28 August 2017

MENYELAK KALENDAR OGAS


            Menyelak Kalendar Ogas

            

Kita sering menyelak kalendar, melihat bulan berganti bulan dan bulan itu sampai juga di langit Ogas. Di dada langit tergantung gumpalan awan menyaksi gunung dan ombak merintih apabila bukit serta pokok-pokok rebah satu persatu dalam tangan manusia yang rakus.

Ogas itu datang berulang tahun. Kita seperti sebelumnya, sudah bersedia  dengan ungkapan warisan moyang[1]. Anak-anak dahulunya bermain guli pastinya kini setelah enam dekat mereka sudah dewasa. Mereka dewasa membawa sekali jiwa dan minda merdeka, mengenggam erat kuasa. Mereka yang dewasa itu tidak lagi membiarkan bangsa lain menjarah bahasa[2] dan agama kita.

Fajar Ogas bertandang. Kita seperti sebelumnya ada kenangan hitam tentang sejarah silam. Nostalgia itu kekadang melekakan kita bilamana penjajah telah menjajah minda kita dengan hiburan, fesyen dan dadah. Kita hampir terlupa tentang pahlawan bangsa seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Maharajalela dan Dol Said. Kita juga jarang di dendang dengan cerita  tokoh pejuang Pahlawan Kiyai Salleh[3] di Batu Pahat, Leftenan Adanan di Singapura serta Kanang anak Langkau menetak leher penderhaka. Ramai pahlawan kita yang terkorban dilereng bukit Tanjung Putri, bermandi darah di-rumah pasung Bukit Kepong, Peristiwa Kalabakan[4] dan Serang Hendap di Ulu Legong[5].

Pagi Ogas datang lagi. Enam puloh tahun berlalu kita memikul beban derita. Kini kita boleh gumbira melihat disekeliling kita anak bangsa hidup mewah. Dimewahkan lagi dengan kemudahan berteknologi tinggi. Kita juga  ada kemudahan awam seperti Komuter, Monorail  Lrt dan yang terbaru Mrt[6].

Ini negara kita, tempat tumpah darah kita. Anak-anak tidak lagi bermain api apatah lagi bermain guli. Mereka kini bermain dengan gajet sendiri-sendiri. Patah tumbuh hilang berganti. Pemuda pemudi harapan negara segera dibeban dengan TN50[7]. Baik Melayu, India dan Cina bersama peribumi Sabah dan Serawak mahu hidup sehati sejiwa satu bangsa satu bahasa berlainan agama itu biasa.

Bangsa kita sudah merdeka. Peninggalan penjajah masih tersemat di kalbu jiwa. Kita juga dimewahkan dengan kepintaran teknologi. Ada internet, facebook dan blog. Minda kita juga dibebani dengan berita serta hadis  tidak sahih yang disampaikan oleh kumpulan WhatsApp. Mata kita jadi buta bilamana kita melihat bermacam-macam imej dari YouTube. Akhirnya kita celaru, lalu kita meminta bantuan dari sekumpulan Ustaz maya dari Google.

Malah di Google juga, kita yang telah lama bodoh akan menjadi pandai. Yang miskin menjadi kaya. Ada yang telah menjadi ahli kimia,  yang menjadi chef di rumah dan ahli politik yang penuh dengan tektik. Hanya klik di hujung jari kita terus lali. Sanggup berjam-jam malah barangkali mengulang pelajaran di Google berhari-hari. Merdeka kah kita jika kita masih menjadi hamba kepada teknoloji. Jawablah sendiri.

Jari jemari kita menyelak kalendar lagi. Hari demi hari kita bersama minda merdeka mendengar berita ada tangan gaib yang menumbangkan bukit dan pohon-pohon lalu tanah menjadi rata. Ada beberapa cerita yang menjadi sejarah antaranya tentang rahsia Bank Negara yang rugi dalam urusniaga mata wang asing [forex] pada 1990-an[8]. Sebuah lagi cerita sedih yang telah dicetak diatas kertas putih[9] bertajuk Peristiwa Mamali[10].

Sejarah tetap menjadi sejarah. Sebelum matahari Ogas bersimpuh di kaki langit, anak bangsa kita telah mencipta sejarah dalam Sukan SEA KL2017[11]. Dominasi Malaysia dalam banyak acara sukan telah meletakan nama Malaysia dalam peta Asia Tenggara sebagai #KitaJuara.

Tarikh keramat 31 Ogas[11] akan kita sambut dengan bahasa merdeka. Kita lupakan api sengketa yang pernah membara dijiwa kita. Kita lupakan sekali certera angan-angan Mat Jenin, Pak Kadok naik junjung, Pak Pandir yang pandir sangat dan akhirnya cerita basi tentang si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan! - Walalhuaklam.



Nota Lutut :
[1]Warisan Moyang: Lagu Warisan ini boleh anda baca pada entri bertajuk
"WARISAN | MASYARAKAT PINCANG" pada 26 December 2009. Entri ini adalah permulaan aku belajar menulis dan bercerita. Kira, masa tu aku baru bertatih. Biasalah orang baru belajar. Ayat-ayat pun lintang pukang. Kalau aku baca balik entri pada tahun 2009, aku senyum sendirian. Pun begitu, tidak tergamak untuk aku memadamnya. Nostalgia gitu!

[2]Menjarah Bahasa 

[3]Paglima Kiyai Salleh: Sila singgah dientri bertajuk 'Pahlawan Kiyai Salleh [26 June 2013].

[4]Peristiwa Kalabakan: Entri yang sudah dipost pada 13 March 2013.

[5]Serang Hendap Ulu Legong: Selak entri pada 03 October 2014

[6]MRT : Mass Rapid Transit. Stesen Sg Buloh-Kajang[SBK]. Projek Pasa Satu ini diketuai oleh MRT Corp Sdn Bhd bersama MMC Gamuda KVMRT, Projek Delivery Partner[PDP], Work Package Contractors[WPC] termasuk beberapa buah agensi kerajaan.

[7]TN50 [8]Forex Bank Negara

[9]Kertas Putih: Kertas yang diterbitan oleh kerajaan [Kertas Perintah 21 Tahun 1986] bertajuk "Ancaman Terhadap Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara" pada 8 November 1984.
[10]Peristiwa Mamali: Bertempat di Kampung Memali, Mukim Siong, Daerah Baling di Negeri Kedah pada 19 November 1985 yang meragut 18 nyawa termasuk 4 orang anggota Polis.
[11]Sukan SEA KL2017 [12]31 Ogas.

No comments:

Post a Comment