Kuala Lumpur
Jam berdetik dari saat ke saat. Detik waktunya telah melangkah pada jarum tepat 9.00 pagi. Aku baru sahaja menyusup masuk melalui lorong sempit di sebelah kanan lift menuju lokasi yang telah janjikan. Temu janji di antara Baha, Idris, Hosni dan Mazlan seperti biasa, iaitu di Mamak Corner, Malayan Mansion, Jalan Masjid India.
Di Mamak Coner kelihatan sudah ramai pelanggan sedang bersarapan. Sebaik aku duduk di salah sebuah kerusi pelastik berwarna hitam, segera datang seorang lelaki India Muslim, memegang tuala Good Morning yang sedikit lusuh, mengelap meja sambil bertanya:
"Mahu minum apa"
"Teh tarik. Telor setengah masak"
"Makan?"
"Saya mahu makan pisang saja"
Lelaki India itu berlalu. Tidak sampai beberapa saat, teh tarik yang aku pesan telah terhidang di atas meja. Begitulah pantasnya layanan dari seorang pelayan lelaki India. Yang pastinya, pelayan di gerai atau restoran Mamak pasti akan bertanya dua soalan yang sering kita dengar iaitu mahu minum apa dan mahu makan apa.
Perbezaan sedikit ketara antara pelayan di gerai atau restoran Melayu dengan gerai Mamak. Di gerai milik orang Melayu, pelayan hanya bertanyakan tentang mahu minum apa dan tidak bertanya kepada pelanggan hendak makan apa. Kekadang terpaksa pula kita meminta pelayan itu mengelap meja dahulu sebelum mengambil pesanan kerana di atas meja ada beberapa butir nasi dan habuk rokok.
2- Telur setengah masak telah di letakan di atas meja bersama kicap dan serbuk lada sulah. Aku tidak perlu memecahkan telur tersebut kerana telur setengah masak itu di hidang kepada pelanggan siap buang kulit gitu. Tugas pelanggan hanya perlu menambah rasa kepada telur tersebut antara hanyir, masin dan pedas lada sulah.
Ketika aku menghirup telur setengah masak yang masih suam-suam panas itu datang seorang pelayan meletakan dua helai kertas tissu berwarna pink di hadapan aku. Aku senyum dan ucap terima kasih kerana pelayan tersebut macam tahu-tahu yang aku perlukan kertas tissu untuk mengelap bibir.
Sambil menghirup telur setengah masak, sekali lagi aku memandingkan menu di gerai Mamak dengan menu di gerai milik orang Melayu. Jika mahu bersarapan di gerai Melayu, aku kena pikir dua kali sebab setengah gerai atau restoran Melayu, menunya hanya berkisar tentang nasi lemak, nasi dagang, pulut sambal, ruti canai, ruti telur, mee goreng atau nasi goreng.
Peniaga Melayu tidak bersedia untuk menjual menu sarapan pagi seperti telur setengah masak, ruti bakar [guna ruti banggali], pisang berangan atau pisang montel. Sedangkan jika kita bersarapan dengan hanya sebiji pisang, ia mampu menahan lapar hingga ke tengahari. Pulaktu, pisang mengandungi kimia seratonin yang merangsang otot licin dalam usus dan norepinefrin yang di gunakan untuk merawat penyakit jantung jenis tertentu. Ia juga mengandungi kalium dan vitamin C. Pisang juga kurang kandungan lemak, kelesterol dan garam[1].
3- Teh tarik masih berbaki setengah gelas. Jika di-biarkan, teh tersebut akan sejuk dan rasanya tidak seperti yang kita harapkan. Aku segera meneguk hingga licin dan memesan segelas lagi teh tarik. Sementara menunggu rakan-rakan tiba, aku layan sebiji pisang montel sambil menikmati rasa teh tarik lalu aku teringat akan tulisan Subky Latif[2] tentang penguasaan perniagaan kaum India di sepanjang Batu Road atau selepas merdeka dinamakan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Ujar Subky Latif dalam buku Istimewa Terkenang yang di terbitkan pada tahun 2009.
'Iaitu ketika beberapa hari sebelum 31 Ogas 1957, beliau berjalan-jalan di sepanjang Batu Road, melihat kesibukan orang menghias Batu Road untuk menyambut merdeka. Dari pengamatan beliau, rata-rata kedai disepanjang Batu Road adalah milik kaum Cina. Orang Melayu hanya berjaja di tepi jalan. Untuk melihat orang Melayu, hanya di Jalan Melayu. Kebanyakannya kedai gunting dan gerai makan. Jalan Masjid India masa itu masih kawasan setinggan.
Ujar Subky Latif lagi, kalau kita berjalan hari ini [maksud beliau pada tahun 2009] di Jalan Tuanku Abdul Rahman, suasana sudah berubah. Kedai-kedai di penuhi dengan kedai orang-orang India. Kedai-kedai orang Cina dulu sudah banyak diambil oleh saudagar-saudagar India. Sekali pandang seperti kedai orang India lebih banyak. Tetapi yang jelas kedai orang India sama banyak dengan kedai orang Cina.
