31 October 2016

TIGA HARI DUA MALAM


Setesen Bas!
Hari Sabtu, awal pagi aku sudah terpacak di sekitar setesen bas Jalan Pekeliling, Kolompo. Sambil mengendong beg hijau epal jenama Jean-Francois Explorer 80L, aku mengintai kauter jualan tiket untuk ke Bandar Jerantut. Tingkap kacanya belum dibuka dan beberapa penumpang sudah berdiri dihadapan pondok jualan tiket. Aku gerak ke arah gerai makan untuk sarapan pagi. Memesan secawan teh O dan dua biji telur setengah masak. Harga sarapan pagi cuma rm3.00[1].

Pukul 07.30 pagi Baha sampai sambil membawa berita sedikit kesal kerana last minit Azlan dan Bob tidak dapat ikut serta backpacker ke Taman Negara Kuala Tahan. Skrip seperti ini nampaknya berulang, bilamana di saat-saat akhir, Malek terpaksa membatalkan hasrat untuk ikut sama backpacker ke Ulu Leggong melalui Kuala Lipis, Kota Bahru, Jeli dan Gerik, pada 10 March 2016 [Backpacker KL-Kuala Lipis].



Ahh!
Tak kisahlah ujar si Baha. Berdua pun berdualah. Kami selesai sarapan. Gerak ke kauter tiket. Beli tiket ke Jerantut dengan harga rm18.40[2] seorang. Metrobus Exspres gerak meninggalkan Jalan Pekeliling menuju Jerantut pada pukul 08.10 pagi melalui Jalan Pahang, masuk Lebuhraya Duke dan terus ke Lebuhraya Pantai Timur. Ketika waktu melangkah ke pukul 0935 pagi, bas tersebut exit tol Lancang menuju bandar Mentakab.

Bas berhenti 10 minit di perhentian Mentakab untuk mengambil penumpang. Bas kemudian bergerak menuju Jerantut melalui beberapa buah kampung antaranya, nama kampung yang sedikit pelik dan seram ialah Kg Mambang Berulang. Di pinggir jalan pula, kelihatan banyak gerai menjual ikan patin dan talapia. Bas sudah melepasi pekan Kuala Krau dan tiba di stesen Jerantut pada pukul 1120 pagi.
  

Bandar Jerantut.
Kul 1120 pagi. Sebaik sahaja turun dari bas, kami di sapa oleh seorang lelaki, wakil dari NKS Hotel & Travel Sdn Bhd yang menawarkan perkhidmatan bot dari Jetty Kuala Tembeling ke Taman Negara dengan harga rm50.00 dengan masa perjalanan meredah Sungai Tembeling lebih kurang dua hingga tiga jam. Kami menolak tawaran tersebut kerana kami sudah merancang dari awal untuk menggunakan bas ke Kuala Tahan.

Bas untuk ke Kuala Tahan akan bergerak pada pukul 0100 tengahari. Masih ada masa selama satu jam lebih untuk kami makan-minum atau berjalan-jalan di sekitar bandar Jerantut. Aku dan Baha keluar dari kawasan perhentian bas  [masih baru] menuju ke tapak pehentian bas lama. Ini adalah kali ke tiga aku berada di bandar Jerantut.  Sebelum ne aku pernah singgah sekejap bersama isteri aku, adek Majid dan anak buah si Ammar sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Tahan.



Cuaca di Jerantut ketika ini panas. Baha mencari Atm. Aku cadangkan pergi sekitar perhentian bas lama. Di situ nanti ada mesin Atm dan sebuah restoran masakan Melayu. Kami berjalan kaki mencari arah. Akhirnya kami sampai tempat yang dituju dan Baha terus ke mesin Atm mengeluarkan sedikit wang. Aku pulak melihat-lihat tapak perhentian bas lama. Yang kelihatan cuma beberapa lelaki Melayu sedang bermain dam dalam kawasan perhentian tersebut. Aku menoleh ke seberang jalan. Restoran Melayu juga sudah tidak ada, mungkin berpindah disekitar rumah kedai atau food court berhampiran kompleks baru.



