07 July 2016
04 July 2016
03 July 2016
RAHSIA SEORANG ULAMA TUA
KISAH BENAR
Hampir segenap penduduk Bashrah telah keluar dari rumah masing-masing. Padahal hari masih awal pagi. Mereka seolah-olah tidak peduli dengana angin yang bertiup semakin kencang ketika itu. Sebabnya, dihati mereka sedang bersemi[1] kegumbiraan yang meluap-luap. Betapa tidak! Setelah sebulan penuh menjalankan ibadah puasa, hari itu tibalah saat yang dinanti-nantikan iaitu kebebasan dari dosa dan kembali kepada fitrah[2].
Dengan pakaian bersih serta baru, Hummad Abu Salamah [seorang ulama tua], seakan-akan terbawa arus menuju tempat yang sama, iaitu ke masjid di tengah kota untuk menunaikan solat Aidilfitri.
Waktu yang sama tetapi dari arah yang berbeza, Amir[3] negeri Bashrah bersama para pengiringnya juga sedang berjalan dengan niat yang serupa. Sebab, hari raya Aidilfitri adalah milik semua orang. Milik orang besar juga milik orang kecil. Milik orang kaya dan milik orang miskin. Bahkan milik orang suci dan orang kotor, asalkan mereka rela bertaubat dari maksiat.
Tetapi kelihatan ganjil pulak apa yang dilakukan oleh Hummad Abu Salamah. Ia tidak bergegas melalui jalan raya yang lebih dekat ke tempat ibadah tetapi berbelok menuju sebuah tempat pembinaan lama. Gerangan apakah yang akan dilakukan oleh sang ulama terhormat di tempat yang buruk itu?
Didepan sebuah gedung tua yang temboknya kehijauan seakan berlumut gamaknya, Hummad berhenti lalu mengetuk pintu. Beberapa saat kemudian setelah sebelah pintu dibuka oleh seseorang dari dalam maka Hummad pun masuk ke gedung itu. Kerana pintu tadi tidak ditutup lagi, maka kedengaran suara ulama itu dari luar ketika bertanya:
"Mengapa kamu semua tidak ikut pergi ke masjid untuk mengerjakan solat hari raya?"
"Kami orang-orang yang berdosa" terdengar jawapan dari beberapa orang yang menghuni gedung lama itu.
"Tidakkah kalian berpuasa ketika bulan Ramadan?"
"Kami berpuasa sejak hari pertama"
"Jadi, kenapa mengutuk diri sendiri?"
"Amir Bashrah melarang kami bergabung dengan masyarakat terhormat"
Segera Hummad Abu Salamah memotong percakapan dan berkata dengan suara lantang.
"Tidak ada satu manusia pun yang punya kuasa melarang orang lain memburu pahala di hari yang penuh berkat ini"
Lalu suasan hening sejejenak dan tiba-tiba sekumpulan wanita keluar berbondong-bondong[4] didahuli sang ulama yang melangkah tersaruk-saruk dengan jubahnya berjuntai-juntai. Wanita-wanita itu lantas berkumpul di tempat kaum Muslimat di halaman masjid, melaksanakan solat dengan khusyuk[5] sampai khutbah dibacakan.
Selepas beberapa hari, Amir Bashrah mendatangi Hummad Abu Salamah di rumahnya. Dengan wajah merah padam Amir Bashrah bertanya:
"Tuan lancang[6] sekali membawa para wanita penzina ke tempat ibadah"
"Mereka sudah bertaubat" tenang sahaja Hummad menjawab.
"Bukankah dosa mereka sudah jelas! Sekali berzina lenyaplah pahala ibadah 70 tahun".
"Itu urusan Allah. Manusia tidak berhak menghakimi masalah ibadah" kata ulama Hummad Abu Salamah.
"Seharusnya mereka dihukum rejam!" ujar Amir.
"Itu tugas para hakim apabila dapat menangkap basah[7] dengan empat orang saksi yang kuat.
"Tapi tuan seorang alim"
"Itulah maksud saya. Hummad bukan amir, bukan hakim dan bukan Tuhan. Hummad adalah seorang ulama yang berkewajipan membawa manusia ke jalan kebenaran. Tugas itulah yang saya laksanakan. Mereka berjanji tidak akan mengulangi perbuatan dosanya" sahut sang ulama tanpa gentar.
