21 July 2017

CERITA CUTI SEMINGGU!






 Semalam! [1]
Bertemu di Mamak Corner Malayan Mansion.
Aku, Idris dan Hosni sudah berpuloh tahun mengenang.
Diatas meja ada teh tarik, apom dan ruti banjir-
sambil bibir mengomel.
Sepakat mencuba Mrt ke Kajang.
Sate Hj Samuri menjadi santapan.
Singgah di stesen Bukit Bintang.
Naik monorail dan lrt balik semula ke pusat bandar.

 Esuk! Pulang ke Tanah Kebun. [2]
Negeri masa lalu.
Mahu menghirup udara pagi.
Alam menghijau-membiru-tentram sukma.
Embun pagi. Burung-burung riuh berterbangan,
kokok ayam hutan dan salakan anjing.
Pernah aku catatkan juga tentang kucing,

tentang biawak, kala jengking dan ikan patin.
Tentang pohun nangka, senduduk, lalang,
keladi bunting serta daun-daun buluh kering.
Tidak lupa juga aku catatkan tentang
ngopi, sepotong kek nanas, kayuh petang,

gerai Wak Nasar, kebun getah dan desa pingitan.

[21 July 2017 - Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur].

18 July 2017

Temujanji Hujung Minggu [3]


Kuala Lumpur.

Pertemuan itu memang telah dirancang. Banyak cerita lama yang dibicarakan. Berpuloh-puloh tahun aku, Idris dan Hosni menyimpan kenangan. Kenangan itu rupanya telah mengakrabkan kami. Ingatan itu belum pergi jauh. Terimbas tentang Bukit Bintang ketika kami menjamah nasi lemak bungkus di gerai ManCo, minum teh tarik digerai Naina dan makan burger di Stall Nazri @Nat. Sesekali kami sepakat berpergian  ke Hilton Corner, merasa Yong Tau Foo di gerai Cina. Tidak seorang pun diantara kami, was-was ketika makanan itu masuk kedalam tembolok. - [Mj]



9- Pagi masih remaja ketika kami bertiga sepakat keluar dari gerai Mamak Corner di Malayan Mansion. Ketika melalui lorong demi lorong, ada terasa di umbun-umbun kepala, sang matahari tumpang berjalan bersama. Idris dan Hosni berjalan beriringan sambil pot! pet! pot! pet! dan sesekali kedengaran mereka ketawa. Aku di belakang mereka. Melangkah sambil mata meliar melihat sekeliling.

Aku, Idris dan Hosni baru sahaja melepasi sebuah pasar raya yang jenamanya memang sudah terkenal di Malaysia. Seperti yang diceritakan oleh Subky Latif dalam buku 'Istimewa Terkenang' iaitu pasar raya Mydin yang menjadi gedung perniagaan terbesar dikawasan Jalan Masjid India adalah contoh terbaik peniaga keturunan India dan yang paling berjaya.

Orang Melayu tumpang berbangga dengan kejayaannya kerana Mydinlah yang boleh mewakili Islam dalam perniagaan besar itu. Tetapi dalam apa keadaan pun Mydin adalah keturunan India. Orang Hindu setuju atau tidak setuju, bahawa Mydin itu ada darah India.

Ujar Subky Latif lagi, setakat ini kaum India menguasi beberapa bidang perniagaan. Antaranya mengedar surat khabar, mengedar ruti, menjalankan perniagaan tukaran wang asing, kedai nasi kandar, tapak letak kereta dan lain-lain. Setakat ini belum ada pihak lain dapat menembusi bidang yang dikuasa oleh peniaga India. Maka, tapak yang sudah diduduki oleh peniaga India di Jalan Tuanku Abdul Rahman belum tentu boleh jatuh ke tangan orang lain, tetapi kedai orang lain tidak mustahil jatuh ke tangan mereka. - [Subky Latif - Istimewa Terkenang]



  • 10- Kami bertiga melintas jalan. Dihadapan Jakel Mall, sehelai kain rentang tercetak 'Jamuan Hari Raya'. Fuhhh! Kelihatan seakan pesta dimana orang ramai sedang berbaris di meja buffet. Disiar kaki pula beberapa orang sedang memanggang kambing serta satay. Kami hanya mampu menyedut aroma satay dari jauh.

  • Setelah jauh kami mengheret langkah, kami pun tiba di tempat yang dituju iaitu Lulu Hypermarket. Kami masuk ke dalam mahu melihat-lihat apa barang yang dijual. Aha! Macam macam ada. Satu lagi jenama baru yang mahu bersaing di-Kuala Lumpur. Selain Kuala Lumpur, Lulu Hypermarket juga telah beroperasi di Bahrin, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, UAE, India dan Indonesia.

    Yang peting, barang yang dijual semuanya halal! kata Idris sebaik kaki melangkah keluar dari Lulu Hypermarket. -Cut!


17 July 2017

Temu Janji Hujung Minggu [2]



Kuala Lumpur
Aku sedang bercuti. Cuti kali ini aku mahu bertemu rakan lama si Idris dari Kampung Pandan dan si Hosni dari TTDI. Lokasi pertemuan kami ialah di Mamak Corner, Malayan Mansion, Jalan Masjid India. Sengaja kami mahu melepak di situ kerana tempat itu banyak menyimpan kenangan. - [Mj] 15 July 2017.




