04 December 2017

ke CUKAI KEMAMAN [3]


Cherating

1- Sejuk pagi disekitar Kampung Cherating tidak melunturkan semangat kami untuk bangun mandi dan solat. Usai solat subuh, isteri aku bersiap-siap dihadapan cermin. Aku pula membuka tingkap kaca dan melihat kearah laut. Kedengaran deru ombak menghempas pantai. Pasir pantai yang memutih itu gigil kedinginan bila disiram ombak. Buih-buih turut beraksi di-gigi pantai dengan asyik sekali.

Pukul 08.10 pagi kami sampai di ruang makan Tanjung Inn. Sudah ada beberapa tetamu menunggu sarapan ala carte di hidangkan. Kami terus sahaja mengambil secawan kopi dan duduk dihujung sekali. Seorang pekerja wanita datang mengucapkan selamat pagi dan mengambil pesanan. Tidak lama menunggu dua pinggan ruti bakar bersama telur mata kerbau, seketul butter dan jam terhidang dimeja kami.


Usai sarapan, kami tinggalkan perkampungan Cherating menuju Cukai Kemaman. Perjalanan hanya memakan masa 30 minit untuk sampai ke bandar Cukai yang mempunyai penduduk lebih 100,000 ribu orang dan terletak pada latitud 4 15' Utara dan longitud 103 25' Timur, yang bandarnya bersempadan dengan negeri Pahang.

Kami mempakir kereta di-ruang petak kosong ditepi jalan, berhampiran muara Laut China Selatan. Isteri aku mahu ke pasar membeli-belah. Aku pula mahu berjalan-jalan melihat bot-bot nelayan berlabuh di-muara juga mahu merakam bangunan bersejarah. Kami berpisah!


Tidak sampai 30 minit aku mengheret kasut, ikut laluan siar kaki ditepi muara lalu aku berpatah balik ke tempat letak kereta. Isteri aku tiada disitu. Aku menelefon isteri aku memberitahu aku telah selesai merakam gambar dan mahu ke pasar. Isteri aku pula ontheway katanya. Isteri aku setuju untuk berpatah balik menuju pasar kerana aku mahu merakam sekeping dua pergerakan orang ramai membeli-belah di pasar Cukai Kemaman.


Di pasar, ramai yang hadir berdagang. Serai, pandan, kelsum dan bunga kantan itu biasa. Ada yang berjualan, petai, jering, ikan dan ayam. Hingar-bingar. Pasar pagi itu hanyalah tempat orang berjual beli tetapi jika kita terleka, pasar itu juga tempat menjerat diri kita dengan hawa nafsu. Tanpa kita sedari barang yang tid
ak perlu pun kita beli. Ah! Ruginya kita jadi pembeli jika kita juga lupa adab berjual beli.

Aku telah merakam didalam kawasan pasar. Kami berjalan keluar menuju gerai buah-buah ditepi jalan. Isteri aku membeli tiga biji buah mangga. Kemudian teringin pula hendak merasa buah durian lalu membeli sebiji. Si penjual membelah buah durian lalu memasukkan kedalam bekas plastik. Sebelum si penjual itu menutup bekas  plastik lut sinar itu, isteri aku menyambar seulas. Tak sabar nak rasa, katanya. 


Sebelum kami tinggalkan bandar Cukai, kami singgah di gerai, minum sambil berbual-bual tentang aktiviti selepas ini. Lebih kurang pukul 1045 pagi, kami gerak ke arah Kuala Kemaman. Singgah di Restoran Aziz Satar yang turut menjual ikan, udang serta ketam goreng bertepung. Kami hanya sekadar meminta satu gelas ais lemon tea, satu set satar dan satu set otak-otak.

Bukan kerana makanan laut bergoreng itu mahal harganya tetapi aku memang alah makanan laut terutama udang dan ketam. Lagi pun, ketika makan diluar kenalah berhati-hati terutama tentang kebersihan persekitaran serta hasil tangkapan dari laut. Manalah tahu jika tersilap makan mungkin kita juga termakan partikel plastik yang dibuang kelaut setelah ditelan oleh hidupan laut yang bercengkerang seperti kupang misalnya.


2- Tengahari cuaca redup di Kuala Kemaman. Kami minta bungkus satu set satar dan otak-otak untuk dibawa balik ke tanah kebun sebagai buah tangan. Ketika kereta melepasi sempadan Kemaman, kami berhenti pula di-kedai tepi jalan yang menjual keropok lekor. Selesai membeli sedikit keropok lekor, kereta terus meluncur laju menuju Kampung Cherating.


Kami akhirnya sampai dichalet dengan selamat dan terus sahaja menyimpan keropok lekor, satar dan otak-otak kedalam peti sejuk yang memang tersedia didalam bilik kami. Ulas-ulas durian pula kami nikmati sambil telinga mendengar keriuhan anak-anak bermain di-tepian pantai. Selepas waktu Asar kami keluar untuk minum petang dan berjalan-jalan pula ke pantai.

Di-pantai, isteri aku menanggalkan seliper dan terus sahaja memijak pasir dan berjalan ke-arah air laut yang sedang surut. Di-rendam  kakinya kedalam air laut yang masin itu. Retina aku beralih pula kepada sekumpulan remaja yang sedang bermain bola pantai. Di-satu sudut pula, kelihatan beberapa  orang pekerja  sedang bertungkus lumus menyiapkan pentas untuk pesta surfboard hujung minggu ini.

Kami asyik di-pantai hingga tidak sedar waktu telah bertukar senja. Senja membawa ke malam. Malam itu aku dengar rintik gerimis. Kami gagahi juga berjalan kaki keluar mencari makan. Salah satu kedai makan yang beroperasi sehingga larut malam, di Nabil Cafe. Malam itu  ramai pelanggan termasuk pelancung Mat Salleh. Kami memesan nasi goreng kampung kerana ia mudah dan cepat disediakan.

Selesai bayar harga makanan, kami bergegas balik ke chalet. Malam itu hujan turun telah membersihkan jelaga serta sulfar di ruang udara. Esuk pagi, kami akan tinggalkan Kampung Cherating bersama kenangan. Kenangan itu tidak ubah seperti hujan yang menghantar rindu. Rindu itu sering kali menyentuh mimpi ketika aku terlena. z-z-Z-Z-Z!


No comments:

Post a Comment