19 June 2016
17 June 2016
TERKENANG ZAMAN DOLU
- 12 Ramadan 1437 Hijrah
Setiap kali berada di bulan Ramadan pasti aku terkenang zaman dolu-dolu, terutama sewaktu bersekolah rendah. Aku, semasa kecil sememangnya aku degil. Di suruh puasa aku puasa tetapi aku hanya berlakon saja. Sejujurnya, zaman itu adalah zaman sukar untuk aku belajar berpuasa. Aku sering ponteng puasa!
Zaman dolu-dolu sekitar pertengahan 60an tidak ada istilah bazar Ramadan. Kebanyakan orang yang tinggal di pinggir bandar, pekan atau kampung akan menyediakan sendiri juadah berbuka. Waktu itu, kebanyakan rumah masih lagi menggunakan kayu api untuk memasak. Jika tidak ada kayu api, mereka menggunakan tempurung kelapa sebagai penganti kayu api.
Seminggu dua menjelang lebaran[1], kaum ibu sibuk merebus ketupat, memasak rendang, membuat kuih raya dan memasang langsir baru. Yang punya mesin jahit pula, sibuklah menjahit pakaian yang ditempah oleh orang-orang kampung. Kaum bapa rajin pulak mengecat rumah atau yang tak berduit sangat hanya menapal kertas minyak[2] atau surat khabar lama didinding rumah.
Masatu meriah! Sambil merebus ketupat, menjahit pakaian, mengecat dinding rumah, bunyi lagu kedengaran bersahutan dari corong-corong[3] radio disetiap rumah. Tentunya zaman itu lagu Pop Yeh!-Yeh! yang menjadi pujaan mereka. Seingat aku penyanyi yang mendapat tempat dihati mereka terutama muda-mudi [abang dan kakak akulah!] antaranya penyanyi Jefrydin [Kenangan Ku], A. Ramlee [Kenangan Mengusik Jiwa], M Amin [Dara Pujaan], L. Ramlee [Ayahku Kawin Lagi] S.Jibeng dan penyanyi A Rahman Hassan.
Zaman Pop Yeh!-Yeh! juga terkenal dengan kumpulan penceragam, atau dolu-dolu dipanggil band boy gitu. Antaranya The Rythman Boys [Adnan Othman], Orkes Nirwana [M.Osman], The Clans [Fatimah Amin], The Sangam Boys [A. Halim], The Wanderes [J. Sham] dan lain-lain. Masatu muda-mudinya sangat berfesyen dan kelihatan ranggi[4] dimana si-pemudanya memakai seluar ketat dan pemudinya memakai seluar sendat.
Berbeza pula bila sudah masuk ke zaman awal 70an. Kebanyakan orang tidak lagi menggunakan kayu api sebagai bahan untuk memasak. Mereka sudah ada dapur minyak tanah cap 'Butterfly'. Aku masih ingat ketika ibu hendak menyediakan kuih bahulu, banyak telur dipecahkan dalam tempayan[5] kecil. Kemudian dikacau agak lama juga. Proses seterusnya ialah memasukkan bahan yang dikacau tadi kedalam acuan tembaga dan dibakar atas dan bawah menggunakan arang.
Masatu, ibu bersama kakak dan adek-adek akan membantu menyediakan rendang ayam dan kuah kacang untuk dimakan bersama nasi himpit. Kuih dan biskut raya pula yang sering dilihat ketika di pagi raya antaranya kuih bahulu, wajek, agar-agar kering, kembang loyang, semperit dan kek warna-warni. Kebetulan pula dihadapan rumah banyak pokok betik, jadinya ibu selalu membuat halua betik[6] muda sebagai tambahan kuih raya.
Zaman era awal 70an, aku dengan kawan-kawan sudah pandai bertandang ke rumah-rumah jiran. Masa tulah aku dapat merasa juadah raya yang tidak terdapat dirumah aku seperti lemang, dodol, rendang daging, biskut batang buruk dan lain-lain. Tentulah zamantu tidak ada istilah biskut seperti Cheese Tart, Snow Almond, Coconut Cornflakes, Chocolate Almond, Nestum M&M atau Rainbow Cookies gitu.
