidak boleh disertai dengan nafsu'. Dia setuju dengan hukum-hakam tersebut. Dia perlu menundukkan kepala kerana ketika ini di kirinya ada gadis cantik - cun melecun, di kanannya juga ada, di depannya juga ada gadis-gadis yang boleh menipiskan keimanan dia. Berapa lama dia boleh menundukkan kepala. Berapa lama matanya boleh bertahan-menikam lantai di platform, Wallahuaklam.

Tritt! Tritt! Trittt!

Pintu lrt terbuka. Beri laluan penumpang keluar dahulu, begitulah aturannya. Sebaik penumpang terakhir keluar, berpusu-pusu penumpang masuk. Dia masuk dan berdiri mengadap kerusi yang dibelakangnya tercetak zon keutamaan bagi penumpang warga emas, ibu mengandung dan orang kurang upaya. Dua wanita Cina duduk di zon tersebut. Pintu lrt tertutup dan bergerak meninggalkan stesen KL Sentral.

Semua gerabak padat dengan penumpang. Dia yang berdiri, mengendong backpack dan berjeket warna hitam, sesekali memandang cermin dihadapannya. Pandangannya menembusi kaca tingkap. Dia seperti di awang-awangan, melayang, merentasi bukit-bukau dan gunung ganang. Akhirnya dia mendarat di sebuah  bangunan tinggi dalam kawasan kota kenangan, Bukit Bintang. Di dalam bangunan tinggi itu ada kenangan dan kenangan itu mula tergambar dimindanya.

Petang itu, dia melepak bersama beberapa rakan, hendak melihat sendiri, anak-anak muda buat latihan menyanyi. Berdiri dihadapanya ialah pemuda berkaca mata bulat bernama Hariri bersama sebuah gitar tong dan seorang gadis cantik yang kulitnya putih melepak. Gadis yang mudah tersenyum itu lebih gemar disapa dengan panggilan Diah sahaja. Hariri mula memetik gitar dan Diah yang memegang alat microphone sudah bersedia untuk menyanyi lagu dari Tetty Kedi[2] - Sepanjang Jalan Kenangan.



Sengaja aku datang ke kota Mu 
lama kita tidak bertemu 
ingin diriku mengulang kembali  
berjalan-jalan  bagai tahun lalu.

Sepanjang jalan kenangan
 
kita selalu berpegang tangan  
Sepanjang jalan kenangan  
kau peluk diri ku mesra  
hujan yang rintik-rintik diawal bulan itu 
menambah nikmatnya malam syahdu.  

Walau diriku sudah berdua  
dirimu pun tiada berbeza -
namun kenangan sepanjang jalan itu -
tak mungkin lepas dari ingatanku.



Sebaik selesai lagu Sepanjang Jalan Kenangan, dia diajak oleh Bakar makan capati di Selangor Mansion. Walaupun Hariri dan Diah meminta dia menunggu sampai habis latihan tetapi dia menolak kerana perutnya lapar sangat. Dia berjanji dengan Hariri serta Diah akan melepak lagi esuk petang. Dia dan Bakar meninggalkan Bukit Bintang dengan menaiki bas Sri Jaya. Bas berhenti dihadapan bangunan Talikom, melintas sambil dia bersiul, berjalan  arah ke Melaka Street.

Melaka Street[3]. Di hadapan bangunan Chartered Bank, mereka berdua duduk ditembuk - menunggu, dibelakangnya mengalir lesu air Sungai Gombak. Tidak lama kemudian, Karim, Zainal dan Yusri tiba. Mereka beriringan berjalan kaki melintasi jembatan yang menghubungkan antara Melaka Street dengan kawasan kejiranan India Muslim di Selangor Mansion. Cadangnya mereka berlima hendak makan capati disalah satu gerai disitu.

"Stesen berikutnya Masjid Jamek"

Lrt berhenti. Dia keluar dari gerabak. Berjalan dicelah-celah orang ramai melalui siar kaki bangunan Hong Kong Bank dan berhenti di taman mini Medan Pasar. Dia duduk disalah sebuah kerusi taman mengadap rumah kedai. Ramai orang disini. Ada yang sedang duduk bersama rakan, berbual dan sesekali ketawa. Ada yang berdiri disebalik tiang sambil memegang handpon. Selebihnya mundar-mandir tanpa tujuan.