Matahari hampir tegak segalah di langit dan cuaca mulai membahang. Baha lapar dan perlu mengisi perut sebelum menaiki bas ke Kuala Tahan. Kami menapak arah deretan rumah kedai berhampiran food court dan singgah di sebuah kedai 'Patin Station' berdinding cermin serta berhawa dingin. Baha memesan set makan tengahari [rm6.00] iaitu nasi kukus, ayam goreng berempah dan segelas Teh O Iced. Aku pulak, masih kenyang dan hanya memesan semangkok Lee Cekang Iced rm4.00[3].



Menghampiri jam 1250 kami sudah berada dalam bas Pahang Lin Siong dan membayar harga tiket rm07.00 seorang[4]. Pukul 01.15 minit, bas meninggalkan bandar Jerantut menuju Kuala Tahan dengan membawa penumpang warga tempatan serta sembilan orang pelancung Mat Salleh. Melalui beberapa buah kampung, felda dan ladang kelapa sawit, berselisih dengan lori balak, jalan sempit yang bengkang-bengkok, akhirnya kami sampai di Taman Negara Kuala Tahan, Pahang.


Kuala Tahan.
Pukul 02.50 petang. Keluar dari bas. Perut aku mula keroncong kerana belum di isi. Pun begitu, aku tidak peduli tentang perut lapar. Kami menapak menuju tepian sungai Tembeling, masuk lorong sempit, dibelakang sekolah rendah dan berhenti di Dakili Hostel untuk bertanyakan bilik. Sudah penuh ujar seorang pemuda. Tidak hairanlah aku, kerana hujung minggu dan cuti umum Depavali, biasanya ramai orang mengambil kesempatan untuk beriadah di kawasan hutan, berkemah atau meredah anak sungai dan bukit-bukau, bagi melepaskan rindu dendam kepada alam atau sekurang-kurangnya dapat melepaskan tekanan pada hujung minggu gitu!



Kami terus bergerak menyusuri lorong sempit antara pagar sekolah dan pondok serta rumah papan yang sudah usang. Masuk ke dalam lagi, ikut petunjuk arah papan tanda yang dicacak ditepi lorong. Di situ kami nampak kawasan chalet dan hostel antaranya Liana Hostel, Dakili Hostel, Rainbow Hostel, Hana Guest House dan Marsheer Hostel dan Chalet. Kami berhenti di-kaunter Marsheer untuk bertanyakan room rate bagi sebuah chalet. - Cut!



Perbelanjaan :
[1] Sarapan Pagi rm3.00 [2]Tiket Bas KL - Jerantut rm18.40. [3]Minum Lee CeKang Iced rm4.00 [4] Tiket bas dari Jerantut - Kuala Tahan rm7.00. Jumlah perbelanjaan setakat ini: Rm32.00.




28 October 2016

TAMAN NEGARA KUALA TAHAN



Mukadimah!
Pejam-celik, pejam-celik akhirnya aku sudah hampir ke penghujung langit Oktober 2016. Langit Oktober bagi setengah orang mungkin biasa-biasa sahaja tetapi bagi pencinta alam, Oktober adalah bulan hijau dimana pada bulan tersebut telah diadakan Minggu Alam Sekitar Malaysia dengan tema 'Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama'.

Sesuai dengan tema tersebut, ada kelompok masyarakat yang mahu mengawal pencabulan alam sekitar dan satu kelompok lagi terus menerus melakukan aktiviti penebangan dan penggondolan hutan. Tumbuh-tumbuhan yang menghijau, buah-buahan yang menguning, bunga yang berwarna warni, pohun yang tinggi-rendah, besar-kecil, ada yang boleh dimakan dan ada pula yang tidak boleh dirasa, ada yang menjadi ubat, ada pula yang menjadi racun, mungkin akan pupus begitu sahaja.

Bila sebahagian alam yang hijau itu pupus, lalu menjelmalah masalah baharu seperti bencana alammasyarakat pula mungkin berada dalam te
rtekan dan hidup sentiasa dalam kebimbangan. Mana tidak bimbang! Lihatlah alam manusia itu sendiri sentisa bergantung dengan alam sekitar. Dari alam kita mendapat angin dan udara yang berhembus dari utara ke selatan dan dari timur ke barat, berulang-ulang, memenuhi segenap ruang dan lapangan. Udara itu ada yang laju bergerak ada yang perlahan, ada yang sejuk nyaman ada pula yang hangat berbahang. Udara adalah syarat utama bagi makhluk yang ingin hidup dibumi Allah ini.


