27 March 2014

ANGIN SENJA MEMBAWA WAKTU


Angin Senja,
telah membawa waktu yang tadinya terang bertukar menjadi sedikit gelap. Ketika aku bersiap-siap untuk turun ke Surau, kedengaran Muazzin melaungkan azan Magrib. Azan itu adalah seruan untuk mengerjakan solat fardu apabila masuk waktu solat. Salepas itu, akan dilaungkan pula iqamat sebagai seruan kedua untuk siap sedia mendirikan solat.

Selesai solat Magrib, jemaah pula sudah bersedia dengan surah Yassin ditangan, menanti Imam memulakan bacaan Al-Fatihah dan Yassin. "Bacaan ini ditujukan kepada arwah kedua ibu bapa, kepada semua arwah orang-orang Islam. Seterusnya kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya dan sahabat-sahabatnya. Tidak lupa juga kepada penumpang dan anak kapal beragama Islam, kerana tragedi yang menimpa pesawat MH370". Begitulah lebih kurang kata-kata Imam sebelum meneruskan bacaan Al-Fatihah!

Imam Surau 
membaca doa penutup setelah usai solat Isyak. Kemudian beliau membuat pengumuman meminta jemaah makan kerana udah tersedia hidangan nasi putih, mee kuning, sambal udang dan sup tulang di beranda surau. Kebanyakan jemaah surau sudah sedia maklum, makan malam Jumaat biasanya di masak oleh En Aziz. Sekiranya malam tersebut ada penaja, bertambah meriahlah suasana malam Jumaat terutama kepada kanak-kanak.

Angin Senja, telah lama menghilang dan ketika ini senja udah menjadi malam. Aku sedang relex di ruang tamu, mengikuti 'Semanis Kurma' yang sedang bersiaran di Tv9. Kebanyakan siaran tv buat masa ini berkisar pada berita, cerita atau dailog mengenai peristiwa kehilangan MH370.

Siaran Semanis Kurma tamat. Aku menyelak semula Utusan Malaysia yang belum habis aku baca siang tadi. Di muka 5 Utusan Malaysia semalam, Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan serta Kakitangan Malaysia Airlines, dengan rasa rendah diri telah mengucapkan Salam Takziah.
               
               
                SALAM TAKZIAH


'Berita kehilangan MH370 meninggalkan kesan amat mendalam di hati kita. Kepada semua ahli keluarga, rakan sejawat dan kenalan 239 penumpang pesawat MH370, ucapan takziah kami hulurkan. Anda kehilangan insan-insan tersayang, kami kehilangan teman-teman seperjuangan. Walaupun telah meninggalkan kita, namun mereka tetap kekal dalam ingatan. Mereka tidak akan di lupakan. Iringi mereka dengan doa yang ikhlas'.



II- Setelah
dunia menunggu misteri kehilangan MH370, akhirnya terjawab juga apabila pesawat tersebut disahkan berakhir di Lautan Hindi di barat Perth Australia. Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Selasa, 23 Mac 2014. Laporan yang di terima adalah berdasarkan data Inmarsat dan Cabang Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom.

Pengumuman dari Datuk Najib Tun Razak itu telah membuatkan seluruh negara diselubungi kesedihan. Rakyat dan pemimpin dunia mula ucap takziah kepada seluruh keluarga terlibat. Kelihatan di kaca Tv  gambar-gambar waris yang terlibat menangis kesedihan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Itulah kehidupan yang harus kita lalui, kerana kehidupan itu perlu melalui proses ujian yang memerlukan kita ikhlas dan reda akan ketentuan Ilahi.

Berita-berita lain seperti kisah pasangan Malaysia (Azizul dan Shalwati) yang didakwa di Sweden, berita Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun, kisah gumbira kemenangan Wan Azizah pada pilihan raya kecil bagi Dun Kajang atau catuan bekalan air peringkat ketiga di Lembah Klang misalnya, tidaklah diambil peduli sangat. Ketika ini, fokus kebanyakan orang mahu menunggu berita seterusnya tentang misi mencari serpihan dan kotak hitam pesawat MH370 di Lautan Hindi.