Dia memandang ke depan. Matanya memerhati barisan rumah kedai. Dihujung barisan itu tergantong papan tanda Sin Seng Nam Restaurant. Pantulan[4] cahaya dari papan tanda itu membuatkan ingatan dia berputik. Teringat celoteh, gelak tawa rakannya si Alam. Sekali-sekala dia tersenyum sendirian apabila terbayangkan riak wajah  si Alam, ketika kecewa, marah yang amat sangat.


Setiap Jumaat, rakannya Alam akan mengajak dia minum dikedai kopi Sin Seng Nam. Biasanya usai minum kopi, Alam mengajak dia solat di Masjid India. Dia tak banyak kerenah[5] dan ikut sahaja kehendak si Alam. Dia tidak pernah bertanya kenapa mesti minum di kedai kopi Cina atau bertanya kenapa bersolat di Masjid India tidak di Masjid Jamek.

Genap seminggu, Jumaat menjelang lagi. Mereka berdua melepak seperti biasa di kedai kopi Sin Seng Num. Ketika itu ramai pelanggan terutama kaum Cina dan ada juga tiga orang pelanggan dari kaum India. Alam memesan secawan kopi dan ruti bakar dan dia meminta secawan teh hailam. Mereka berdua berbual. Tiba-tiba si Alam terdengar pelanggan dibelakangnya memesan 'pork chop'[6]. Wajah Alam berubah warna, marah!


"Celaka! Siol!

Kedai nie ada jual babilah! Jom belah!"

Bisik si Alam. Walaupun ada rasa kecewa dan marah, si Alam dapat mengawalnya. Selesai membayar harga minuman, mereka sepakat tidak mahu lagi menjejak kaki ke kedai kopi tersebut. Seminggu sudah berlalu. Mereka berdua hanya singgah minum teh tarik dibawah bangunan Malayan Mansion sebelum solat Jumaat. Buat pertama kali, mereka tidak meneguk kopi pahit dan ruti bakar, mata mereka juga tidak lagi terpandang peha-peha gadis Cina. Cerita tentang pork chop di kedai  kopi Cina juga sudah terkubur. Mereka Insaf. [Insaflah sangat!]






Keterangan :

[1] Hamka [2] Tetty Kedi [3] Melaka Street [4] pantulan [5] Kerenah [6] Pork Chop.

Nota: Sekiranya anda berminat untuk membaca cerita pendek ini yang ada kait-mengait gitu, sila selak entri 'Kota Kenangan' - 08 Sept 2016.

14 August 2016

TENTANG SABUAH POTRET


















MATINYA SEORANG BENDAHARA [2]



Bahagian Ke-2


Setelah kita membaca bahagian pertama 'Matinya Seorang Bendahara' kita telah memahami serba  sedikit tentang watak-watak yang diceritakan, seperti watak Raja Mendeliar  [kaki bodek], pedagang Ali Manu Nayan [yang berlagak kaya], saudagar Nina Sura Dewana [takut kalah dengan pesaing], si Kitul yang mereka cerita [memfitnah] dan watak Laksamana Khoja Hasan yang termakan fitnah kerana disuap dengan emas-permata serta watak Sultan Mahmud yang berdendam.

Walaupun dalam penceritaan penulis asal yang banyak menggunakan ayat 'maka' dan istilah zaman bahari[1], kita masih boleh memahami ayat-ayat tersebut melalui semakan pada Kamus Dewan Edisi Baru. Namun ada juga istilah-istilah klasik[2] yang tidak terdapat dalam  kamus tersebut dan mungkin dapat disemak melalui kamus-kamus terdahulu.


             MATINYA SEORANG BENDAHARA

Maka Laksamana pun masok-lah mengadap Sultan Mahmud Shah; maka segala kata Raja Mendeliar itu semuanya di-persembahkan-nya ka-bawah duli Sultan Mahmud.

