20 September 2016

dan datangnya amat pasti!


di langit belah timur,
sekawan awan berarak perlahan
sesekali angin semilir berpuput dari arah bebukit.

petang yang redup itu - isteriku di dapur.
bau lempeng pisang yang garing dan manis
mengapung di udara.

tidak lama, kopi pahit dan lempeng pisang
terhidang diatas meja.
wangi bau kopi dan lempeng pisang berpadu.

angin datang lagi
menghantar kesegaran.

aku bersama isteri duduk di depan pondok
memerhati daun-daun buluh menar-nari
yang kering yang nipis ikut menari
lalu gugur mencium bumi.

aku dan isteri  sedar, masa sudah berlalu
seperti daun-daun buluh yang kering itu.
dan datangnya amat pasti!

                     [ 17 Sept 2016 - Tanah Kebun - Lancang]

18 September 2016

MALAM RAYA AIDILADHA


             
    Malam Raya Aidiladha



Hari sedang senjakala.
Matahari merah di kaki langit sewaktu aku mandi dan berwuduk. Usai menunaikan solat Magrib kami berdua ke dapur. Isteri aku memanaskan nasi putih dan rendang tiga rasa[1] yang masih berbaki. Terung panjang dibelah dua, dan direbus. Aku menguatkan suara radio. Takbir berkumandang. Esuk hari raya haji. 


Diatas meja terhidang nasi, sepinggan rendang, terung rebus
juga  sepiring sambal hitam dan sebotol kicap manis-pedas jenama Mahsuri. Makan malam yang ringkas. Selesai makan. Isteri aku mengosok baju. Aku memegang buku antologi cerpen Indonesia-Malaysia[2] yang aku beli dua tahun lalu di PWTC. Ya!  Dua tahun lalu aku sudah habis membaca secara fast reading.

Kali ini aku hanya mahu membaca semula  cerpen-cerpen yang aku kira menarik perhatian aku. Sejujurnya, kesemua 20 antologi cerpen di dalam buku ini adalah yang terpilih kerana penulisnya mempunyai latar belakang dan dialek  bahasa yang berbeza. Antara penulis tersebut ialah Soesi Sastro-Lampion Merah dan Oncor[ms3-5], Faridah AbdulHamid-Perempuan Bersimpuh Sedih[ms49-51], Free Hearty-Dialog Dua Generasi[ms63-65], Ilham Q.Moehiddin-Mencuri Perahu [ms117-119], Nenden Lilia A.-Lais[ms147-151], Naning Pranoto -Perempuan dari Sorrento[ms181-183], Khoiriyyah Azzaharo-Pudarnya Impian Uma' [ms211-213] dan aku terhenti disini.

Wung!Wungg!Wunggg!

Diluar anjing menyalak. Aku menutup buku antologi cerpen, bangun lalu mencapai lampu suluh. Aku menjenguk di tingkap. Menyuluh kearah suara anjing. Dalam gelap yang disinari cahaya lampu kalimatan dari kabin dihujung jalan, kelihatan beberapa ekor anjing. Mata-mata anjing bersinar apabila terkena suluhan lampu dan anjing-anjing itu berhenti menyalak.

Aku membuka semula buku antologi cerpen. Isteri aku, selesai mengosok baju terus sahaja masuk ke dapur. Katanya, mahu merebus tulang lembu dan nasi himpit buat makan dipagi raya Aidiladha. Aku pula sambung membaca cerpen 'Pudarnya Impian Uma' yang merupakan Pemenang Cerpen Unggulan Utama Lomba Menulis  Cerpen Obor Award 2013 ditulis oleh Khoiriyyah Azzahro.[3]
          


P
e
nulis berdarah Banjar ini adalah seorang guru bahasa Inggris dan berdomisili[4] di Banjarmasin, Kalimantan Selatan. Beberapa karyanya antara lain pernah dimuat di Majalah Kawanku, Tabloid Gaul, Tabloid Serambi Ummah, Harian Banjarmasin Post, Harian Radar Banjarmasin, Harian Media Kalimantan serta beberapa media online.

