Di Tanah Kebun.
Petang itu isteri aku sedang sibuk di dapur. Katanya hendak buat bingka ubi[1] sambil mencuba oven yang baru dibeli dua minggu lepas. Semenjak kami kahwin, oven cap kupu-kupu[2] ini adalah pembelian oven yang ketiga, dimana dua buah oven sebelumnya adalah menggunakan tenaga letrik. Saja-saja nak guna oven style lama, nostalgia sangat!
Sementara menunggu bingka ubi masak, aku melepak di bilik sebelah sambil menyelak-nyelak akhbar Kosmo! Antara berita yang menarik perhatian aku ialah kisah pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi[3] yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail [HSI], Johor Bharu selepas dipercayai didera oleh seorang pembantu warden asrama. Satu lagi berita tentang pelawak dan penyampai radio, Azizul Ammar Abu Hassan aka Amar Titan yang telah dihukum akibat terlebih lawak ketika bersiaran dalam program Sukan Tidak Sentral[4] terbitan Tv3.
2- Aha! Dari dapur ada bau[5] bingka ubi kayu. Tentu bingka ubi sudah masak. Perut terasa lapar lalu aku segera keluar menuju ruang dapur. Di atas meja, aku lihat seloyang bingka ubi kayu. Aku terus membancuh dua cawan kopi sementara isteri aku memotong bingka ubi yang kelihatan garing di atas dan lembab di bahagian dalamnya. Petang itu kami berdua minum kopi sambil menikmati[6] bingka ubi yang merupakan masakan yang diwarisi daripada nenek moyang.
Ketika menikmati bingka ubi kayu bersama secawan kopi, aku memang ada kenangan yang dikira nostalgia sangat. Kenangan ketika dibangku sekolah misalnya. Kebiasaan selepas Subuh, emak akan menyediakan sarapan yang berbeza setiap pagi, misalnya cucur bawang, lemping pisang, nasi goreng, kuih gulung, cekodok pisang atau sesekali emak buat ruti bom dan mertabak pisang. Di kantin sekolah pula, sering aku melihat kuih-muih tradisi seperti kuih lapis, kuih bom, kuih keria, kuih gulung, karipap dan bermacam kuih lagi. Masa dolu saiz kuihnya besar!
Walaupun masa lampau dan zaman oven butterfly sudah berlalu tetapi orang kita tetap menyediakan kuih-miuh tradisi yang enak seperti zaman bahari[7]. Yang menariknya, generasi hari ini tidak perlu bersusah payah mencari resepi atau mahu melihat images kuih kerana dengan sekali klik sahaja di google search, bermacam-macam resepi akan ditemui. Malah, ramai blogger terutama wanita yang memeberi tunjuk ajar atau tips mengenai kaedah memasak kuih-muih tradisional.
3- Bercakap mengenai zaman lampau atau tabiat buruk[8], orang kita tidak boleh lari dari kelaziman iaitu suka mempersendekan orang lain. Biasanya, kita sering mendengar kanak-kanak yang masih berhingus mengejek rakan sebaya menggunakan ganti nama atau gelaran yang tidak sepatutnya, semata-mata kerana ingin memalukan atau sekadar mahu berlawak atau juga barangkali mahu membalas dendam.
Antara ejekan zaman dolu ketika aku di bangku sekolah rendah ialah seperti mengejek rakan sekelas kerana disebabkan rakan tersebut memiliki daging lebihan yang benjol di bahagian belakang kepala. Lalu mereka mengelarnya Si Benjol. Ada juga rakan aku yang diejek dengan gelaran seperti tembel[9], lompong, jinjang, toyol, bomoh, gilo, pacek, bangkai, panjang, jawo, koling dan pelbagai lagi ganti nama yang sangat jelik gitu!
Apabila seorang rakan memanggil atau menjerit seperti gelaran tembel misalnya, ramai rakan lainya akan ketawa berdekah-dekah atau hampir pecah perut, mungkin mereka berangapan gelaran itu sangat sesuai dan paling lucu. Malah gelaran yang memalukan itu kekadang melekat hingga sampai ke tua. Sampai tualah lu![10]
4- Begitulah yang terjadi keatas pengacara dan pelawak Amar Titan yang mungkin terleka sedikit apabila Amar mengembek seperti kambing ketika menyebut nama bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek[11] dalam rancangan Sukan Tidak Sentral. Maka Watson pun naik berang lalu membuat laporan polis. Malah, Watson juga sangat serius tentang isu tersebut lalu beliau mahu perkara itu dibawa ke peringkat seterusnya.
Di pihak tv3 yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Izam Omar dan Amar sendiri pergi ke Miri, Sarawak bagi membuat sidang akhbar serta bertemu dengan Watson bagi meminta maaf dan mahu menjernihkan suasana gitu! Seperti kata pujangga P. Ramlee: Buang yang keruh ambil yang jernih. Itupun jikalau air yang jerih itu belum bersatu dengan air yang keruh. Huhuhu!
5- Lepastu kita dikejutkan dengan berita kematian pelajar tahfiz al-Quran, Mohamad Thaqif pada petang Rabu lalu dimana sepatutnya menjalani pembedahan bagi memotong tangan di hospital, namun disebabkan keadaan jantungnya tidak setabil, pembedahan itu terpaksa ditanggungkan.
Walaupun Mohamad Thaqif sudah meninggal dunia namun cerita malang itu sepatutnya dijadikan iktibar buat kita semua termasuk penjaga, guru atau masyarakat sekelilingnya. Janganlah kita merotan budak kerana ikut nafsu amarah[12] tetapi rotanlah mereka dengan perlahan dengan perasaan kasih sayang bersama satu tujuan iaitu pengajaran!
Cerita tentang bingka ubi, oven butterfly, berita si Amar Titan dan kisah sedih pelajar tahfiz al-Quran, tergantung begitu sahaja bilamana isteri meminta aku menghantar sepiring bingka ubi ke pondok kayu dua tingkat. - Noktah!
Nota Lutut:
[1]Bingka Ubi: Dikenali juga sebagai bengkang ubi kayu [belah Pantai Timur]. Kuih tradisi ini hanya menggunakan bahan seperti ubi kayu yang disegat [diparut], santan kelapa, gula pasir, daun pandan, sedikit garam dan sedikit minyak sapi.
[2]Oven Butterfly: Jenis Oven cap kupu-kupu dikira oven antik kerana masih menggunakan tenaga gas [gas oven]. Harga di pasaran antara RM120 hingga RM180 sebuah. Sekiranya anda melawat di 11street.my harga sebuah oven antik cuma RM120.00 sahaja.
[3]Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi [4]Sukan Tidak Sentral [5]Bau [6]Menikmati [7]Zaman Bahari [8]Tabiat Buruk [9]Tembel [10]Sampai tualah lu! [11]Watson Nyambek [12]Nafsu Amarah.
Di mana ada jual oven kupu2 guna gas
ReplyDelete