1- Sa-telah Sultan Mahmud mendengar sembah Laksamana itu, kabul-lah pada hatinya, saperti orang mengantok di-sorong bantal[3]; kerana baginda sedia berdendam akan Bendahara Seri Maharaja, sebab anaknya Tun Fatimah itu, saperti maksud  kata pujangga: 'Yang kaseh itu antara tiada, dan berahi itu bichara tiada'. Maka Sultan Mahmud pun menyuroh memanggil Tun Sura di-Raja dan Tun Indera Sagara.

Telah keduanya datang, maka titah baginda menyuroh membunoh Bendahara Seri Maharaja; maka kedua orang itu pun pergi-lah dengan segala hamba raja. Maka segala anak buah Bendahara Seri Maharaja dan segala kaum keluarganya, dan segala orang-nya, semuanya berkampong pada Bendahara, sekelian-nya dengan alat senjata, kerana Tun Hasan Temenggong hendak melawan. Maka di-tegah oleh Bendahara, tidak diberinya melawan, kata Bendahara:

"Hai Hassan, hendak membinasakan nama orang tua-tua kita-kah, kerana adat Melayu, tidak pernah derhaka!"

Sa-telah Tun Hasan Temenggong mendengar kata Bendahara itu, maka Tun Hasan Temenggong pun membuangkan senjata-nya lalu berpelok tubuh, dan sekeliannya pun membuangkan senjata dari tangannya, masing-masing kembali ke-rumahnya, tinggal Bendahara Seri Maharaja dua bersaudara dengan Seri Nara di-Raja, dengan segala anak buah-nya. Maka Tun Sura di-Raja dan Tun Indera Sagara pun datang membawa keris Sultan Mahmud, dibuboh di-atas cheper perak, di-tudongi dengan tetampan[4], diletakan di-hadapan Bendahara. Maka kata Tun Sura di-Raja pada Bendahara dan Seri Nara di-Raja:

"Salam doa anakanda, bahawa takdir Allah Ta'ala telah datang-lah pada Bendahara ini"


"Barang yang telah berlaku pada hukun Allah itu, hamba pun redza-lah."
Sahut Bendahara dan Seri Nara di-Raja.

Maka Bendahara Seri Maharaja dan Seri Nara di-Raja mengambil ayer sembahyang. Oleh Tun Hasan Temenggong peti-peti emas itu hendak di-buangkan-nya ka-ayer; maka kata Bendahara:

"Hai Hasan, mengapa maka hendak di-buangkan? Kerana Yang di-Pertuan membunoh kita ini, bukankah hendak akan emas kita? Jikalau tiada demikaian, apa dosa kita di-bunoh-nya kita? Jikalau kita sudah mati,biarlah di-ambil oleh Yang di-Pertuan akan kebaktian kita."

Telah itu maka tidaklah jadi di-buangkan-nya peti-peti itu. Maka Bendahara dan Seri Nara di-Raja dan Tun Hasan Temenggong serta Tun Ali iaitu laki kepada tun Fatimah pun, di-bunohnya-lah oleh Tun Sura di-Raja dan Tun Indera Sagara, maka keempat-nya matilah.


2-
Maka ada sa-orang anak seri Nara di-Raja, telah kena parang oleh sa-orang Banggali[5], Miasam namanya, dari ekor pipinya lalu ke-keningnya, maka Tun Hamzah tertiarap. Maka Tun Sura pun datang dari dalam berlari-lari membawa titah kata-nya:


"Jangan di-habiskan semua-nya di-bunoh, tinggalkan seorang akan beneh"


"Apa daya kita, kerana semuanya telah habis terbunoh, yang tinggal ini budak-budak samata, murkalah kelak Yang di-Pertuan akan kita."

"Enche Hamzah ini mari kita ubati, mudah-mudahan mau hidup"
kata Tun Indera Segara.

Maka Tun Hamzah di-ambil oleh Tun Sura di-Raja, di-persembahkan ka-bawah duli Sultan Mahmud. Maka di-suroh baginda ubati pada tabib; maka dengan takdir Allah ta'ala, belum lagi sampai bilangannya, tiada ia mati. Telah Tun Hamzah semboh, ia-lah yang sangat di-kasehi oleh sultan Mahmud Shah, tiada lagi sama-nya pada zaman itu.