Intro!
'Awak Dimana! Awak Dimana!'
Bunyi ringtone dari handpon lenova. Aku membuka backpack, mengeluarkan handpon, jari telunjuk menguis screen lalu aku menjawab. Ohhh! Si Hosni sudah sampai dan sedang menunggu aku di Mamak Corner, Malayan Mansion. Aku bangun. Berjalan. Melintas Jalan Tun Perak, masuk ke Jalan Melayu yang arahnya akan membawa aku kesatu kawasan perniagaan yang sesak. Dibawah satu bumbung itulah peniaga Melayu yang bermodal kecil, akan bersaing dengan peniaga-peniaga India yang sudah terkenal disekitar jalan dan lorong-lorong di situ.




5- Aku berjalan di siar kaki menuju Mamak Corner. Di-lorong siar kaki berhampiran stesen Lrt Masjid Jamek itu aku lihat seorang wanita bertudung, duduk bersila diatas kakilima. Dihadapannya ada sedikit kertas tissue. Aku menghulurkan kepada wanita buta itu sehelai wang kertas dan mengambil satu paket soft facial tissue jenama Tender Soft buat pengelap peluh nanti.

Tidak jauh dari wanita buta itu, ada seorang lelaki, duduk di kakilima dengan meletakan tongkat disebelah kaki kirinya. Sebelah kakinya berbalut dengan kain putih. Aku tarik sehelai wang kertas dari poket baju, aku hulur dan lelaki itu menyambut dengan ucapan terima kasih. Aku terus melangkah. Dihadapan ada lagi seorang lelaki buta, duduk dikerusi, sedang memegang sekotak tissue, barangkali dari jenama yang sama. Aku menyerakan sehelai wang kertas dan terus berlalu.
 

Aku membeluk ke arah kanan. Melalui kawasan perniagaan orang Melayu. Berjalan dilorong yang ketika ini aku anggap masih selesa jika mahu dibandingkan ketika  waktu puncak nanti hingga membawa ke waktu dinihari. Pastinya sesak giler! Di lorong sempit itu nanti kita akan menyaksi  lenggang gadis bergetah[1], berpimpin bersama ibu tua. Dilorong sempit itu nanti kita akan bergesel bahu dengan kumpulan remaja kota yang brutal, sekadar mundar-mandir sahaja. Di lorong sempit itu nanti jika kita bernasib baik akan bertemu orang-orang yang bernafsu serakah. Barangkali, pencuri atau penyeluk saku gitu.

 

Aku toleh sebelah kanan. Ada bangunan tinggi, namanya Wisma Yakin[2]. Dibelakang bangunan itu mengalir lesu air Sungai Kelang. Pintu utamanya yang berdinding kaca itu sedikit terlindung. Di bahagian bawah itu pula ialah shoplot peniaga-peniaga Melayu yang modalnya tidaklah banyak mana. Terkenal dengan perniagaan baju Melayu, jubah, sejadah, songkok, capal Hang Jebat dan kedai menjual buku agama.   
 

6- Dolu, aku pernah berjalan di kakilima ini. Di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India. Disinilah tempatnya pelukis setiap pagi berkumpul mencuba nasib. Antaranya Johari Alias, Makmor Jantan, Salleh Dawam, arwah Burn dan lain-lain lagi pelukis. Di sinilah seringkali gagak meriukan alam, bertengek di dahan, pohon ke pohon lalu duburnya memuntahkan najis, bertaburan  dicelah-celah akar dipangkal pokok.

Sesudah berpuluh tahun, tidak terasa, waktu melangkah begitu cepat. Tidak ada lagi pelukis melukis. Tidak ada lagi penyanyi berpuisi. Semuanya sudah berhijrah ke daerah bernama Pasar Seni di Jalan Hang Kasturi. Malah, gagak dan tahi-tahi berwarna putih yang dolu bertaburan juga tidak kelihatan lagi. Semunya hanya tinggal kenangan. Zaman remaja sudah pergi,  sedang bangunan Wisma Yakin, Masjid India, Malayan Mansion masih utuh walaupun telah dimamah usia.


Menara Masjid India itu masih berdiri dicelah-celah bangunan baru didada kota. Jika mahu megimbas sejarah kewujudannya, Masjid India telah dibina seawal tahun 1863 lagi. Malah pada tahun 1889 Masjid India hadir dalam lakaran peta Kuala Lumpur oleh Kuala Lumpur Land Office. Dari sumber yang boleh dipercayai iaitu DYMM Sultan Selangor, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah telah menyerahkan sebidang tanah kepada seorang peniaga India Muslim bernama Mohamad Kassim. Lalu dibina sebuah masjid kayu hasil sumbangan peniaga-peniaga India Muslim disekitar Kuala Lumpur khususnya disekitar Batu Road [sekarang Jalan Tar] ketika itu.