[Jika adalah masatu nama-nama biskut yang aku sebutkan tadi tentu bergulung lidah aku nak menyebutnya. Hehehe!]
Bab muzik pulak, lagu-lagu PoP Yeh!-Yeh! terus menghilang sebaik sahaja lagu-lagu nyanyian Ahmad Jais, Rafeah Buang, Sharifah Aini, Noorkumalasari dan Hussien Ismail berkumandang di corong radio. Malah lagu-lagu dari negara seberang seperti Indonesia juga mencuri hati peminat-peminat di Malaysia. Antara lagu yang menarik dari Indonesia yang aku masih ingat ialah Teluk Bayu [Ernie Djohan], Sepanjang Jalan Kenangan [Tety Kardi] dan KenanganKu [The Flybaits].
Era awal 70an telah menukar fesyen anak muda kepada fesyen gaya barat. Jika di Kolompo waktu itu, gedung beli-belah sudah pun menjual bluejeans jenama Rengler, Levis [Levi-Straurs], Lee, Texwood, Amco dan lain-lain. Masatu ada dua jenis potongan seluar iaitu stright-cut dan bell bottoms[7]. Kebanyakan anak muda masatu sangat berminat berpakaian blue jeans kerana mungkin jenis kainnya yang tahan lasak dan kelihatan rugged[8] gitu!
Bluejeans, makanan segera, dadah jenis ganja dan muzik dari barat mula menular dikalangan anak-anak muda ketika itu. Malah, 'Woodstock festival'[9] yang diadakan kat White Lake, New York pada 15-18 August 1969 yang di-hadiri oleh kebanyakan audience adalah mereka yang berpakain ala' hippie[10] dan trend tersebut menjadi ikutan anak muda di Kolompo.
Masatu, lagu-lagu Mat Salleh sudah menjadi kegilaan mereka malah tidak ketinggalan juga penuntut Universiti. Anak-anak muda, terutama yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kolompo, Ipoh, George Town, Kuantan dan Johor Baharu juga terbabit meminati muzik barat. Antara penyanyi dan kumpulan yang mereka suka ialah Rod Steward, Stevie Wonder, Elton John, David Bowie, Bob Marley, John Lennon, Abba, Bee Gees dan Angles [sekadar menyebut beberapa nama penyanyi dan kumpulan].
Jadinya, di pagi Sya'wal tidak hairanlah jika ramai orang muda yang berpakain baju Melayu, bersongkok dan berambut panjang datang ke Masjid untuk menunaikan solat sunnat Aidilfitri. Malah minggu pertama beraya, jarang sekali anak-anak muda mahu melayan lagu-lagu raya. Lagu-lagu Mat Salleh juga yang menjadi pilihan mereka. Masatu kalau bergambar pun, mesti nak tunjuk dua jari iaitu jari telunjuk dan jari hantu [bentuk V] sambil berkata "Peace not war!"[11]. - Wallahuaklam!
Glosari & Info:
[1]Lebaran: Berhari Raya. [2]Kertas Minyak: Sejenis kertas warna kuning untuk membalut kulit buku. [3]Corong-corong: Alat yang berbentuk kelongsong untuk menguatkan suara. [4]Ranggi: Muda mudi yang bergaya tetapi berlagak. [5] Tempayan: Tempat menyimpan air yang dibuat dari tanah liat. [6]Halua Betik: Sejenis manisan yang dibuat dari hirisan betik muda dan disira dengan gula. [7]Bell Bottoms: Potongan seluar yang bahagian kakinya kembang dibawah seperti loceng. [8]Rugged: Perangai nampak kasar. [9]'Woodstock festival': Pesta muzik ini diadakan pada tahun 1969, di White Lake, New York yang dihadiri kira-kira empat ratus ribu orang [400 ribu] yang kebanyakan audience berpakaian ala'hippie. [10]Hippie: Bermula sekitar tahun 1960'. Mempunyai ideologi kearah dadah-marijuana dan gaya hidup bebas. Kebanyakan mereka berambut panjang dan suka kepada cara hidup berkumpulan. Diasaskan oleh kumpulan yang berasal dari North America dan Western Europe. [11]"Peace Not War": Cogan kata kumpulan Hippie yang kononnya memperjuangkan hak kebebasan, cinta dan kebahagian hidup.
