17 March 2017

RASUAH - TIKET ke NERAKA!


Petang Itu.

1- Ye! Petang itu aku berpeluang menonton filem Tamil yang bersiaran diTv2. Kebiasaannya aku memilih filem Tamil berbanding filem Hidustan  kerana jalan ceritanya yang mudah difahami iaitu orang miskin selalu ditindas oleh ketua gengster. Malah, menteri atau ketua menteri biasanya hanya menggikut telunjuk ketua gengster.

Ketua menteri bersubahat dengan orang kaya, ketua gengster yang tamak haloba itu sering digambarkan pada sebuah negeri di Utara Pradesh atau Tamil Nadu misalnya. Tanah-tanah petani dirampas, anak-anak dara di rogol dan sesiapa yang berani melawan pasti maut ditetak atau di parang oleh kumpulan gengster. Walaupun filem Tamil di lebal ganas tetapi pada penghujung jalan ceritanya orang yang tamak,  orang yang suka membuli atau orang kaya yang memiliki harta berjuta ringgit, pasti akan tewas  ditangan seorang pembela yang bergelar hero gitu!


Di negeri kita bagaimana pulak! Tidak banyak filem atau drama Melayu seberani filem Tamil yang memaparkan aksi-aksi ganas. Di negeri kita hanya di tonjolkan jalan cerita yang baik-baik sahaja. Punbegitu, sesekali ada juga drama yang mengisahkan tentang ahli perniagaan atau ketua disebuah syarikat milik kerajaan yang berjaya. Memiliki rumah besar, kereta besar dan isteri yang badannya juga besar. Ahli perniagaan itu selalunya sudah diberi gelaran dato, barangkali telah berjasa besar kepada bangsa dan negara. Aha! Kira aku tumpang banggalah.

Digambarkan juga dalam drama tersebut, iaitu setelah mendapat gelaran dato, si isteri digelar datin dan anak-anak pula mula berangin. Anak-anak berasa malu jika keluar 'nyoping' hanya sekadar memandu Myvi. Lalu si bapa membelikan sebuah kereta, setidak-tidaknya jenama Volkswagen Polo atau Beetle gitu. Jika keluarga dato tersebut mempunyai lima anak yang udah dewasa maka ada lima buah kereta mewah dihalaman rumah. Ini tidak termasuk sebuah kereta resmi kegunaan dato, sebuah kereta mewah untuk datin dan sebuah kereta separuh mewah untuk pembantu rumah, guna pergi ke pasar basah.


Diakhir cerita, dato tersebut  menghadapi masalah tunai kerana berbelanja diluar kemampuan. Untuk menutup malu dan masih mahu menunjuk dan menonjolkan diri sebagai ahli koporat atau ketua yang hebat, maka dato itu tidak lagi toleh kiri-kanan apatah lagi mahu pandang ke belakang. Lalu dato itu tewas dengan menyeleweng wang syarikat atau penyalahguna kuasa atau juga terpaksa meminta suapan. Mula-mula mintak sedikit sahaja, lama-lama yang sedikit itu jadi bukit. 

Dipenedekan cerita. Skrip drama Melayu itu berakhir dengan watak utama [bergelar dato] itu tidak lagi berpakian kemas, memakai jam tangan berjenama, menaiki kereta mewah. Malah, dato itu  bersama beberapa rakannya telah tersarung baju warna oren dengan tangannya bergari. Mereka sedang berjalan dengan diapit oleh dua lelaki gagah perkasa. Jalannya tergesa-gesa, menunduk dan muka ditutup dengan jacket. Mereka berjalan dihadapan juru kamera dan pemberita. Rasanya, hendak sahaja dimaki hamun atau ditendang si juru gambar yang ramai itu tetapi dato itu tetap menjaga adab sopan. Mereka dibawa ke istana pengadilan.


2-
Kuala Lumpur.
Pagi itu aku ke ibu kota dengan niat untuk solat Jumaat di Masjid Jamek Kolompo. Sementara menunggu waktu, aku selesaikan urusan seperti membayar bil letrik dan bil U mobil. Selepas itu aku gerak ke arah Malayan Mansion untuk sarapan pagi. Sebaik memasukki lorong ke gerai mamak, sempat aku beli senaskah Kosmo!

Tak kisahlah akhbar apa yang aku baca  ketika bersarapan, janji sarapan aku disertai sekali aktiviti minda di waktu pagi. Walaupun akhbar kosmo itu saiznya kecil tetapi isi kandungannya tetap menarik, seperti berita berantai tentang pembunuhan abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam pada 6 Febuari lalu. Begitu juga tentang berita berterusan tentang gejala rasuah yang dikaitkan dengan anggota pengut kuasa.

Penguat kuasa yang mengkhianti kepercayaan dan tanggung-jawab yang diberikan wajib segera dibenteras habis-habisan. Ini termasuklah isu perjudian, rumah urut dan maksiat lainnya. SPRM juga perlu tegas menyiasat dan menumpaskan 'tangan-tangan ghaib' yang membantu atau melindungi penjenayah meloloskan diri.

SPRM sebenarnya memang mudah memerangkap dan menangkap penerima rasuah tetapi sebaliknya gagal bertindak keatas pemberi atau yang suka menawarkan rasuah. Adalah sesekali pemberi rasuah ditangkap, itupun hanyalah ikan bilis. Jarang sekali orang besar, golongan hartawan atau istilah lainnya 'ikan jerung' yang memeberi suapan menjadi buruan pihak SPRM.

Pukul 1245 tengahari, aku sudah pun berada dalam ruang solat di Masjid Jamek Kolompo. Tajuk kutbah Jumaat kali ini ialah 'Tiket ke Neraka'. Kebiasaannya, tajuk kutbah Jumaat adalah sama disekitar masjid-masjid Wilayah Persekutuan Kolompo, Putrajaya dan Persekutuan Labuan.

Nampak gayanya, pihak kerajaan benar-benar mahu memerangi rasuah. Ini kerana kesan rasuah itu sendiri akan menjejaskan diri individu terbabit, malah integriti jabatan serta negara. Bila seseorang itu udah terjebak dengan rasuah, akan menyebabkan seseorang itu hilang jati diri serta mencemarkan nama baik keluarga di mata masyarakat. - Wallahuaklam!


Nota Lutut :
Masa aku remaja, aku pernah terbaca pepatah seperti berikut : 'Berseronok-seronok itu satu dosa dan membuat dosa itu satu keseronokan'. Renungkanlah!

No comments:

Post a Comment