13 June 2017

PDRM Vs KONGSI GELAP




[Nota: Gambar diatas ini hanyalah sebagai hiasan. Tidak ada kena mengena kepada mereka yang masih hidup atau pun yang sudah meninggal dunia - Mj].

18 Ramadan
.
Tidak banyak aktiviti yang aku dapat lakukan ketika di bulan Ramadan. Sejujurnya, perasaan meluap-luap hendak menaip entri terbaru memang ada tetapi dek' kerana badan rasa letih, mata layu dan otak aku pun macam membeku gitu. Entah kenapa! Malas yang amat sangat. Apapun aku lawan istilah malas, aku tolak malas itu hingga tersungkur, lalu aku buka laptop, sunting sekeping gambar sebagai penghias entri 'PDRM Vs KONGSI GELAP' dan aku mula menaip.




1-
PDRM adalah singkatan daripada ayat Polis DiRaja Malaysia. Diberitakan akan melakukan rombakan besar-besaran pada peringkat atasan  semua bahagian di Bukit Aman[1] selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini. Ujar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, rombakan disemua jabatan akan dilakukan selepas penukaran sekurang-kurangnya 20 anggota dan pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik [JSJN] Bukit Aman sebelum ini.


Rombakan ini juga adalah berpunca susulan penangkapan 16 pegawai kanan dan anggotanya yang dipercayai terlibat melindungi kegaitan kongsi gelap Geng 36 yang aktif dalam sindiket pengedaran dadah dalam Op Kabaddi baru-baru ini. Sebelum ini [18 Januari 2017] pun ada diberitakan tentang 6 anggota dan pegawai polis ditahan bersama pelbagai jenis dadah termasuk 75 kilogram syabu menerusi empat serbuan di Alor Setar Kedah serta ibu negara.

Begitu juga berita pada 13 Mac 2017, dimana seramai 12 penguatkuasa daripada pelbagai agensi termasuk dua pegawai polis berpangkat Inspektor, 5 anggota polis, 4 anggota bomba serta seorang pegawai Majlis Perbandaran Kajang ditahan SPRM[2] selepas dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan daripada pengusaha-pengusaha pusat urut yang beroperasi secara haram di dua daerah di Selangor.

Ada lagi tangkapan iaitu pada 17 Mei 2017, sembilan[9] orang termasuk enam pegawai polis ditahan SPRM bagi membantu sisatan berhubung kes menerima rasuah bagi melindungi pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka. Yalah! Walaupun sejak kebelakangan ini banyak berita kes-kes polis terlibat jenayah tetapi itu bukanlah gambaran keseluruhan PDRM.

Aku percaya bahawa selama ini PDRM bekerja keras dan telah menubuhkan bahagian serta unit-unit baru bagi tujuan membenteras jenayah terancang seperti militan Daesh atau kongsi gelap yang kebanyakannya melakukan perniagaan haram seperti pengedaran dadah, ahlong[3], perjudian dan pelacuran. Polis juga terpaksa berdepan dengan jenayah seperti rompakan, penculikan, curi kereta mewah, penyeludupan dan tipu kad kredit. Termasuk juga jenayah jalanan seperti ragut, curi motosikal, merempit, buli dan entah apa lagi istilahnya.


2-
Kongsi Gelap atau gangsters adalah merujuk kepada kumpulan yang melakukan jenayah dan kumpulan tersebut tentunya tidak berdaftar. Jika menyelak sekejap di perkongsian info free encyclopdia[4] iaitu diberitahu bahawa kongsi gelap di Malaysia bermula pada era' kedatangan pelombong-pelombong bijih timah dari Tanah Besar China yang dibawa masuk oleh Hindia Timur British ketika itu.

Kebanyakan pelombong tersebut adalah pengikut setia 'Tentera Merah'[5] ketika Dinasti Ming yang telah dijatuhkan oleh Dinasti Qing. Asalnya mereka yang juga dikenali sebagai Hong Mun-kod 3821 mahu mengumpul ahli-ahli baru dan dana kewangan bagi tujuan menentang Dinasti Qing tetapi oleh kerana ada segelintir ketua dan ahlinya yang tamak lalu kumpulan itu dijadikan kumpulan kongsi gelap.