14 June 2016
KISAH DI PAGI AIDILFITRI
9 Ramadan 1437 Hijrah!
Kul 04.45 pagi aku sudah terjaga dari tidur. Bersahur dengan nasi goreng yang dimasak oleh isteri aku. Usai solat subuh, aku menyelak-nyelak akbar semalam. Berita luar negara, dimana berlakunya serangan dan pembunuhan orang awam di Syria sepanjang bulan Ramadan.
Serangan demi serangan dilancarkan. Kesucian Ramadan terus dicemari apabila 41 orang penduduk Syria termasuk bayi dan kanak-kanak terbunuh. Jet tempur kerajaan Syria dan Rusia dapat dilihat berada dalam ruang udara lokasi serangan semalam. Namun tidak pasti pesawat mana yang melakukan serangan dikawasan yang dikuasai oleh kumpulan penentang kerajaan di Idlib dan dibandar berhampiran Maaret al-Numan.
Begitulah nasib yang menimpa orang awam termasuk kanak-kanak di Syria. Bercakap pasal nasib kanak-kanak, teringin aku hendak berkongsi kisah tentang 'Rasulullah dan Anak Kecil di Hari Raya Aidilfitri'. Kisah ini aku kutip dari buku 1100 Koleksi Emas, Jilid 2 yang diterbitkan oleh Jasmin Enterprise, Kuala Lumpur. Semuga kisah ini dapat menjadi contoh teladan dan menginsafkan kita.
DI PAGI AIDILFITRI
Hari Raya Aidilfitri telah tiba. Umat Islam di Madinah merayakan hari bahagia itu dengan disulami takbir dan tahmid[1]. Mereka sepertinya telah menang perang melawan hawa nafsu ketika sebulan suntuk menjalankan kewajiban ibadah puasa di-bulan Ramadan.
Dengan berpakaian paling cantik Nabi SAW bergegas keluar dari rumah menuju ke lapangan untuk menunaikan solat berjemah Aidilfitri. Ketika itu di lapangan, masyarakat sudah mula berjejal[2] memenuhi ruang solat sambil menunggu kedatangan Rasulullah.
Kelihatan di sepanjang jalan ketika itu, anak-anak kecil berlari-lari dengan gumbirnya kerana lebaran[3] telah tiba. Pakaian mereka cantik-cantik dan wajah mereka ceria semuanya. Tidak adalah yang berdukacita kerana hari itu adalah hari gumbira.
Akan tetapi alangkah hairanya Nabi SAW tatkala melihat disatu sudut sebuah bangunan lama, seorang anak kecil berpakaian compang camping sedang duduk mengadap dinding sambil menangis tersedu-sedu. Nabi SAW pergi kepada anak itu, lalu bertanya:
"Hai anakku, mengapa engkau menangis sendirian pada saat kita sedang bergumbira dan bersukaria?"
"Bagaimana tidak menangis, mereka punya pakaian baru sedang aku tidak" Jawab anak kecil itu tanpa menoleh untuk melihat siapa yang bertanya.
"Jadi mengapa engkau tidak berganti pakaian dan bermain-main dengan kawan sebayamu?" Soal Nabi SAW dengan rasa hairan.
"Mereka tidak mahu aku dekat sebab pakaianku lama dan compang camping[4]. Dolu, sewaktu aku masih punya ayah, setiap hari raya aku juga mengenakan pakaian baru, perutku kenyang, duitku banyak"
"Dimana ayahmu nak?"
"Ayahku sudah meninggal. Ibuku kahwin lagi. Nasibku tersia-sia sebab harta peningalan ayahku telah dihabiskan oleh ayah tiriku" Ujar anak kecil itu tanpa berpaling kehadapan.
Nabi SAW termenung, lalu baginda berkata:
"Anakku, seandainya Fatimah jadi kakakmu, Ali bin Thalib jadi abangmu, Hassan dan Hussain jadi saudaramu dan aku jadi ayahmu, apakah engkau suka?"
