Intro: Malam itu kami berempat [Baha, Idris dan Mahfol] sepakat untuk bersiar-siar sambil 'window shopping' di JB City Square. Ketika kami masuk ke ruanglegar, punyalah ramai kaum, padahal bukan hujung minggu pun. Yang pastinya kebanyakan yang datang membeli belah di sini tentu orang Singapura. Ini kerana nilai mata wang ringgit jauh lebih rendah berbanding dollar Singapura.
Kami berjalan berlengang, bersesak-sesak, bergesel bahu, turun naik eskalator dan mulalah semput. Memanglah baik jika kita dapat berjalan seribu langkah sehari - baik untuk jantung. Sayangnya jantung kami melaju degupnya, lalu Idris memberi isyarat 'take five' sebaik menghampiri outlet ice cream. Nampaknya Idris hendak belanja kami ice cream. Pehhh! Baru sebut saja ice cream, hati kami berbunga, apatah lagi jika kami dapat menikmatinya. Seperti pepatah kuno "Nikmatilah ice cream sebelum ia cair" - [mj].
Johor Bahru
Apabila aku terjaga, cahaya terang telah mengintai di celah kaca jendela. Aku lihat jam di screen telefon, baru pukul 06.15 pagi. Mahfol baru sahaja keluar dari bilik mandi manakala Idris sudah siap berpakaian. Baha pula, sedang menyusun pakaian dan menyumbatnya ke dalam beg. Aku bingkas bangun dan menuju bilik mandi. Dingin pagi menyentuh tubuh tatkala tetes-tetes air pancuran singgah di tubuhku. Aku segera membuka air panas lalu air dari pancuran itu bersatu menjadi panas suam. Lega rasanya!
Ketika ini kami sedang duduk sarapan di sebuah kedai Mamak's Coner berhampiran jejambat yang menghubungkan City Square dengan kompleks JB Sentral. Sarapan pagi kami ringkas, sekadar air suam, segelas teh O dan dua biji telur setengah masak. Itu sudah cukup untuk membina tenaga dan bertahan sehingga waktu tengahari.
Sarapan pagi untuk empat orang telah dibayar oleh Idris. Kami gerak memanjat jejambat untuk ke JB Sentral. Kami berjalan melepasi beberapa kumpulan lelaki dan pompuan gelandangan. Ada yang sedang berbaring, ada yang duduk menghisap rokok. Mereka memandang kami dengan sengih menyeringai. Salah seorang [lelaki India] menegur kami. "Dah nak balik ker Bro!" Kami hanya anggok kepala sambil memperceptkan langkah. Adakah mereka itu orang-orang tidak berumah, pengemis atau penagih dadah tegar, itu aku tidak pasti.
Kami terus berjalan. Kelihatan dua pemuda sedang tidur, beralas pelastik nipis di atas jejambat. Aku segera menekan punat kamera dan salah seorang dari mereka sedar, lalu bangun. Rakannya yang berselimut kain palekat, berkasut jenama adidas masih lagi lena. Mereka berdua bukanlah gelandangan jika di lihat dari pakaian. Barangkali mereka tiba di bandaraya waktu tengah malam. Sementara menunggu pagi yang hanya tinggal beberapa jam, mereka lebih rela 'tido-tido ayam' di atas jejambat.
Bercakap pasal tidur di kaki lima, atas jejambat atau tidur atas kerusi taman, aku pun pernah mengalaminya kerana terpaksa. Kisahnya begini. Sewaktu remaja aku tinggal di-Gombak bersama keluarga. Sementara menunggu keputusan peperiksaan, aku bekerja di Kfc Sungei Wang. Berulang-alih menggunakan dua buah bas iaitu bas Leng Seng dan bas Sri Jaya. Kerja shif malam biasanya tamat pukul 10.00 malam. Bila masa nak balik rumah, kekadang bas dah gerak. Nak naik teksi duit tak cukup. Pulaktu, jauh giler! Terpaksalah aku tidur dalam kompleks beli belah Sungei Wang [dengan izin pengawal] atau tidur diatas bangku simen sekitar Selangor Mansion sementara menunggu pagi. - cut!
Pukul 0815 pagi, kami sudah berada di JB Sentral. Sementara menunggu ketibaan tren shuttle ke Gemas, kami hanya duduk di kerusi, bergilir-gilir membaca Kosmo! Mengahmpiri pukul 0845 pagi, kami sudah berada dalam shuttle. Bergerak melalui beberapa stesen antaranya Kulai, Sedenak, Renggam dan berhenti lama sedikit di stesen Kluang.
Dari Kluang, tren gerak melepasi stesen Paloh, Labis dan berhenti di stesen Segamat. Hampir 30 minit berhenti di Segamat, tren meneruskan perjalanan menuju Gemas. Di stesen Gemas, semua penumpang turun. Tren seterusnya akan tiba pada pukul 0300 petang. Masih ada masa terluang lebih kurang satu setengah jam. Penumpang boleh berehat, solat, ke tandas atau makan tengahari. Terpulang!
Nota Lutut: Jumlah belanja hari ke-4.
No comments:
Post a Comment