Meminjam kata-kata dari Naning Pranoto [Yayasan Pustaka Obar Indonesia] iaitu:


"P
udarnya Impian Uma' karya Khoiriyyah Azzahro telah mengangkat kesuraman kehidupan dan lingkungan  Suku Banjar di era Globalisasi. Keindahan sungai yang dibanggakan tidak hanya keruh airnya, tapi juga keruh masa depan orang-orang yang menggantungkan nasib dari sungai yang dulu berwibawa dan berkekuatan bak raja sakti dan bijaksana itu. Melalui bahasa sastra dipadu dengan jargon-jargon
[5] bahasa Banjar, membuat cerita ini menjadi berkilau dan sekali gus memancing tumpahnya air mata". - [Naning Pranoto : Tetes-tetes tinta Pembuka Cerita Pendek Indonesia].


"Allahu akhbar Allahu akhbar"



Azan Isya bergema dari corong radio. Seperti yang pernah aku dengar dari Ustaz ketika kuliah Magrib iaitu azan itu bermaksud seruan untuk mengerjakan solat fardu. Orang-orang yang mendengar seruan tersebut disunatkan pula menjawab dengan lafaz-lafaz tertentu. Malah, selepas seruan azan hendaklah dibacakan ayat yang ertinya:

"Ya Allah. Tuhan yang mensyariatkan seruan yang sempurna ini dan mensyariatkan solat yang didirikan. Kurinakanlah kepada penghulu kami Nabi Muhammad kuasa syafaat dan keutamaan dan angkatlah padanya kehormatan dan bangkitkan baginda di tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan."


Malam itu aku dan isteri tidur awal. Ketika Subuh kami terbangun dari tidur apabila azan Subuh bergema di handpon. Selesai solat Subuh isteri aku bergegas ke dapur, memasak soto untuk sarapan pagi. Pagi yang hening itu matahari mula mengintai dicelah-celah daun, dicelah-celah pohun nangka. Kul 0730 pagi lebih kurang, kami tinggalkan pondok menuju Mempateh, untuk pergi mengerjakan solat sunat hari raya di Masjid Saidina Abu Bakar yang jaraknya lebih kurang sembilan kilometer dari pondok kediaman kami di Tanah Kebun. - Cut!

                   
                

Nota Kaki: Tidaklah sukar untuk memahami dialek Suku Banjar kerana dibahagian bawah muka surat cerpen Pudarnya Impian Uma'  terdapat keterangan bagi maksud beberapa ayat Suku Banjar antaranya Uma', piyan, kada bajualan, tulak, muak jua, ikam takunikan, gangan waluh, iwak karing sapat, tunggul batang banyu, kayapa yu lah? Lihati ay keina!, pais pisang, kakanakan, berbasuh dibatang banyu, wahini, rancak banar, tamimpi kesah bahari, padahkan abang ikam ni, bujurkah?, marista, Uma' uyuh dan ayat napang beungut ja!    

      


Keterangan:

[1]Rendang Tiga Rasa: Daging,Hati+Limpa. [2]ANtologi Cerpen Indonesia-Malaysia: Buku yg diterbitkan dari kerjasama antara ITBM dengan Yayasan Pustaka Obor Indonesia[YPOI].  [3]Khoiriyyah Azzahro: Penulis berdarah Banjar, berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia.  [4]Berdomisili: Tempat tinggal [5]Jargon-jargon: Istilah-istilah. [6]Uma': Ibu, Mama. [7]Piyan: Panggilan utk orang tua. [8]Kada Berjualan: Tidak berniaga. [9]Tulak: Berangkat [10]Muak jua: Bosan juga. [11]Ikam takunikan: Kau tanyakan. [12]gangan waluh: Sayur labu. [13]Iwak karing sapat: IKan sepat kering. [14]tunggul batang banyu: Tunggul batang air. [15]Kayapa yulah: Bagaimana ya. Lihati ay keina!: Tenguklah nanti. [16]Pais Pisang: Kuih yg dibuat dari pisang. [17]Kakanakan: Budak-budak. [18]Berbasuh dibatang banyu: [19]Wahini: Sekarang. [20]Rancak banar [21]Tamimpi kesah bahari: Termimpi masa lampau. [22]Padahkan abang ikam ni: Beritahu pada abang mu ne. [23]Bujurkah?: Benarkah? [24]Marista: Sedih [25]Uma' Uyuh: Emak letih.