Anak kecil itu terperanjat. Ia berfikir, jangan-jangan yang berdiri dibelakangnya ini adalah Rasulullah. Maka cepat-cepat dia menoleh. Setelah dilihatnya yang berkata itu adalah Rasulullah, budak itu pun terus berasa gumbira sambil berkata:
"Tentu saja aku senang ya Rasulullah" Sambil budak itu memeluk kaki Nabi SAW.
Maka Nabi SAW pun mengendong anak kecil itu dan dibawa beliau pulang ke rumah. Dengan tangan beliau sendiri, Rasulullah memandikan anak kecil itu, mencarikan dan memakaikan baju kepada anak yatim tersebut. Lalu Nabi SAW memberinya sarapan pagi dan sedikit wang. Setelah dilepaskan, anak kecil itu bermain-main, barulah Rasulullah meneruskan niat beliau dan terus menuju lapangan untuk menjalankan solat sunnat Aidilfitri bersama segenap lapisan masyarakat Madinah.
Diluar lapangan, anak kecil itu pula sedang ketawa, riang gumbira sambil mendatangi kawan-kawanya yang sedang asyik bersuka ria. Mereka kehairanan melihat budak itu sekarang tertawa gumbira, padahal tadinya sedang menangis tersedu-sedu. Maka salah seorang diantara mereka bertanya kerana ingin tahu:
"Hai! Aneh betul kamu. Tadi menangis, sekarang ketawa. Apa yang sudah berlaku?"
"Tadi aku menangis kerana tadi aku lapar. Sekarang aku tertawa kerana aku kini kenyang. Tadi aku menangis kerana tadi aku tidak berpakaian cantik. Sekarang pakaian aku cantik dan masih baru. Juga kini aku punya wang banyak. Tadi aku menangis kerana tadi aku tidak punya ayah. Sekarang aku tertawa kerana aku sekarang sudah punya ayah" anak yatim tersebut menyahut bangga.
"Hairan! Dari mana kau dapat ayah? Siapa ayahmu sekarang?"
"Kerana ayah kandungku sudah meninggal, maka Rasullulah SAW mengangkatku jadi anak. Rasullulah adalah ayahku sekarang" jawab anak kecil itu penuh rasa bahagia.
Bila mendengar jawapan dari anak yatim tersebut, kawan-kawannya semua merasa irihati dan kecewa. Mereka hampir serentak berkata:
"Ya! Kalau ayah kita sudah mati, kita pun bakal punya ayah Rasullulah SAW seperti dia"
- Titek!
Pssttt! Mengasihi dan memelihara anak yatim adalah sifat terpuji yang patut dimiliki oleh setiap orang Mukminin. - Wallahuaklam!
13 June 2016
PERISTIWA HARI SABTU!
Kolompo!
1- Hari ini Isnin, 8 Ramadan 1437 Hijrah. Awal pagi Sabtu lepas [28 Syaaban] aku dan isteri sudah pun berada di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman [TAR] hajat hati untuk buat pemeriksaan mata dan menempah cermin mata baru di Campbell Optometrist. Sewaktu menghampiri lorong untuk masuk ke padang parkir di belakang Balai Polis DangWangi, kelihatan beberapa kun merah-putih diletakan ditengah lorong dan seorang anggota Rela memberitahu kawasan parkir tersebut sudah ditutup sempena bulan Ramadan. [Sila selak entri 'Ke Alor Gajah' - 6 June 2016]
Jadinya, hari Sabtu lepas [6 Ramadan] aku dan isteri, sekali lagi keluar ke pusat bandar. Kali ini kami memparkir kereta dibawah salah satu bangunan berhampiran Jalan TAR. Kami berdua menyusuri lorong belakang menuju Campbell Shopping Complex. Walaupun jam ditangan aku baru menunjukkan kul 0945 pagi tetapi gerai gerai disepanjang lorong itu sudah sedia menerima kedatangan tetamu.
Kul 1100 pagi. Usai urusan di kedai cermin mata, kami singgah disebuah gerai menjual lemang disatu sudut menghala ke kawasan parkir. Diatas meja kelihatan lemang-lemang yang berbalut daun pisang, longgokan ketupat, rendang ayam dan rendang daging. Kami membeli dua ketul lemang dan terus segera beredar kerana ketika ini orang ramai mula membanjiri kawasan perniagaan bazar Ramadan. - Cut!
