21 March 2017

CERITA BULAN MARCH!



Bulan March!

Senja pun datang, menolak siang ke kaki langit dan  malam tahu akan tugasnya lalu menjemput bulan dan bintang-bintang bagi menghias langit malam. Di dalam pondok, aku baru sahaja menutup suiz tv setelah usai mendengar berita Nasional 12. Aku cuba melelapkan mata tetapi gagal kerana perut terasa lapar. Aku bangun, panaskan air, tuang sepeket Nestum bijirin dan sedikit corn flakes  ke dalam mangkuk. Aku menikmati bijirin yang mengandungi sumber serat, protein, vitamin A & C dan sumber zat besi.

Malam bertambah sepi. Sayup-sayup kedengaran anjing menyalak. Salakan anjing tersebut kekadang kuat kekadang perlahan dan mendayu-dayu. Entah mengapa, tetiba semangat untuk bercerita itu datang lalu aku mengetuk sebaris demi sebaris ayat. Walaupun aku belum tahu dari mana semangat itu datang tetapi yang pastinya aku terus mahu bercerita tentang 'Cerita Bulan March'.

Tidak banyak yang dapat dilakukan pada bulan March tahun ini. Aku tidak dapat datang pada pameran 'A Solo Curated by Tsabri Ibrahim - A Shukri Elias yang diadakan di Galeri Potret BSVN
  pada 3-25 Mac 2017. Begitu juga, aku gagal menghadirkan diri pada majlis perkahwinan anak Ali Bonsai yang diadakan di Sekincan Selangor. Masa banyak di habiskan kat Tanah Kebun kerana bulan ini adalah bulan nenas matang, sesuai untuk di tuai[1].

Bulan March kali ini datang nampak macam biasa-biasa sahaja tetapi bagi aku ia sedikit berbeza jika hendak dibandingkan pada bulan March 2015. Pada masatu, musim panas sudah bermula. Panasnya membawa ke tengah malam dan aku pernah bercerita tentang cuaca panas dalam entri 'Panas Di Tanah Kebun' [23 March 2015]. Begitu juga March 2016. Walaupun cuaca panas tetapi sempat juga aku buat kembara backpacker dari KL-Kuala Lipis-Kota Bharu-Gerik[2] dan juga  story pada entri 'Lancang ke KL Sentral' [25 March 2016].

Ketika ini di Tanah Kebun musim panas belum bermula. Buktinya, bahang panas waktu malam belum terasa dan ada juga sesekali hujan lebat dengan di iringi angin kencang. Angin kencang itu membawa sekali perkhabaran bahawa musim panas dan kering akan tiba tidak lama lagi. Bahangnya akan bertambah panas apabila kita dilambakkan dengan berita rasuah, dadah dan aktiviti pelacuran. Malah, berita pemilihan Presiden[3] baru FAM yang bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Tuanku Mahkota Johor[TMJ] dengan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan [KAFA], Tan Sri Annuar Musa juga di kira panas juga.

Bercakap pasal Presiden, aku terkejut jugak bila mendengar berita Presiden Korea Selatan, Park Geunhye [wanita] dipecat dari jawatannya apabila Mahkamah Perlembagaan mengekalkan keputusan Parlimen untuk memecat beliau pada Disember 2016. Beliau di tuduh menerima wang rasuah daripada beberapa bos konglomerat besar termasuk ketua Samsung, Jay Y. Lee. Beliau juga di tuduh bersubahat dengan rakannya, Choi Soon-sil untuk memaksa syarikat-syarikat besar supaya menderma kepada dua yayasan yang menyokong dasar pentadbirannya. - [Mj]


Nota Lutut : Tiada!


17 March 2017

RASUAH - TIKET ke NERAKA!


Petang Itu.

1- Ye! Petang itu aku berpeluang menonton filem Tamil yang bersiaran diTv2. Kebiasaannya aku memilih filem Tamil berbanding filem Hidustan  kerana jalan ceritanya yang mudah difahami iaitu orang miskin selalu ditindas oleh ketua gengster. Malah, menteri atau ketua menteri biasanya hanya menggikut telunjuk ketua gengster.

Ketua menteri bersubahat dengan ketua gengster yang tamak haloba itu sering digambarkan pada sebuah negeri di Utara Pradesh atau Tamil Nadu misalnya. Tanah-tanah petani dirampas, anak-anak dara di rogol dan sesiapa yang berani melawan pasti maut ditetak atau di parang oleh kumpulan gengster. Walaupun filem Tamil di lebal ganas tetapi pada penghujung jalan ceritanya orang yang tamak,  orang yang suka membuli atau orang kaya yang memiliki harta berjuta ringgit, pasti akan tewas  ditangan seorang pembela yang bergelar hero gitu!