2-
Kita tinggalkan mukadimah yang berjela-jela dan berbunga-bunga. Kita kembali kepada tajuk 'Taman Negara Kuala Tahan'. Jika aku hendak melihat warna hijau, jika kulit aku mahu dijamah oleh angin sejuk nyaman, jika aku mahu mendengar decitan burung-burung, jika aku mahu merasa gigitan nyamuk dan pacat, jika aku mahu mendengar suara manusia yang resah gelisah, disitu ada pengkalan, ada arus sungai yang berlumpur, ada bot yang terdampar menanti kedatangan aku.

Esok [29 Oktober 2016] adalah cuti umum kerana hari perayaan Deepavali khas untuk masyarakat India yang beragama Hindu sahaja. Aku pula bercadang untuk bersahabat dengan alam ke Taman Negara Kuala Tahan, Pahang. Esok juga, aku dan beberapa rakan berjanji untuk bertemu seawal pagi di stesen bas Jalan Pekeliling Kuala Lumpur. Dari stesen tersebut kami akan menumpang bas ke bandar Jerantut dengan kadar tambang rm18.00 seorang dengan masa perjalanan selama tiga jam.

Dari
stesen Jerantut kami akan singgah makan tengahari sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Tahan dengan harga tiket bas rm7.00 dengan masa perjalanan selama satu setengah jam. Di Kuala Tahan nanti kami akan mendapatkan bilik hotel baget. Jika bilik hotel penuh, mungkin kami terpaksa menyewa tapak perkemahan berhampiran Tembeling River View Lodge.

Apabila tiba di Kuala Tahan barulah kami merancang aktiviti yang hendak dilakukan. Antara aktiviti di Taman Negara ialah conopy walk yang jaraknya dari Wildlife HQ ialah 1.2 km dengan berjalan kaki [by treking] atau menggunakan bot. Jungle treking yang popular pula antaranya ialah ke Bukit Teresek, 30-45 minit perjalanan dengan jarak sejauh 1.7 km dari Wildlife HQ. Lubok Simpon, mengambil masa antara 20-30 minit perjalanan. Ke Gua Telinga yang mengambil masa perjalanan antara 2 jam 30 minit.

Lain-lain aktiviti seperti night jungle walk ke Bumbun Tahan atau rapid shooting dengan menyewa bot sambil menyusuri Sungai Tembeling dan melawat kampung orang asli. Aktiviti yang lebih mencabar ialah menapak ke Lata Berkuh yang mengambil masa selama 5 jam perjalanan atau hendak lebih adventure lagi bolehlah menjelajah hutan dan mendaki Gunung Tahan yang jarak perjalananya [classic trail] sejauh 53km dari Wildlife HQ tetapi sekarang telah ada laluan baru yang jaraknya hanya 32km dan  memerlukan  4 hari 3 malam sahaja. Fuhhh! 32 km. Boleh tahan jauhnya Bro! - Cut!

16 October 2016

PEKAN LAMA LANCANG - PAHANG



Lancang.


1- Istilah perkataan Lancang itu membawa erti kelakuan atau pengucapan yang tidak senonoh, tidak sopan atau biadap. Erti yang kedua pula bermaksud kapal layar yang laju. Seperti cerita rakyat Riau [Lancang Kuning] turun- temurun di daerah Pekan Baru Riau, Indonesia. Lancang yang bermaksud melaju [laju] dan kuning sebagai lambang daulat dan harkat mertabat. Cerita rakyat Riau itu adalah tentang konflik dan dendam peribadi  penguasa yang akhirnya menghancurkan pemerintahan dan masyarakatnya.


2- Oleh kerana cerita rakyat Riau itu telah sebati dengan alam Melayu Nusantara lalu sebuah filem berjudul 'Lanchang Kuning' telah diterbitkan di Malaysia pada tahun 1962 dalam bentuk sinematografi hitam putih [tanpa warna]. Filem Melayu itu diedarkan oleh Catay Keris Filem Productions yang diarahkan oleh M. Amin dengan para pelakon hebat anatarnya Nordin Ahmad sebagai Panglima Alang Yahya, Latifah Omar [watak sebagai Telani], Yusof Latiff [Baginda Sultan], Hj Arshad memegang watak Panglima Ali dan pelakon Roseyatimah sebagai Teratai [adek kepada Panglima Ali].