2- Inilah sedikit gambaran yang aku dapat kongsikan dengan pembaca bilamana tibanya bulan Ramadan, ramailah orang Melayu berniaga walaupun sewanya agak mahal. Dari cerita-cerita orang yang berniaga sebelum ini dilorong belakang Jalan TAR - khabarnya berniaga dibulan Ramadan, boleh mendapat keuntungan berlipat ganda daripada biasa.
Jika niat peniaga-peniaga bazar Ramadan hanya mementingkan keuntungan jangka pendek bagaimana pula keuntungan berkekalan iaitu 'pahala Ramadan' yang dilepaskan ketika berada di bazar atau dipasar malam. Sepatutnya kita, [termasuk akulah] - mengejar dan menambah pahala dengan bersedekah, bertadarus atau jika mampu memberi makan, pakai kepada anak-anak yatim dan fakir miskin.
Setiap tahun menjelang Ramadan, ramai orang Melayu mahu berniaga. Di Kolompo misalnya, dahulu bazar Ramadan hanya bermula dari lorong tepi Campbell Shopping Complex hingga ke Maiden. Sejak kebelakangan ini, ruang niaga terpakasa ditambah dan ruang parkir di belakang Cempbell Shopping pun sudah dijadikan tapak bazar Ramadan. Begitulah hebatnya Ramadan!
Mungkinkah tahun-tahun yang mendatang nanti [bulan Ramadan], orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan iaitu satu kumpulan orang-orang Melayu yang sering berada di bazar dan pasar malam dan golongan kedua pula ialah orang-orang Melayu yang sentiasa berada disurau dan masjid-masjid. Golongan ketiga pula ialah orang Melayu yang berada diantara dua golongan tersebut. Mungkinkah nanti Allah murka lalu menurunkan bala kepada mereka-mereka yang durhaka. Wallahuaklam! [Seperti peristiwa 'Hari Sabtu' di pinggir laut merah pada zaman Nabi Musa].
3- PERISTIWA HARI SABTU!
Begini ceritanya: Di pinggir laut Merah terdapat sebuah kampung nelayan dikenali sebagai Ailah. Mereka menjadikan hari Sabtu sebagai hari untuk beribadah, seperti yang disyariatkan oleh Nabi Musa. Jadi pada hari tersebut tidak ada diantara mereka turun kelaut menangkap ikan. Tradisi ini menjadikan hari Sabtu adalah hari bagi ikan-ikan yang hidup dilaut datang bermain disekitar dua batu besar, kerana ketika itu tidak ada nelayan yang akan turun kelaut.
Dari musim ke musim kebiasaan itu berjalan lancar dan ikan pun bertambah, datang berkumpul dianatara dua batu besar tersebut. Apabila beberapa penduduk kampung nelayan itu mengetahui ikan sudah banyak lalu mereka bercadang untuk menangkap ikan tersebut memandangkan hari Sabtu adalah hari semua orang sedang beribadat.
Timbullah perasaan tamak haloba di hati mereka. Mereka memanggil penduduk-penduduk untuk berbincang lalu salah seorang berkata:
"Kenapa kita biarkan saja ikan-ikan besar sebanyak itu berkeliaran dihadapan kita, sedangkan itu adalah rezeki kita. Bagaimana kalau kita tangkap saja ikan-ikan itu, kerana dihari lain tentu kita sukar mendapat ikan-ikan yang begitu banyak dan besar-besar".
"Mengapa kita bodoh melepaskan peluang yang ada dihadapan kita". Ujar salah seorang dari kumpulan tersebut.
Pendapat lelaki itu terus diterima oleh orang-orang kampung, kecuali beberapa orang saja yang tetap beriman dan tidak mahu melanggar tradisi aturan agama. Lalu orang kampung pun beramai-ramai turun kelaut menangkap ikan. Hasilnya cukup banyak jika dibandingkan dengan hari-hari biasa. Oleh kerana mudahnya menangkap ikan, maka hari Sabtu mereka ubah bukan sebagai hari untuk beribadah kepada Allah sebaliknya hari menangkap ikan, kemudian mereka berpesta dengan jamuan besar-besaran.
