07 May 2017

REZEKI SELEPAS HUJAN


Tanah Kebun.
Malam tadi terasa amat panas. Wap kering keluar dari kerak bumi, mengapung disekitar kebun nangka yang diselang seli dengan sedikit tanaman pisang tanduk. Sewaktu aku hendak melelapkan mata, diluar aku terdengar deruan angin kuat diikuti cahaya kilat. Malam itu hujan turun dan barangkali hampir Subuh bahru reda.

Pagi, aku keluar dari pondok dengan parang tapek[1] tersisip di pinggang. Tujuan aku ialah mahu melihat kesan hujan lebat malam tadi. Ada pokok pisang tanduk yang belum matang, tumbang. Ada juga yang baru berbuah, patah tengkuk, terkulai mencium tanah. Aku cantas, aku kutip setandan pisang tanduk yang kulitnya berwarna hijau muda. Aku pulang ke pondok. Aku tunjukkan pisang tanduk muda kepada isteri aku.

"Ohhh! Pisang muda. Selain dibuat  gulai masak lemak, boleh juga kita cuba buat kuih getuk" ujar isteriku.

"Tak pernah pulak aku dengar kuih getuk"

"Cubalah google 'Getuk-ubi kayu'
[2] nanti baru tau" sambil isteri aku mengambil setandan pisang tanduk lalu dibawanya masuk ke ruang dapur.

Aku segera menanggalkan boot getah yang aku pakai dan melepaskan ikatan parang tapek. Aku masuk ke bilik. Aku menaip carian enjin Google. Keluarlah images getuk ubi kayu goreng. Aha! Kalau yang ini tahulah aku. Ubi kayu tumbuk yang digaul dengan kelapa parut, kemudian digoreng dengan tepung, berbentuk bulat macam cekodok pisang. Biasa aku beli ketika berjalan-jalan disekitar kaki lima Malayan Mansion, Jalan Masjid India, Kolompo. Penjualnya India Muslim. Di Mempateh pun ada. Mak Cik Gemuk yang punya kedai runcit itu biasa menjual goreng pisang, goreng keledek dan sesekali ada juga menjual getuk-goreng ubi kayu.



Tetapi kuih getuk buatan isteri aku lain sikit. Mula-mula dibuangnya kulit pisang. Lepastu di rebus dan di tumbuk menggunakan anak lesung batu. Setelah pisang tanduk rebus itu lumat, dicampurnya pula dengan kelapa parut yang bewarna putih sahaja. Di tambah dengan beberapa sudu gula dan sedikit garam.

Kemudian digaulnya agar kelapa, gula dan garam menjadi mesra. Lepas itu, pisang tumbuk  dimasukkan ke-dalam loyang, di tekan- tekannya menggunakan tangan yang dibalut dengan pelastik. Akhirnya, dituang sedikit pewarna hijau pandan di bahagian atasnya lalu pisang tumbuk itu dimasak menggunakan cara di-kukus. Setelah masak, di potong empat-segi dan taburkan dengan sedikit kelapa parut. WoW! Edap juga getuk pisang tanduk.



[2]
Petang itu, usai menikmati kuih getuk pisang tanduk bersama kopi pahit, aku bersiap dengan memakai topi, menyarung kemeja-T lengan panjang, berkasut boot getah dan ditangan kanan aku tergengam erat sebatang joran [kail] cap ayam,[3] yang aku pinjam dari isteri aku. Sejujurnya, sejak aku berpindah ke Tanah Kebun di Lancang Pahang dua tahun lalu, inilah kali pertama aku hendak turun memancing ikan. Wah! Terujalah sangat bila si Zaman sanggup menemankan aku memancing.

Kami berjalan menuju parit yang di kiri kanannya penuh dengan tumbuhan lalang, paku-pakis, letup-letup[4] yang menjalar, pohun senduduk dan entah apa lagi jenis tumbuhan yang kami terpaksa rempuh. Lalang dan paku-pakis itu lunyai kami pijak. Ketika menghampiri parit, terasa boot yang kami pakai mula terbenam.

"Hati-hati Zaman! Jangan sampai tersembam ke perdu senduduk."

"Yelah" 


Aku bergerak sambil memijak-mijak rumput dan lalang di tepi parit. Parit yang airnya berwarna kelabu itu dipenuhi dengan tumbuhan rumpai dan keladi bunting[5]. Aku berhenti melangkah apabila melihat air berkocak kuat. Aku ambil sesekor cacing, cucuk ke mata kail. Cacing itu mengeliat dan ekornya masih bergerak ketika aku meludahnya.[6] Perbuatan aku meludah cacing sebelum mencampakan mata kail ke dalam parit adalah ikut-ikutan dari kaki pancing. Petua mereka kata. Entah e'ya entah tidak!