Maka dengan tidak membantah sepatah kata pun, Amir lantas berangakat pulang ke istananya yang dikawal oleh pengiringnya. Selang beberapa hari berikutnya, Amir datang semual. Kali ini sendirian tanpa pengawal.
Hummad Abu Salamah menyangka Amir akan lebih murka lagi dari sebelumnya. Tetapi, betapa takjubnya[8] Hummad tatkala Amir berkata dengan bibir gementar:
"Saya hairan Tuan"
"Apa yang Tuan hairankan?" tanya sang ulama.
"Menghadapi musuh di medan perang saya tidak pernah takut tetapi setiap kali bertentang mata dengan Tuan, seorang ulama tua yang ringkih[9], badan saya selalu menggigil. Apa rahsianya"
Hummad tersenyum. Dengan tenang ia berkata:
"Lantaran orang alim, jika dengan ilmunya semata-mata mengharap keredhaan Allah, maka orang alim tidak akan takut kepada sesiapa. Tetapi, bila sebaliknya, jika dengan ilmunya itu yang dicari hanyalah dengan kedudukan dunia dan harta kekayaan, maka orang alim itulah yang takut kepada orang lain".
[Maksudnya, seseorang yang bersifat angkuh[10] dengan ilmu yang dimiliki, akan menghancurkan diri sendiri] - Wallahuaklam!
Keterangan:
[1]Bersemi: Kegumbiraan mula bertunas atau berputik. [2]Fitrah: Sifat semulajadi [iaitu bersih dari dosa].[3]Amir: Gelaran khalifah atau Sultan [iaitu pemimpin bagi sekelian orang Islam]. [4]Berbondong-bondong: Berduyun-duyun [ramai] [5]Khusyuk: Menumpukan perhatian dengan penuh minat. [6]Lancang: Perbuatan biadap atau kata-kata yang tidak senonoh. [7]Menangkap basah: Menahan orang yang melakukan sesuatu kejahatan [zina]. [8]Takjub: Hairan [9]Ringkih: [Maaf, tida dalam kamus] [10]Angkuh: Mempunyai sifat suka meninggi diri [sombong].
29 June 2016
BRITAIN - EU [BREXIT]
24 Ramadan 1437 Hijrah
Setahun lalu industri kewangan, pasaran saham dan komoditi dunia telah kecoh apabila ada ura-ura Greece akan meninggalkan Kesatuan Eropah [EU] dan kemungkinan juga Grexit tidak menggunakan mata wang Euro lagi. Jika ia menjadi kenyataan ketika itu mungkin berlaku gelombang panik, sekaligus terjadi kemelesetan ekonomi dunia. Tetapi yang mengejutkan kita hari ini ialah Britain pulak keluar dari EU apabila majoriti pengundi memilih untuk meninggalkan Kesatuan Eropah. - [Sila selak entri pada 30 June 2015 - Spekulasi Mainan Barat]
1- EU. Sebelum aku merapu entah apa-apatah, apa kata kita imbas sekejap sejarah penubuhan Kesatuan Eropah [EU] yang idea asalnya dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill pada 1946. Namun idea tinggal idea sehinggalah Robert Schuman, Menteri Luar Perancis mencadangkan pembentukan Kesatuan Pan-Eropah pada 1950 bertujuan mengawal pengeluaran arang batu dan keluli di Perancis dan Jerman.
Melalui Deklarasi[1] Schuman, dicadangkan agar kesatuan itu dibuka kepada negara-negara Eropah yang lain. Makanya, pada 1951 komuniti arang batu dan keluli Eropah [ECSC] ditubuhkan melalui perjanjian Paris dan telah menjadi printis kepada pembentukan Kesatuan Eropah moden. Ia dianggotai Belgium, perancis, Itali, Luxembourg, Belanda dan Jerman Barat.
Setelah itu, negara-negara anggota EU pada dasarnya bersetuju memindahkan hak-hak penting seperti dasar kewangan, pasaran dalam negara dan perdagangan luar kepada kesatuan ini. Sehingga Mei 2004, Kesatuan Eropah merupakan blok ekonomi terbesar didunia. Pada waktu yang sama mata wang Euro diperkenalkan dan digunakan oleh 19 negara anggota yang dikenali sebagai Eurozone.