3-  Zaman telah berlalu. Begitu juga masa, tidak pernah menunggu walaupun sedetik cuma. Kini, pekan yang dahulunya dibarisi dengan rumah kedai beratap zing dan berdinding papan itu mula dirobohkan. Zaman bahari telah meninggalkan tapak-tapak kenangan dimana pekan kecil yang terletak diantara bandar Karak dan Mentakab itu adalah satu-satunya pekan kebangaan penduduk sekitarnya.

Hari ini, pekan Lancang yang dihubungkan melalui jalan lama Kuala Lumpur - Kuantan dan juga melalui Lebuhraya Pantai Timur [LPT] itu telah terbahagi kepada dua kawasan. Kawasan baru itu telah dibangunkan dengan pelbagai aktiviti mingguan seperti Pekan Sehari setiap hari Selasa dan Pasar Malam setiap malam Sabtu.
 

4- Lancang, kalau ikut peta adalah sebuah mukim yang terletak dalam pentadbiran Daerah Temerloh. Terkenal sebagai Pusat Pemeliharaan Gajah Kuala Gandah serta 'Deerland' yang juga terletak di Lancang. Selain itu, Lancang yang maksud ketiganya[3] adalah tumbuhan herba seperti ara tanah, gelang susu, keremak susu dan euphorbia hirta telah dikaitkan dengan kawasan pertanian yang luas. Terdapat beratus-ratus hektar tanah dijadikan kawasan pertanian antaranya skim Felda untuk tanaman getah dan kelapa sawit yang terletak di Felda Lakun dan Felda Bukit Damar misalnya.




  • 5- Tidak habis disitu, Lancang juga mempunyai kawasan dusun buah-buahan  kedua terbesar selepas Selangor dimana Taman Kekal Pengeluaran Makanan [TKPM] dijangka akan menghasilkan 1,500 tan buah-buahan setahun. Di sini, TKPM melalui rancangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur [ECER] telah diberi peranan besar dalam menjana pertanian negara  kepada tahap sara diri serta mengumpul dan membekalkan makanan kepada rakyat.

    Malah, Jabatan Pertanian Negeri Pahang juga telah memperuntukkan 3,600 hektar tanah bagi pembangunan kebun buah-buahan komersial dengan 3,200 hektar daripadanya diperuntukan bagi sektor swasta, manakala baki 400 hektar diperuntukan untuk diusahkan oleh pekebun kecil dengan bantuan syarikat tertentu.   

6- Jika anda yang berada disekitar Kuala Lumpur dan Lemah Klang teringin datang sekadar untuk melihat-lihat dusun buah-buahan di TKPM, anda hanya perlu memandu selama satu jam setengah melalui tol Gombak, tol Bentung, tol Karak dan exit tol Lancang. Dari tol Lancang anda beluk ke kiri dan berhenti di Mempateh. Dari Mempateh, anda disaran terus memandu melepasi beberapa kampung sehingga ternampak papan tanda Kg Teris. Tidak jauh dari papan tanda tersebut ada simpang untuk masuk ke kanan [sedikit mendaki] dan terus memandu.

Sekiranya anda sudah melepasi pondok pengawal [tiada pengawal] di sebelah kiri dan bangunan berwarna putih disebelah kanan, ini bermakna anda sudah berada dalam kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan [TKPM]. Bangunan disebelah kanan yang anda lihat sekali imbas tadi ialah Kilang Malaysia Agriculture Food Cooperation [MAFC]. Sepatutnya, kilang tersebut menjalankan aktiviti pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan [CPPC] buah nangka untuk dieksport tetapi entah dimana silapnya, sehingga sekarang MAFC itu belum beroperasi.