Aku sudah bersedia untuk memancing. Tidak jauh dari tempat aku menyangkung, aku lihat si Zaman juga sudah pun mencampakan mata kailnya ke dalam parit. Tidak lama, pelampong sebesar ibu jari yang berwarna merah bergerak-gerak, lantas diangkatnya joran itu dan kelihatan se-ekor anak ikan baung tersangkut dimata kail.

"Ek'eleh! Kenapa pulak kau yang masih kecil tertipu dengan umpan aku".

"Oklah Zaman! Kecik pun keciklah. Rezeki tu! Kita boleh campak kat kolam kita nanti"

"Betul juga"
sambil si Zaman menghampiri tepi parit, memasukkan sedikit air ke dalam baldi dan bunyi kelepak-kelepuk anak ikan baung itu  sebaik di letakan ke dalam baldi.


Aku masih lagi menunggu. Harap-harap ada ikan besar sangkut di mata kail aku. Ketika inilah tahap kesebaran aku sedang diuji. Barangkali bagi kebanyakan kaki pancing, dapat ikan besar itu adalah matlamatnya. Tetapi bagaimana jika sudah berjam-jam lamanya, sesekor ikan pun tidak sangkut dimata kail. Tentu ada rasa bosan dan kecewa barangkali.

Aku, tidaklah terlalu berharap kerana ini semua bergantung kepada rezeki. Jika dapat ikan besar bersyukurlah jika sebaliknya tidak mengapa. Tujuan aku pergi memancing bukan sekadar untuk mendapat ikan sahaja tetapi  aku mahu menikmati pemandangan alam sambil belajar tentang tumbuhan liar, serangga dan juga bintang yang mungkin aku temui nanti.

Aku perhatikan pelampong pelastik bergerak-gerak. Aku segera menarik. Cepelup! Ikan jatuh ke dalam parit. Umpan pulak sudah licin dimamahnya. Entak ikan jenis apalah gamaknya! Berulang kali umpan habis di makan tetapi ikan tidak menyangkut. Begitu juga si Zaman, hanya dapat dua ekor anak ikan lampam[7] dan sesekor anak ikan baung.

Kami gerak ke tempat lain. Mungkin nanti rezeki menyebelahi kami. Ketika kami meredah, menyusuri tepi parit yang penuh dengan tumbuhan jenis siperus[8] dan keladi bunting, tetiba kami terlihat kelibat anak biawak, bergerak didalam air yang  belumpur. Anak biawak tersebut lari lintang pukang, barangkali terkejut beruk melihat dua susuk tubuh manusia. Air menjadi keruh!

"Fuhhh! Patutlah ikan besar tak sangkut. Udah habis dibedal sang biawak" ujar si Zaman.

"Tak apalah Zaman. Rezeki udah dibahagi. Apa kata kita gerak ke parit besar. Barangkali disana kita boleh dapat ikan baung atau ikan keli. Sape tau".



3-
Kami tiba di parit besar. Tidak banyak keladi bunting tumbuh di sini. Aku, melalui gerak hati, berhenti melangkah, lalu aku mencangkung disebalik pokok senduduk yang sedang berbunga. Aku segera meletakan kail di atas tunggul kayu. Dua ekor sibur-sibur[9] terbang dan hinggap diatas batang kail.  Si Zaman pula aku lihat duduk di tepi parit diantara dua rimbunan pohun buloh sambil memegang kail. Tetiba si Zaman menjerit. Aku toleh. Wow! Kali ini Zaman dapat ikan lampam, besar punya.

Tidak lama kemudian, pelampong aku bergerak dan pelampong itu ditarik dengan kuat. Aku segera menarik tali kail. Tali kail tergantung diudara dan se-ekor ikan baung terkapai-kapai, sangkut! Besarnya boleh tahan juga. Zaman bangun, beralih tempat sambil menjinjing beldi berisi beberapa ekor ikan.

Angin petang berpuput perlahan. Sekawan burung terbang, pulang ke-sarang. Aku lihat matahari mula bersimpuh dikaki langit. Langit, warnanya merah - mula tidak keruan bilamana senja cuba menjemput malam. Kami rasa puas. Misi mencari sedikit rezeki selepas hujan, berhasil. - Cut!


Nota Lutut:
[1]Parang Tapek [2]Getuk-Ubi Kayu [3]Cap Ayam [4]Letup-Letup [5]Keladi Bunting [6]Meludah Cacing [7]Ikan Lampam [8]Siperus [9]Sibur-Sibur [10]


No comments:

Post a Comment