Di negeri kita bagaimana pulak! Tidak banyak filem atau drama Melayu seberani filem Tamil yang memaparkan aksi-aksi ganas. Di negeri kita hanya di tonjolkan jalan cerita yang baik-baik sahaja. Punbegitu, sesekali ada juga drama yang mengisahkan tentang ahli perniagaan atau ketua disebuah syarikat milik kerajaan yang berjaya. Memiliki rumah besar, kereta besar dan isteri yang badannya juga besar. Ahli perniagaan itu selalunya sudah diberi gelaran dato, barangkali telah berjasa besar kepada bangsa dan negara. Aha! Kira aku tumpang banggalah.

Digambarkan juga dalam drama tersebut, iaitu setelah mendapat gelaran dato, si isteri digelar datin dan anak-anak pula mula berangin. Anak-anak berasa malu jika keluar 'nyoping' hanya sekadar memandu Myvi. Lalu si bapa membelikan sebuah kereta, setidak-tidaknya jenama Volkswagen Polo atau Beetle gitu. Jika keluarga dato tersebut mempunyai lima anak yang udah dewasa maka ada lima buah kereta mewah dihalaman rumah. Ini tidak termasuk sebuah kereta resmi kegunaan dato, sebuah kereta mewah untuk datin dan sebuah kereta separuh mewah untuk pembantu rumah, guna pergi ke pasar basah.


Diakhir cerita, dato tersebut  menghadapi masalah tunai kerana berbelanja diluar kemampuan. Untuk menutup malu dan masih mahu menunjuk dan menonjolkan diri sebagai ahli koporat atau ketua yang hebat, maka dato itu tidak lagi toleh kiri-kanan apatah lagi mahu pandang ke belakang. Lalu dato itu tewas dengan menyeleweng wang syarikat atau penyalahguna kuasa atau juga terpaksa meminta suapan. Mula-mula mintak sedikit sahaja, lama-lama yang sedikit itu jadi bukit. 

Dipenedekan cerita. Skrip drama Melayu itu berakhir dengan watak utama [bergelar dato] itu tidak lagi berpakian kemas, memakai jam tangan berjenama, menaiki kereta mewah. Malah, dato itu  bersama beberapa rakannya telah tersarung baju warna oren dengan tangannya bergari. Mereka sedang berjalan dengan diapit oleh dua lelaki gagah perkasa. Jalannya tergesa-gesa, menunduk dan muka ditutup dengan jacket. Mereka berjalan dihadapan juru kamera dan pemberita. Rasanya, hendak sahaja dimaki hamun atau ditendang si juru gambar yang ramai itu tetapi dato itu tetap menjaga adab sopan. Mereka dibawa ke istana pengadilan.


2-
Kuala Lumpur.
Pagi itu aku ke ibu kota dengan niat untuk solat Jumaat di Masjid Jamek Kolompo. Sementara menunggu waktu, aku selesaikan urusan seperti membayar bil letrik dan bil U mobil. Selepas itu aku gerak ke arah Malayan Mansion untuk sarapan pagi. Sebaik memasukki lorong ke gerai mamak, sempat aku beli senaskah Kosmo!

Tak kisahlah akhbar apa yang aku baca  ketika bersarapan, janji sarapan aku disertai sekali aktiviti minda di waktu pagi. Walaupun akhbar kosmo itu saiznya kecil tetapi isi kandungannya tetap menarik, seperti berita berantai tentang pembunuhan abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam pada 6 Febuari lalu. Begitu juga tentang berita berterusan tentang gejala rasuah yang dikaitkan dengan anggota pengut kuasa.

Penguat kuasa yang mengkhianti kepercayaan dan tanggung-jawab yang diberikan wajib segera dibenteras habis-habisan. Ini termasuklah isu perjudian, rumah urut dan maksiat lainnya. SPRM juga perlu tegas menyiasat dan menumpaskan 'tangan-tangan ghaib' yang membantu atau melindungi penjenayah meloloskan diri.