2- BRITAIN. Pungutan suara yang dicadangkan oleh Perdana Menteri David Cameron pada Januari 2013 [sebagai janji pilihan raya sekiranya Parti Konservatif dipilih sebagai kerajaan pada 2015] akhirnya memakan diri. Pada 20 Febuari 2016, David Cameron menetapkan 23 Jun 2016 sebagai tarikh pungutan suara selepas mengadakan rundingan tentang kedudukan Britain dalam Kesatuan Eropah di Brussels.
Pada hari pengundian, dilihat pada kiraan awal pihak Remain [kekal] akan menang tetapi beberapa jam selepas pengundian ditutup undi Leave [tinggalkan] meningkat sebanyak 52 peratus mahukan Britain keluar EU, manakala hanya 48 peratus mengundi kekal. England dan Wales mengundi Leave tetapi Scotland dan Ireland Utara mahukan kekal bersama EU.
Referendum[2] itu telah memberi kesan langsung kepada ekonomi dengan pasaran saham dunia jatuh khususnya di London dengan tukaran nilai mata wang Britain menjunam teruk. Kesan lainnya ialah hubungan antara blog dagangan United Kingdom[UK] dan EU terputus dan perlu dirunding semula. Sistem pekerjaan rentas sempadan pula akan dirombak susulan pembatalan keahlian UK dalam EU. Tarif dagangan antara EU dan UK akan kembali kepada asal dan menyaksikan barangan diimport ke UK lebih mahal.
Keputusan Britain untuk meninggalkan EU mungkin juga akan memberi kesan kepada Liga Perdana Inggeris [EPL] dimana pemindahan pemain lebih terhad gara-gara langkah mengetatkan peraturan permit kerja di Britain. Menurut BBC Sport, 102 pemain daripada 552 yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Eropah kali ini datangnya daripada EPL, mewakili 20 peratus jumlah pemain yang beraksi di Perancis.
[Antara pemain yang mungkin terpaksa meninggalkan EPL kerana menggunakan permit kerja EU ialah Dimitri Payet [WestHam], N'Golo Kante [Leicester City], Anthony Martial [Man United], Philippe [Liverpool], Diego Costa [Chelsea] dan Romelu [Everton].
3-BREXIT. Diberitakan juga akibat Britain Exit [Brexit][3] ini akan menjangkiti beberapa negara anggota lain yang mungkin petanda bahawa Kesatuan Eropah [EU] itu akan hilang dari radar dunia. Penolakan terhadap EU semakin dirasai di Perancis, Denmark, Itali, Sweden, Hungary, Republik Czech, Belanda, Austria, Sepanyol, Poland serta Ireland.
Bila bercakap pasal istilah 'exit', siapa boleh menyangka pasukan England juga terpaksa exit daripada Euro 2016 setelah tewas kepada pendatang baru Iceland[4] dalam peringkat 16 terakhir. Kekalahan tersebut turut memaksa pengendali England, Roy Hodgson melepaskan jawatannya dengan penuh kehinaan.
Meskipun Iceland sekadar memiliki populasi kira-kira 330,000 orang namun itu tidak menghalang mereka untuk mara ke suku akhir dan dijadulkan bertemu tuan rumah Perancis. England pula yang memiliki penduduk hampir 53 juta orang serta mempunyai liga domestik terkaya di dunia, telah membuatkan penyokong England 'termalu besar' apabila terpaksa exit gitu!
Nota Lutut: Seperti yang didakwa oleh tonggak pertahanan Iceland, Ragnar Sigurdsson iaitu mentaliti pemain England yang menganggap pertemuan dengan pasukannya ibarat 'berjalan di taman' telah menghukum mereka. Manakala Perdana Menteri Britain, David Cameron mengumumkan mahu meletakan jawatan kerana kecewa disebabkan kebanyakan penduduk menolak kempennya supaya Britain kekal dalam EU.
Keterangan:
[1] Deklarasi : Penyataan yang ringkas dan jelas
[2] Referendum : Pungutan Suara.
