09 July 2017

KEK NANAS dan Begedil Ubi Kayu





[1]
  Z-Z-Z-zzz!
Pagi itu aku terjaga.  Matahari telah melampai di celah-celah jendela yang sedikit terbuka. Aku ke bilik air. Mandi dan bersiap-siap. Kedinginan pagi sangat terasa ketika aku melangkah keluar dari pondok. Kedengaran decitan burung pipit serta anjing menyalak di kaki bukit. Aku memandang  sekeliling kebun. Bagi aku setiap hari siang adalah hari baru walaupun di dada langit yang membiru itu adalah sama seperti langit semalam.

Tidak ada yang lebih mengembirakan aku selain dapat melihat matahari yang setia keluar di waktu pagi dan pulang ketika senja. Seperti angin. Datang berpuput perlahan, walau tidak dapat di-lihat rupanya tetapi terasa dinginnya. Aku memerhatikan daun-daun buluh yang kering berterbangan lalu gugur menyembah bumi. Di atas daun pintu, se-ekor kucing betina bernama si Contot sedang menagih simpati agar segera diberi makan pagi sekali lagi.


Aku mengambil penyapu lidi. Menyapu daun-daun buluh yang berselerakan diatas simen.  Kertas surat khabar lama, iaitu bekas sisa makanan kucing bertaburan, koyak-rabak barangkali digigit anjing. Jika lambat dibersihkan pastinya semut merah atau hitam akan datang menghurunginya. Ketika menyapu aku tercium aroma yang keluar dari dapur. Tentu isteri aku sedang bakar kek nanas atau sedang goreng begedil ubi kayu. Serta-merta perut aku  terasa lapar.



[2] Meow! Meowww!

Makin lama makin kuat suara garing si Contot. Kucing-kucing yang tinggal dipondok kayu dua tingkat yang jaraknya tidak sampai seratus meter juga sudah datang. Jumlahnya sebanyak sepuluh ekor tidak termasuk baby yang baru lahir sebanyak lapan ekor. Meow! Meowww! Nada suara kucing-kucing itu tidak sama walaupun tujuannya sama-mahu makan. Itulah namanya kucing. Tidak membuat apa-apa kecuali baring, tidur dan makan. Seringkali minta di belai, manja sangat!

Biasanya seawal enam pagi, isteri aku sudah memberi kucing-kucing tersebut makan nasi yang digaul dengan ikan rebus. Pun begitu ada juga diantara kucing-kucing tersebut tidak puas hati dengan sarapan yang di beri lalu berpiket ramai-ramai minta makanan yang sedikit sedap gitu! Ada yang mengeselkan kepala, ada suara yang mendayu-dayu dan ada juga yang buat muka sedih, semuanya kerana terpaksa barangkali. Aku kesian. Aku capai balang berisi palet[dry food] lalu aku berikan kepada kucing-kucing tersebut.



[3]- Wah!

Seloyang kek nanas dan sepuloh ketul begedil ubi kayu sudah siap terhidang diatas meja dapur. Sementara isteri aku memotong kek yang baru keluar dari oven cap kupu-kupu itu, aku mencapai seketul begedil lalu menyumbat ke dalam mulut. Ketika dikunyah, begedil ubi kayu itu menari-nari dalam mulut sambil tekak pula berlagak sebagai juri konon!

Ujar isteri aku, begedil ubi kayu dibuat kerana ada lebihan ubi rebus yang sudah tiga hari tersimpan dalam chiller. Pagi tadi ubi rebus itu di tumbuk bersama bawang putih dan bawang merah. Kemudian digaul dengan hirisan cili merah, cili hijau dan sedikit hirisan daun sop. Kemudian sedikit ketumbar, jintan putih dan jintan manis yang disangai lalu di tumbuk. Sebelum digaul taburkan sedikit garam. Kemudian bahan tersebut dikepal, celup dengan telur dan di-goreng.

Selesai mengoreng begedil, isteri aku meneruskan kerja di dapur dengan mengupas dan mengisar nanas. Katanya, nanas yang dikisar perlu dimasak bersama gula serta sedikit kulit kayu manis. Masak sehingga pekat dan sejukkan. Lepas itu, satukan gula, telur dan majerin. Pukul sehingga kembang. Masukkan tepung yang sudah diayak bersama baking powder, susu cair serta esen vanilla. Pukul bahan tersebut sehingga gebu. Kemudian masukkan nanas yang dimasak tadi dengan sedikit pewarna lemon. Masukkan bahan tersebut kedalam loyang dan bakar pada suhu 170c[selisus] selama 30 hingga 45 minit. Ohhh! Gitu kisahnya.


[4]
Waktu telah melangkah tengahari sebaik aku selesai menambak tanah pada pangkal pokok pisang  yang sudah mengeluarkan empat biji buah pisang tanduk. Kebiasaannya, aku berehat atau tido sekejap dalam bilik setelah mandi, solat dan makan tengahari. Aku hanya memulakan tugas semula apabila sudah selesai solat Asar.


Pantang aku keluar dari bilik. Ada sahaja si Contot menunggu dihadapan pintu. Kekadang itu sengaja diajak beberapa ekor lagi rakannya untuk managih simpati. Dikatakan, selera makan kucing adalah berbeza dan kekadang cerewet tetapi tidak pulak pada si Contot. Aku perati, si Contot dan beberapa ekor rakannya macam tak pernah kenyang walaupun dibagi seperiuk nasi. Agaknyalah!


[5]
Minum Petang. Usai menikmati secawan Ali Cafe dan sepotong kek nanas, aku gerak kebelakang pondok. Menyambung kerja semalam. Membersihkan lorong, mencantas daun, mengutip benih dan buah nanas yang sudah masak. Sebelum ini, nanas telah matang ketika bulan Ramadan. Lalu dituai dan dijual. Selebihnya dibuat juice, kek atau dimakan begitu sahaja. Sewaktu aku memetik buah, dapat dilihat anak-anak nanas sedang membesar. Benih nanas dari pucuk dan sulur pula mula ditanam semula. Dijangka berputik, berbuah dan matang ketika menghampiri bulan Ogas 2018. InshaAllah!


No comments:

Post a Comment