Malam pun semakin sepi. Sesekali kedengaran jam dinding mengetuk tabir malam yang jarumnya menunjukkan angka hampir 1200 malam. Ketika ini kebanyakkan penghuni dikejiranan aku udah mulai tidur kerana esuk paginya, mereka akan bangun semula dengan penuh kesyukuran. - Wallahuaklam!

25 March 2014

PHOTO PIC KETIKA ZIARAH












BALAI KETIBAAN KLIA


Aku
dan Azahan sudah berada di balai ketibaan KLIA, menunggu isteri aku, ibu mertua serta adek Majid sekelurga yang akan tiba dengan pesawat Sv 832 Jed/Kul pada jam 1300 petang. Sebelum ke KLIA tadi, kami sempat singgah sarapan di Ampang Jaya, pekene lontong sambil menatap akhbar Kosmo!


Tadinya!
Perjalanan dari Ampang Jaya ke KLIA yang sepatutnya hanya memakan masa 45 minit, udah menjadi 1 jam setengah disebabkan kesesakan jalan raya kerana bermulanya cuti sekolah. Saban hari lebuhraya ini sentiasa dipenuhi kenderaan yang mahu ke KLIA, Seremban, Melaka, Johor dan seterusnya ke Singapura.

2- Balai ketibaan.
Dari jauh kelihatan kelibat Ariff Dato' Ahmad Razali anak bekas Menteri Besar Selangor. Mudah benar kami mengecam si Ariff atau lebih gemar di panggil Fauzi sahaja, kerana kulitnya yang cerah, berbaju putih, berkepala botak dan sering tersenyum.

"Mana Majid" Soal Azahan sebaik Fauzi menghampiri kami dan berjabat tangan.


"Tadi ada kat belakang, tengah tunggu luggage".

Tidak lama kemudian
kelihatan isteri dan Mak Mertua aku. Disusuli Majid, Ammar, Shasha, Faiz, Shila dan anak perempuannya. Kami gerak keluar arah Gate 7 dan udah ada dua buah airport limo berwarna putih sedang menunggu kami. Azahan dan Majid gerak dahulu kerana katanya mahu ke klinik. Aku dan Ammar membantu pemandu limo memasukkan bagasi besar ke dalam kenderaan.

Limo pertama yang dipandu seorang pemandu perempuan bergerak meninggalkan KLIA. Di dalam Limo tersebut ialah keluarga pasangan Faiz, Shila Majid dan anak pompuannya yang tinggal di Taman Univeristi, Seri Kembangan.

Limo kedua berwarna putih juga sedang meninggalkan KLIA. Menyusuri lebuhraya yang awalnya lancar tetapi mula tersekat-sekat apabila menghampiri Ampang ke Ulu Kelang. Akhirnya limo itu dapat juga memasuki jalan arah ke Bukit Antarabangsa dengan selamat. Limo itu berhenti dihadapan rumah Majid dan semua bagasi dan kotak air zam-zam dikeluarkan dari belakang kenderaan.


Ammar
segera masuk ke dalam rumah kerana ingin mengerjakan solat zuhur terlebih dulu kerana di balai ketiban tadi hanya Majid yang sempat mendirikan solat di surau KLIA. Sementara aku memasukkan
bagasi ke dalam rumah, si Shasha pula sedang melayan beberapa ekor kucing. Kucing-kucing itu dilepaskan dari sangkar. Kucing yang berwarna kuning terus berlari keluar pagar, mengoyang-goyangkan ekornya kekiri dan kekanan, sambil menjerit meow, meow, meow! - Sekian!