[3] Brexit : Britain Exit atau Britain keluar dari EU
[4] Iceland : Populasi Iceland sama dengan bandaraya Leicester City di England. Agama rasmi ialah Luther tetapi ramai yang berpegang kepada kepercayaan kuno. Disenarai sebagai negara kedua paling gumbira untuk didiami dibelakang Switzerland. Pertama kali memilih wanita sebagai Perdana Menteri iaitu Johanna Siguroardottir pada 2009. Tidak seperti England, bola sepak bukan sukan nombor satu di Iceland. Pulaktu, Iceland tidak memiliki liga bola sepak profesional. Malah, Pengurus Iceland [Heimir Hallgrimsson] turut bekerja sebagai 'part time' doktur gigi. Nantinya, apabila jurulatih dari Sweden [Lars Lagerback] meletak jawatan selepas tamat Euro 2016, Heimir akan mengambil alih pasukan Iceland sepenuhnya.
26 June 2016
SEPULOH AKHIR RAMADAN
- 21 Ramadan 1437 Hijrah
Asalamualaikum!
Dalam buku 'Amalan Bulan Ramadhan'[ABR] susunan Muhammad Talib iaitu diceritakan pada sepuloh hari terakhir pada bulan Ramadan, Rasulullah SAW menguatkan ikat pinggangnya. Maksudnya, baginda menjauhi isteri-isternya kerana baginda beriktikaf[1] di dalam masjid. Selain itu, pada malam harinya baginda mengajak keluarganya untuk memperbanyak ibadah. Kerana itu, bila kita memasuki sepuloh hari terakhir bulan Ramadan, hendaklah kita memperbanyak amal kebajikan sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah SAW. - [ABR 44 MS 83].
Diriwayatkan juga oleh Abdullah bin Shamid, bahawa Rasulullah SAW bersabda' iaitu penjelasan mengenai malam lailatul qadar adalah malam ketika Allah menurunkan firman-Nya ke langit dunia sekaligus. Hal ini berbeza pengertiannya dengan malam nuzul al-Quran ialah saat pertama al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW di gua Hira' yang terjadi pada 17 haribulan Ramadan.
Mengenai malam lailatul qadar itu disebutkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam kemulian. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemulian itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar"[2]. [Al-Qadar:1-5]
Allah tidak menerangkan secara terperinci waktu lailatul qadar ini. Yang diterangkan hanyalah nilai keutamaannya, iaitu seribu bulan. Akan tetapi, angka seribu dalam ayat ini bukanlah angka matematik, melainkan sebahagian lambang[3] yang pengertiannya ialah jumlah yang tidak terbatas.
Adapun saat tepatnya malam lailatul qadar ini merupakan masalah ghaib[4], yang hanya Allah sahaja mengetahiNya. Kita tidak dapat memperkirakan secara pasti malam-malam lailatul qadar itu turun. Kerana itu, Rasulullah SAW tidak menetapkan secara terperinci bila tibanya malam itu, tetapi baginda memberikan perkiraan bahawa kemungkinan besar terjadi pada malam 27 Ramadan[5].
Apapun penetapan malam ke 27 tidak dinilai sebagai ketetapan mutlak[6], tetapi sebagai kemungkinan sahaja. Jadinya, hendaklah kita menghidupkan atau mencari lailatul qadar dengan berjaga tanpa tidur bermula pertengahan malam sampai datang waktu Subuh pada malam-malam ganjil dalam bulan Ramadan.
Pada malam bertemu lailatul qadar hendaklah melakukan amal kebajikan, seperti membaca al-Quran, berdoa, berwirid, berzikir atau mengajarkan mengenai agama, yang kita lakukan bertepatan dengan lailatul qadar. Maka itu Allah akan memberi pahala sama dengan pahala orang yang melakukan amal tersebut seribu bulan terus-menerus.
Hendaklah pada malam lailatul qadar itu kita memberbanyakan amal-amal sunnah. Begitu juga kalau kita mampu mengeluarkan sedekah, hendaklah dilakukan pada malam tersebut. Sedekah boleh diberikan untuk kepentingan masjid atau kepada fakir miskin dan orang-orang lain yang layak kita beri.