Yang menariknya semasa Tanah Melayu mencapai kemerdekaan tahun 1957 dulu, semua kedai itu diterajui oleh orang Cina. Tetapi dalam waktu yang singkat saja sudah dikuasi oleh orang India. Orang-orang Cina nampaknya bertumpu di pasar-pasar raya. Sambung Subky Latif lagi, jika Jalan Tuanku Abdul Rahman itu boleh dijadikan model pembangunan pesat perniagaan, maka kaum India dikira menjadi kaum yang cekap merebut peluang perniagaan. Tidak diketahui siapa membantu mereka'. - Cut!
4- Jam bewarna kelabu yang tergantung di dinding menunjukkan pukul 9.45 pagi. Idris melangkah masuk. Wajahnya ceria. Idris mengambil tempat disebelah kanan tempat aku duduk. Kami bersalaman. Tidak lama kemudian Baha bersama Mazlan sampai. Adab yang biasa dilakukan iaitu kami berjabat tangan dan bertanya khabar. Mereka berdua mengambil tempat duduk bersetentang dengan kami.
Sambil meneguk sedikit demi sedikit teh tarik kami berbual tentang banyak perkara. Baha memulakan bicara. Ujarnya bukan hendak mengaibkan mana-mana pihak tetapi inilah kenyataan.
"Pasal kes Mak Datin dera amah tulah. Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 15 Mac lalu hanya menjatuhkan hukuman bon berkelakuan baik selama lima tahun. Ada ke patut!"
"Tak patut. Tapi kan, Mak Datin tu udah di kenakan hukuman setipal oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan hukuman penjara lapan tahun. Dah patutlah tu" Celah si Mazlan sambil raut wajahnya mengharapkan jawapan segera dari si Baha.
"Betul, dah kena lapan tahun. Yang aku tak puas hati bukan pasal si Mak Datin tu tetapi pasal Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Aku memanglah tak pandai pasal kes-kes macam nie tetapi kenapa sebelum nie mahkamah jatuhkan hukuman ringan kepada Mak Datin sedangkan itu kes dera dan udah menjadi isu dua negara berjiran".
"Ini barangkali kebijaksaanan peguam yang mewakili Mak Datin masa tu. Hakim Mahkamah Sesyen PJ pun terpedayalah akan hujah-hujah yang dibentangkan oleh peguambela tersebut" Pantas si Idris memberikan jawapan. Aku, Baha dan Mazlan tergelak besar bila si Idris menggunakan ayat hakim terpedaya.
"Geka-gelak juga. Mana Otai Hosni tak nampak bayang pun" ujar si Idris sambil menghabiskan sisa-sisa teh tarik yang berbaki.
"Mugkin Hosni tak dapat datang. Ada hallah tu! Apapun kita terus bincangkan pasal backpacker[3] ke Pulau Perhentian. Aku cadangkan kita pergi pada malam Sabtu, 21hb April naik KTM pukul 1000 malam. Dijangka tiba di Wakaf Bharu pukul 1000 pagi esuknya. Dari Wakaf Bharu naik teksi ke Kota Bharu hanya rm20.00"
"Dari Kota Bharu ke Kuala Besut kita naik apa Man?"
"Ok Baha! Kita naik bas jimat sikit. Di Kuala Besut kita naik bot ke Pulau Perhentian. Yang tu [naik bot] urusan si Bahalah pasal dia dah pernah pergi menyelam di Pulau Perhentian."
"Ok! Aku setuju tetapi berapa hari nak melepak kat Pulau Perhentian? Soal Si Idris.
"Gini! Kalau ikut cadangkan si Baha, kita kena duduk kat pulau dua hari. Baru puas. Lepastu dari Pulau Perhentian kita ke Kuala Trengganu dengan bas dan tidur semalam. Dari Kuala Trengganu ke Kota Bharu dan tidur semalam. Dari Kota Bharu ke Wakaf Bharu, beli tiket untuk balik ke KL Sentral. Taktaulah aku tiket balik KL pukul berapa. Hehehe!"
5- Waktu terus melangkah pantas. Menghampri pukul 1115 pagi, Idris memanggil pelayan. Kira semua! ujar si Idris. Usai si Idris membayar harga sarapan pagi untuk empat orang kami pun berpisah. Si Baha dan Mazlan balik ke Gombak dengan menunggang motosikal. Idris balik ke Kampung Pandan menggunakan perkhidmatan Lrt. Aku pula, mahu bersiar-siar di sekitar Masjid Jamek, Bangunan Sultan Abdul Samad dan clock tower yang terletak berhampiran Pasar Seni. Hajat hati ingin merakam landscape, architecture, street dan person in the city menggunakan compact camera! - Cut!
Maksud:
[1]Info Pisang : Di kutip dari buku Terapialami - Buah Khasiat Makanan & Ubatan tulisan Ong Hean Chooi.
[2]Buku Istimewa Terkenang dari Subky Latif adalah koleksi 29 artikel pilihan di ruang kolum mingguan beliau iaitu Terkenang Semasa Dulu di akhbar tabloid SIASAH yang tersiar sejak tahun 2006.
[3]Backpaker : Mengembara cara murah dengan mengendong beg besar di belakang [bacpack]. Menggunakan perkhidmatan awam seperti keretapi, komuter dan bas. Kalau boleh tumpang lori atau pick-up lagi jimat! Menginap di hotel badget atau berkemah. Makan di gerai-gerai tepi jalan. Mereka yang suka kepada aktiviti backpacker ialah orang yang telah bersedia untuk keluar dari zon selesa. Jadilah pengembara bukan pelancung! -[Mj]
No comments:
Post a Comment