08 September 2016

KOTA KENANGAN



"ia muncul ketika aku sedang berjalan menyusuri hari hariku. di lorong kota kenangan. kota kenangn yang hari-harinya telah lama ku tinggalkan. aku tersapa oleh keriangan ia yang ramah dan santun itu, bunga-bunga padanya tersenyum, rumput-rumput melambai. angin yang ramah mengelus rambutnya yang panjang. kusaksikan ia yang periang itu malu-malu meredupkan kelopak kolam mata beningnya, demikian, setelah bertahun-tahun aku terhukum oleh belenggu keresahan, saat itu tiba-tiba"[4 april 1984 clubmon, jalan ampang]


  • Titiwangsa Sentral. Dia menutup buku puisi Balada Pyanhabib dan menyumbatnya ke dalam backpack berwarna hitam sebaik sahaja mendengar monorail mengampiri stesen. Berdiri bersama beberapa penumpang di platform, diluar garisan kuning.

    Trott! Trott! Trott!

    Bunyi pintu automatik serentak terbuka di semua gerabak. Dia bersama penumpang lainnya memasuki Monorail[1]. Penumpang tidak ramai. Terdapat dua buah kerusi masih kosong. Dia memilih untuk berdiri sahaja kerana tidak sanggup duduk mengadap penumpang. Pintu tertutup rapat. Monorail bergerak. Bunyinya lebih senyap jika hendak dibandingkan dengan komuter dan lrt. Ini barangkali disebabkan monorail menggunakan roda getah di atas landasan logam konkrit.

    Monorail berhenti distesen  Chow Kit. Ramai penumpang memasuki perut monorail. Semua kerusi sudah dipenuh penumpang. Berbagai-bagai bangsa, wajah dan warna kulit. Penumpang yang duduk kelihatan itim melayan handpon. Monorail bergerak menuju stesen berikutnya. Lelaki yang menyandang backpack itu masih berdiri disitu. Bebola matanya dilepaskan bebas meneroka hutan batu bata. Dia juga seperti penyair Pyanhabib, punya kota, punya kenangan dan mahu dikenang. Kota kenangan itu baru sahaja dilepasi. Chow Kit!


                     ******

    Satu har
    i, ayahnya membawa dia bersiar-siar disekitar Chow Kit. Ketika itu dia masih budak sekolah rendah, masih hingusan. Rambutnya disisir rapi, berminyak dan berkilat. Itulah kali pertama dia mengikut ayahnya berbelanja dipasar Chow Kit. Kali pertama juga dia melihat ramainya orang, riuh rendah berjual beli. Riuh sangat!

    Dia melihat orang yang berjual beli itu seperti disampok[2] hantu gamaknya, lagi-lagi bilamana ada peniaga yang melolong, menjerit-jerit menawarkan harga. Ayah tidak peduli jeritan peniaga. Ayahnya terus sahaja berjalan bergesel bahu, bergesel lengan, dari satu gerai kesatu gerai, ayah jelajah. Dia ikut dibelakang ayahnya. Ayah tidak membeli ikan tidak membeli sayur, Tidak juga berhenti di gerai cendol. Hairan dia.

    Akhirnya ayah berhenti digerai menjual pisang. Dia lihat banyak jenis pisang bergantungan tetapi dia hanya kenal beberapa jenis pisang sahaja, seperti pisang emas, raja dan pisang tanduk. Ayah tanya harga sesisir pisang emas. Tawar menawar. Ayah beli dua sisir pisang emas, yang kulitnya sudah lebam, warnanya lebih banyak yang hitam. Harga yang ayahnya bayar cuma lapan posen. Sedap kalau dibuat cekodok[3] pisang. Kata ayahnya!

    Ayahnya sudah selesai berbelanja. Ayah berjalan melalui gerai-gerai tadi - gerai ikan, gerai ayam, gerai sayur, gerai buah-buahan, gerai rempah dan menghampiri gerai cendol, dia menarik tangan ayahnya. Dia hendak minum cendol.

