Kuala Lumpur.
Aku beli senaskah akhbar kerana aku minat dengan berita-berita yang berantai[1] seperti berita pembunuhan keatas abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam pada 6 Februari lalu. Berita pemilihan calon Presiden persatuan Bola Sepak Malaysia [FAM], satu lawan satu antara Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Tan Sri Annuar Musa atau tentang insiden kemalangan yang mengorbankan lapan remaja akibat dirempuh kenderaan di Johor Bahru minggu lalu.
Aku masih lagi berminat untuk bercerita tentang remaja dan dunia basikal kerana insiden yang berlaku pada 18 Februari lalu masih lagi menjadi bualan di laman sosial dan beberapa rencana telah dicetak dan disiarkan antaranya dari Pensyarah Psikologi Universiti Utara Malaysia [UUM], Siti Azura Bahadin yang betajuk 'Usah Bebas Keterlaluan'[2], laporan dari Maisarah Sheikh Rahim - 'Polis Wajar Perinci Siasatan'[3] atau rencana dari tulisan Lee Lam Thye yang bertajuk 'Tuding Jari Tidak Akan Selesai Masalah'.
Sebenarnya banyak lagi rencana yang membicarakan tentang kemalangan maut di Johor Bahru, Johor tempoh hari dan salah satu rencana yang wajar dikongsi dengan pembaca ialah tulisan dari Lee Lam Thye[4]. Dibawah ini aku salin semula rencana tersebut. Walaupun ada rasa perit jari-jemari menekan punat dipapan kekunci kerana rencananya sedikit panjang tetapi hati aku tetap puas. Puaslah sangat!
TUNDING JARI...
"Saya seringkali teringat peristiwa di sebuah sekolah di mana saya menyampaikan hadiah kepada pelajar cemerlang tidak lama dahulu. Apa yang sering bermain di kotak fikiran saya bukanlah mengenai kejayaan pelajar tersebut tetapi hakikat bahawa lebih separuh daripada mereka tidak mengucapkan terima kasih.
Mungkin ada yang menganggap isu ini agak remeh tetapi bagi saya, ia menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena di dalam masyarakat kita apabila asas keperibadian mulia mula diketepikan. Selepas majlis berakhir, saya memaklumkan kepada guru sekolah bahawa mereka perlu mencari sebab mengapa ia berlaku dan membetulkan keadaan.
Jika ditanya kepada pihak sekolah, mereka selalunya mendakwa kelemahan itu bermula dirumah, tetapi jika soalan yang sama dilontarkan kepada ibu bapa, mereka pasti akan menyalahkan pihak sekolah.
Saya yakin masalah ini berpunca daripada kekurangan penekanan terhadap perkara asas yang mampu membentuk sahsiah[5] atau keperibadian yang baik dalam kalangan generasi muda. Pada masa yang sama, kecenderungan kita untuk menunding jari dan melepaskan tanggungjawab telah merumitkan keadaan.
Apabila kemalangan maut yang meragut nyawa lapan penunggang basikal remaja di Johor Bahru, Johor berlaku baru-baru ini, saya kembali teringat mengenai kejadian di sekolah berkenaan.
Betapa cepatnya kita memberi reaksi seolah-olah kita telah mengetahui punca sebenar remaja tersebut berkumpul dan menunggang basikal bersama rakan-rakan mereka ketika orang lain sedang nyenyak tidur.
Ada juga yang mencadangkan supaya keluarga mangsa didakwa kerana kecuaian di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebagai warga prihatin, adalah wajar untuk kita mengucapkan takziah kepada kelurga mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam nahas tersebut. Pada masa sama, kita perlu bersama-sama melihat faktor sosioekonomi yang menyebabkan kejadian itu, termasuk punca kewujudan kumpulan berbasikal tersebut.
Menunding jari untuk mencari kesalahan tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Saya percaya, kita perlu mengambil penyelesaian menyeluruh untuk isu ini di samping penguatkusaan undang-undang yang lebih ketat.
Adalah tidak wajar untuk kita menghalang golongan remaja daripada berbasikal kerana ia adalah aktiviti riadah yang sihat dan mampu menjauhkan mereka daripada penyakit sosial lain termasuk penagihan dadah.
Pada hemat saya, pihak berkuasa perlu meningkatkan aspek keselamatan untuk penunggang basikal dengan mewajibkan pemakaian topi keledar dan pemasangan lampu di basikal mereka. Di samping itu, garis panduan lengkap dan bantuan perlu dibrikan kepada penunggang muda supaya mereka dapat meneruskan aktiviti dengan selamat.
Papan tanda yang sesuai juga perlu dipasang di jalan raya yang mempunyai laluan khas untuk basikal manakala sempadan keselamatan perlu diwujudkan untuk zon berbasikal. Kita juga perlu membina kawasan khas untuk peminat aktiviti berbasikal manakala lebih banyak pertandingan berbasikal perlu dianjurkan.
Pengguna jalan raya juga perlu menghormati penunggang basikal dan bersama-sama memastikan keselamatan mereka.
Saya turut berharap polis dan pihak berkuasa tempatan dapat memantau kawasan yang menjadi tumpuan penunggang basikal muda dan menahan mereka yang tidak mematahui peraturan yang ditetapkan.
Bagi memastikan ibu bapa tidak melepaskan tanggung-jawab mereka, saya berpendapat mereka perlu diwajibkan untuk mengambil anak-anak mereka selepas bersama-sama menyertai sesi kaunseling di balai polis atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Untuk menimbulkan kesedaran, remaja yang melakukan kesalahan berulang kali perlu dikenekan hukuman melakukan kerja-kerja komuniti manakala basikal mereka pula seeloknya dirampas.
Untuk mendapatkan hasil yang lebih baik, pihak kerajaan dengan kerjasama universiti tempatan perlu menjalankan kajian mengenai kewujudan kumpulan remaja berbasikal ini. Ini akan membantu kerajaan menyediakan penyelesaian jangka panjang bagi isu ini, yang besar kemungkinan timbul akibat masalah sosioekonomi seperti kemiskinan, pengangguran dan keciciran persekolahan.
Pada masa sama, kita perlu memainkan peranan kita untuk menyemai nilai-nilai positif dalam jiwa generasi muda agar mereka dapat membezakan antara kaca dan permata.
Kita seharusnya berpegang kepada peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, yang membawa maksud mendidik anak-anak seeloknya bermula semasa kecil kerana apabila sudah besar, ia akan menjadi lebih sukar". -[Tan Sri Lee Lam Thye ialah seorang aktivis masyarakat].
Nota Lutut : [1]Berantai [2]Usah Bebas Keterlaluan : Sila semak Utusan Malaysia|Khmis|23 Feb 2017 [Mega Rona ms23].[3]Polis Wajar Perinci Siasatan : Utusan Malaysia|Khamis|23/2/17 [Dalam Negeri ms12]. [4]Lee Lam Thye [5]Sahsiah.
No comments:
Post a Comment