Barangkali bolehlah dikatakan bahawa era' kongsi gelap bermula akhir tahun 1824 dimana orang Cina mula melombong bijih timah di Lukut dan Sungai Ujong.  Selepas itu Long Jaafar [wakil Sultan]  telah menemui bijih timah di Larut pada tahun 1848.  Maka pelombong Cina berebut datang dari Pulau Pinang ke Larut. Dalam tahun 1862 jumlah bilangan pelombong-pelombong Cina bertambah sekitar 20,000 hingga 25,000 orang. Antara kongsi gelap terkenal waktu itu ialah Hai San dari puak Khek dan Ghee Hin dari puak Kongfu. Kongsi gelap ini ditubuhkan bagi melindungi kaum mereka termasuk mengawal pengaliran air, candu, arak, judi dan pelacuran.

Dari dua kumpulan besar kongsi gelap, lama kelamaan berkembang dan beranak pinak menjadi masalah negara  antaranya dikenali sebagai kumpulan Tiga Maharaja, Tokong Lima Beradik, 13 Pedang dan Naga Merah. Ada juga kumpulan yang hanya mahu dikenali dengan nombor bermula dengan 01234567890 gitu!

Salah satu kumpulan yang menggunakan nombor ialah kumpulan kongsi gelap 35 atau Geng SatuHati. Dari sumber yang boleh dipercayai, kumpulan ini aktif di Kedah dan dianggotai 100 persen kaum India. Asal kumpulan 35 adalah dari kaum Cina dan sedikit ahlinya dari kaum India. Bila sudah ramai ahli-ahli dari kaum India maka ahli kaum Cina keluar dan menubuhkan kumpulan baru. Kumpulan 35 ini juga gemar menggunakan lambang atau tatoo di badan seperti haiwan liar, mitos, senjata api bagi menunjukan keganasan dan kekejaman.

Ada juga ahli-ahli kongsi gelap yang terbunuh atau kantoi[6] dan dikurung menggikut akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-Langkah Khas] SOSMA 2012  atau  ada juga yang dibuang daerah. Untuk menambah ahli baru, kumpulan kongsi gelap telah berusaha meracuni akal fikiran pelajar-pelajar sekolah dari keluarga miskin, pelajar nakal dan termasuk juga pelajar yang tidak cukup pintar ketika dalam kelas. Ini terbukti apabila 40 pelajar ditahan selepas tersebarnya klip video meraikan kumpulan Geng24 dan Geng35 diluar sekolah.

3- Dadah
Sejenis bahan yang digunakan untuk merawat penyakit bagi mengurangkan simptom[7] atau mengubah suai proses kimia di dalam badan. Sekiranya dimakan secara normal tidaklah dianggap sebagai dadah melainkan ubat itu diambil berlebihan untuk tujuan tertentu.

Berbalik kepada zaman bijik timah. Sewaktu kemasukan pelombong dari Tanah Besar China secara beramai-ramai melalui pelabuhan Singapura, mereka membawa sekali kumpulan samseng, pelacur, arak dan dadah jenis candu[8]. Tujuan pelombong-pelombong tersebut semata-mata mahu mendapat keuntungan besar sekiranya pelacur, arak dan candu itu dijual kepada pelombong-pelombong Cina. Seperti bidalan Melayu Sambil menyelam minum air gitu!



Tidak ketinggalan juga pelombong-pelombong dari Eropah yang datang barangkali membawa sekali doktur, arak dan 'drug' sebagai ubat-ubatan bagi tujuan farmasi seperti morfina, heroin, kodeina, opioid, alkohol, kafeina, steroid anabolik dan lain-lain.

Selepas zaman beralih zaman. Beberapa negara berebut kuasa dan berlaku huru-hara dan peperangan. Dari kesan peperangan itu timbul  pelbagai penyakit, lalu ahli-ahli kimia berusaha mencari kaedah baru bagi tujuan mengurangkan sakit dan menyembuhkan penyakit. Antara drug popular dalam pasaran zaman ini ialah methamphetamine[9] atau dikenali juga sebagai syabu, ice, batu kristal dan kaca diamond.


Kesan daripada pengambilan dadah jenis syabu yang berlebihan boleh menyebabkan tingkah laku menjadi agresif, kekadang resah, terlebih yakin diri, boleh berjaga [tanpa tidur] sehingga dua-tiga hari. Penagih juga terkena penyakit sampingan seperti kulit kering, gatal-gatal, hilang daya ingatan, strok atau terus mati.

Tidak siapa boleh menjangka  waktu tiba kematian termasuk newbies[10] atau penagih tegar. Seperti yang pernah aku coretkan dalam entri Pesta, Muzik & Dadah[11] dimana terdapat enam remaja maut ketika turut serta dalam Konsert Future Music Asia. Dalam konsert atau parti-parti liar, kebiasaannya tokan-tokan[12] akan menjual dadah jenis baru sebagai  uji-kaji kepada remaja  atau penagih tegar. Apabila pil yang ditelan lambat memberi kesan lalu menelan sebiji lagi dan lagi. Mula-mula khayal, overdos dan akhirnya mungkin membawa kepada kematian mengejut.