    "Ishhh! Tak boleh minum cendol. Dalam cendol tu ada cacing merah"

    "Kenapa letak cacing dalam cendol"

    "Entah! Kata orang cendol lambat basi"

    "Ooooo"


    Ayah keluar dari kawasan pasar dengan menjinjing beg plastik yang isinya dua sisir pisang emas. Dia ikut dibelakang ayah. Ayah memegang tangan kirinya, mahu melintas jalan. Dia lihat banyak kenderaan.  Ada bas ada lori. Ada kereta ada motosikal. Paling banyak beca dan sedikit basikal. Suasana ketika itu dia nampak sangat kelam-kabut, berserabut dengan orang ramai yang berjurutan
    [4]. Ada yang ke hulu-ke hilir, berjalan disepanjang jalan. Terasa separuh nyawanya hilang ketika dia bersama ayahnya melintas jalan tadi.

    Dia menggikut sahaja ke mana ayahnya hendak pergi. Dia tidak merasa letih. sedikit pun tidak, malah berasa seronok pula. Sesekali dia mendongak kelangit, melihat tingginya bangunan. Dia kagum akan kepesatan Kuala Lumpur. Dia tambah kagum bilamana ternampak sekeping poster tertampal di dinding kedai. Matanya, mata ayahnya terpaku menatap poster filem Raja Bersiung. Tangan kirinya ditarik!

    Kali ini dia tidak kagum tetapi hairan. Ayahnya masuk ke dalam sebuah kedai kopi. Ramai orang sedang minum. Ada Cina, India, Banggali dan sedikit orang Melayu bersongkok dan berkopiah putih sedang minum sambil menghisap rokok. Tambah menghairankan, ayahnya hanya memesan secawan teh panas.

    Apek berwajah kerepot[5], berseluar pendek nampak lutut, memakai singlet, mengahmpiri meja ayah dan meletakan secawan teh panas diatas meja mar-mar putih. Meja mar-mar itu dia lihat berkilat sungguh sehingga nampak bayang-bayang secawan teh panas sedang berasap. Ayah segera memegang cawan teh berbunga hijau lalu menuang separuh air teh kedalam piring. Ayahnya memberikan piring yang berisi air teh itu kepada dia. Air teh masih panas. Dia menghirup perlahan-lahan.

    Dia lihat ayahnya juga turut menghirup air teh yang separuh itu sedikit demi sedikit. Kemudian ayahnya mengeluarkan kotak rokok jenama Gold Leaf dan sekotak macis Flyingman dari poket seluar. Ayahnya mengambil sebatang rokok, meletakan dicelah bibir, macis digores, api menyala, hujung rokok dibakar, disedut dan kelihatan asap berkepu-kepul terapung, menerewang diudara. Puas!

    "Stesen berikutnya Bukit Nanas"

    Kenangan dia tiba-tiba hilang sebaik monorail berhenti di stesen Bukit Nanas. Tiada penumpang keluar. Ada beberapa penumpang masuk. Trott! Trott! Trott! Bunyi pintu automatik ditutup. Monorail bergerak kearah stesen seterusnya, stesen Raja Chulan. Di stesen ini ramai penumpang keluar.

    Trott! Trott! Trott!
    Pintu ditutup. Monorail bergerak melalui hadapan bangunan Life Centre, di hadapan pusat beli-belah Lot 10 dan berhenti di stesen  Air Asia Bukit Bintang. Sebaik semua pintu gerabak terbuka, ramai penumpang keluar dan sedikit sahaja yang masuk. Dia tidak berdiri lagi. Dia duduk dikerusi bahagian belakang sekali, mengeluarkan buku Belada Pyanhabib, menyelak muka surat 99 dan membaca baris-baris puisi yang belum habis dibacanya tadi - Kota Kenangan!

    "saat itu tiba-tiba aku ingin berlari menyusupi bayangan di balik rimbun pohon-pohon di perkebunan kota kenangan bagai si anak kecil yang nakal".

    Retinanya terus menatap muka surat 99. Dia merenung ke dalam kertas putih itu dan terus menerus merenung hingga menerobos ke kulit belakang. Di lihatnya wajah Pyanhabib yang kadang menyelit, kadang menyerangguh, kadang menyelinap, kadang menyelusup di antara kita. Lalu renungan dia keluar bersama  kenangan lama, kota kenangan - Bukit Bintang.