Pada malam terakhir Ramadan pula, disebutkan dalam sebuah hadith yang penjelasannya bermaksud 'Dalam bulan Ramadan, Allah memberikan lima kelebihan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Semua kelebihan itu tidak pernah Allah berikan kepada umat sebelumnya. Di antara lima perkara kelebihan itu ialah dibukakan pintu-pintu ampunan pada akhir bulan Ramadan bagi orang-orang mukmin yang telah menjalankan ibadah dan amal kebajikan selama Ramadan'.
'Kerana itu, pada malam terbukanya pintu ampunan yang luas dari Allah kepada hamba-Nya ini, hendaklah kita memperbanyakan mengucapkan istighfar[7] dan berjaga sepanjang malam untuk membaca kalimat thayyibah agar pintu ampunan Allah yang luas itu dapat kita perolehi'.
'Dengan penjelasan hadith tersebut, sepatutnya kita menilai diri sendiri, apakah layak malam yang sangat berkah[8] itu kita pergunakan untuk suatu aktiviti dengan pembicaraan yang tidak bermanafaat. Sebab malam yang sangat berkah itu memberikan kesempatan kepada kita untuk melebur[9] segala macam dosa yang kita lakukan sebelumnya, baik dengan sengaja atau tidak'. - Wallhuaklam!
Glosari & Info:
[1]Beriktikaf [2]Fajar [3]Lambang [4]Ghaib [5]27 Ramadan [6]Mutlak [7]Istighfar [8]Berkah [9]Melebur
23 June 2016
ALERGI & ENTRI PILIHAN
- 18 Ramadan 1437 Hijrah
Apartment!
Bilah kipas ligat berpusing. Jam di-dinding berwarna putih jarumnya baru sahaja melangkah ke pukul 07.30 pagi. Di luar, kedengaran burung pipit decit[1]-mendecit.
Pitt! Pritt!
Burung-burung itu sangat gumbira menyambut ketibaan pagi. Sesekali decitnya tengelam dalam kebisingan deru injin motosikal dan kereta. Motosikal dan kereta itu keluar dari petak parkir dan tergesa-gesa pula meninggalkan kawasan kejiranan aku. Begitu juga dengan burung-burung pipit, terbang dari ranting ke ranting, dahan ke dahan. Pitt! Prittt! Sayup-sayup[2] kedengaran dan hilang entah ke mana.
Aku, ketika ini sudah berada di bilik bacaan. Mengadap screen komputer. Sementara menunggu kedai runcit yang menjual surat khabar di buka, ada baiknya aku melakukan aktiviti minda. Melukis menggunakan tetikus atau menulis [yang sebenarnya menaip] di laman blog aku.
Yalah! Daripada melayani pertengkaran atau cacian di facebook atau sekadar melawak agar di tertawakan oleh orang lain, apa salahnya aku berkongsi sesuatu yang boleh di menafatkan atau sekadar buat renungan dan ingatan untuk kita bersama.
1- Alergi
Aku tertarik dengan satu rencana mengenai kesedaran tentang alahan [alergi][3] dimana kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempunyai pengetahuan atau maklumat yang mencukupi bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan untuk alahan.
Kaji selidik yang pertama kali dilakukan oleh MSAI[4] yang diumumkan bersempena Minggu Alahan Sedunia baru-baru ini, 50 peratus rakyat Malaysia masih percaya wujudnya penawar untuk alahan. Jelas Dr Amir Hamzah Datuk Abdul Latif [Presiden MSAI], rawatan bukan segalanya untuk menyembukan alahan kerana pencegahan adalah matlamat utama memandangkan penawarnya masih belum ditemui sehingga kini.
Kata Dr Amir, ketika ini isu alahan yang menjadi kebimbangan adalah alahan makanan sebanyak 55 peratus, ketidaktahanan pada makanan [45%], ekzema [42%] dan rhinitis [gatal-gatal dan bengkak pada membran mukus di dalam hidung].
Dipendekan cerita, menurut Dr Amir lagi, alahan makanan mendatangkan kesan kepada semua lapisan umur dan terjadi apabila sistem imun badan[5] mendapati terdapat sesetengah jenis makanan yang mendatangkan mudarat lalu bertindak balas menghasilkan satu atau lebih gejala.