Kumpulan orang-orang yang beriman cuba memberi nasihat, tetapi ditolak mentah-mentah. Kemudian mereka cuba menghalang pula dengan kekuatan senjata tetapi kumpulan yang ingkar lagi sesat itu juga menentang keras seraya berkata:
"Kampung ini bukan kepunyaan kamu sahaja, kami berhak kaatas kampung ini. Kenapa pula kamu melarang sedangkan kami berbuat demikan adalah kerana mahu mencari rezeki. Jika kamu tidak suka melihat perbuatan kami, eloklah kita bahagikan kampung ini kepada dua. Selepas itu kami bebas melakukan apa saja yang kami mahu, dan kamu juga bebas melakukan apa saja yang kamu mahu"
Untuk menghindarkan pergaduhan dan pertumpahan darah, maka kumpulan orang-orang beriman itu menurut sahaja cadangan mereka. Lalu kampung menjadi dua tetapi Nabi Daud tidak membiarkan mereka melanggar perintah Allah. Nabi Daud terus menerus menyeru mereka supaya kembali ke jalan Allah dan ajaran Nabi tetapi sebaliknya golongan yang sesat itu hanya mengejek-ngejek dan mempersendakan Nabi Daud.
Akhirnya Nabi Daud memohun doa kepada Allah untuk menurunkan bala kepada mereka yang durhaka. Pada masa yang sama kelakuan kumpulan orang-orang yang sesat itu semakin teruk malah telah menyamai kelakuan haiwan. Kemungkaran semakin menjadi-jadi!
Lalu, pada suatu hari terjadilah gempa bumi besar didesa itu. Semua kaum Muslimin keluar minta perlindungan dari Allah, adapun kumpulan orang-orang sesat itu masih tetap leka dengan pesta makan besar hasil tangkapan ikan pada hari Sabtu.
Akhirnya tiba pula gempa bumi yang kedua, ketiga dan keempat berturut-turut dengan lebih dahsyat sehingga batu-batu berterbangan, ombak laut membadai kampung, kampung itu hilang-hanyut dibawa arus. Lenyaplah orang-orang yang sesat lagi lupa daratan. Orang-orang yang beriman kepada Nabi Daud pula terselamat dari bala bencana Allah. Sesungguhnya orang-orang itu mendapat perlindungan! [Peristiwa ini aku ambil dari buku Kisah-Kisah Benar Siri 3, susunan Mohd Najib, HM Ridzwan dan Nur Ashiqa].
Nota Lutut: Berniaga di bulan Ramadan itu bagus, kerana boleh menambah rezeki. Orang ramai pula tidak salah mencari barang-barang untuk hari raya tetapi agak-agaklah. Ada baiknya peniaga bazar Ramadan mendisplinkan diri dengan membuka gerai seawal 0900 pagi dan berakhir sebelum waktu Magrib. Malam harinya eluklah beramai-ramai ke surau atau masjid mengerjakan solat Isya' dan solat Tarawih berjemaah.
Di cadangkan dalam bulan Ramadan, jadual perniagaan pasar malam, up town dan bazar Ramadan larut malam diubah waktu perniagaan dan namanya menjadi pasar pagi, bazar siang dan morning up town. Jadi, tidaklah perlu orang ramai keluar malam hanya semata-mata mahu mencuci mata! - Wallhuaklam!
09 June 2016
HARI PERTAMA, TERAKHIR RAMADAN
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa iaitu dalam beberapa hari yang tertentu"
[ Al-Baqarah: 183-184]
Sebelum Ramadan!
Bulan berganti bulan dan tibalah bulan yang dinanti-nanti oleh umat Islam diseluruh dunia iaitu bulan Ramadan yang dikaitkan dengan ibadat puasa, kurma dan bazar Ramadan. Seperti yang telah kita sedia maklum, bulan Ramadan juga dikenali sebagai bulan beramal ibadat, bulan menyucikan jiwa dari segala dosa yang telah kita lakukan selama ini. Bulan Ramadan juga mempunyai keistimewaan tersendiri, dimana al-Quran diturunkan untuk memberi petunjuk kepada manusia.