7- Aku terus melangkah. Melalui shop lot bangunan Malayan Mansion. Melihat kedai-kedai yang sudah mula beroperasi. Kebanyakan kedai-kedai itu dimiliki oleh kaum keturunan India. Seperti yang pernah aku terbaca dalam buku 'Subky Latif Istimewa Terkenang'[3] iaitu beliau menceritakan, selepas Merdeka hampir tidak ada kedai orang Melayu. Kalau ada pun di pangkal Jalan Tunku Abdul Rahman [dolu Batu Road] dan Jalan Raja Muda sebuah kedai buku kepunyaan Datuk Aziz yang dikenali sebagai Pustaka Antara.

Ujar Subky Latif lagi, adalah satu dua orang Melayu berniaga, menumpang di restoran Cina, menjual nasi Padang. Ketika itu terdapat juga bangunan Umno setinggi empat tingkat. Tertinggi di jalan itu. Walaupun bangunan itu kepunyaan orang Melayu iaitu Umno, tetapi tingkat bawahnya jadi restoran mamak. Rata-rata kedai di sepanjang Batu Road itu adalah kedai Cina. Orang Melayu hanya berjaja di tepi jalan. Untuk melihat orang Melayu berniaga hanya di Jalan Melayu. Itupun jenis perniagaan ketika itu hanya tertumpu kepada kedai gunting rambut dan gerai makan. Jalan Masjid India masa itu masih kawasan setinggan.

 


  • 8- Aku sudah berada di salah sebuah gerai di Mamak Corner di bawah flet Malayan Mansion. Pelanggan masih ramai. Aku lihat kalibat si Hosni lalu aku memberi salam dan berjabat tangan. Aku mengambil tempat. Tidak lama kemudian, si Idris dari Kampung Pandan datang, memberi salam dan kami berjabat sambil bertanya khabar. Seorang pemuda India cargas, datang mengambil pesanan. Siap! Terhidang tiga cawan teh tarik, apom dan ruti banjir  diatas meja berkilat yang sempit. Kami bertiga pagi itu mula bercerita. Pot! Pet! Pot! Pet!

    Pertemuan itu memang telah dirancang. Banyak cerita lama yang dibicarakan. Berpuloh-puloh tahun  aku, Idris dan Hosni menghimpun kenangan. Kenangan itu rupanya telah mengakrabkan kami. Ingatan itu belum lagi pergi jauh. Terimbas tentang Bukit Bintang ketika menjamah nasi lemak bungkus di gerai ManCo, minum teh tarik di gerai Naina dan makan burger di stall Nazri. Sesekali sepakat berpergian ke Hilton Corner, merasa Yong Tau Foo di gerai Cina. Tidak seorang pun diantara kami, was-was ketika makanan itu masuk kedalam tembolok. - Cut!


    Aktiviti sosial bertemu rakan lama. Ngopi sambil berbual secara tidak langsung bukan sahaja dapat mengeratkan persahabatan tetapi dapat juga mengimbas semula detik-detk masa silam. Ketika itulah kita boleh mengetahui sejauh mana otak kita terutama 'kotak memori' berfungsi. Kekadang ketika kita bercerita pasti ada cerita yang kelakar. Membuatkan kita tersenyum atau terus ketawa sehingga hampir pecah perut. Nah! Di situ kita telah mendapat sedikit aktiviti otak, baik untuk wajah serta kehidupan yang lebih positif barangkali. - [Mj]

     

16 July 2017

TemuJanji Hujung Minggu [1]


'Kota Metropolitan pagi itu masih tidak  bosan menerima tetamu walaupun di hujung minggu.
Kota, diantara salah satu kota yang malamnya orang berjaga dan siangnya bekerja. Kota yang detik sejarah silamnya  bermula di pertemuan dua sungai. Sungai yang menyimpan helai-helai sejarah. Mengalir lesu, bercampur-baur, selut dan berlumpur. Selut dan lumpur-lumpur itulah  yang dibangga. Dijaja hampir seluruh dunia bahawa kota itu sudah merdeka.  Berpuluh tahun sudah aku berkongsi memori di tepi sungai ini. Di lorong, dan di kaki-kaki lima inilah tapak kasut aku pernah menjadi saksi ketika sulitnya mencari hitam putih kehidupan' - 15 July 2017 - Mamak Corner Malayan Mansion KL.


  • Kuala Lumpur
    Aku sedang bercuti. Cuti kali ini aku mahu bertemu rakan lama si Idris dari Kampung Pandan dan si Hosni dari TTDI. Lokasi pertemuan kami ialah di Mamak Corner, Malayan Mansion, Jalan Masjid India. Sengaja kami mahu melepak di situ kerana tempat itu  banyak menyimpan kenangan.

I- Aku sedang berjalan mengampiri bangunan flat
Malayan Mansion. Dihadapan kakilima, aku berhenti. Aku hulur seringgit kepada seorang lelaki India dan aku capai akhbar Kosmo!
  Aku gerak melalui lorong sempit di sebelah lift. Ketika itu orang ramai sedang bersarapan. Aku tarik sebuah kerusi. Duduk. Aku letakan akhbar  disudut meja. Meja yang sempit itu ada sesisir pisang montel, telur rebus, cekodok dan beberapa bungkus nasi lemak. Itu pemandangan biasa. Aku keluarkan handpon. Aku hantar sms bagitahu kepada rakan aku bahawa aku sudah sampai di Mamak Coner. Selalunya orang yang kita tunggu akan lambat sampai!