Antara makanan yang dikenal pasti menjadi punca utama mendapat alahan seperti makanan laut [90%], kekacang [47%], soya [44%], gandum [30%] dan telur [30%]. Namun, apa yang membimbangkan ialah kesedaran yang kurang dikalangan masyarakat tentang alahan menyebabkan penghidap berdepan dengan risiko penyakit yang lebih tinggi dan berbahaya misalnya anafilaksis[6]. @Info dari tulisan Siti Airunnisa Alaui [mode UM 21/4/16]
2- Entri Pilihan
Ada pembaca yang terserempak dengan blog aku mungkin hanya membaca entri terbaru atau membaca berpandukan 'popular post' atau juga melihat melalui 'Live Traffic' sahaja. Bagi memudahkan pembaca diluar sana mendaptkan entri kegemaran seperti cerita pendek [bukan cerpen], aku merapu, rencana, sejarah, seni lukis, kisah backpacker, hobi berbasikal atau sedang mencari maklumat tentang bilik hotel serta tempat percutian, dibawah ini aku seneraikan entri pilihan aku untuk tatapan pembaca:
Cerita Pendek
03 Sept 14 Konsert diKL+PPS diNgri Pulau
13 Jan 2015 Ke Lancang dgn Sani
16 Jun 2015 Pagi diKL.
28 Ogas 15 Bubur Nasi Sup Ekor
20 Dec 2015 Langit November
Aku Merapu
04 June 12 Gaji Lambat Pulak!
23 Nov 2013 Wajah Melayu
23 Jan 2014 Dolu dan Sekarang.
15 Oct 2015 Bila Usia Kita Bertambah
17 Jun 2016 Terkenang Zaman Dolu
Rencana
20 May 2012 Komenter dari Azman Anuar
17 Sept 12 Siswa Melayu Malas
18 Mac 2014 Teori+Gosip di Internet
21 Sept 13 Konspirasi Yahudi-Zionis
27 April 16 Mudah dan Cepat
Sejarah
09 May 2012 Helah Orang-Orang China
09 July 12 Tentera Selempang Merah
13 Mac 2013 Peristiwa Kalabakan
03 April 13 Kisah Hj Abdullah Hukum
03 Oct 2014 Serang Hendap Ulu Legong
Seni Lukis
02 Feb 2012 Kurator Perlu Kreatif
08 April 13 Lelongan Henry Butcher
16 April 13 Pelukis Wanita di UM.
18 Sept 14 Komik [Jailani Abu Hassan]
Backpacker
06 Dec 2013 Kota Bharu ke Kuala Kerai
12 Apr 2014 Travelog Backpacker.
24 Nov 2014 Backpacker [Jailani AbuHassan]
18 Sept, 15 Backpacker-Ke Pantai Timur
13 Mac 2016 Kota Bharu-Jeli-Gerik[4]
Hobi Berbasikal
13 Mac 2012 Off Road @Frim
16 Sept 12 Tongkat Ali Trail
15 Nov 2012 13 Rider @Empangan Batu
05 Feb 2013 Trek TM Bikers
12 Oct 2014 Kayuh! Empangan Batu.
Cari Makan
06 Feb 2010 Salad Bangladesh
29 Sept 12 Speghetti Rendang
15 Feb 2012 Hi-Tea Party!
16 Oct 2013 Caesar Salad & Croutons
16 April 14 Golek-Golek!
Bilik Hotel
06 April 12 Firefly Park Resort
11 June 12 Citrus Hotel @JB
03 Jan 2015 Dingin Malam di George Town
06 Jan 2015 Hotel Koperasi Alor Setar[4]
10 Jan 2015 Dayang Busines Centre[7]
Lokasi Percutian
17 Dec 2012 Ke Selatan Tanah Air
29 April 13 Bercuti ke Pulau Pangkor
04 Dez 2014 Jalan-Jalan di Teluk Intan
Glosari & Info
[1]Decit: Bunyi burung bersiul [2]Sayup-Sayup: Kurang jelas pandangan dan pendengaran [3]Alergi: Sensitif terhadap sesuatu makanan atau ubat sehingga boleh menimbulkan kesan yang tidak baik [alahan]. [4]MSAI: Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia [5]Imun Badan: Perihal perubatan. [6]Anafilaksis: Suatu reaksi alahan teruk yg terjadi tiba-tiba dan boleh menyebabkan kematian apabila tubuh mendapat sentuhan dengan punca alahan.
Subscribe to:
Posts (Atom)