19 March 2014

DI BUKIT ANTARABANGSA


Suasana Malam!
Ketika ini  jam tangan aku baru menunjukkan angka hampir 0800 malam. Suasana malam disekitar Bukit Antarabangsa seperti biasa. Tiada hiruk-piruk atau jerit-pekik seperti di ibu kota Kelompo, yang biasanya waktu sebegini, jalan-jalan raya sentiasa dipenuhi dengan manusia dan kenderaan.

Kereta warna biru yang dipandu Azahan kini udah berada di Jalan Wangsa 13. Pertama kali, jika melalui jalan ini pasti akan ditunjukkan banglo mewah yang tersergam indah itu adalah banglo milik Siti Nurhaliza. Jarang sekali kita diberitahu yang banglo mewah tu milik  Datuk K bersama isterinya Siti Nurhaliza.

Kereta biru berhenti disimpang tiga. Kemudian membeluk ke kanan dan memasuki ruang petak kereta di hadapan Seven Eleven. Aku dan Azahan keluar dari perut kereta. Masuk ke Seven E', beli sebuku ruti Whole Gram, senaskah Kosmo! serta top-up RM30.00. Langkah kami seterusnya ialah menuju Craven Cafe yang terletak bersebelahan pasaraya Giant dan station minyak Petronas.




Craven Cafe!
Aku dan Azahan memilih meja di satu sudut berhampiran anak tangga di luar cafe. Jika dilhat dari luar, restoran cafe ini nampak kelihatan gah' dengan lokasinya diatas bukit, ada screen besar Astro, serta dibahagian luarnya dipasang kemah putih seperti ala-ala cafe di Bintang Walk gitu!

Sayangnya, kerusi yang diguna pakai, hanyalah kerusi biasa sahaja seperti kerusi plastik dikebanyakan restoran mamak yang bertaburan di sekitar Kelompo. Ketika pekerjanya (lelaki India) menghampiri kami,
aku lihat pakaiannya pun biasa-biasa juga. Maksud aku, pekerja cafe itu tidak memakai pakaian seragam atau setidak-tidaknya memakai topi dan appron seperti yang selalu disaran oleh pihak berkuasa tempatan.


Aku memesan secawan teh tarik dan Azahan pula memesan Lychee Iced. Sementara menunggu pesanan tiba, aku perhatikan keadaan sekeling. Ada pelanggan yang sedang makan sambil berbual. Disatu meja berhampiran screen Astro pula, kelihatan beberapa pelanggan sedang leka menggadap screen  laptop, mungkin sedang melayari internet agaknya. Ada juga pelanggan yang duduk bersendirian sambil menghisap rokok dan perlahan-lahan melepaskan asapnya keudara.

Ringtone Meodow dari telepon aku berbunyi. Message dari isteri aku yang ketika ini berada di Kota Mekah. Aku membaca message sedikit kuat agar dapat berkongsi dengan rakan aku si Azahan:

'Skrg jam 3.05 pm dan nak ke Masjid.'

Begitulah bunyi sms yang aku terima sambil menjeling jam tangan yang menunjukkan pukul 08.07 malam waktu tempatan.
"Oh! Kira selisih lima jamlah antara Mekah dengan Kuala Lumpur".

"Maksud lu Bro, waktu kita cepat lima jam dari waktu di Mekah kan!"
Azahan bersuara.

"Kira gitulah agaknya. Kat Mekah diaorang baru nak ge solat Asar, kita kat sini baru selesai waktu Magrib, siap tengah pekene teh tarik lagi. Hehehe!"

Azahan
turut tersengeh menampakan giginya yang ada ruang kosong, diantara celah gigi barisan atas yang belum di isi. Kalau dolu, ketika aku kecik, ruang kosong seperti itu disebut rongak. Rongak disebabkan ulat gigi kerana banyak memakan makanan bergula seperti gula-gula Lollipop. Jangan tak tau, pengaruh lollipop ne dibawa masuk melalui screen Tv oleh pelakun berkepala botak, yang bernama Kojak pada era tahun 70'an.