7- Oppps! Lupakan cerita tentang orang Riau, tentang filem Lanchang Kuning atau tentang  dusun buah-buahan. Saat aku berada di persimpangan, aku lihat pekan Lancang. Pekan itu  tidak pernah berdusta apabila air selalu dicatu walaupun hujan sering turun membasahi rumput-rumput, membasahi jalan-jalan, membasahi atap-atap zing. Di lorong belakang, sebuah rumah dindingnya mula mereput. Di situ ada ibu tua sedang dilanda resah tatkala anak-anak menangis minta dibelanja sebatang ice cream. Petang harinya, aku terserempak seorang pemuda berbaju hitam-renyuk, bercelana hitam-lusuh, berselipar, kuku kakinya panjang, mundar-mandir sambil ketawa. Bila dia ketawa matanya berkilau menahan sedih. Katanya "Koi orang Lancang, belanjalah makan, Eh! Bagilah rokok sebatang" - Cut!




15 October 2016

Seorang Pelacur Menolong Seekor Anjing.



Aku!
Sudah sepuloh hari berada di tanah kebun, Lancang-Pahang. Sengaja aku tidak membawa bersama laptop agar aku boleh bermesra dengan alam seratus persen. Sudah sepuloh hari aku melihat kabus dingin dipagi hari bersama tetes-tetes embun. Mendengar decitan burung-burung terbang mencari makan. Aku, sudah sepuloh hari menyaksikan warna langit biru polos dan matahari panas membahang.

Petangnya redup, membuat aku gumbira memetik pucuk ubi dan limau kasturi. Bilamana matahari merah di kaki langit lalu burung-burung pulang kesarang. Malam. Selepas solat Isha, terhidang di atas meja nasi putih, gulai lemak pucuk ubi dan ikan sepat masin goreng. Malam itu, usai makan malam lalu aku beradu. Mimpi datang. Aku lihat seorang bidadari bersama seekor anjing. Anjing itu menyalak berkali-kali, lalu aku terjaga. Subuh sudah didepan mata.


2-
Pagi pun datang tanpa sinar matahari yang segar seperti kebiasaannya. Dia duduk dibawah redup rimbunan buluh melihat dedaun hijau segar bugar, sejuk dan damai. Jika berlaku kemarau panjang, pastinya daun-daun buluh itu menjadi kuning, tanah berdebu dan retak seribu. Semak belukar terjuntai kaku, burung-burung tidak  berkicau meriuhkan alam seperti dulu.

Ketika itu langit tidak lagi membiru dan awan kemawan kabur menghilang entah kemana. Matahari merah menyala. Terik panasnya begitu berat menindih alam bagaikan esuk akan pupus dan yang terpeta di minda hanyalah bayang-bayang kematian. Seolah-olah alam berada dalam  sengsara dan kepapaan.

Itulah yang dicemaskan oleh salah seorang sufi yang digelar waliyullah, Ibrahim bin Adham, ketika sebuah ayat tanzir memperingatkan tentang berbagai kerosakan yang terjadi di daratan dan lautan, kesemuanya di sebabkan oleh tingkah laku manusia sendiri yang tidak bertanggungjawab lagi zalim. Ayat lainnya juga memperingatkan:

"Dan Allah memberikan gambaran tentang sebuah negeri yang tadinya aman tenteram. Rezeki datang melimpah ruah. Datang dari segala arah. Akan tetapi, mereka kemudian menganiaya kurnia Allah itu. Maka ditimpakan atas mereka selubung kelaparan dan ketakutan sebagai akibat dari perbuatan mereka sendiri."[An-NahL: 112]


Semenjak firman Allah itu bergema di dada sang wali, Ibrahim bin Adham lebih banyak menghabiskan waktunya untuk beribadah dan berkebun, selain itu beliau melakukan perjalanan menjelajah negeri-negeri untuk menghirup udara segar di tengah alam yang bebas lepas, sambil menghayati kenikmatan Allah dengan kesedaran dan keimanan yang semakin menebal.

Dalam penuh kekaguman, salah seorang muridnya bertanya:

"Wahai Waliyullah. Alangkah mulianya peribadimu yang meninggalkan kehidupan berumahtangga untuk meningkatkan iman dan menguatkan ibadahmu."

"Keliru, sungguh keliru. Kesibukanmu mengurus kelurga lebih utama daripada yang kulakukan ini." Sang Wali menjawab.

"Tetapi, kenapa tuan tidak beristeri?"