                      ******

    Hujung minggu itu, dia bersama rakannya Idris dan Mahfol, sudah berada di perut kota kenangan, kota gelaran - segi tiga emas. Mereka bertiga sepakat berjalan ke panggung Cathay yang letaknya bersebelahan panggung Pavilion. Mereka mahu menonton filem AbbA. Ada juga sesekali mereka menonton filem Cina, itu pun jika panggung tersebut menayangkan filem Kung Fu lakonan Bruce Lee.

    Yalah! Dia bukan lagi budak sekolah, malah sudah lama dia tidak lagi keluar ke kota kenangan bersama ayahnya. Dia sedang meniti zaman remaja yang dipaksa, hampir dia hilang arah. Semua panggung wayang di kota kenangan di terjahnya bersama rakan sebaya. Coliseum dan Oden di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Fedral dan Capitol di Jalan Raja Laut, tidak ketinggalan juga dia menonton di panggung Rex dan Majestic. Dia dan rakan-rakan sudah kecanduan[6] menonton wayang.

    Ada sekali, tengahari Senin, dia diajak rakan ke Hilton Corner[7], hendak mencuba makanan Cina - Yong tow Foo. Tidak pula dia bertanya makanan itu halal atau haram, semua mahu dibedalnya. Termasuk makan hotdog di stall Nazri [Nat], kuih bomiko dan sate paru digerai ManCo. Minum milo panas gelas besar yang di isi bersama dua biji telur setengah masak digerai Fared Pakistan. Gerai Fared itu sedikit terlindung kerana berada dalam kawasan store pengarah filem Jamil Sulong.

    Waktu dia pokai[8], dia akan melepak bersama rakan digerai teh tarik kepunyaan Naina dan pembantunya Daud. Gerai tersebut tentunya tidak mempunyai lesen perniagaan kerana di dirikan diatas longkang, dilorong belakang. Biasanya dia ketika poket kosong - abuk pun tarak, hanya minum teh tarik dan makan seketul ban kelapa. Sesekali dicapainya juga agar-agar dalam gelas kaca sebagai dessert katanya.

    Dia sering melepak di gerai Naina bersama rakan-rakan. Dia tidak kisah, rakannya pun tidak ambil peduli tentang bau hanyir longkang yang meruap dan sesekali dibawa angin nakal sehingga menyengat hidungnya. Memang dia dan rakan-rakan tidak peduli itu semua asalkan dapat melepaskan dahaga dan  mengisi perut ketika lapar sangat. Dia, waktu pokai, waktu kering, meminta Naina atau Daud merekodkan makan minumnya ke dalam buku comel tiga lima [555] dan awal bulan barulah di bayarnya.

    Trott! Trott! Trott!

    Pintu gerabak monorail serentak terbuka. Dia terkejut giler. Dilihatnya papan tanda tercetak Stesen Tun Sambanthan. Dia mengaru kepalanya-kepalanya tidak gatal sebenarnya. Dia hairan, bilamasa monorail melepasi stesen Imbi dan stesen Maharajalela. Kota Kenangannya hilang lagi. Pintu monorail tertutup. Bergerak meninggalkan stesen Tun Sambanthan menuju stesen terakhir - KL Sentral.

    Dari kaca mata
    dia, monorail itu walaupun pembinaannya sedikit terlewat kerana kegawatan ekonomi tetapi dapat juga disiapkan dan mula beroperasi pada 31 Ogas 2003. Sehingga kini, perkhidmatan monorail itu telah mengangkut, membawa 25 juta penumpang sejak pelancarannya.

    "Stesen berikutnya KL Sentral"

    Monorail berhenti. Pintu gerabak terbuka. Dia keluar, berjalan di celah-celah orang ramai, turun ke bawah melalui tangga escalator, melintas dihadapan Restoran Putri milik pelakon Rubiah Suparman. Dia ke seberang jalan, masuk ke Restoran Haji Shahol dan memesan secawan teh tarik. Dia mengeluarkan Kosmo! dari backpack. Sambil minum sambil membaca akhbar. Dia leka disitu. - Cut!

    Nota Kaki: Puisi Kota Kenangan ini aku kutip dari buku Balada Pyanhabib, muka surat 99. Dicetak pada kali pertama , April 2012 dan cetakan kedua , Mei 2012 dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad.



