03 March 2014

LANGIT MENDUNG



I- Selayang Mall.
Langit disini kelihatan mendung. Aku sebenarnya ada temujanji dengan rakan aku pada pukul 0500 petang di Restoran Cahaya Maju. Aku memilih untuk duduk dikerusi yang diatur di kakilima kerana duduk diluar bukan sahaja aku boleh mencuci mata tetapi mungkin dapat juga aku merasai tiupan angin petang.

Aku memerhatikan kenderaan yang bergerak perlahan di lorong antara deretan rumah kedai dengan Selayang Mall. Kereta-kereta tersebut sedang mencari ruang petak kereta. Ada yang berpusing-pusing beberapa kali dan ada pula yang membunyikan horn apabila laluannya mula tersekat. Bunyi horn tersebut betul-betul memekakkan telinga aku.

Sudah sepuluh minit aku duduk disini. Pekerja restoran pulak belum lagi menghantar pesanan aku iaitu segelas nescafe tarik. Aku telah menelefon rakan aku yang bernama Johari dan memberitahunya aku sudah ada di Restoran Cahaya Maju. Sementara menunggu kedatangan Johari, aku mengeluarkan akhbar BH Ahad dan cermin mata dari backpack jenama pierre cardin.

Sabenarnya, BH ini udah aku baca sepintas lalu pagi tadi iaitu berita pasal majlis perasmian Jambatan Kedua Pulau Pinang, wawancara SPRM gagal dakwa ahli politik mewah, 'Hanez Suraya rampas suami saya' dan perlawanan Malaysia-Filipina tercemar. Yang aku nak diulang baca ialah perihal mercu tanda dan kos keseluruhan pembikinan jambatan kedua iaitu RM4.5 bilion.

Aku tak taulah, apa sangat istimewanya Pulau Pinang sampaikan ada tiga laluan untuk keluar masuk ke pulau tersebut. Dolu, ada gak aku dengar ura-ura si Lim Guan Eng nak buat laluan terowong dasar laut yang akan menghubungkan Persiaran Gurney di Pulau dan Bagan diseberang yang menelan belanja RM6.3 bilion.

II- Johari bersama anak lelakinya udah sampai. Kami bersalaman dan berbalas senyuman. "Sorrylah lambat sikit Bro" Sambil Johari melambai tangan kepada pekerja restoran. Mereka memesan dua teh tarik dan aku seperti tadinya memesan semula nescafe tarik. Tidak lama kemudian teh dan nescafe tarik terhidang diatas meja.

Kami minum sambil bertanya khabar. Si Johari ne aku kenal sekitar tahun 80'an, ketika aku melapur diri di Restoran Sate Ria, Bukit Bintang. Waktu tu Johari memegang jawatan sebagai Outlet Supervisor, aku pulak baru sahaja mendapat kojer, setelah menamatkan latihan amali di Desaru, Johor.

Berbual terus berbual. Sedar tak sedar cuaca diluar udah kelihatan sedikit gelap. Aku minta izin untuk masuk ke kedai buku di Selayang Mall. Kami bertiga bersalaman dan aku gerak tinggalkan Johari dua beranak yang ketika itu sedang berjalan arah ke petak kereta. Aku pula gerak melalui celah-celah orang ramai menuju kedai buku.

Aku membeli dua buah buku antaranya ialah buku bertajuk Konspirasi Dajal karangan Miftahul Asror Malik. Buku ini adalah terjemahan yang sah daripada buku Tragedi Akhir Zaman terbitan Real Books Indonesia. Aku membelinya kerana aku selalu terlepas rancangan Cinta Ilmu, Tanda-Tanda Kiamat bersama Ustaz Badlishah yang bersiaran di Tv Al-Hijrah jam 06.05 petang.

III- Langkah aku terhenti! Ketika aku hendak keluar dari shopping mall, aku lihat orang ramai kaku disitu, mereka sedang berdiri memerhatikan air hujan yang turun membasahi bumi. Mereka sangat mengalu-alukan kedatangan hujan kerana udah hampir dua bulan mereka merasai cuaca panas dan kering. Walaupun hujan lebat itu turun sekejap sahaja, tetapi sekurang-kurangnya telah membersihkan udara disekitarnya daripada gangguan habuk dan jerebu.

Alhamdulillah! Akhirnya orang ramai itu mengucap syukur apabila hujan turun walaupun sekejap. Sebelum ini mereka sering merungut dan tidak bersyukur apabila hujan turun. Senja disini, kebanyakan mereka mula menghargai setitik air yang turun dari langit. Mula sedar betapa pentingnya sungai dan tasik sebagai sumber takungan air. Fikirkanlah, hujan yang turun dan cuaca yang panas ini untuk siapa. Mengertilah wahai sahabat, Usahlah merungut!

No comments:

Post a Comment