 

Seorang lelaki India separuh umur datang mengambil pesanan. Aku pesan dua biji telur setengah masak, ruti banjir dan teh tarik. Sambil menghirup teh tarik sambil membaca. Muka depan Kosmo! 'Rakyat Malaysia Antara Paling Malas Berjalan Di Dunia'. Kata pakar, berjalan kaki mampu mengurangkan risiko penyakit jantung, strok, diabetes, asma dan kanser kerana ia menguatkan jantung dan meningkatkan imun seseorang.

Tak ramai pun orang Kolumpo yang ambik kisah pasal penyakit kronik. Kebanyakan orang lebih suka memandu kenderaan atau menuggang motosikal. Seboleh-bolehnya, mahu meletakan kenderaan mereka di tempat yang paling dekat dengan destinasi yang dituju. Ujar Perunding Kecergasan dan Nutrisi, Kevin Zahari.



2-
Di atas meja sempit. Segelas teh tarik hanya tinggal buih. Piring sisa kulit telur yang bertindih dengan pinggan bekas ruti banjir sudah kering. Kosmo! Setiap helaian selesai aku selak. Aku mengintai jarum jam jenama adidas yang aku pakai di lengan kanan. Baru pukul 0915 pagi. Masih awal lagi. Aku bagun, membayar harga sarapan dan berjalan keluar melalui lorong di belakang Masjid India. Kaki aku terus melangkah arah ke Jalan Tun Perak.

Jalan Tun Perak tidak pernah sunyi. Jika pagi hujung minggu itu dikata orang Kolumpor masih awal, namun jalan itu telah dipenuhi dengan pelbagai kenderaan. Keriuhan pagi itu disulami dengan bunyi injin kenderaan yang bercampur baur dengan bunyi tayar besi lrt yang melalui landasannya di bahagian atas.

Aku melihat peti mesin atm CIMB Islamic gah tersandar ditepi bangunan. Aku menguak pintu kaca. Di dalam bilik kaca itu sepi. Hanya berdiri megah beberapa mesin layan diri sedang mananti. Aku menghampiri salah sebuah mesin pengeluaran tunai. Masukkan kad yang berwarna merah tua yang sedia tercetak MasterCard dan MyDebit kedalam lubang, tekan punat pengeluaran. Segala-galanya mudah. Semuanya dilakukan dihujung jari. - Entri: Mudah & Cepat 27 April 2016.

 

3- Aku gerak arah ke Stesen Masjid Jamek.
Melintas jalan. Di tepi bangunan, seorang lelaki gelandangan atau seorang pelancung kesiangan, tergesa-gesa, berdiri dihadapan pagar bunga, menarik zip seluar lalu anunya memuntahkan air kuning pekat, yang telah tersimpan berjam-jam dalam pundi kemaluannya. Aku lihat sekali imbas. Lelaki yang bermata sepet, berkulit putih, mengendong backpack warna hitam yang diselit sekali sehelai jacket bercorak warna hijau itu, wajahnya selamber!


Di hadapan pintu berpagar. Seorang pelancung wanita dari negara China, berdiri sambil merakam gambar Masjid Jamek yang sekarang dikenali dengan nama 'Masjid Jamek Sultan Abdul Samad'. Di tepi masjid itu ada sungai. Dua sungai mengalir lesu, sering bertemu. Menyimpan banyak kuntum-kuntum sejarah silam seperti cerita Uda dan Dara yang bertemu, bercinta, akhirnya berpisah.



4- Tika matahari mula menyinar, suasana sekitarnya bertambah sibuk. Aku lihat ramai orang ke hulu, ke hilir. Ada yang berniaga nasi lemak, ada juga yang berjaja buah potong, guna lori pick-up. Tiga pemuda duduk ditembuk, bermenung barangkali memikir sebuku nasib, bagaimana untuk meneruskan kehidupan di kota  itu. Ada yang berdiri, menunggu lampu hijau untuk melintas jalan. Ada juga yang baru keluar masuk di Stesen Lrt Masjid Jamek. Pelancung mula ramai. Aku, ke mana lagi arah mahu di-langkah. Aku lelah bila berada di tengah-tengah keriuhan  Kota Metropolitan!



Aku duduk disalah sebuah kerusi di taman. Kelihatan di taman itu ada pohun-pohun kurma. Seorang pompuan setengah usia, berbaring. Kedua belah kakinya dilipat bengkuk. Di hujung kakinya ada topi kaledar dan berhampiran kepalanya sebuah beg. Entah apalah isinya didalam beg hitam itu. Tidak siapa peduli. Seorang lelaki, pekerja masjid sedang menyapu sampah di taman. Tidak jauh dari situ, dua lelaki tua juga sedang berbaring berhampiran air pancut. Fikiran mereka kosong!

