Semalam, Rabu 9 Mei 2018 orang ramai telah selesai mengundi pada Pilihanraya Umum ke-14 [PRU-14] di mana terdapat dua kumpulan besar parti politik bertanding iaitu Barisan Nasional [BN] yang di pimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pakatan Harapan [PH] yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Ramai yang bersengkang mata hingga ke pagi, menunggu keputusan pilihanraya termasuk akulah, yang hanya mampu bertahan sehingga pukul 0130 pagi, kerana terlalu mengantuk. Z-Z-Z-zzz!
Khamis | 10 Mei 2018
Pukul 09.15 pagi aku sudah sampai di pekan Lancang. Aku singgah di kedai menjual suratkhabar. Orang ramai sedang membeli akhbar. Ada yang beli satu, ada yang beli dua, malah ada yang beli tiga akhbar sekali gus. Pehhh! Kalau hari-hari macam ini tentu bagus. Si penjual akhbar boleh senyum sampai ke telinga dan si penerbit pun boleh meneruskan kerja-kerja penerbitan akhbar gitu!
Benar! Tidak pernah aku melihat orang berebut-rebut hendak membeli surat khabar. Menghampri pukul 0930 pagi, kebanyakan surat khabar seperti Utusan Malaysia, Kosmo, Berita Harian dan Sinar Harian [edisi Pahang] telah habis terjual. Semuanya gara-gara mahu melihat dengan mata kepala sendiri tentang keputusan Pilihanraya semalam. Mereka tak sangka, cempedak menjadi nangka Beb!
Di muka depan akhbar kebanyakan berita berkisar tentang kekalahan Barisan Nasinol[BN] yang telah memerintah Malaysia selama 61 tahun sejak 1957. BN telah tumbang akibat gelombang tsunami rakyat kepada gabungan pembangkang PKR. Sehingga pukul 0500 pagi tadi, laporan Suruhanjaya Pilihan Raya[SPR] menunjukkan BN hanya memperoleh 79 kerusi Parlimen manakala Pakatan Harapan menang 104 kerusi daripada 178 kerusi yang diumumkan.
Selama ini BN dianggap kebal dan tidak boleh ditewaskan kerana didalam BN itu sendiri ada UMNO, MCA dan MIC yang telah berkuasa sejak Malaysia memperoleh kemerdekaan daripada British pada tahun 1957 melalui Perikatan [logo kapal layar] yang kemudian ditukar kepada BN [logo dacing] pada tahun 1974.
Di pendekan cerita, keputusan Pilihanraya ke-14 telah memihak kepada Pakatan Harapan. Kebanyakan negeri-negeri dipantai barat menyokong PH, bermula dengan Johor , Negeri Sembilan, Selangor, diikuti Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Manakala BN hanya mampu mempertahankan Pahang, Perlis dan Sabah serta Sarawak.
Dalam PRU-14 kali ini juga, menyaksikankan 7 Menteri Kabinet, 6 Timbalan Menteri dan 3 Menteri Besar kecundang. BN dilihat telah hilang sokongan daripada rakyat. Ini dapat dilihat daripada kekalahan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Bentong dan tewasnya Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam di Segamat.
Dalam PRU-14, Pas kekal berkuasa di Kelantan malah dapat merampas Terengganu daripada BN. Manakala Shafie Apdal dari Parti Warisan menang besar di Sabah. Secara keseluruhannya, keputusan Kerusi Parlimen ialah PKR[PH] memperoleh 104, BN 79, Pas 18, DAP 9, Warisan 8, Solidariti 1 dan Bebas 3. Jumlah : 222.
Jumaat | 11 May 2018
Biasanya hari Jumaat, aku keluar dari pondok pada pukul 1130 pagi kerana hendak mendapatkan senaskah suratkhabar. Sementara menunggu solat Jumaat, aku akan membaca akhbar sambil minum teh panas di sebuah restoran sekitar Lancang. Sayangnya Jumaat kali ini aku tidak dapat membeli suratkhabar kerana telah habis lebih awal dan jangkaan aku meleset sama sekali. Terpaksalah aku membeli senaskah akhbar lama iaitu Buletin Rakyat yang bertarikh 1 Mei 2018.
Di muka hadapan Buletin Rakyat yang aku baca itu ada 'Analisis PRU-14' yang mengatakan indeks sokongan rakyat kepada Barisan Nasional[BN] dan Pakatan Harapan selepas pembubaran parlimen masih 50-50 gitu. Salah seorang penganalisis politik menasihatkan pihak BN, jangan menganggap Pakatan Harapan itu yang mencalonkan Dr Mahathir untuk jawatan Perdana Menteri sebagai lemah.
Ujar penganalisis itu lagi, Dr Mahathir dilihat masih mendapat sokongan anak-anak muda dan warga emas terutamanya. Perkara ini boleh dilihat dalam ceramah-ceramah dihadiri Dr Mahathir di beberapa buah negeri antaranya Kedah, Johor, Perak serta Felda yang dihadiri ribuan rakyat.