Sa-telah Bendahara Seri Maharaja mati, maka anak Bendahara yang bernama Tun Fatimah itu [isteri Tun Ali], diambil baginda akan isteri, terlalu sangat dikasehi baginda. Dan segala pusaka[6] Bendahara Seri Maharaja semua-nya di-bawa orang ke-dalam istana. Maka di-lihat baginda tidak seperti berita orang itu, tiada sunggoh; maka baginda pun terlalu sangat menyesal oleh membunoh Bendahara tiada dengan pereksa lagi.

Maka di-suroh baginda tafahhas[7] pekerjaan itu dari mana datangnya. Telah nyatalah di-ketahui baginda, fitnah itu daripada Kitul dan Raja Mendeliar datangnya, maka Raja Mendeliar pun disuroh baginda bunoh, di-buangkan dengan rumah tangganya sekali. Akan si Kitul di-suroh sulakan[8] melintang dengan segala anak bininya, malah tanah bekas kaki tiangnya pun di-buangkan ka-laut. Laksamana Khoja Hasan yang cuai itu pula disuroh baginda rampas harta, kerana ketika ia berdatang sembah, tiada dengan pereksa-nya. Laksamana Khoja Hasan tidak dibunoh kerana sudah di-haramkan baginda darah-nya. - Cut!



Penerangan :[1] Bahari : Zaman dahulu kala [Kuno] [2] Klasik : Ayat  [kesusasteraan]  lama atau yg mempunyai sifat yg tidak lagi terpakai. [3] Seperti orang mengantok di-sorong bantal : Peribahasa [4] Tetampan [5] Banggali : [5] Pusaka : Segala harta benda yang di-tinggalkan oleh orang yg sudah meninggal. [7] Tafahhas [8] Sulakan.

13 August 2016

MATINYA SEORANG BENDAHARA


Apartmen.

Malam kian larut. Biskut kering dan secawan kopi pahit peneman aku ketika ini. Sudah beberapa kali aku selak, helai demi helai sabuah buku usang. Buku itu ditulis oleh Abdul Hadi Hj Hassan, seorang guru dari Sultan Idris Training College, Tanjong Malim. Dicetak oleh Macmillan & Co. Limited di ST. Martins Street, London. Dalam buku itu terdapat pelbagai chetera Melayu dan antaranya yang aku nak kongsikan dengan pembaca ialah cerita tentang hebatnya fitnah dan rasuah sehingga membawa kepada kematian Bendahara Seri Maharaja pada 1510.

             MATINYA SEORANG BEDAHARA

1- Maka pada suatu hari - dipagi hari raya, maka Bendahara dan segala orang besar-besar masok ke-dalam, dudok di-balairong[1] menantikan Raja keluar. Maka Raja Mendeliar pun datang hendak menyembah pada Bendahara Seri Maharaja, maka ditepis oleh Bendahara akan tangan Raja Mendeliar, seraya berkata:

"Cheh! Keling
[2], tiada tahu bahasa, patutkah tuan hamba menyembah hamba dibalai ini. Datang ke rumah hamba tidak-kah boleh? Lagipun pada Yang di-Pertuan belum lagi menjunjong duli, bagaimana kita akan berjabat tangan dahulu?"

Maka Raja Mendeliar pun malu rasanya, seraya
[3] ia undor.


Maka ada saorang biaperi
[4] terlalu kaya di-dalam negeri Melaka. Ali Manu Nayan namanya, apabila orang datang bermain ka-rumahnya, maka di-berinya kain atau emas atau barang benda yang gharib-gharib[5]. Maka segala orang besar-besar pun semuanya datang ka-rumahnya.


Pada suatu hari Tun Hassan Temenggong dudok di-balainya, dihadapan orang banyak.
Maka Ali Manu Nayan pun datang, maka katanya pada Tun Hassan Temengong:


"Orang kaya! Semua orang besar-besar di-dalam Melaka ini datang ka-rumah hamba, melainkan orang kaya juga yang tiada datang; jikalau dapat, marilah apa orang kaya bermain-main ka-rumah hamba, hingga berdiri-diri sahaja dihadapan kedai hamba, sa-puloh tahil emas ku persembahkan ".