Datang seorang lelaki berwajah kacukan Asia Barat. Menjinjing sebuah beg plastik. Dia menghampiri pompuan yang sedan berbaring itu sambil menghulurkan sebugkus makanan yang dibelinya dari penjual lori pick-up. Pompuan berwajah murung itu bangun, menyambut sebungkus makanan lalu membukanya. Makan dengan lahap! Lelaki yang berhati mulia itu berjalan pula ke arah air pancut. Menghulurkan bungkusan makanan kepada dua lelaki gelandangan. Seperti pompuan tadi juga, tanpa berdoa, tanpa membasuh tangan terus makan. Ketiga-tiga watak gelandangan itu meninggalkan kertas minyak pembalut makanan di atas kerusi simen. Wajah mereka bertiga juga selamber. Wajah orang-orang yang tidak pernah rasa bersalah gitu!



  • 'Awak dimana! Awak dimana!' Bunyi ringtone dari handpon lenova. Aku membuka backpack. Mengeluarkan handpon, menguis screen, lalu  menjawab. Ohhh! Si Hosni sudah sampai dan sedang menunggu aku di Mamak Coner, Malayan Mansion. Aku bangun. Berjalan. Melintas Jalan Tun Perak. Masuk ke Jalan Melayu yang arahnya akan membawa aku ke-satu kawasan perniagaan yang sesak. Dibawah satu bumbung itulah orang-orang Melayu yang modalnya kecil, bersaing dengan peniaga-peniaga India yang sudah terkenal di sekitar jalan dan lorong-lorong di situ. - Cut!


12 July 2017

PANDANGLAH LIHATLAH!




Lirik!
[Pandanglah, lihatlah pinggangku yang ramping dan dadaku yang bidang. Marilah tuan-tuan dan nyonya, sama-samalah pandang. Perempuan yang cantik bikin hati goyang].
- Penyanyi Lagenda Puan Sri Saloma.

1- Tengahari
di Tanah Kebun. Radio dari jenama Panasonic berwarna metelik yang dibeli sepuluh tahun lalu, sedang memutarkan lagu dendangan Saloma[1]. Di luar kedengaran anjing menyalak sahut menyahut. Ada yang menyalak garang. Ada yang bunyinya mendayu-dayu seperti terpandang hantu jerangkong.  Salah se-ekor anjing yang menyalak mendayu-dayu itu pastinya si Putih.

Tetiba ingatan aku berbunga semula bilamana teringatkan anjing yang bernama Putih. Dua tahun dolu, ketika si Putih ditemui, anjing tersebut hanyalah se-ekor anjing betina yang sakit. Bulunya yang berwarna putih itu sangat kotor malah terdapat banyak kudis serta kurap disana sini. Anjing itu seringkali berbaring ditepi longkang bilik air berhampiran kabin pekerja. Ia kelihatan sangat lemah, barangkali sudah lama tidak mendapat makanan.

Ketika itu timbul rasa belas kasihan. Walaupong orang Islam tidak dibenarkan memelihara anjing namun tidaklah salah jika tujuan kita untuk menyelamatkan anjing tersebut dari mati kelaparan. Bermula dengan memberi lebihan atau saki baki makanan, akhirnya adek aku [Abdul Majid] membelikan sepeket besar palet makanan anjing supaya bulu anjing tersebut cantek dan kurapnya segera hilang, ujarnya. Tidak sampai tiga bulan, anjing betina tersebut  kelihatan cargas dan bersemangat untuk meneruskan hidup. Tanpa melalui proses temuduga, anjing yang digelar si Putih itu akhirnya telah bekerja sebagai pengawal keselamatan sepenuh masa di Tanah Kebun ini.

Gong! Gong! Wonggg!
Anjing-anjing masih menyalak. Aku meletakan buku Cikgu Shahnon DiMata Kami[2], bangun perlahan-lahan menuju tingkap. Menguak cermin tingkap nako. Kelihatan, nun di kaki bukit sekawan anjing sedang bergumpal[3], gigit-menggigit diantara satu dengan lain. Biasanya, anjing bergaduh kerana sikap tamak ketika mendapat makanan atau berebut betina. Ada juga kes, anjing luar yang kena belasah oleh si Putih kerana anjing-anjing tersebut cuba memasukki kawasan tanah kebun. Kira si Putih bersama gengnya kerja dengan penuh berdedikasi gitu!


2- Aku
sambung  membaca sebuah catatan pendek oleh Rahimidin Zahari[4] selaku penyusun/editor  buku Ciku Shahnon terbitan ITBM. Gong! Gong! Wonggg! Menyalak lagi. Bising. Telinga boleh pekak. Sekali lagi aku terpaksa meletakan buku yang sedang aku baca di rak buku. Aku menutup radio. Membuka laptop. Kali ini aku mahu menaip kisah terbaru seorang wanita bertudung bergambar bersama anjingnya yang tular dilaman sosial beberapa hari lalu.