Pekerja
cafe datang membawa minuman yang dipesan. Meletakan secawan teh tarik dan Lychee Iced diatas meja dan terus berlalu.

"Ekeleh! Lychee apa ke jadahnya ini. Bubuh dalam cawan plastik kecik. Adalah tiga empat bijik buah lycheenya. Dah tak ada gelas kacalah tu".

"Samalah dengan teh tarik gua Bro! Mana sedap minum teh tarik dalam cawan polystren. Rasanya tentu lari. Pulak tu, bila tahap kepanasanya bergabung dengan polly, akan terhasil racun."

"Gua pun ada gak terbaca pasal cawan dan pembungkus yang dibuat dari bahan polystren ini memerbahaya. Katanya kat Jepun, diaorang dah tak guna polystren. Entah ya entah tidak, pasal gua pun tak pernah ge Jepun."



Perbualan
kami terhenti. Azahan menjawab panggilan talipon, dan mata aku pula memandang arah barisan rumah kedai. Disitu ada restoran mamak, kedai haiwan, klinik, kedai dobi, restoran makanan barat dan kedai Seven Eleven. Dihadapan kedai-kedai itu juga ada gerai menjual sate, stall burger dan stall kambing bakar.

Mata
terus memerhatikan kereta-kereta  yang lalu lalang dihadapan rumah kedai, tetapi fikiran aku jauh melayang. Sembilan hari udah berlalu, isteri aku dan emak mertua, serta 22 ahli keluarga yang lain, telah ikut rombongan 'Panyucian Jiwa di tanah suci Mekah, bersama adek Majid anak beranak. 

"Semoga Allah mempermudahkan perjalanan mereka dan mengurniakan hidayah dan 'inayah serta lindungilah mereka. - Amin! 
 

18 March 2014

TEORI GOSIP DI INTERNET!



Petang!
Melalui pintu gelongsor kaca, aku melihat ke luar. Ketika ini langit mendung dan ada angin bertiup perlahan. Burung-burung pipit masih lagi hinggap, terbang dan hinggap semula di ranting-ranting pohun bunga merah di luar pagar sambil berkicau riang.


Angin di luar, tiupannya bertambah kencang. Bunga merah gugur bertaburan dan burung-burung pipit itu terbang meninggalkan pohun bunga merah. Pohun itulah menjadi tempat pipit-pipit itu bertenggek, makan sambil bercanda setiap pagi dan setiap petang.

Hujan turun! Turunnya kali ini lebat dan tempiasnya hampir  menggena sangkar dua ekor kucing. Aku cepat-cepat keluar dan meletakan sangkar di tempat yang sedikit terlindung daripada titis-titis air hujan. Semenjak aku tinggal di rumah adek Majid, inilah kali kedua hujan turun disekitar UK Perdana dan Bukit Antarabangsa. Alhamdulillah!

Hujan Reda!
Ketika ini suasana di luar sepi. Tiada bunyi kenderaan atau bunyi suara kanak-kanak bermain. Berbeza sangat dengan taman perumahan tempat aku tinggal kerana waktu senja begini selalunya masih ramai anak-anak kecil berlari kesana-kemari. Puaslah emak bebudak tu menjerit dari atas, menyuruh anaknya balik, kerana siang akan bertukar malam dan waktu solat Magrib hampir tiba.

Usai
solat Magrib aku membancuh secawan air milo panas. Waktu bersendirian seperti ini, aku lebih suka melayari internet daripada melayan movies di channel Astro. Lainlah kalau berteman, tentunya seronok mengadap Tv sambil mulut menguyah popcorn atau setidak-tidaknya makan kudapan seperti potato chips!

Ketika aku sedang mengemas kini blog aku, ringtone Meadow berbunyi, iaitu tanda sms masuk. Aku lihat message tersebut datang dari Azahan yang mengatakan akan datang ke rumah pada jam 1000 malam.

