Malayan Mansion
1- Hujung minggu itu kami duduk melepak disalah satu meja Mamak Corner, dibawah flet Malayan Mansion tidak jauh dari Masjid India. Ramai pelanggan sedang menikmati teh tarik dan ruti banjir. Ada anak muda yang datang secara solo ada pula yang tua datang secara berkumpulan. Mereka duduk rapat kekadang berlaga bahu disebuah meja berkilat tanpa peduli wap panas yang datang dari kuali leper tempat membakar ruti canai.
Aku minum sedikit demi sedikit teh tarik. Teh tarik yang panasnya suam-suam kuku itu sangat sesuai dinikmati berbanding jika sudah sejuk. Si Hosni pula membiarkan seketika air kopi itu terhidang diatas meja. Aku lihat, asap nipis yang keluar daripada air kopi itu masih lagi panas, meliuk-liuk menari, naik keatas lalu bertembung dengan asap rokok seorang lelaki Melayu separuh umur.
Di luar Mamak Corner, kelihatan orang ramai mundar-mandir. Cuaca panas sejak pagi tadi masih lagi berlarutan membawa ke tengahari. Dari jauh, di celah-celah orang ramai nampak kelibat si Idris bersama si Baha berjalan masuk menuju meja tempat kami melepak. Sebenarnya, bukan tidak ada tempat yang lebih menarik di Kolumpo ini untuk dijadikan tempat pertemuan. Tetapi kami sudah terbiasa dengan suasana hiruk-pikuk dan rasa teh tarik di Malayan Mansion.
2- Aku mula bicara tentang rancangan aku. Aku bagitahu kepada rakan-rakan iaitu Aku Hendak ke Ipoh! Si Idris sengih. Baha dan Hosni bertanya bila gerangan hendak berangkat. Baha menyampuk! Untuk ke Ipoh bukan macam dolu-dolu, terpaksa memandu berjam-jam. Sekarang kita boleh pergi ke Ipoh untuk sarapan pagi dan balik selepas makan tengahari dengan hanya menggunakan perkhidmatan ETS, ujar si Baha.
Aku ke Ipoh kerana hendak ziarah sahabat lama si Sohimi Mohd Tahir sambil itu aku hendak singgah di Kellie's Castle, Gua Tempurung atau sekadar melihat-lihat lukisan mural didinding sekitar bandar Ipoh. Mendengar cadangan aku, si Baha berminat untuk turut serta. Begitu juga si Idris dan Hosni. Si Baha cadangkan pergi Ipoh, tidur semalam dua, kemudian lajaklah ke Pulau Pinang.
Kami setuju dengan cadangan si Baha iaitu lajak ke Pulau Pinang. December Banckpakers kami akan bermula pada pagi Selasa [26|12|17] dengan menggunakan perkhidmatan ETS. Sebaik sampai di Ipoh nanti, call Sohimi dan ajak sekali ngeteh atau pekena kopi diScienco Kafejo [rakan fb] yang lokasinya terletak di Bandar Meru Raya, Ipoh. Kemudian kami mahu ronda-ronda sambil melihat lukisan mural atau ke Art of OldTown yang lokasinya entah dimana, aku sendiri pun belum pasti.
Sambil ronda-ronda di bandar Ipoh bersama Sohimi sebagai pemandu arah, kami akan singgah di stesen KTM untuk menempah tiket bagi perjalanan dari Ipoh ke Butterworth esuk harinya. Jika ikut perancangan pada 28 December kami tentunya sudah berada disekitar Georgetown untuk mendapatkan bilik murah atau terus sahaja menaiki bas rapid ke Teluk Bahang. Dari situ nanti tentulah lebih dekat untuk sampai ke Penang National Park.
No comments:
Post a Comment