"Nuni haram zadah! Aku engkau hendak beri makan sedekah! Jika pada bapa-bapa mu yang lain boleh demikan"
Kata Tun Hassan Temenggong marah.


2-
Adapun adat segala orang muda-muda Tun Hassan Temenggong, apabila ia hal tiada belanja, maka ia berkata pada Tun Hassan Temenggong:


"Tuan-ku, sekarang leboh
[6] kita tidak betul, banyak kedai yang anjor-menganjor[7]; baik juga tuanku membetuli; kalau-kalau duli Yang di-Pertuan berangkat di-lihat baginda leboh tiada betul, murka kelak akan tuanku."

"Baiklah, pergi kamu semua dengan pertanda rentangi tali leboh itu"
Kata Tun Hassan Temenggong.


Maka segala orang muda-muda Tun Hassan Temenggong pun pergilah dengan pertanda merentang tali, maka oleh segala orang muda-muda, pada tengah rumah saudagar yang kaya-kaya itu di-rentangi-nya tali, disuroh nya robohkan; maka segala saudagar itu menyorong
[8], ada yang se-ratus, ada yang dua ratus, ada yang tiga puloh, empat puloh  kepada sa-orang. Maka di-ambinya oleh segala orang muda-muda Tun Hassan Temenggong , di-perbahaginya. Maka tali itu pun di-perbuatnya -lah saperti sa-benar-nya, dan segala kedai yang anjor-menganjor itu juga di-suroh-nya buang.


3-
Shahadan
[9] ada sa-orang saudagr, Nina Sura Dewana namanya, penghulu segala saudagar di-dalam negeri Melaka. Maka Nina Sura Dewana pun berda'wa[10] dengan Raja Mendeliar; keduanya itu pun pergi berbicara kepada Bendahara Seri Maharaja, hari itu hampir petang. Maka kata Bendahara Seri Maharaja pada Raja Mendeliar dan Nina Sura Diwana:


"Kembalilah tuan hamba dahulu, kerana hari pun petang, esok hari-lah tuan hamba datang."


Maka sembah Raja Mendeliar dan Nina Sura Dewana pun bermohon-lah pada Bendahara Seri Maharaja lalu kembali ka-rumahnya.

 


Telah hari malam, maka Nina Sura Dewana pun fikir pada hatinya, "Ada pun bahawa Raja Mendeliar itu orang kaya; kalau ia menyorong pada Datok Bendahara neschaya alah aku. Jikalau demikian, baik-lah aku pada malam ini pergi pada Bendahara." Telah demikian fikirnya, maka oleh Nina Sura Dewana di-ambilnya emas sa-baharu, dibawanya kepada Bendahara Seri Maharaja. Telah datang ka-luar pagar Bendahara, kata Nina Sura Dewana pada penunggu pintu Bendahara:

"Beri tahu Datok Bendahara, katakan Nina Sura Dewana datang mengadap Datok Bendahara."


Maka penunggu pintu pun segera memberi tahu Datok Bendahara; maka Bendahara pun keluar, Maka Nina Sura Dewana pun masok mengadap Bendahara; maka emas yang sa-puloh kali itu pun di-persembahkan-nya pada Bendahara. Maka kata Nina Sura Dewana pada bendahara:


"Tuanku, emas ini persembah sahaya akan pembeli-beli sireh pinang tuanku."


"Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambil."
kata Bendahara, maka Nina Sura Dewana pun bermohon-lah kepada Datok Bendahara Seri Maharaja, lalu kembali ka-rumahnya.


4-
Maka ada sa-orang Keling, keluarga pada Nina Sura Dewana, Kitul[11] nama-nya; akan Kitul itu berhutang kapada Raja Mendeliar sa-katil emas. Telah Nina Sura Dewana kembali ka-rumanya daripada mengadap Bendahara, maka pada waktu tengah malam, ketika sunyi orang tidor, maka Kitul pun pergi ka-rumah Raja Mendeliar; maka di-tepoknya pintu Raja Mendeliar, maka Raja Mendeliar pun terkejut, katanya:

"Siapa diluar pintu itu?"