Si Azahan dari awal pagi tadi udah keluar rumah, katanya ada jobs di sekitar Sentul. Selalunya jobs yang dilakukan Azahan ialah melukis dinding (mural) sekolah, restoran atau tadika persendirian bersama rakan-rakannya.


Sehingga jam 0830 malam, aku masih lagi membaca  gosip-gosip di Internet terutama di facebook. Pelbagai teori di perdebatkan berhubung kehilangan pesawat MH370. Masing-masing hendak menjadi juara termasuk pihak media yang gahirah melaporkan cerita-cerita karut-marut.


Keadaan kalut ketika ini diburukan lagi dengan cuaca panas berjerebu, catuan air dan kepercayaan tahyul dari Nujum Pak Belalang, Pak Pandir serta Pak Kadok. Nujum Pak Belalang (Raja Bomoh Malaysia) dikatakan buat kojer cara kuno, apabila muncul di KLIA dengan pakaian stylo Tiga Abdul dan duduk diatas tikar ala-ala filem P. Ramlee yang ayat jampinya 'Zam Zam Alakazam'.

Salepas ritual dilakukan dengan menggunakan peralatan yang dianggap sebagai ada unsur khurafat, Nujum tersebut telah mendakwa bahawa, pesawat MH370 masih lagi tergantung di atas paras Laut China Selatan berhampiran Vietnam. 


Ritual Nujum Pak Belalang yang memalukan di KLIA itu berterusan pulak dilaman sosial apabila klip video beliau tersebar, mengancam mahu menampar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana menyelar perbuatan nujum tersebut melalui akuan Twitternya.

Kecoh! Memang kecoh satu dunia dengan ghaibnya pesawat MH370 sejak 8 Mac 2014. Hampir separuh manusia di planet Bumi ini fokus dan menunggu berita terkini perihal kehilangannya. Mereka mahu tahu secara fakta sains dan lojik. Kenapa, mengapa dan bagaimana boleh, sabuah kapalterbang yang bersaiz besar hilang begitu sahaja.

Ya! manusia sentiasa mahu mencari sebab-musababnya. Mustahil dan tak masuk akal sebuah kapal yang sedang bergerak diudara boleh hilang sistem komunikasi tanpa dapat dikesan radar. Jika ia terbakar dan terhempas di lautan, menurut hukum akal pasti ada sedikit sebanyak sia-sia pesawat.

Begitu juga halnya kalau-kalau kapal tersebut dirampas. Jika dirampas, siapa yang merampasnya dan disembunyikan kat mana. Ada juga teori yang mengatakan ia satu konspirasi antarabangsa, super air pocket, disedut lubang hitam atau tengelam di pusaran air laut.

Manusia yang memiliki jiwa dan akidah Islam percaya bahawa, kehilangan pesawat MH370 adalah ketentuan Allah. Jika manusia itu  mempunyai tahap IQ yang tinggi serta dapat pula mencipta teknologi paling canggih, belum tentu manusia itu dapat mengatasi ketentuan Ilahi. Secanggih manapun ilmu manusia itu, tentulah tidak setanding dengan ilmu Allah yang menguasai  langit, lautan dan daratan.

Manusia yang tinggal di planet bumi ini, masih lagi merasa diri mereka sangat hebat dengan kecanggihan teknologi. Mereka ingin menguasi dunia sedangkan teknologi itu sendiri tidak mampu menemukan sebuah pesawat yang tiba-tiba ghaib. Disebalik pelbagai teori, sebenarnya Allah mahu manusia itu belajar dan merenung bahawa kuasa manusia adalah terbatas. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui di manakah pesawat MH370 itu berada sekarang.

[Kelip-kelip ku sangka api, kalau api mana dapurnya. Kelip-kelip ku sangka mati, kalau mati dimana kuburnya] - Wallahuaklam!         