Sebelum ini pun  aku sudah post entri bertajuk Arak|Anjing dan Babi[5] pada 20 October 2014 tentang program 'I Want to Touch A Dog' yang diadakan di Centaral Park, Bandar Utama, Kolumpo. Masa tu kecohlah bila melihat gambar beberapa gadis cantek bertudung memuat naik gambar mereka memeluk dan mengusap anjing seperti mengusap kucing. Mesra sangat!


Lalu apa yang terjadi selepas itu. Netizen[6]  yang sering bergayut dengan laman sosial mula mengencam tindakan tersebut dan ada juga segelintir yang like! Yang menyokong dan mengencam pun terdiri dari orang Islam yang memang ketagih dengan gambar atau video yang tular di laman sosial. Masing-masing cuba menjadi ustaz dan ustazah 'mee segera' dengan memberi 'fatwa'[7] itu dan ini.


3-
Adakah perbuatan bergambar sambil memeluk anjing dengan gaya mesra mereka itu dipaksa atau sengaja bertujuan untuk menimbulkan 'WoW' atau hendak menguji potensi diri yang barangkali nampak hebat di mata nitezen. Jika sekadar mahu menguji potensi diri tentulah tidak salah tetapi janganlah gunakan anjing sebagai alat untuk mencapai tujuan itu.

Dari riak wajah gadis bertudung yang memegang anjing itu nampak happy, pakaian pun cantek belaka, anjing yang di peluk itu tentulah bukan anjing kurap. Gadis bertudung itu juga kelihatannya bukanlah gadis desa yang naif, yang kurang akal budi. Nampak terpelajar dan dalam golongan orang berada gamaknya.

Sayangnya, orang yang sepatutnya [ibu bapa] mendidik gadis bertudung itu mungkin pandang anak-anak mereka hanya sebelah mata, menyebabkan anak-anak gadis itu mencari sebelah mata lagi sebagai retina bantuan untuk melihat diri mereka atau hanya sekadar hendak tayang muka cantek di laman sosial. Seperti lirik lagu nyanyian Saloma, 'Pandanglah, lihatlah, pinggangku yang ramping dan dadaku yang bidang. Marilah tuan-tuan dan nyonya, sama-samlah pandang. Pompuan yang cantek bikin hati goyang'. Racun Donia Wei!


4-
Diluar anjing-anjing itu mengonggong lagi. Ia sangatlah menggangu pekerjaan aku yang sedang bersemangat menaip baris demi baris. Banyak lagi yang hendak aku taip! Aku keluar dari pondok dengan rasa geram. Aku ambil beberapa ketul batu. Aku lontar ke arah geng si Putih. Bertempiran lari. Dari jauh si Putih menoleh. Matanya sedikit terbeliak, hairan barangkali melihat aku naik minyak. - Fullstop!



Nota Lutut:
Aku sengih sendirian dalam bilik. Hujung minggu ni aku nak balik Kolumpo. Excited sangat! Sebabnya aku hendak mencuba sendiri naik tren MRT dari laluan Sungai Buloh-Kajang yang beroperasi sepenuhnya pada 17 Julai ini. Taktau lagi aku nak mula dari stesen mana. Yang aku fikirkan ialah hendak  merayau-rayau di pekan Kajang. Eh! Kajang itu masih disebut orang pekan ker? Bukan Bandar Kajang! [Nanti, aku taiplah entri naik MRT ke Kajang]. Hehehe!


 

10 July 2017

Pekan Sari | Lurah Semantan | Temerloh



  •             [1] Pekan Sari
    Pada pagi Ahad kami sepakat untuk menjual nanas di pekan sari. Ketika trak pick-up memasuki kawasan sekitar pintu masuk pekan sari, orang ramai sudah mula membanjiri kawasan tersebut. Kami tercangak-cangak[1] memerhati jika ada petak pakir yang masih kosong. Sambil retina aku memandang keliling, cuping telinga aku pulak menangkap jerit-pekik si peniaga yang sedang menawarkan barang jualan mereka.

    Aha! Nampaknya tiada pakir yang kosong. Kami menunggu dengan sabar - terpaksa double parking! Tidak lama mana pun, seorang lelaki separuh umur, menjinjing dua beg pelastik warna merah, masuk ke-dalam perut kereta. Memberi isyarat hendak berundur dan kereta itu terus keluar. Trak pick-up di-bahagian belakangnya dipenuhi buah nanas, pantas masuk ke dalam petak pakir. Aku menghela nafas lega.

    Mentari July mula menyinari kawasan sekitar pekan sari yang lokasinya tidak jauh dari stesen minyak, medan selera dan terminal bas lama Lurah Semantan[2]. Sementara si Ammar bersiap sedia menyusun barang jualan, aku pula gerak ke kedai Seven E' membeli senaskah akhbar. Langkah seterusnya menuju medan selera. Niat dihati hendak pekena teh tarik dan ruti canai. Sayangnya, ketika itu tiada meja dan kerusi yang kosong. Aku gerak ke gerai berhampiran, bersarapan nasi lemak-telur mata kerbau dan secawan teh O'. - Titik!