Seminggu sebelum bermulanya bulan Ramadan, suasana dikebanyakan masjid dan surau dinegara kita kelihatan sibuk dimana mereka [AJK] telah mewujudkan kumpulan moreh[1] terdiri daripada anak-anak muda kemudian gotong-royang membersihkan kawasan masjid atau surau dan ada juga AJK surau yang melakukan ziarah dan kutipan rumah ke rumah bagi mendapatkan sumbangan ikhlas untuk menampung perbelanjaan sepanjang program serta aktiviti pengimarahan surau.
Di luar kawasan masjid dan surau didirikan pula kemah-kemah berwarna putih untuk kegunaan memasak bubur lambok atau digunakan oleh peniaga-peniaga kecil. Dibandar atau didesa sama sahaja, kemeriahannya pasti terasa apabila tapak-tapak bazar Ramadan didirikan sama ada dalam sekala besar atau kecil-kecilan. Bazar Ramadan kelihatan dimana-mana seperti dipusat belibelah, kawasan perumahan, kampung-kampung termasuk juga didesa yang jalannya tanah merah, berdebu dan jauh terasing dari kehidupan modern. - Cut!
Berita dari negara jiran pula, ialah tentang tidak banyak bazar Ramadan di Jakarta berbanding di Kolompo yang kelihatan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Warga Jakarta tidaklah seghairah warga Kolompo untuk mendapatkan juadah berbuka puasa. Perbezaan ini menunjukkan Ramadan di Kolompo lebih kepada mahu mencari rezeki berbanding mencari pahala. Pun begitu, negara Indonesia yang mempunyai penganut Islam paling ramai didunia masih ada yang mengamalkan ritual nenek moyang mereka.
Sebagai contoh, disebuah desa pingitan Sumatera Barat Indonesia, ada perkara pelik yang dilakukan oleh masyarakat Nagari. Seperti kata seorang tokok masyarakat di Sumatera Barat, Labay Sahirin menyatakan bahawa tradisi 'tolak bala'[2] telah lama diamalkan dalam kalangan nenek moyang mereka. Ritual tersebut bukan hanya dilakukan untuk menyambut bulan Ramadan, malah ia juga dilalakukan bagi mengusir segala bentuk bahaya, musibah dan bencana yang mungkin terjadi.
Sebelum ritual itu dilakukan, penduduk terlibat perlu menyembelih sesekor kambing. Daging kambing itu setelah dimasak akan dijamu kepada tokoh agama untuk santapan bersama pada malam selesai proses berzikir. Selepas itu, para tokoh agama dan penduduk setempat akan melakukan 'pawai obor'[3] sambil berarak, mereka mengucapkan kalimat puji-pujian kepada Sang Pencipta. Menurut penduduk setempat, obor itu sendiri membawa maksud semarak umat dalam menjalankan proses berkenaan. - REPUBIKA.ID
Di Magelang, Jawa Tengah pula lain ceritanya. Penduduk Dusun Dawang diKampung Banjarnegoro, wilayah Magelang menyambut bulan Ramadan dengan acara tradisi 'Bajong Banyu'[4] atau perang air. Tradisi tersebut dimulakan dengan pertunjukan tarian tradisional kuda lumping, topeng ireng dan beberapa pertunjukan seni oleh kumpulan kanak-kanak Dusun Dawang.
Penduduk yang berpakaian tradisinol Jawa itu akan berarak dan berjalan kaki ke sumber air atau dikenali sebagai Tuk Dawung yang terletak kira-kira 500 meter dari kampung mereka. Dengan diringi muzik tradisinol, ketua-ketua masyarakat akan mengambil air dari mata air untuk diisi ke dalam cerek yang dibawa oleh penduduk desa.
