01 September 2017

LANGIT PAGI SEPTEMBER



Tanah Kebun 
[10 Zulhijjah 1438H]


Di dapur, isteri aku baru sahaja selesai menyediakan juadah raya. Satu periuk lontong[1].  Warna kuah lodehnya kekuningan, lemak dan sedikit pekat. Lontong itu di masak bersama sayur-sayuran[2] seperti kacang panjang, karrot, terung panjang, tempe, fucuk, soo hoon dan cili merah.   Juga terhidang diatas meja enam biji telur rebus, semangkuk kecil kuah kacang, sambal tumis dan nasi impit.

Sebaik adek Ali masuk ke ruang dapur, aku mencedok lontong dan memasukkan ke-dalam dua buah mangkok. Kami bersarapan dahulu sebelum pergi menunaikan solat hari raya. Malam tadi ada anak buah aku si Ammar yang belajar di pondok mengajak aku solat di Madrasah Paya Siput[3] tetapi aku hanya mahu solat di Masjid Kampung Teris sahaja.

Ketika aku keluar dari pondok di tanah kebun, aku sempat mendongak ke langit. Warna langit September tidak biru seperti pagi semalam. Kabus kelihatan mengepung puncak-puncak bukit. Burung-burung berterbangan meriuhkan pagi di Idul Adha. Dalam perjalanan menuju masjid yang jaraknya lima kilometer dari tanah kebun, aku teringat sebuah buku[4] yang aku pernah baca mengenai solat sunat hari raya.

Dalam buku itu ada memberitahu bahawa solat sunat hari raya adalah sunat[muakkad] yang dituntut secara berjemaah dan pula ia lebih utama daripada solat sunat muakkad bersendirian. Ai'id [boleh dieja Eid] pula ertinya hari gumbira yang berulang setiap tahun. Ada dua hari raya yang disyariatkan dalam Islam iaitu Idul Fitri pada pagi satu Syaawal bagi membersihkan diri dari dosa dan Idul Adha pada pagi 10 Zulhijjah, selepas wukuf di padang Arafah yang juga melebur dosa manusia.

Sebelum ke masjid umat Islam disaran mandi pagi, memakai pakaian yang indah lagi baru, memakai perhiasan dan wangi-wangian. Kanak-kanak juga digalakkan supaya dipakaikan perhiasan dengan sebaik-baiknya kerana merekalah yang sebenarnya bergumbira.

Kemuncak kepada hari raya ialah mendirikan solat hari raya yang istimewa, iaitu dimulakan dengan tujuh takbir pada rakaat pertama  dan lima takbir pada rakaat kedua. Usai solat, mendengar pula khutbah hari raya. Dalam khutbah itu ada sembilan lafaz takbir dalam khutbah pertama dan tujuh takbir dalam khutbah kedua. Selesai khutbah aku bersalaman, bertegur sapa lepas itu barulah boleh gerak balik ke tanah kebun.


2- Di pondok, aku bersama isteri menikmati semangkuk lagi lontong bersama segelas air oren. Kemudian aku ke bilik sebelah mahu membaca risalah lama[5] mengenai maksiat dan dosa siri syarahan oleh Dato' Ustaz Yazid Jaafar yang dicetak sekitar tahun 80-an.
             
                 Maksiat | Dosa

"Kita selaku manusia biasa sama ada sedar atau tidak sentiasa melakukan dosa. Tegasnya, tidak ada seorang manusia pun yang hidup di muka bumi ini yang bersih dirinya dari maksiat dan dosa walaupun seorang ahli ibadah. Janganlah sekali-kali kita anggap diri kita ini orang yang sangat bersih. Apatah lagi kiranya kita terasa apabila mati kelak akan masuk syurga.

Jangan sekali-kali terasa begitu kerana selangkah sahaja kita melangkah, sudah kita melakukan dosa. Malah menuju tempat ibadah sekalipun kekadang bukan dapat pahala, kerana kita melihat yang haram, orang laki-laki melihat perempuan  dan orang perempuan pula melihat laki-laki.

