Angin Senja, telah membawa waktu yang tadinya terang bertukar menjadi sedikit gelap. Ketika aku bersiap-siap untuk turun ke Surau, kedengaran Muazzin melaungkan azan Magrib. Azan itu adalah seruan untuk mengerjakan solat fardu apabila masuk waktu solat. Salepas itu, akan dilaungkan pula iqamat sebagai seruan kedua untuk siap sedia mendirikan solat.
Selesai solat Magrib, jemaah pula sudah bersedia dengan surah Yassin ditangan, menanti Imam memulakan bacaan Al-Fatihah dan Yassin. "Bacaan ini ditujukan kepada arwah kedua ibu bapa, kepada semua arwah orang-orang Islam. Seterusnya kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya dan sahabat-sahabatnya. Tidak lupa juga kepada penumpang dan anak kapal beragama Islam, kerana tragedi yang menimpa pesawat MH370". Begitulah lebih kurang kata-kata Imam sebelum meneruskan bacaan Al-Fatihah!
Imam Surau membaca doa penutup setelah usai solat Isyak. Kemudian beliau membuat pengumuman meminta jemaah makan kerana udah tersedia hidangan nasi putih, mee kuning, sambal udang dan sup tulang di beranda surau. Kebanyakan jemaah surau sudah sedia maklum, makan malam Jumaat biasanya di masak oleh En Aziz. Sekiranya malam tersebut ada penaja, bertambah meriahlah suasana malam Jumaat terutama kepada kanak-kanak.
Angin Senja, telah lama menghilang dan ketika ini senja udah menjadi malam. Aku sedang relex di ruang tamu, mengikuti 'Semanis Kurma' yang sedang bersiaran di Tv9. Kebanyakan siaran tv buat masa ini berkisar pada berita, cerita atau dailog mengenai peristiwa kehilangan MH370.
Siaran Semanis Kurma tamat. Aku menyelak semula Utusan Malaysia yang belum habis aku baca siang tadi. Di muka 5 Utusan Malaysia semalam, Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan serta Kakitangan Malaysia Airlines, dengan rasa rendah diri telah mengucapkan Salam Takziah. SALAM TAKZIAH
'Berita kehilangan MH370 meninggalkan kesan amat mendalam di hati kita. Kepada semua ahli keluarga, rakan sejawat dan kenalan 239 penumpang pesawat MH370, ucapan takziah kami hulurkan. Anda kehilangan insan-insan tersayang, kami kehilangan teman-teman seperjuangan. Walaupun telah meninggalkan kita, namun mereka tetap kekal dalam ingatan. Mereka tidak akan di lupakan. Iringi mereka dengan doa yang ikhlas'.
II- Setelah dunia menunggu misteri kehilangan MH370, akhirnya terjawab juga apabila pesawat tersebut disahkan berakhir di Lautan Hindi di barat Perth Australia. Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Selasa, 23 Mac 2014. Laporan yang di terima adalah berdasarkan data Inmarsat dan Cabang Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom.
Pengumuman dari Datuk Najib Tun Razak itu telah membuatkan seluruh negara diselubungi kesedihan. Rakyat dan pemimpin dunia mula ucap takziah kepada seluruh keluarga terlibat. Kelihatan di kaca Tv gambar-gambar waris yang terlibat menangis kesedihan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Itulah kehidupan yang harus kita lalui, kerana kehidupan itu perlu melalui proses ujian yang memerlukan kita ikhlas dan reda akan ketentuan Ilahi.
Berita-berita lain seperti kisah pasangan Malaysia (Azizul dan Shalwati) yang didakwa di Sweden, berita Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun, kisah gumbira kemenangan Wan Azizah pada pilihan raya kecil bagi Dun Kajang atau catuan bekalan air peringkat ketiga di Lembah Klang misalnya, tidaklah diambil peduli sangat. Ketika ini, fokus kebanyakan orang mahu menunggu berita seterusnya tentang misi mencari serpihan dan kotak hitam pesawat MH370 di Lautan Hindi.
Malam pun semakin sepi. Sesekali kedengaran jam dinding mengetuk tabir malam yang jarumnya menunjukkan angka hampir 1200 malam. Ketika ini kebanyakkan penghuni dikejiranan aku udah mulai tidur kerana esuk paginya, mereka akan bangun semula dengan penuh kesyukuran. - Wallahuaklam! |
No comments:
Post a Comment