              [2] Lurah Semantan
Setelah aku story sikit pasal pekan sari aku pun sambung menaip dan tercari-cari disebalik nama Lurah dan Semantan. Jika berguru dengan 'Wikipedia Indonesia' maksud Lurah ialah seorang pemimpin yang bertugas sebagai kepala desa. Di Jawa, secara historisnya pemimpin dari sebuah desa itu dikenali sebagai Pak Lurah. Barangkali anda pernah nonton filem Si Pitung[3] [filem aksi Indonesia] yang dilakonkan oleh Diky Zulkarnain. Dalam filem itu terdapat juga watak Pak Lurah yang  berpakian cara orang Belanda, sering menzalimi orang-orang desa gitu!

Manakala makna Semantan pula berasal dari dua perkataan iaitu 'Seman Tahan'. Al-kisahnya, dolu-dolu ada seorang lelaki Brunei yang bernama Osman menetap di hujung sebelah kanan kuala iaitu di-salah sebuah anak Sungai Pahang. Osman atau juga dikenali sebagai Seman itu merupakan  seorang yang pandai bersilat serta banyak ilmunya. Disebabkan kepandaiannya itu maka ramai orang yang tinggal disekitarnya datang berguru dengan si Seman.

Waktu itu, si Seman sangat dihormati kerana pandai bersilat, malah beliau juga mempunyai ilmu kebal lantas si Seman mendapat gelaran 'Seman Tahan'. Lama kelamaan, nama Seman Tahan diabadikan pada sungai yang terdapat disitu. Banyak juga persoalaan yang bermain dalam tengkorak kepala aku. Pertama, kemana si Seman Tahan itu menghilang. Adakah beliau balik ke negara asal. Seman Tahan pernahkah berkahwin dengan orang tempatan. Jika pernah, berapa ramai anak Seman Tahan dan di mana anak-anak serta cucu-citit Seman Tahan tinggal sekarang. Yang terakhir, izinkan aku meminjam ayat orang bahari: 'Kelip-kelip aku sangka api, kalau api mana unggunnya, terkelip-kelip aku sangka mati, kalau mati mana kuburnya'. - Fullstop!

                 [3]
Temerloh
Macam-macam cerita mengenai asal usul nama Temerloh. Di-ceritakan dari bibir ke bibir oleh orang dolu-dolu, iaitu Temerloh berasal dari perkataan 'Mereloh' yang bermaksud tidur atau suka tidur. Ada juga orang bahari[4] yang mengatakan asalnya dari perkataan atau perbuatan mengeloh. Kalau ikut aku, perbuatan mengeluh itu tidak bagus tetapi mungkin orang dolu-dolu ada maksudnya yang lain. Awok tanyelah orang Pahang kalau hendak kepastian.

Kali ketiga aku sampai di bandar Temerloh. Bandarnya luas juga. Terletak di-persimpangan antara Sungai Semantan dan Sungai Pahang. Berada pada ketinggian 163 kaki dari paras laut. Nama lama bandar Temerloh ialah Kuala Semantan. Kini dikenali sebagai Temerloh dan juga terkenal dengan Bandar Ikan Patin. - Wallahuaklam!


Nota Lutut: [1]Tercangak-cangak [2]Lurah Semantan [3]Si Pitung [4]Bahari

09 July 2017

KEK NANAS dan Begedil Ubi Kayu





[1]
  Z-Z-Z-zzz!
Pagi itu aku terjaga.  Matahari telah melampai di celah-celah jendela yang sedikit terbuka. Aku ke bilik air. Mandi dan bersiap-siap. Kedinginan pagi sangat terasa ketika aku melangkah keluar dari pondok. Kedengaran decitan burung pipit serta anjing menyalak di kaki bukit. Aku memandang  sekeliling kebun. Bagi aku setiap hari siang adalah hari baru walaupun di dada langit yang membiru itu adalah sama seperti langit semalam.

Tidak ada yang lebih mengembirakan aku selain dapat melihat matahari yang setia keluar di waktu pagi dan pulang ketika senja. Seperti angin. Datang berpuput perlahan, walau tidak dapat di-lihat rupanya tetapi terasa dinginnya. Aku memerhatikan daun-daun buluh yang kering berterbangan lalu gugur menyembah bumi. Di atas daun pintu, se-ekor kucing betina bernama si Contot sedang menagih simpati agar segera diberi makan pagi sekali lagi.


Aku mengambil penyapu lidi. Menyapu daun-daun buluh yang berselerakan diatas simen.  Kertas surat khabar lama, iaitu bekas sisa makanan kucing bertaburan, koyak-rabak barangkali digigit anjing. Jika lambat dibersihkan pastinya semut merah atau hitam akan datang menghurunginya. Ketika menyapu aku tercium aroma yang keluar dari dapur. Tentu isteri aku sedang bakar kek nanas atau sedang goreng begedil ubi kayu. Serta-merta perut aku  terasa lapar.



[2] Meow! Meowww!