06 September 2016

BURUNG-BURUNG GHAIB



  • 4 Zulhijjah 1437

    Assalamualaikum!
    Kita sedang berada dalam bulan Zulhijjah. Bulan dimana umat Islam akan melaksanakan Rukun Islam kelima iaitu ibadah haji. Di samping itu, umat Islam juga akan menjalankan ibadah korban. Ibadah korban itu pula hukumnya sunnat yang dituntut.

    Dalam kesibukan umat Islam di Tanah Suci Mekah sedang bersiap sedia untuk berwukuf[1] di Padang Arafah - pada masa yang sama, ramai umat Islam di Malaysia sedang berura-ura mahu melaksanakan ibadah korban. Jangan lupa! Ibadah korban itu juga perlu ada ijab dan qabul[2] antara orang yang melakukan korban dengan pihak penganjur.

    Secara ringkasnya, antara hikmah ibadah korban itu ialah untuk menghidupkan sunah Nabi Ibrahim a.s. melalui peristiwa penyembelihan anaknya Nabi Ismail a.s. yang telah digantikan dengan sesekor kibas[3] dengan kuasa Allh SWT. Juga menjadikan amalan itu sebagai latihan mendidik jiwa kearah takwa dan akan melahirkan sikap peduli sebagai seorang Muslimin terhadap saudaranya.

    Ibadah korban juga mengandungi dimensi rohani, mendekatkan diri kepada Allah, boleh juga menghakis sifat tamak, sikap menyantuni golongan fakir miskin, saling kasih-mengasihi, malah dosa kita akan diampunkan oleh Allah SWT.

    Malangnya, dalam kita sibuk dengan semangat berkorban lalu kita dihidangkan juga dengan cerita dan berita tentang penyeludupan dan kecurian lembu. Yang terbaru, dua pencuri melarikan sesekor lembu dan lembu itu disumbat di bahagian tempat duduk belakang kereta jenis Toyota Corolla. Ketika dua anggota peronda cuba mendekakti kereta dua suspek, suspek memecut laju lalu kereta suspek terbalik dalam tali air dan sesekor lembu didapati sudah mati.

    [Begitulah sedikit cerita dimana ada manusia yang malas bekerja, ambil jalan shor cut untuk mendaptkan duit, lalu menyeludup dan mencuri lembu untuk dijual sempena Hari Raya Aidiladha pada Isnin ini - 10 Zulhijjah].


    2-
    Apabila kita bercakap pasal ibadah haji, pastinya tergambar di minda kita tentang Ka'bah di Kota Mekah. Banyak cerita dan kisah benar yang berlaku di Mekah. Dari kisah binaan Baitullah, kisah banjir besar pada zaman Nabi Nuh a.s hinggalah kepada kisah tentang seorang paglima yang hendak melakukan serangan serta cuba meruntuhkan Ka'bah dengan kekuatan ribuan tentera bergajah telah dihalang oleh burung-burung ghaib dari langit. Kita berkongsi kisah benar mengenai burung-burung ghaib.


                BURUNG-BURUNG GHAIB

    Di daerah Yaman, yang berkuasa adalah wakil Kaisar dari negeri Ethiopia[4] yang bernama Abarahah bin Arsyam. Ia seorang panglima gagah berani dan berniat melakukan serangan menakluki negeri Hijaz[5] untuk meruntuhkan Ka'bah.

    Abarahah tidak rela melihat Mekah menjadi pusat kunjungan orang-orang yang hendak melakukan ibadah. Ia ingin memindahkan kiblat manusia ke Shan'a, ibu kota Yaman.

    Untuk maksud tersebut, ia mendirikan gereja raksasa yang disebut Quraisy. Gereja ini nantilah diharapkan umat manusia melakukan kunjungan ritual, sehingga Shan'a dapat menjadi pusat perniagaan yang sibuk.

    Dengan mengerahkan ribuan pasukan kavaleri, terutama kenderaan gajah yang dilengkapi pasukan infanteri sejumlah 60,000 perajurit, Abrahah berangkat menuju ke Mekah. Ia yakin akan dapat menghancurkan Ka'bah hingga rata sama dengan tanah.

    Sepanjang perjalanan menuju Hijaz, Abarahah mendapat tentangan hebat dari penduduk, kecuali masyarakat Thaif yang mengalu-alukan kedatangan beliau dengan penghormatan besar-besaran.