SPRM sebenarnya memang mudah memerangkap dan menangkap penerima rasuah tetapi sebaliknya gagal bertindak keatas pemberi atau yang suka menawarkan rasuah. Adalah sesekali pemberi rasuah ditangkap, itupun hanyalah ikan bilis. Jarang sekali orang besar, golongan hartawan atau istilah lainnya 'ikan jerung' yang memeberi suapan menjadi buruan pihak SPRM.

Pukul 1245 tengahari, aku sudah pun berada dalam ruang solat di Masjid Jamek Kolompo. Tajuk kutbah Jumaat kali ini ialah 'Tiket ke Neraka'. Kebiasaannya, tajuk kutbah Jumaat adalah sama disekitar masjid-masjid Wilayah Persekutuan Kolompo, Putrajaya dan Persekutuan Labuan.

Nampak gayanya, pihak kerajaan benar-benar mahu memerangi rasuah. Ini kerana kesan rasuah itu sendiri akan menjejaskan diri individu terbabit, malah integriti jabatan serta negara. Bila seseorang itu udah terjebak dengan rasuah, akan menyebabkan seseorang itu hilang jati diri serta mencemarkan nama baik keluarga di mata masyarakat. - Wallahuaklam!


Nota Lutut :
Masa aku remaja, aku pernah terbaca pepatah seperti berikut : 'Berseronok-seronok itu satu dosa dan membuat dosa itu satu keseronokan'. Renungkanlah!

10 March 2017

CENDAWAN BOLA GOLF!


Tanah Kebun

Satu petang, aku terserempah dengan dua kuntum cendawan unik yang tumbuh dicelah rumput yang baru diketam. Rupa bentuk cendawan tersebut seperti bola golf atau dari kacamata akitek, cendawan tersebut seperti sebuah Pavilion[1] untuk pameran. Aku dengan penuh minat terus mencari nama cendawan tersebut melalui goagle. Dari laman inforum.cari.com.my yang bertajuk 'Jenis-Jenis Cendawan Yang Unik' aku temui beberapa jenis cendawan antaranya cendawan gigi berjangut, cendawan otak, fairy tale, puffball giant[2], ekor ayam belanda, cendawan gigi berdarah, sarang burung, susu biru dan cendawan choridactis.



Dari gambar yang dihidangkan dalam blog tersebut hanya cendawan Puffball Giant yang hampir menyerupai cendawan bola golf tetapi saiznya berbeza. Puffball Giant ukurannya sebesar bola sepak, manakala cendawan yang baru aku temui ukurannya hanyalah sebesar saiz lilit botol air 500ml.

Rasa tak puas hati pulak! Lalu aku goegle sekali lagi. Kali ini aku singgah di-laman Mnidotcom.blogspot.my. Ada 16 keping gambar cendawan popular di Malaysia seperti cendawan tiram, telinga kera, abalon, jerami, ling zhi, cendawan kobis, berangan, peha ayam, cendawan kukur [sisir], shiitake, butang, jarum mas [golden needle] dan perut lembu. Punbegitu, kesemua cendawan tersebut tidak menyerupai cendawan bola golf!


2- Bercakap pasal cendawan, pastinya aku teringat kali pertama aku makan cendawan kukur[3] dan sejenis lagi cendawan seperti telinga kera ialah ketika berumur 10 tahun. Cendawan tersebut emak aku kutip dari pokok getah yang tumbang. Emak biasanya hanya menumis cendawan tersebut dengan bawang merah dan ada kalanya emak campurkan  dengan ikan tamban. Sedap sangat!

Satu lagi cendawan yang sering emak masak ialah cendawan musim[4] yang tubuh selepas hujan. Cendawan yang berwarna putih, berbentuk seperti butang itu, kebiasanya emak masak sup bersama serai. Ketika-tiga jenis cendawan tersebut aku merasainya ketika zaman kanak-kanak lagi.

Apabila sudah dewasa, barulah aku mengenali beberapa jenis cendawan seperti cendawan butang yang dijual dalam tin, cendawan tiram dan cendawan shiitake serta yang terbaru aku  goreng tepung cendawan jarum mas. Rasanya tentulah berbeza apabila cendawan kita goreng, rebus atau ditumis.


3-
Esuk petang sekali lagi aku menghampiri cendawan bola golf. Alamak! Pavilion sudah bertukar warna jadi blueblack. Malah sukturnya sudah sedikit sengit seperti menara jam di Teluk Intan gitu. Aku, dengan senang hati sekali lagi merakam dua keping gambar untuk tatapan peminat cendawan. - Terima kasih  kerana anda sudi singgah di blog Kakiconteng! -[Mj]