Ohhh! Kalau begitu jauhilah daripada memandang, pejam, tunduk berjalan, nanti berlaga pula dengan steam roll, bengkak dahi kita kerana perempuan itu banyak, bersepah-sepah kata orang Perak. Macam barang lelong, jual murah selonggok sekupang, maka terpaksalah juga kita melihatnya, maka berdosalah kita. - Ujar Ustaz Yazid Jaafar
[6].

Sama sekali kita tidak dapat mengelak kerana kita terpaksa keluar rumah untuk mencari rezeki. Dalam hal ini, bukan laki-laki sahaja yang haram melihat perempuan tetapi perempuan juga adalah haram melihat laki-laki, tetapi setengah perempuan menganggap tidak haram melihat laki-laki. Sebab itulah dolu ada diantara anak-anak  gadis lari naik rumah apabila melihat laki-laki tetapi setelah itu diintainya pula laki-laki tersebut melalui celah-celah dinding rumahnya.

Maknanya kita ini banyaklah dosa. Sekiranya saya [Ustaz Yazid Jaafar] ditanya pendapat  tentang menaiki bas, jawapan saya adalah haram. Ini hanya pendapat bukan fatwa. Jika ingin tahu pasal fatwa, tanyalah pejabat Agama. Ohhh! Kalau begitu jangan naik bas. Bila pula kita nak sampai tempat yang dituju jika tidak naik bas.

Maka terpaksalah juga kita menaikinya. Eh! Bukan kah naik bas [zaman bas mini]
[7] itu haram. Siapa pula yang berani mengatakan bahawa duduk dalam bas itu tidak haram. Kita duduk bertindih-tindih, berempuh riuh, hangat pijau, shout karan, duduk sebangku. Bas sengit ke kanan kita banyak ke kanan. Bas sengit ke kiri kita banyak juga ke kanan. Terperoyok hamba Allahtu ke tepi.

Kadang-kadang ada juga laki-laki yang hatinya baik. Tempat duduknya diberikan kepada perempuan, dia pula terpaksa berdiri disebelah perempuan itu, bergayut macam kelawar. Sayangnya, mata laki-laki itu meleret ke bawah, mengintai celah-celah baju, saluran dada perempuan tersebut.

Sambung Ustaz Yazid Jaafar lagi. Ada ungkapan atau kata-kata dari seorang pemimpin Ikhwan Muslimin iaitu Al Syahid Hassan Al Banna berkata:

"Daripada kamu berjalan di belakang seorang perempuan, lebih baik kamu berjalan di hadapan seekor singa".

Pendapat saya pula, perempuan itu adalah lebih bahaya daripada letrik. Sebab letrik, bila kita menghampiri kita akan diberi ingat dengan perkataan 'Dont Touch' - merbahaya gitu. Tetapi berbeza dengan perempuan. Setengah batu jaraknya sekali pun, kalau kita lihat sudah shock karannya. Sebab itu sekali lagi saya katakan, iaitu selagi kita ini manusia biasa, selagi itulah kita sentiasa melakukan maksiat dan dosa". - Begitulah sedikit kisah dari Ustaz Yazid Jaafar.



3-
Aku menjeling jam digitl disudut kanan screen komputer. Jam digital itu menunjukkan pukul tiga petang. Aku bangun menuju ruang dapur. Membancuh secawan kopi mahkota dewa. Ketika aku mahu masuk semula ke bilik sebelah, aku lihat langit muram dan kelabu. Menjelang pukul tiga setengah, langit September berduka lalu hujan merembes membasahkan tanah, rumput dan pohon-pohon.

Hujan petang itu berhenti ketika jarum jam melangkah ke angka lima. Sedang aku asyik mengetuk abjad di papan kekunci, kedengaran diluar ada orang memberi salam. Ohhh! Si Ammar rupanya. Salam disambut lalu si Ammar menghulurkan dua bungkus daging korban[8] yang dibawanya dari Madrasah tempat Ammar belajar. Aku mempelawa Ammar makan lontong tetapi Ammar menolak dengan baik kerana mahu segera mengutip beberapa biji buah nangka untuk dibawa balik ke Kolumpo petang nanti, ujar si Ammar.