17 March 2014

KONSERT | DADAH | MAUT


Pagi Semalam, sebaik-baik sahaja aku menyandarkan badan kat sofa, telepon Sony Ericsson yang terletak di atas meja makan berbunyi. Aku bangun menuju ke ruang dapur, terpapar di screen nama rakan aku si Alam. Telepon itu aku angkat dan aku rapatkan ke telinga kanan.

"Assalamualaikum! Man, lu dah baca ke berita pagi ne pasal enam maut kat konsert Future Music Asia."

"Belum lagi Bro. Gua cadang nak keluar beli paper sekejap lagi"
Aku jawab selamba, sambil mata aku memerhatikan jarum jam besar yang disangkut kat dinding, telah menunjukkan pukul 1015 pagi.

"Jomlah pekene teh tarik"

"Cantek gak tu, kat mana?"

"Lu datang sinilah Bro, lepas tu kita ngeteh kat cafe mamak di Bukit Antarabangsa. Teh dan ruti canainya pun boleh tahan".

"Boleh! boleh! Gua ingat nak pekene ruti canai dengan kari kambing masak kurmalah. Ada ke?".
Soal si Alam.

"30 minit lagi gua sampai"
Walaupun soalannya tidak berbalas, melalui nada suaranya, aku pasti si Alam rasa gumbira kerana kami berdua udah lama tidak minum bersama.

 


Kami berdua udah sampai di sekitar cafe. Sementara Alam mencari ruang letak kereta, aku pula keluar dan menuju kedai Seven Eleven untuk mendapatkan senaskah Mingguan Malaysia.

Di cafe, kami memilih untuk duduk di salah satu sudut bahagian luar cafe, supaya mudah kami berbual tanpa dapat didengar oleh pelanggan lain. Seperti niat asal, kami memesan teh tarik, ruti canai dan seketul daging kambing masak kurma.

"Aku tak puas hati betullah"

"Apanya yang tak puas hati Bro?"

"Yalah! Tengah kita dok sibuk dengan pencarian MH370, diaorang pulak buat hal. Buat konsert serupa buat macam parti liar. Kerajaan boleh luluskan pulak tu!"

Wajah Alam sedikit mencuka dan kedua bahunya diangkat tanda marah.

"Relex Bro!"
Sambil aku menatap tajuk berita di Mingguan Malaysia.

"Mana aku tak geram, yang ramai datang konsert tu budak Melayu. Pakaian diorang tu pulak, dedah sana dedah sini, siap pekene dadah lagi. Kata Polis, dadah tu jenis sintetik yang direka untuk tujuan berhibur".


Perbulan kami terhenti apabila pekerja cafe menghampiri meja kami dengan membawa dua keping ruti canai, daging kambing kurma dan kuah dal.  Kami menikmati ruti canai  sambil meneruskan perbualan pasal  enam maut dan tiga kritikal kerana dipercayai mengambil dadah sintetik berlebihan.

Menurut info, Future Music Festival Asia (FMFA) ini, pertama kali melibatkan Asia ialah pada 2012. Tahun berikutnya, konsert tersebut dibuat di Litar Antarabangsa Sepang dengan kehadiran kira-kira 55,000 pengunjung. Malam tadi (hari kedua) pengunjung dihiburkan dengan persembahan dari 'A State of Trance, 650 New Harizons' yang datang ke Malaysia dengan menampilkan deejay bertaraf dunia iaitu Armin Van Buuren.

Demi keselamatan awam dan nasihat pihak berkuasa, pihak penganjur FMFA tidak dapat meneruskan konsert pada hari ketiga iaitu acara kemuncak, yang telah menyediakan empat pentas gergasi, merangkumi pelbagai muzik iaitu Hip-Hop, Techno, Rock, Trance dan Elektronik Dance Music.

"Fuyooo! Khabarnya hari terakhir bakal menyaksikan persembahan hebat artis antarabangsa terkenal seperti Pharrell, Yuna, Naughty Boy dan Macklemore & Ryan Lewis. Kali ne, pihak penganjur berjaya menarik pengunjung datang ke pesta FMFA ini dengan lebih daripada 30 negara dari seluruh dunia."