    Sebelum memasukki pintu gerbang Mekah, Abrahah memerintahkan tenteranya berkemah di luar kota. Mereka berehat, melepaskan lelah sambil merancang serta merisik situasi pertahanan negeri Mekah. Bagi mencukupi persediaan makanan tenteranya, Abrahah merampas binatang-binatang ternakan milik rakyat. Diantara ternakan yang dirampas ialah 200 ekor unta milik Abdul Mutalib
    [6], yang kedudukannya waktu itu selaku penjaga dan pengelola Ka'bah.

    Lantas Abrahah mengutus orang kanannya sebagai Kurir
    [7] kepada Abdul Mutalib untuk menyampaikan hasrat berperang agar penduduk Mekah segera menyiapkan angkatan tenteranya buat menghadapi serbuan dari pasukan Abrahah.

    Abdul
    Mutalib tidak risau tentang perang itu. Malah Abdul Mutalib memerintahkan seluruh rakyat Mekah supaya pergi ke-daerah yang lebih selamat dan aman. Kemudian Abdul Mutalib berangkat sendirian menemui Paglima Abrahah yang kejam lagi sombong itu.

    Abrahah pula adalah seorang ahli politik dan pakar perang yang menghormati tata cara diplomatik. Ia menyambut kedatangan Abdul Mutalib dengan penuh kehormatan sebagai menghargai kedududkan Abdul Mutalib sebagai suku
    [8]. Dengan ramah Abrahah bertanaya kepada Abdul Mutalib:

    "Tujuan apakah tuan datang menemui saya?"

    "Saya berkunjung ke sini untuk meminta kepada tuan agar tuan dapat menyerahkan semula 200 ekor unta saya yang tuan rampas." Jawab Abdul Mutalib dengan ramahnya.

    Abrahah tertawa. Sambil mengejek Abrahah berkata:

    "Ka'bah sedang dalam ancaman saya tetapi tuan pula datang hanya sekadar untuk meminta semula 200 ekor unta. Sungguh tuan terlalu mementingkan diri sendiri."

    "Tidak! Sama sekali saya tidak mementingkan diri sendiri. Saya hanya mahu minta tuan serahkan ternakan kepunyaan saya, sebab 200 ekor unta itu adalah milik saya"

    "Padahal Ka'bah berada diambang kehancuran tetapi tuan tidak meminta saya untuk membatalkan niat untuk meruntuhkan Ka'bah?" Soal Abrahah kehairanan.

    "Ka'bah adalah milik Allah. Allah akan memelihara kepunyaan-Nya. Saya tidak meminta tuan membatalkan serangan ke Ka'bah kerana saya yakin Allah sendiri yang akan melindunginya."

    Sesudah Abdul Mutalib meninggalkan tempat itu, tentera Abrahah tiba-tiba diserang oleh burung-burung
    [9] ghaib dari langit yang melontar ketulan batu-batu kecil[10] ke arah mereka. Maka tewaslah seluruh tentera Abrahah termasuk Panglimanya. - Wallahuaklam!



    Keterangan :


    [1
    Berwukuf : Waktu untuk wukuf di padang Arafah ialah mula gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga fajar Subuh pagi 10 Zulhijjah [rukun haji] [2]Ijab dan Kabul : Akad penawaran dan peneriman yg diluluskan antara kedua belah pihak. [3]Kibas : Kambing biri-biri [4]Ethiopia : Sabuah negara di Afrika. Ibu negaranya Addis Ababa. Berjiran di utara dengan Eritrea, diselatan dgn Kenya, di timur dgn negara Sudan dan dibarat berjiran dgn Somalia serta negara Djobooti. [5]Hijaz : Kota Mekah yg dahulunya dipanggil Hijaz.  [6]Abdul Mutalib : Adalah anak kepada Hasyim bin Abdul Manaf dan ibunya Salma bin Amrul an-Najjariyyah. Beliau adalah datuk kepada Nabi Muhamad SAW dan Saidina Ali bin Abi Talib. [7]Kurir : Utusan atau orang suruhan yg menyampaikan berita. [8]Suku : Kaum atau golongan dari satu keturunan. [9]Burung-burung ghaib : Burung Ababil [mirip burung pipit] [10]Batu-batu kecil : Batu Sij'jil [batu yg bercampur tanah dan kuman].