"Sebab aku sudah jatuh cinta kepada alam dan Yang Menciptakannya."

Alangkah bijaknya ucapan Ibrahim bin Adham. Pun begitu, beliau memang tidak mahu berkahwin, namun tetap menganggap orang lain yang beristeri dan beranak-pinak itu lebih mulia daripada cara hidupnya. Ia memilih cara hidup yang ganjil, iaitu bersahabat dengan alam. Sebab, jika alam tidak disantuni dengan penuh kearifan, pasti akan timbul ketimpangan dan kebinasaan. Oleh kerana itu, dengan dalih apapun, merosak dan menyia-nyiakan alam adalah kezaliman yang sangat dikutuk.



3-
Teringat akan kisah menjelang keberangkatan tentera beliau menuju medan perang Mu'tah, dimana antara pesan Nabi SAW yang terpenting adalah agar pasukan Muslimin jangan sesekali menebang pepohon yang daunnya rimbun, lantaran orang boleh berteduh di bawahnya. Juga, jangan pula merobohkan tanaman-tanaman yang berbuah, sebab hasilnya akan dapat dinikmati oleh setiap makhluk.

Bahkan Rasulullah pernah bersabda, "Andaikata  esuk pagi hari kiamat tiba, sedangkan di tangan kamu masih menggengam sebutir biji benih kurma, apakah yang harus kamu lakukan? Membuangnya adalah sia-sia kerana kamu putus asa? Tidak! Kamu teruskan menanam benih kurma tersebut ini kerana bagimu telah tersedia pahala menanamnya."

Begitulah cintanya Nabi SAW kepada alam, tumbuhan dan binatang, sampai beliau dengan jelas berkata, "Seandainya kamu berumah di tepi sungai, kamupun wajib berhemah dalam menggunakan air."

Untuk menganjurkan agar umatnya sentiasa mengasihi sesama ciptaan Tuhan, Rasulullah SAW mengisahkan tentang seorang pelacur di zaman Bani Israil, yang kehabisan bekal makanan di tengah gurun. Bibirnya telah kering dan pecah-pecah. Matanya berkunang-kunang kerana kehausan di bakar terik matahari. Sedang dia menyeret-nyeret kakinya tanpa tujuan lagi, tiba-tiba dia menjumpai sebuah telaga lama yang lubangnya sempit dan airnya jauh kebawah. Namun, dengan usaha dan susah payah dia turun juga dan berhasil memuaskan dahaganya. Selepas itu, dengan lebih susah payah pula, dia merangkak naik keatas.

Tatkala dia sudah merasa segar dan siap sedia untuk meneruskan perjalannaya, pelacur itu melihat sesekor anjing yang kurus kering, sedang lidanya menjilat-jilat ke pasir. Air liurnya sudah kering dan anjing itu hampir mati kehausan. Pelacur tadi membayangkan, barangkali begitulah keadaannya jika belum berhasil menghirup air.

Maka pelacur itu segera turun kembali ke dalam telaga yang sempit dan dalam itu. Hampir saja dia terjatuh ke bawah dan binasa. Dengan usaha gigihnya dia dapat mengambil air dengan menggunakan sepatunya sebagai gayung. Lalu dengan menggigit sepatu berisi air itu dimulutnya, dia merangkak naik ke atas. Alangkah sengsaranya pekerjaan yang dilakukannya itu.



Sesudah selamat, dia bergegas mendatangi anjing tersebut dan memberikan air. Lahap sekali anjing itu minum hingga segar semula dan berlari dalam keadaan sihat walafiat.

Rasulullah SAW kemudian berkata kepada para sahabat-sahabatnya, "Kerana kasih sayang pelacur itu kepada anjing yang hampir mati kehausan, semua dosanya diampunkan oleh Allah dan bakal masuk syurga selama-lamanya.

Salah seorang sahabatnya bertanya:

"Apakah kami bakal memperolehi ganjaran hanya dengan menolong seekor anjing?"

"Bukan hanya dengan menolong anjing. Bahkan dengan menolong semua makhluk yang bernyawa mahupun tidak bernyawa, kalian akan memperolehi balasan berlipat ganda." Rasulullah SAW menjawab. - Wallahuaklam!