Katanya lagi, selepas pembubaran parlimen pihaknya melihat tahap kemarahan dan emosi rakyat boleh dikatakan memuncak kepada pemimpin parti UMNO dan BN itu sendiri. Lagi-lagi bila timbul perasaan tidak puas hati setengah pihak dan anggota parti komponen kerana tidak tercalon dalam PRU-14 nanti. - Itu antara analisis yang di perkatakan pada 1 Mei 2018.
Sabtu | 12 Mei 2018
Tengahari itu aku hanya melepak dihadapan kaca tv mendengar berita tentang 'Kabinet Harapan' yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Timbalan Perdana Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Antara senarai menteri dan portfolio itu ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng[DAP], Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin[Bersatu] dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu[Amanah].
Dr Mahathir berkata, tujuh lagi menteri bagi kementerian yang diumumkan kemarin, akan diputuskan dalam masa terdekat. Selain itu, sebuah Majlis Penasihat Kerajaan turut ditubuhkan untuk memberi pandangan kepada kerajaan. Majlis itu akan dianggotai tokoh-tokoh berpengelaman iaitu bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas CEO Petronas, Tan Sri Hassan Marican. Termasuk juga ahli perniagaan Tan Sri Robert Kuok serta pakar ekonomi, Prof Ks Jomo.
Ahad | 13 Mei 2018
Pagi Ahad itu aku sudah terpacak dihadapan kedai menjual suratkhabar. Aku beli senaskah akhbar Sinar Harian edisi Pahang serta Mingguan Malaysia kerana didalamnya ada ruangan Rencam, ruangan Seni & Budaya serta ruangan Kesihatan. Macam biasa. Bila akhbar sudah berada dalam gengaman - apa lagi, aku pun bergegas ke restoran, minum teh panas sambil menyelak halaman demi halaman.
Antara beritanya ialah tentang perlantikan Menteri Besar[MB] antaranya perlantikan MB Johor, Datuk Osman Sapian [DUN Kempas], Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun [DUN Sikamat], Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu [DUN Chenderiang], manakala perlantikan MB Pahang ditangguh sementara.
Yang lebih menarik lagi ialah berita tentang Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan dari penjara Selasa ini, kata anaknya Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat[PKR] hari ini.
[Kisah Anwar dipenjarakan ialah selepas Mahkamah Persekutuan pada 2015 menolak rayuannya terhadap sabitan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya serta hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Tinggi].
Bercakap pasal Anwar Ibrahim, teringat aku akan sebuah buku 'Sumpah dan Air Mata | Reformis Bangsa' hasil tulisan Mohd Sayuti Omar, yang diterbitkan oleh Tinta Merah pada tahun 1998. Sumpah tersebut tercetak pada kulit hadapan:
"Bahawa Dengan nama Allah saya bersumpah saya tidak melakukan perbuatan terkutuk itu. Dan ini semua adalah fitnah dan tohmahan jahat untuk terus menghina dan mengaibkan seisi keluarga saya" - Batu Pahat Johor | 19 September 1998.
Isnin | 14 May 2018
Segalanya berjalan seperti biasa. Kebetulan malam tadi hujan lebat turun disekitar Lancang. Ramai penoreh getah tidak turun ke kebun. Jadinya, restoran dan warung-warung kopi tepi jalan dipenuhi orang ramai. Sambil minum mereka bersembang tentang keputusan pilihanraya yang diluar jangkaan mereka.
Ada antara mereka yang menyalahkan jentera 'cybertrooper' Umno yang tidak bersunguh-sunguh melakukan tugas perang saraf. Malah tugas tersebut di serahkan bulat-bulat kepada media arus perdana seperti suratkhabar dan teleyisyen. Ada juga yang memberi pendapat iaitu pengundi 'senyap' telah memenangkan parti Pakatan Harapan. Tambahnya lagi, ini boleh dirujuk kepada PRU-12, dimana terdapat pengundi senyap yang sentiasa memerhati perkembangkan politik Malaysia dan pada saat akhir mereka telah menyokong parti pembangkang sehingga BN kehilangan lima negeri ketika itu. - Cut!
Selasa | 15 Mei 2018
Di Lancang setiap hari Selasa ramai orang kerana ada pasar pagi atau disebut orang Lancang 'Pekan Sari gitu. Setelah aku membeli senaskah Kosmo! aku gerak ke Restoran Nara, pesan secawan teh panas sambil membaca akhbar.
Kosmo! Pada muka surat 12 [Pasca PRU-14], [1]Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor[PKR]. Lain-lain termasuk [2]MB Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahatir[PPBM], [3]MB Perak Ahmad Faizal Azumu[PPBM], [4]MB Negeri Sembilan Aminuddin Harun[PKR], [5]Ketua Menteri Melaka Adly Zahari[Amanah], [6]Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow[DAP], [7]MB Johor Datuk Osman Sapian[PPBM], [8]MB Terengganu Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar[Pas], [9]MB Kelantan Datuk Ahmad Yakob[Pas], [10]KM Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal[Warisan], [11]KM Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg[BN] manakala [12]MB Perlis dan [13]MB Pahang belum dimuktamadkan. - Begitulah Kisahnya!
Nota Lutut:
No comments:
Post a Comment