"Eluk sangatlah dibatalkan, kalau tidak entah berapa ramai lagi anak Melayu yang menjadi mangsa sindket dadah antarabangsa. Bebudak yang maut tu bukanlah budak bodoh  atau kutu berahak, tetapi budak yang tengah belajar kat Universiti. Buat apa belajar kat U! Betul-betul buang karanlah diaorang ne"

"Itu nasib diaorang Bro. Nasib anak-anak kita tak tau lagi. Yalah! Pertemuan, rezeki, jodoh dan maut itu milik Tuhan"

Aku memeberikan pandangan. Aku melihat wajah Alam serius. Jika perbualan ini diteruskan, mungkin nada suara Alam akan bertambah keras. Untuk bagi suasana cool, aku cadangkan kepada Alam, sambung perbualan di Taman Tunku Abdul Rahman, Ampang. Kami bangun dan gerak ke arah kaunter juru wang. Bayar harga makanan dan kami tinggalkan Bukit Antarabangsa. - Wallahuaklam!








14 March 2014

MEOW! MEOW!



Sudah
lima hari aku bersama Azahan menginap
di rumah adek Majid. Selepas solat subuh, aku cuba bermalas-malas kerana mahu melayan ngantuk, sementara si Azahan aku lihat sedang  membuka laptop. Kedengaran lagu Dancing Queen dari kumpulan ABBA. Lagu itu makin lama makin perlahan kedengarannya dan aku Zzzzzzzzzzz.

Aku terjaga!
Jam diatas meja kecil menunjukan ke angka hampir 0900 pagi. Azahan tersandar di sofa, kali ini aku lihat dia sedang membaca Kosmo! Di luar, bunyi kicauan sekawan burung pipit berterbangan dan ada yang hinggap diatas ranting, berhampiran binaan tembuk tong sampah. Burung-burung ini sedang menunggu sarapan pagi.

Meow! Meow!
Ketika aku meletakan sepiring beras untuk makanan burung, kucing berwarna kelabu yang berada di dalam sangkar menyapa aku. Begitu juga kucing yang berwarna kuning, bangun sambil megesel-geselkan badannya ke dinding sangkar. Walaupong aku tidak berapa faham akan bahasa gerak badan kucing,
sekurang-kurangnya aku dapat belajar sedikit hal tentang  kucing.

Semenjak pemergian adek Majid anak-beranak serta suku sakatnya mengerjakan ibadah Umrah, akulah yang menjadi pengganti sebagai penjaga sementara kepada kucing-kucing, sekawan burung pipit dan seekor tupai liar. Setiap pagi, sangkar kucing ini dibersihkan. Makanannya pula dari jenama Science Plan (Veterinary Formulated) dan minumannya pulak dari air yang dimasak.


Sesekali,
kucing-kucing itu akan dilepaskan bebas di dalam rumah agar kucing-kucing tersebut dapat meregangkan otot-ototnya atau bermain dan mencakar kuku di tempat yang telah disediakan. Bila puas kucing itu  berlari dan bermain, kucing-kucing itu akan datang minta di usap dan dibelai. Manja semacam pulak kucing-kucing ne!

Di Ruang Dapur!
Aku membancuh secawan Nescafe (kopi tiga dalam satu). Lepas tu celup enam keping ruti Gardenia ke dalam telur dan goreng satu demi satu dengan sedikit butter. Sarapan ringkas kami pagi ne ialah french toast dicalit sedikit mayonis, sedikit timun, hirisan tomato dan sedikit hirisan bawang. Selepas sarapan, Azahan balik ke rumah yang terletak di Bukit Indah, Ampang. Aku pulak bercadang untuk berehat sahaja di rumah sambil menghabiskan bacaan buku Konspirasi Dajal yang aku beli di kedai Popular Books Store, bulan lepas di Selayang Mall.