17 February 2017

KAYUH ke WAK NASAR TRAIL


Ahad 190217.
Hari ini memang hari Ahad!
"Ahad malam Senin - waktu melangkah ke pukul satu pagi, tetapi mata aku masih terbeliak, barangkali penangan secawan kopi 'Alicafe'. Agaknya!"

 

1- Petang Khamis lepas, aku dan Zaman berkayuh melalui trek Wak Nasar Trail. Sengaja aku beri nama Wak Nasar Trail kerana nanti di situlah penamat kayuhan kami. Bermula dari pondok di Tanah Kebun, kami berkayuh melalui  offroad yang permukaan jalan adalah campuran tanah merah dan batu kerikil, sejauh satu kilometer lebihkurang gitu!



Selepas laluan offroad, kayuhan lebih santai kerana sebahagian jalan menuju gerai Wak Nasar telah diturap dengan tar. Mudah! Itu hanyalah jangkaan aku. Sebenarnya kami terpaksa berkayuh melalui beberapa anak bukit. Oleh kerana udah lama juga aku tidak berkayuh dan bukit adalah kelemahan aku, maka aku terpaksa tolak sahaja basikal ketika pendakian. Jika aku memaksa atau memerah kudrat untuk terus berkayuh, kemungkinan jantung aku berdegup laju atau tiba-tiba degupnya terhenti. Fuhhh! Masalahtu.



Tercungap-cungap dan peluh jantan mengalir. Kami terus kayuh, masuk kebun getah, melalui single trek yang sedikit lecak. Meredah lopak-lopak air dan kekadang hampir tersadung kerana terlangar akar-akar pokok getah. Sekawan nyamuk mengejar kami dari belakang, berlumba-lumba untuk mencuck jarum ke permukaan kulit kami, tetapi nyamuk-nyamuk tersebut gagal berbuat demikian!

Kami tiba dihadapan gerai Wak Nasar. Pintu gerai tertutup rapat. Khabarnya Wak Nasar sekeluarga sedang bercuti, balik kampung gitu. Niat hati tadi nak pekena teh o iced limau terpaksa dipendam sahaja. Sambil kami berehat, kami meneguk air mineral yang kami bawa



2. Bercerita mengenai hobi berbasikal ini, aku tumpang sedih dan merakam takziah kepada semua keluarga mangsa dalam kejadian malang yang menimpa sekumpulan penunggang basikal [remaja] dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, awal pagi semalam. Tragedi tersebut telah meragut lapan nyawa, dua kritikal dan enam cedera [masih dirawat] di Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah [HSA].

Dari sumber yang boleh dipercayai, kawasan Tanah perkuburan Islam Mahmoodiah di Jalan Lingkaran Dalam hingga ke jalan utama telah lama menjadi 'port' remaja bawah umur berlumba atau menunjuk bakat kepada rakan aksi-aksi berbasikal. Hebat!


"Sebelum kejadian pada pukul 3 pagi itu, sekitar 30 hingga 40 remaja berhenti di tepi jalan, menunggu rakan yang lain [berkumpul] bersebelahan kawasan kubur, dekat dengan stesen minyak Petronas, kelihatan sebuah kereta Nissan Almera dipandu seorang wanita, bergerak laju, lalu melanggar kami" ujar salah seorang mangsa yang tercedra.


"Biar dia yang menangis, jangan kita menangis. Saya pun ada anak dan dah pergi tak kembali, kalau saya sedih, awak sebagai ibu dan bapa kepada mangsa mesti lebih sedih. Ingat pesanan saya," kata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ketika meluangkan masa kira-kira 10 minit bersama keluarga mangsa di Hospital Sultanah Aminah.


Nota Lutut:
Dalam kejadian yang telah meragut lapan nyawa remaja dan beberapa lagi cedera parah, jangan kita cepat melatah dan terus menunding jari kepada sesiapa termasuklah ibu bapa yang sepatutnya mengawasi aktiviti anak-anak mereka terutama pada lewat malam hingga membawa waktu ke pagi. Malang tidak barbau!

Bagi aku, aktiviti berbasikal waktu malam perlu diteruskan kerana ia adalah salah satu aktiviti yang sihat. Tidak perlulah kita meminta kerajaan buat undang-undang baru bagi melarang remaja berbasikal di waktu malam. Yang perlu dipantau oleh ibu bapa, guru-guru, pihak berkuasa dan masyarakat ialah memberi nasihat tentang keselamatan ketika berkayuh dalam satu kumpulan yang besar.


Adakah ia menjadi satu isu yang rumit sekiranya sudah mengetahui bahawa aktiviti berbasikal  menjadi rutin pada hujung minggu. Apa salahnya jika pihak berkuasa seperti anggota polis, anggota Rela atau badan-badan sukarela di JB buat kerja lebih masa memantau pergerakan mereka termasuk pergerakan kenderaan yang lalu lalang disepanjang Jalan Lingkaran Dalam. Jika kumpulan remaja tersebut hendak berhenti kerana mahu menunggu rakan, ada baiknya mereka diarahkan berkumpul di dalam kawasan lapang stesen minyak Petronas. Bukan jauh mana pun stesen Petronas tu!


Kita pun tahu, memang gitulah sikap dan gaya remaja. Perkara yang dilarang itulah yang akan dilakukan oleh mereka. Barangkali anak-anak yang tidak mengendahkan atau tidak ambil peduli akan teguran dan larangan dari ibu bapa itu sedang menghadapi kecelaruan kelakuan iaitu gangguan tingkah laku dan emosi yang serius. Barangkali juga anak-anak yang mempunyai masalah disiplin adalah tergolong dalam keluarga atau masyarakat yang pincang. Siapa tahu? - Wallahuaklam!



No comments:

Post a Comment