"Beta, Kitul"


Maka di-suroh Raja Mendeliar bukai pintu, maka Kitul pun masok; maka di-lihatnya Raja Mendeliar bersuka-sukaan dengan segala anak isterinya. Maka kata Kitul:


"Hai Raja Mendeliar, baik sa-kali tuan hamba bersuka-sukaan pada malam ini; chelaka akan datang, tiada tuan hamba tahu."


Maka oleh Raja Mendeliar di-pimpinya tangan Kitul, di-bawanya pada suatu penjuru tempat yang sunyi; maka kata Raja Mendeliar:



"Hai Kitul, apa juga ada khabar tuan hamba dengar?"


"Malam tadi Nina Sura Dewana datang mengadap Datok Bendahara persembahkan emas sa-puloh kati, hendak menyuroh bunoh tuan hamba; akan sekarang Datok Bendahara sa-bichara dengan Nina Sura Dewana, tuan hamba hendak dikerjakan-nya."
Demi Raja Mendeliar mendengar kata Kitul itu, maka Raja Mendeliar mengambil surat hutang Kitul, di-charek[12]-nya. Maka kata Raja Mendeliar pada Kitul:

"Yang hutang tuan hamba sa-kati emas itu halal-lah dunia akhirat; tuan hambalah saudara hamba; kembali-lah tuan hamba."


Maka Kitul pun kembali-lah ka-rumahnya. Maka pada malam itu juga, di-ambil Raja Mendeliar emas sa-baharu dan permata yang baik-baik dan pakaian yang indah-indah, dibawa-nya pada Laksamana Khoja Hasan; kerana Laksamana Khoja Hasan pada zaman itu dengan kaum-nya terlalu karib pada Sultan Mahmud.


Sa-telah datang ka-luar pintu Laksamana, ia minta bukai pintu. Maka Raja Mendeliar pun masok mengadap Laksamana; maka segala harta yang di-bawanya itu pun semuanya di persembahkan-nya pada Laksamana. Maka kata Raja Mendeliar pada Laksamana:



"Sahaya mengadap ini, sehaya berlepas taksir, supaya jangan sahaya di-katakan orang sa-bichara dengan penghulu sehaya; kerana sehaya ketahui bahawa Datok Bendahara hendak derhaka. Hendaklah orang kaya persembahkan ka-bawah duli Yang di-Pertuan, sudah ia berbuat takhta kerajaan menempa cherek emas dan kaus emas, kasadnya hendak naik raja di-dalam negeri Melaka ini."


Telah Laksamana melihat harta terlalu banyak itu, maka hilang-lah budi akalnya, sebab di-samun harta dunia; ya'ani kata orang yang berilmu: 'Hai emas, Tuhan bukan-nya engkau, tetapi yang kehendak hati berlakulah oleh-mu.' Maka kata Laksamana kapada Raja Mendeliar:


"Baik-lah, hamba persembahkan ka-bawah duli yang di-Pertuan,"


Maka Laksamana pun masoklah mengadap sultan Mahamud Shah; maka segala kata Raja Mendeliar itu semuanya di-persembahkan-nya ka-bawah duli Sultan Mahamud[13]. - Cut





Nota Lutut:
Cerita ini dikutip dari buku 'The Malay School Series' yang di-published oleh Dept. of Education, Federation of Malaya. Buku yg dicetak pada 1958 ini dikhaskan untuk bacaan bagi Darjah Tinggi di-Sekolah Melayu Penggal [1]. Sila abaikan gambar di-atas. Ia hanyalah sebagai hiasan sahaja.





Keterangan:

[1] Balairong: Tempat menanti raja [diantara istana dan balai penghadapan. [2] Keling: Perkataan yang kurang halus bagi orang yg berasal dari selatan negera India.  [3[ Seraya: Sambil atau serta. [4] Biaperi: Saudagar atau Pedagang. [5] Gharib-gharib: [Tidak ada dlm kamus].[6] Lebuh: Jalan raya. [7] Anjor-Menganjor: Maju ke-depan [terkeluar dari kawasan]. [8] Menyorong: Memberikan atau menghulurkan. [9] Shahadan [10] Berda'wa: Berbicara atau berbincang. [11] Kitul [12] Di-Charik: Di-koyak atau di-robek. [13]Sultan Mahmud: