Kuala Gandah
Ini kali ke 4 aku datang ke tempat perlindungan gajah yang terletak di Kuala Gandah, Lancang Pahang Darul Makmur. Dikenali sebagai Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan[1] yang dahulunya adalah kem bagi unit gajah yang telah menjalankan program pemindahan gajah sejak dari tahun 1974.
Untuk sampai ke sini, perlu melalui Lebuhraya Pantai Timur [KL - Kuantan Highway] exit di Tol Lancang dan beluk ke kanan. Dari situ perjalanan hanya mengambil masa lebih kurang 25 minit dengan melalui beberapa buah kampung yang pemandangannya memang menarik. Kepada mereka-mereka yang gemarkan suasana hutan waktu malam, bolehlah tinggal di chalet atau campsite yang disediakan oleh Kuala Gandah Forest Park[2] yang lokasinya bersebelahan Pusat Konservasi Gajah.
Setibanya dilokasi, pelawat di minta mengisi borang pendaftaran dan tiada bayaran masuk dikenakan tetapi pelawat boleh memberi sumbangan derma ke dalam Tabung Amanah Gajah yang telah ditubuhkan oleh Jabatan Perhilitan. Antara tujuan tabung amanah ialah bagi mempertingkatkan kemudahan sedia ada termasuk kerja-kerja kajian dan penyelidikan berkaitan teknik pemindahan gajah serta rawatan berterusan kepada anak-anak gajah yang di tinggalkan oleh kumpulan dan ibu-ibu gajah.
Pelawat juga digalakkan menyertai aktiviti yang disediakan seperti dokumentari tentang proses pemindahan semula gajah liar, sesi bergambar serta memberi gajah makan sewaktu lunch hour[3] bagi gajah-gajah tersebut. Pelawat juga boleh mandi bersama anak gajah dan aktiviti mandi dan mengosok badan anak gajah ini hanya terhad kepada 100 orang sahaja secara bergilir-gilir.
2- Seperti yang tercetak dalam pemplet Perhilitan[4] bertajuk Gajah Asia yang dikategorikan sebagai spesies yang kian terancam dengan anggaran kurang daripada 1,200 ekor gajah liar di Semenanjung Malaysia. Melindungi gajah Asia secara langsungnya membantu melindungi ribuan jenis spesies lain yang terdapat dalam lingkungan habitat gajah tersebut. Gajah membuka denai-denai dan menumbangkan pohon-pohon [menjadi sumber makanan semula jadi] yang sangat diperlukan oleh haiwan yang lebih kecil.
Ujar Perhilitan lagi, disebabkan kawasan habitat makin mengecil, gajah kini terpaksa mencari makanan di kawasan pinggir hutan disebabkan kawasan habitat gajah telah bertukar rupa menjadi kawasan perladangan dan penempatan manusia. Pencerobohan kawasan gajah menyebabkan berlakunya konflik dan kerugian pihak terbabit. Tambah Perhilitan lagi, sekiranya gajah-gajah tersebut tidak dipindahkan dengan kadar segera, kerosakan akan bertambah dan kemungkinan gajah tersebut akan mati samaada ditembak atau diracun oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. - Wallahuaklam!
Nota Lutut :
[1] Pusat Konervasi Gajah Kebangsaan : Sekiranya anda ingin tahu lebih lanjut mengenai pusat ini sila hubungi Ketua Pusat Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Jabatan Perhilitan Kuala Gandah, 28500 Lancang Pahang Darul Makmur, Malaysia. Sila e-mail, pos atau telepon di nombor 09-2790391 Fax: 09-2790398. E-mail : www.wildlife.gov.my [Dibuka setiap hari dari jam 09.00 pagi hingga 05.00 petang].
[2] Kuala Gandah Forest Park : Lokasinya bersebelahan Pusat Konservasi Gajah. Menyediakan kemudahan chalet dan campsite utuk backpacker. Lain-lain aktiviti ialah jungle treking, sukan memanah serta aktiviti lasak seperti atv dan 4x4. Sila hubungi melalui no 019-9306328, Email:gandahforestpark@gmail.com dan fb: Gandah Forest Park Centre.
[3] Lunch Hour : Waktu rehat iaitu sesi bergambar dan memberi gajah makan.
[4] Perhilitan : Sebuah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.
No comments:
Post a Comment