Trak pick-up yang dipandu Ammar terus sahaja berjalan keluar melintasi kabin dan menyusuri jalan tanah merah yang bercampur batu kerikil itu. Aku masuk semula ke bilik, menyambung hobi aku, mengetuk abdjat di papan kekunci. Menaip sebaris perkataan, kemudian menjadi satu perenggan. Bermula dengan satu perenggan itulah ada cerita pendek, ada  rencana dan yang terbaru dalam tulisan, aku selitkan unsur-unsur puisi gitu.

Jika di selak semula entri yang aku post dalam blog ketika mula-mula bertaktih pada tahun 2009 memang kelakar. Masatu ayat tunggang langang. Tujuan asal aku menaip di blog ialah aku hendak bercerita tentang lukisan dan masakan konon. Dengan berkongsi cerita di blog buat otak aku bekerja. Malah, aku juga boleh belajar istilah lama dan baru. 

Lama kelamaan entri yang aku post hilang arah. Ini kerana untuk bercerita tentang lukisan, aku kena banyak ilmu dan kena sentiasa melukis. Jika hendak bercerita tentang masakan pula kena banyak modal. Bukan sekadar cilok recepi dan ambil gambar dari buku masakan kemudian post. Itu namanya blog photocopy!

Sudahnya untuk meneruskan aktiviti otak, aku post macam-macam cerita, kira macam aku minum ABC gitu. Ada kacang merah, jagung manis, kacang, cendol, susu cair, gula sirap dan ais. Abdjat ABC itu tentulah bermaksud 'Air Batu Campur' tetapi ABC juga mengambarkan betapa eratnya perpaduan gabungan bentuk, warna dan rasa dalam se-mangkok ABC.

Semangkok ABC itu juga barangkali adalah gambaran sebuah negara iaitu #NegaraKu! Negara kita yang baru semalam menyambut ulang tahun kemerdekaan dengan tema 'Sehati Sejiwa' itu seperti gabungan masyarakat pelbagai bangsa, warna kulit, tutur kata serta kepercayaan yang berbeza. Walaupun berbeza, masih ada nilai-nilai murni di kalangan masyarakat di-negaraku Malaysia.


4-
Hujan petang itu telah lama berhenti. Di tanah kebun air bertakung di lopak dan paya, sejuk dan mendamaikan. Katak-katak mula berendang, berzikir, barangkali madah terima kasih kepada hujan yang di turunkan oleh Tuhan. Dalam keriuhan katak, burung-burung pulang ke-sarang, angin semilir berpuput bagai tidak tidak terasa, aku cuba mencari apa yang tiada di sini.

Angin yang berpuput perlahan itu membawa waktu ke senja. Senja yang setia itu datang setiap hari, menolak siang lalu malam bertandang. Aku menutup laptop. Mandi dan solat. Malam pun semakin dinihari. Aku cuba melelapkan mata. Mata aku masih cengkang. Terbanyang-bayang insiden di Palestin yang sering kali berulang. Malah konflik yang berlaku di Selatan Thailand, Myanmar Barat serta Selatan Filipina telah menjadi 'blackzone' yang kawasannya tidak selamat kerana sering berlaku ketegangan.

Jam dinding berwarna putih mengetuk takbir malam. Malam itu segera menidurkan sebahagian binatang seperti burung-burung tetapi tidak kepada anjing, babi hutan, katak dan cengkerik. Malam itu semut hitam dan kelakatu keluar mencari cahaya. Malam yang dingin itu cepat mendewasakan aku, dari remaja ke alam dewasa mengharung sisa hidup sambil mengutip sedikit rezeki dari persisiran tanah kebun.  - Titik!


[Nota: Salam merdeka, salam sayang dari Mj Kakiconteng. Jika kita panjang umur, masih sihat dan mahu terus melakukan aktiviti otak dengan menulis dan membaca, jangan jemu untuk menyelak entri-entri lama tentang cerita pendek dan puisi yang aku post sebelum ini. Jumpa lagi. Wallahuaklam!]

 

No comments:

Post a Comment