25 February 2018

RANTING | DAUN KERING


  • Pagi itu tidak kelihatan burung-burung bertenggek di ranting kering. Hanya beberapa helai daun menyangkut, sudi mendengar keluh kesah riak air laut yang terpaksa mengheret sampah sarap dan bangkai anjing ke gigi pantai. Hanya beberapa helai daun yang menyangkut diranting itu cuba menyelami kesedihan pantai, hiba melolong dalam dirinya, apabila sampah sarap dan bangkai, berkongsi halaman disepanjang pantai.

    Dalam diam pagi itu, angin dari Selat Melaka pun datang tanpa memberi salam terus
    sahaja menerjah sampah sarap, bangkai yang terdampar diatas butir-butir pasir pantai. Gelombang angin datang lagi. Kali ini sangat kencang. Beberapa helai daun itu cuba berpaut, mendakap erat ranting, sekuat-kuat tenaga. Sayang! Ranting itu rapuh. Patah riuk. Ranting kering jatuh tersembam, tindih menindih diantara ranting dan dedaun. Tidak sempat menarik nafas. Ranting dan daun-daun itu segera diterbangkan hingga terperosok di celah-celah batu besar. Ranting dan dedaun itu kaku di situ.

    Beberapa helai daun yang pernah menyangkut diranting, tidak lagi menyaksi tentang keluh kesah ombak, tentang keperitan pantai memikul beban. Terkini yang didengar oleh buih-buih ombak, yang dilihat oleh pasir pantai ialah tentang beberapa helai daun itu telah sama darjatnya, seperti sampah sarap yang dibawa ombak! - [Mj]

No comments:

Post a Comment