Makin lama makin kuat suara garing si Contot. Kucing-kucing yang tinggal dipondok kayu dua tingkat yang jaraknya tidak sampai seratus meter juga sudah datang. Jumlahnya sebanyak sepuluh ekor tidak termasuk baby yang baru lahir sebanyak lapan ekor. Meow! Meowww! Nada suara kucing-kucing itu tidak sama walaupun tujuannya sama-mahu makan. Itulah namanya kucing. Tidak membuat apa-apa kecuali baring, tidur dan makan. Seringkali minta di belai, manja sangat!

Biasanya seawal enam pagi, isteri aku sudah memberi kucing-kucing tersebut makan nasi yang digaul dengan ikan rebus. Pun begitu ada juga diantara kucing-kucing tersebut tidak puas hati dengan sarapan yang di beri lalu berpiket ramai-ramai minta makanan yang sedikit sedap gitu! Ada yang mengeselkan kepala, ada suara yang mendayu-dayu dan ada juga yang buat muka sedih, semuanya kerana terpaksa barangkali. Aku kesian. Aku capai balang berisi palet[dry food] lalu aku berikan kepada kucing-kucing tersebut.



[3]- Wah!

Seloyang kek nanas dan sepuloh ketul begedil ubi kayu sudah siap terhidang diatas meja dapur. Sementara isteri aku memotong kek yang baru keluar dari oven cap kupu-kupu itu, aku mencapai seketul begedil lalu menyumbat ke dalam mulut. Ketika dikunyah, begedil ubi kayu itu menari-nari dalam mulut sambil tekak pula berlagak sebagai juri konon!

Ujar isteri aku, begedil ubi kayu dibuat kerana ada lebihan ubi rebus yang sudah tiga hari tersimpan dalam chiller. Pagi tadi ubi rebus itu di tumbuk bersama bawang putih dan bawang merah. Kemudian digaul dengan hirisan cili merah, cili hijau dan sedikit hirisan daun sop. Kemudian sedikit ketumbar, jintan putih dan jintan manis yang disangai lalu di tumbuk. Sebelum digaul taburkan sedikit garam. Kemudian bahan tersebut dikepal, celup dengan telur dan di-goreng.

Selesai mengoreng begedil, isteri aku meneruskan kerja di dapur dengan mengupas dan mengisar nanas. Katanya, nanas yang dikisar perlu dimasak bersama gula serta sedikit kulit kayu manis. Masak sehingga pekat dan sejukkan. Lepas itu, satukan gula, telur dan majerin. Pukul sehingga kembang. Masukkan tepung yang sudah diayak bersama baking powder, susu cair serta esen vanilla. Pukul bahan tersebut sehingga gebu. Kemudian masukkan nanas yang dimasak tadi dengan sedikit pewarna lemon. Masukkan bahan tersebut kedalam loyang dan bakar pada suhu 170c[selisus] selama 30 hingga 45 minit. Ohhh! Gitu kisahnya.


[4]
Waktu telah melangkah tengahari sebaik aku selesai menambak tanah pada pangkal pokok pisang  yang sudah mengeluarkan empat biji buah pisang tanduk. Kebiasaannya, aku berehat atau tido sekejap dalam bilik setelah mandi, solat dan makan tengahari. Aku hanya memulakan tugas semula apabila sudah selesai solat Asar.


Pantang aku keluar dari bilik. Ada sahaja si Contot menunggu dihadapan pintu. Kekadang itu sengaja diajak beberapa ekor lagi rakannya untuk managih simpati. Dikatakan, selera makan kucing adalah berbeza dan kekadang cerewet tetapi tidak pulak pada si Contot. Aku perati, si Contot dan beberapa ekor rakannya macam tak pernah kenyang walaupun dibagi seperiuk nasi. Agaknyalah!


[5]
Minum Petang. Usai menikmati secawan Ali Cafe dan sepotong kek nanas, aku gerak kebelakang pondok. Menyambung kerja semalam. Membersihkan lorong, mencantas daun, mengutip benih dan buah nanas yang sudah masak. Sebelum ini, nanas telah matang ketika bulan Ramadan. Lalu dituai dan dijual. Selebihnya dibuat juice, kek atau dimakan begitu sahaja. Sewaktu aku memetik buah, dapat dilihat anak-anak nanas sedang membesar. Benih nanas dari pucuk dan sulur pula mula ditanam semula. Dijangka berputik, berbuah dan matang ketika menghampiri bulan Ogas 2018. InshaAllah!


07 July 2017

PAGI JUMAAT ITU!


                  Pagi Jumaat!
Ya! Pagi Jumaat itu aku kutip sedikit benih nanas, kira nak tanam semula gitu. Sedang aku asyik meluruskan batas menggunakan cangkul, datang pulak mandor si Gemuk [tak gemuk mana pun] pusing-pusing, mundar mandir keliling batas sambil membebel, meow! meowww! [2]Menghampiri tengahari, si Fikri bersama rakannya datang melawat sambil beraya. Layan tetamu seadanya kerana tetamu yang datang adalah membawa berkat. [3] Usai solat Jumaat, petangnya aku sambung menutip benih nanas. Sebelum matahari bersimpuh di kaki langit, sempat lagi aku menyusun pasu-pasu bonsai diatas rak kayu dan mencuci basikal yang sudah hampir dua bulan tidak di kayuh. - [Mj]