Air yang dibawa balik ke kampung mereka kemudian dituang ke dalam baldi besar dan secara simboliknya lima orang akan membasuh muka mereka menggunakan air tersebut dan seterusnya acara perang air pun bermula. Semua penduduk kampung tanpa mengira usia dan jantina akan menyiram air yang diambil tadi antara satu sama lain. Menurut Ketua Dusun, perang air itu merupakan acara simbolik untuk membersihkan diri dan memohon ampun kepada Tuhan, selain saling bermaaf-maafan antara penduduk kampung agar ibadah puasa dapat dilalui dengan keadaan bersih zahir dan batin. - KOMPAS.COM
Itu tadinya adalah sedikit kisah dinegeri seberang. Apakata kita balik menyeberang ke Semenanjung. Disekitar kejiranan aku, mereka telah bersiap sedia untuk berjamaah solat Isya' dan solat tarawih. Sementara menunggu masuk waktu, selalunya ada sekumpulan otai yang lepak diluar surau, menghisap rokok sambil berbual tentang banyak hal. Perkara yang dibualkan ialah tentang kurma Yusuf Taiyoob, tazkirah melalui media sosial mengenai pembaziran dibulan Ramadan, tip amalan meminum air nabeez[5], nasihat merancang cuti awal, hal harga barang, kisah budak putus jari sebab main mercun dan soal jawab tentang puasa, tarawih dan hal-hal remeh seperti korek telinga dan korek hidung di bulan Ramadan.
Menghampiri waktu solat Isya' lalu muazzin melaungkan azan:
"Allahu akbar Allahu akbar[2x], Asyhadu allaa ilaaha ilallaah[2x], Asyhadu anna Muhammadar-Rasuulullah[2x], Haiya 'alash-shallah[2x], Haiya 'alal-falaah[2x], Allahu akbar Allahu akbar, Laa ilaaha illallaah" [Perhatian: Azan sunnat diserukan pada tiap-tiap sembahyang fardu, samaada ketika sembahyang sendirian, mahupun berjemaah. Samada ketika dirumah mahupun di masjid. [Sunnat hanya untuk kaum lelaki sahaja].
Berduyun-duyun mereka datang ke surau. Baik lelaki mahupun perempuan. Tak mengira umur, warna kulit atau asal usul. Mereka datang hanya bertujuan untuk sama-sama mengimarahkan surau. Suara riuh kanak-kanak mula kedengaran. Ada anak-anak yang berlari kesana kesini. Sesekali dimarahi oleh bilal atau siak. Anak-anak berhenti berlari tetapi anak-anak itu akan berlari semula kerana mereka adalah anak-anak yang masih kecil. Usai solat tarawih, anak-anak itu mula berebut-rebut mahu menjamah moreh tetapi diminta untuk beratur. Anak-anak kecil itu akur!
Agak hairan juga apabila masuk minggu ke-dua, anak-anak kecil mula berkurangan. Bukan sahaja anak-anak kecil, malah budak-budak muda juga sudah dilihat terlalu sedikit datang berjemaah-bersama-sama melakukan solat Isya' dan solat tarawih. Yang tinggal hanyalah sedikit warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan budak moreh. Selebihnya yang masih bertahan ialah jemaah dewasa dan orang-orang tua.
Masuk minggu ketiga jemaah di masjid dan surau bertambah kurang. Kurangnya sangat ketara, apabila melihat juadah 'moreh' yang dihidangkan tidak banyak terusik. Jadinya, untuk tidak membazir, juadah yang berbaki terpaksa di-tau'paw[6] oleh jemaah. Minggu-minggu terakhir iaitu Malam Lailatul Qadar, menyaksikan masjid dan surau dilanda suram. Kebanyakan jemaah mula meninggalkan kawasan kejiranan masing-masing untuk balik ke kampung. Lainnya pula mungkin tengah sibuk dibazar Ramadan atau dishopping mall, membeli belah pada saat-saat akhir. Yang masih tinggal dimasjid dan surau hanyalah sedikit warga tempatan dan selebihnya warga dari luar negara. - Wallahuaklam!
Glosari:
[1]moreh: Jamuan di-masjid/surau selepas solat Tarawih. [2]tolak bala: Menghindari diri daripada ditimpa kejadian [kemalangan] buruk. [3]pawai obor: Berarak dengan membawa obor. [4]bajong banyu: Perang air. [5]air nabeez: Air nabeez adalah air rendaman kurma atau kismis dalam air masak semalaman dalam bekas bertutup dan kemudian diminum pada keesokan paginya. Air nabezz adalah minuman beralkali yang mampu membuang asid dalam perut dan menyingkirkan toksin. [6]taw'paw: makanan yang dibungkus-bawa balik.
Subscribe to:
Posts (Atom)