4-
Pelacur dikatakan kerjaya tertua didunia. Ia merujuk kepada kerja atau menyediakan khidmat seksual. Ada beberapa sebab terjadinya kerjaya ini antaranya akibat tekanan ekonomi yang tidak menentu, masalah sosial, dorongan nafsu atau ayat yang lebih tepat [jika mereka yang beragama Islam] ialah Iman senipis kulit bawang.

Pelacur yang awal diseludup ke Tanah Melayu barangkali ketika kemasukan beramai-ramai pelombong bijih timah warga Cina dari Tanah Besar China. Kemudian perniagaan tersebut yang dikuasai oleh kongsi gelap telah berkembang ikut zaman dan tamadun. Kebanyakan pelacur ditempatkan disebuah rumah kedai, flat, bar dan kelab malam. Mereka dikawal oleh ahli-ahli kongsi gelap. Ada juga pelacur yang ditempatkan disebuah banglo mewah. Mereka ini [pelacur] lebih dikenali sebagai callgirl[13].

Pelbagai cara pelacur mencari makan. Ada yang secara solo, hanya merayau-rayau dijalanan mencari pelanggan dengan menawarkan harga murah. Ada juga yang licik, bergerak di shopping mall, supermarket, lobby hotel atau dicafe dan restoran. Mereka ini biasanya terdiri gadis-gadis cantik, isteri orang atau janda begetah yang mahu mendaptkan wang lebih.

Bukan aku sengaja hendak memfitnah sesiapa tetapi memang kenyataan dimana terdapat pelacur elit seperti pelajar universiti, artis atau gadis pekerja pejabat yang mencari pelanggan banyak duit  di coffee house atau restoran terutama di hotel-hotel mewah dan kelab-kelab orang kaya. Mereka mencari makan cara mudah disebabkan mahu meneruskan kelangsungan hidup gaya mewah, macam bintang-bintang  Hollywood gamaknya!

Rumah-rumah pelacuran bertambah banyak dan tidak semua yang digelar pelacur itu rela hati untuk menjadi pelacur. Ada setengah gadis yang telah dirogol atau dipaksa oleh bapa tiri atau juga terpaksa dijual kepada ibu ayam[14] kerana terdesak untuk melunaskan hutang Ahlong. Ada juga yang kena kelentong. Dijanjikan pekerjaan sebagai pelayan di restoran dengan gaji yang lumayan konon tetapi dikurung dan dipaksa menjadi pelacur. Ada juga pelacur yang didatangkan khas dari negara-negara jiran dan ada juga pelacur dari negara barat yang masuk guna pas pelancung yang akhirnya melencung gitu!


5-
Judi! Satu lagi penyakit masyarakat hari ini. Punbegitu masih ramai orang Islam memperjudikan nasib mereka dengan membeli tiket ramalan toto dan empat nombor ekor. Perbuatan atau permainan yang menjurus kepada judi sememangnya perlakuan yang tidak adil. Itu sebab ulama Islam bersepakat mengharamkan judi.

Perbuatan berjudi memang telah lama berlaku. Seperti yang diceritakan oleh P.Ramlee dalam filem Ali Baba Bujang Lapok[15] iaitu watak salah seorang penyamun [Ibrahim Pendek] telah pergi ke Kota Bagdad sambil mengajak orang ramai berjudi buah dadu. Malah, tanpa disedari bibit-bibit judi itu juga sudah bermula ketika aku masih kecil lagi.

Dolu, ada penjual icecream yang menggunakan teknik pemasaran cara berjudi. Biasanya seorang lelaki tua berbangsa China yang di panggil Apek, menunggang basikal, membunyikan loceng dan dibelakangnya ada peti icecream yang ada gambar-gambar icecream. Jika hendak membeli sepotong icecrem kena pusing digambar tersebut kalau nasib baik boleh dapat dua atau tiga potong icecream. Biasanya hanya dapat sepotong sahaja.

Kemudian judi itu menular kepada pelajar sekolah dimana pada asalnya hanya suka-suka bermain bukak buku[16] dengan taruhan 10 sen hingga 50 sen. Lama kelamaan menjadi ketagih. Pelajar yang kalah biasanya tidak pergi ka kantin kerana duit yang diberi oleh ibu bapa telah habis diperjudikan. Kira puasalah!



