17 April 2013

DATO' HARUN IDRIS


'MB Masuk Penjara'

Dato' Harun Idris (22 Disember 1925 - 19 Oktober 2003) ialah Menteri Besar Selangor yang kelapan yang merupakan ahli politik dan pejuang Melayu, terkenal terutamanya di negeri Selangor. Harun berjaya memenangi kerusi di daerah Morib dan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor, suatu jawatan yang dipegangnya selama lebih satu dekat. 

Semasa beliau berkuasa, negeri Selangor telah mencapai banyak perubahan. Sebagai ahli pemuda UMNO, beliau telah cuba membela nasib Melayu, terutamanya di kawasan bandar. Antara ujian Harun yang paling getir ialah ketika Peristiwa 13 Mei 1969 terjadi. Rusuhan orang Melayu dan pembunuhan di Kampung Baru, Kuala Lumpur dikatakan terjadi bermula dari rumah Menteri Besar Selangor yang terletak di hujung Jalan Raja Muda Abdul Aziz. 

Walaupun begitu, tragedi 13 Mei 1969 telah memberi kesempatan kepada Harun untuk menarik ribuan keluarga ke Kuala Lumpur dan mereka dibenarkan mendirikan rumah setinggan disekitar bandar Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan beberapa kawasan lain. Di samping itu Kerajaan Selangor telah meluluskan beribu-ribu tapak rumah kepada setinggan-setinggan di sekitar Petaling Jaya, Ampang, Ulu Kelang yang meliputi kampung Datuk Keramat. 

Akhirnya Harun dipersalahkan kerana tuduhan rasuah berkaitan dengan Bank Rakyat. Pada tahun 1974, perlawanan tinju antarabangsa diadakan di Kuala Lumpur antara Muhammad Ali dari Amerika Syarikat dengan Joe Bugner dari Britain. Pertandingan ini tidak mendatangkan keuntungan, sebaliknya menyebabkan beliau dibicarakan dan dihukum penjara selama 8 tahun.

Pada 1 Mac 1977, Harun dipenjarakan di Penjara Pudu selama tiga setengah tahun, setelah menjalani setengah daripada hukumannya yang sepatutnya tamat pada tahun 1984. Beliau dibebaskan pada tahun 1981 selepas Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. 

Harun dipenjarakan kerana Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, seorang yang tegas dan memegang prinsip undang-undang. Penyokong Harun meminta jasa baik Tunku Abdul Rahman agar Harun dibebaskan. Tunku menasihati Harun menerima hukuman itu dan kemudian membuat rayuan.

Rayuan dikemukakan kepada Tun Hussein selaku Perdana Menteri, tetapi rayuannya ditolak. Pada 28 Julai 1981, Yang diPertuan Agong Sultan Haji Ahmad Shah mengadakan Persidangan Lembaga Pengampunan. Laporan dari penjara dan jasa-jasa Harun dipertimbangkan. Pada 1 Ogas 1981, Harun dibebaskan oleh Lembaga Pengampunan. Maka pada 31 Ogas 1981, Sultan Ahmad Shah memberi pengampunan kepada Harun sempena Jubli Perak Merdeka. - oleh Azizan Ahmad (misai85@yahoo.com)

  




No comments:

Post a Comment