27 April 2018

[2] Jungle Treckking | Canopy Walkway


Kg Kuala Tahan

Sinar matahari telah memancar ikut celah-celah dahan dan cahayanya bertompok pada hujung-hujung daun. Burung-burung mula bersiul, meriuhkan alam pagi. Aku, Baha dan Idris bersiap-siap untuk keluar bersarapan disebuah dewan terbuka berhampiran chalet yang kami tumpangi. Dengan mengendong daypack bag yang diisi dengan sebotol air mineral, tuala good moring dan sedikit makanan ringan, kami bertiga gerak ke dalam dewan makan.


Usai besarapan pagi itu kami terus ke jeti, menaiki bot tambang, bayar rm1.00[1] seorang untuk menyeberang sungai ke Pejabat Perhilitan. Mendaftar untuk aktiviti jungle treckking ke Cenopi Walkway yang dikatakan terpanjang di dunia. Idris isi borang dan aku mendaftar di kauter untuk bayaran 'permit masuk' rm1.00[2], lesen kamera rm5.00[3] dan tiket Canopy Walkway rm5.00 seorang[4].


Walaupun banyak aktiviti rentis [junggle treckking], kami memilih untuk rentis ke Canopy Walkway kerana Baha dan Idris belum pernah lagi melakukan aktiviti berjalan di atas titi tergantung. Jarak antara Park Centre [Pejabat Perhilitan] ke Canopy Walkway ialah 1.7km. Biarpun tidak begitu jauh berbanding rentis ke Bumbun Tabing - 3.1km atau rentis ke Bumbun Kumbang yang jaraknya 11km tetapi hati gumbira bila dapat melihat keindahan alam ciptaan Tuhan.


Sambil berjalan dilaluan yang telah di sediakan, retina kami dapat melihat betapa indahnya flora dan fauna bersahabat. Kami dapat menangkap bahasa alam antara pepohon yang merimbun, jeritan cengkerik dan decitan burung-burung. Riang, bebas sebebasnya!

 

2- Kami berjalan dan terus berjalan. Berjalan berhati-hati kerana permukaan jalan yang kadang-kadang basah dan berlumut. Sesekali bertembung dengan kumpulan yang sama minat. Mereka seperti kami, sedia mengheret kasut, bermandi peluh kerana semata-mata mahu melihat hijaunya warna alam. Kasut pula ada bermacam-macam warna yang telapaknya pasti berbunga. Ada yang bergaya dengan jungle boots, ada juga yang memakai tactical boots tetapi lebih ramai yang memakai kasut casual sneakers.


Di sini semuanya indah dan menawan. Kami lupa seketika tentang pilihanraya [PRU-14], pasal kes pembunuhan imam dan pensyarah dari Palestin, Allahyarham Dr. Fadi Mohammed Al Batsh di Setapak atau berita tentang huru-hara di Syria, jenayah yang dilakukan Isreal terhadap penduduk Palestin atau kisah sedih pelarian Rohingya yang terpaksa menghadapi musim monsun dalam kemah-kemah sementara di Cox's Bazar. Di sini tidak ada huru-hara!



Seekor rama-rama putih terbang, melintas di hadapan kami. Sayup-sayup kedengaran siulan mergastua. Angin tidak bertiup. Bunyi air mengalir dari sungai. Pelacung kepanasan, berlengeng sambil membilang anak tangga bersama beberapa orang wanita. Kami terus berjalan dan telah melepasi Tapak Hantu. Setelah begitu lama berjalan akhirnya kami sampai di pintu utama Canopy Walkway.


Kami tunjukkan tiket Titian Silara [canopy walkway] kepada petugas Perhilitan. Di belakang tiket itu ada tercetak tentang peraturan iaitu 'Sebarang kemalangan, kecederaan atau kematian adalah tanggungjawab pelawat sendiri semasa berada di titian silara'.


Titian yang kami lalui ini hanyalah sekeping papan dan di kiri kanan titi itu telah di ikat kuat dengan jaring keselamatan. Mereka yang gayat pasti sukar untuk berjalan di atas titi itu kerana ketika di pijak akan bergoyang-goyang. Kepada pompuan yang minat sangat dengan kerjaya modeling elok sangatlah belajar bejalan cat walk di sini, ujar si Baha ketawa dan si Idris angguk kepala tanda setuju barangkali.


3- Angin tengahari berhembus, daun-daun kering berterbangan jatuh di perdu. Kami bertiga pulang mengikut jalan yang kami datang. Setelah penat berjalan kami sampai di simpang tiga, ada papan tanda. SiBaha mahu jalan panjang, tambah lagi 600 meter. Aku dan Idris mengikut sahaja. Akhirnya pada pukul 0105 lebih kurang kami sampai di Park Centre dengan selamat. - Cut!
Nota Lutut :
[Perbelanjaan Hari Ke-2]

[1]Bayar Bot Tambang Rm1.00
[2]Permit Masuk ke Tmn Negara Rm1.00
[3]Lesen Kamera utk sebuah Rm5.00
[4]Tiket ke Canopy Walkway Rm5.00

Jumlah : Rm12.00 sahaja.

No comments:

Post a Comment