Bila tiba musim bola piala dunia misalnya, tanpa disedari kita terjebak pulak dalam pertaruhan. Semuanya kalau boleh hendak diperjudikan termasuk ketika bermain carrom, ping-pong, badminton atau lain-lain sukan. Yang kemaruk judi biasanya akal fikiran hanya terfokas pada judi sahaja. Lain-lain hal diabaikan. Kaki judi biasanya sering menghadapi masalah kewangan dan mengatasinya dengan cara tidak lojik.

Bila pokai, kaki judi mulalah buat kerja  kurafat[17] dengan meminta bantuan pada alam gaib seperti pergi berjumpa bomoh, ke- kubur lama atau yang lebih teruk sanggup meminta pertolongan kepada Tok'Pekong China. Untuk mendaptkan modal bermain judi ada juga yang pinjam sana-pinjam sini. Tutup lubang sana korek pula lubang baru. Jika tidak dapat meminjam dengan keluarga atau kawan-kawan, ceti haram seperti Ahlonglah mengambil tempat sebagai bank pinjaman mereka.

6- Sebelum zaman tv hitam putih lagi Ceti India[18] dan pajak gadai Cina sudah bertapak di Tanah Melayu. Jika di Kuala Lumpur ceti berlesen yang kebanyakan milik  kaum India terletak disepanjang rumah kedai di Lebuh Ampang. Cara berpakaian ceti India boleh di lihat melalui babak dalam filem Anak Bapak dimana watak ceti sedang menuntut hutang dari Harun iaitu watak yang dipegang oleh P. Ramlee.

Lama kelamaan Ceti India hilang daripada radar dan  kedai pajak gadai Cina[19] masih kekal sehingga hari ini. Mungkinkah satu hari nanti pajak gadai Cina juga akan hilang dari ingatan masyarakat Melayu bilamana telah ada pajak gadai yang menawarkan bebas dari unsur riba. Salah satu pajak gadai tersebut ialah Pajak Gadai Ar-Rahnu Bank Islam yang memberi pinjaman sehingga rm50,000 dengan kadar upah simpan yang rendah.
 

Apabila ceti India tidak lagi berurus niaga, ada pulak penggantinya iaitu AhLong. Perkataan AhLong itu bermaksud 'naga' milik kaum Cina secara persaorangan atau kumpulan yang menawarkan pinjaman kewangan secara haram pada kadar faedah yang sangat tinggi. AhLong mensasarkan kepada peminjam kaki judi, mereka yang black list atau yang di-isytihar muflis.

Peminjam yang gagal membayar hutang pada masa yang ditetapkan akan diugut, diancam dengan keganasan. Antaranya dengan menyembur, menyimbah dan menconteng dengan cat merah pada dinding rumah atau bangunan milik si peminjam bagi tujuan mengugut serta memalukan peminjam tersebut. Ceti haram seperti AhLong biasanya dikaitkan dengan kegiatan jenayah dan kongsi gelap.

7- Kesimpulannya jika dilihat atas kertas dan difikir secara lojik akal, tentulah PDRM dapat membenters kongsi gelap dengan berpandukan sistem organisasi yang sangat terancang. Malah PDRM sehingga kini telah mempunyai lapan jabatan termasuk satu jabatan baru iaitu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standad [JIPS].

Jabatan Integriti memang penting dalam satu-satu organisai dan ianya seakan sama penting seperti Jabatan Risiko dalam sebuah syarikat perniagaan. Tentulah tujuan Jabatan Integriti untuk memantau disiplin dan prosedar operasi standad [SOP] dalam semua jabatan kepolisian gitu!

Akhir kata, walaupun pada setandan pisang yang masak itu ada sebiji dua yang busuk tidak bermakna keseluruhan pisang yang bersisir-sisir itu rosak.  Semestinya kena cepat bertindak, dengan membuang sebiji dua pisang yang busuk itu agar tidak merebak. Adakah 'Kerana Setitik Nila-Rosak Susu Sebelanga' - Walahuaklam!



Nota Lutut:
[1]Bukit Aman [2]SPRM [3]Ahlong [4]Info Free [5]Tentera Merah [6]Kantoi [7]Simpton [8]Candu [9]Menthampnetamine [10]Newbies [11]Pesta Muzik & Dadah: Entri bertarikh 23 April 2014 [12]Token [13]Callgirl [14]Ibu Ayam. [15]Ali Baba Bujang Lapok [16]Bukak Buku [17]Kurafat [18]Ceti India:

No comments:

Post a Comment