01 October 2016

LAMPU MERAH SUDAH MENYALA



Esuk, 1 Muharram 1438.
Antara cerita yang di cetak oleh ramai sahabat di laman sosial ialah mahu menjadikan semangat Maal' Hijrah itu sebagai satu suntikan penghijrahan daripada sikap negatif kepada yang positif, malas kepada rajin atau ayat mudah iaitu mahu menutup buku lama yang kulit serta isinya sudah diselaputi jelaga serta berhabuk kepada buku baru yang bersih lagi suci.

Tidak ketinggalan juga tercetak, penceritaan[1] secara ringkas tentang penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah. Hijrah tersebut adalah disebabkan baginda SAW terpaksa kerana nyawa Rasulullah SAW sudah terancam disebabkan Musyrikin Quraysh nekad mahu membunuh baginda SAW. Diceritakan, iaitu baginda meminta Abu Bakar RA sebagai pengiring dalam hijrah beliau. Baginda SAW juga meminta sepupunya, Ali bin Abi Talib tinggal di Mekah manakala Asma' dan Aisah binti Abu Bakar menyediakan makanan untuk mereka berdua menempuh perjalanan yang jauh.

Ketika dalam perjalanan, baginda tidak terus ke Madinah, sebaliknya bersembunyi selama tiga hari dalam Gua Thur di Mekah. Dipendekan cerita, iaitu selepas keluar dari persembunyian dari gua Thur, baginda SAW keluar menuju ke Madinah dengan seorang pemandu jalan bukan Islam yang bernama Abdullah bin Urayqit. Mereka memulakan perjalanan Hijrah ke Madinah melalui jalan yang jarang digunakan orang.


            LAMPU MERAH SUDAH MENYALA

Kita tinggalkan mukadimah dan peristiwa hijrah kerana lampu hijau sudah terpadam dan kini lampu merah sudah menyala. Kebiasaannya, apabila lampu merah menyala dipersimpangan jalan tanpa disuruh semua kenderaan akan berhenti. Begitu juga apabila kita mengetahui tarikh luput kita dalam alam pekerjaan. Berhenti atau diberhentikan. Bersara atau ada pilihan lain, itu adalah takdir yang sudah tertulis dan kita kena terima dengan rela hati.

Ramai pekerja swasta atau kakitangan kerajaan yang telah membuat persediaan lebih awal sebelum berhenti atau bersara. Ada yang menggikuti kursus perniagaan, kursus membuat ruti dan cake, penanaman cendawan, kursus pertukangan rumah dan sebagainya. Ada juga pekerja yang membuat perancangan untuk menunaikan umrah, bercuti panjang, melancung atau mengembara ke luar negara. Selebihnya pula barangkali ada yang berangan-angan mahu berniaga secara online, membuka gerai tepi jalan menjual bugger, laksa atau nasi lemak sebagai contoh.

Apapun perancangan, persediaan dan angan-angan yang hendak di-buat, bergantung kepada simpanan tunai dalam bank, simpanan dalam KWSP, wang pencen bulanan atau wang ganjaran dari majikan. Ada orang yang mempunyai simpanan di KWSP mencecah sehingga jutaan ringgit ada juga yang hanya terkumpul sekitar RM20,000.00. Pekerja yang mempunyai simpanan jutaan ringgit tentulah tidak terburu-buru untuk membuat sebarang perniagaan. Mereka lebih senang melancung ke luar negara bersama keluarga, sehingga memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Ketika menunggu masa persaraan pula, ada waktu-waktunya mereka menerima call atau sms memujuk mereka melabur dalam perniagaan labu peram atau perniagaan atas angin yang kononnya boleh mendatangkan laba berlipat ganda dalam tempuh tiga bulan. Ada juga 'panggilan hangit' yang kononnya mereka mendapat hadiah RM30,000.00 dari Petronas atau sms yang kononnya mendapat hadiah percutian ke Pulau Lombok atau lokasi yang jauh sikit iaitu percutian ke bumi Eropah selama dua minggu gitu!

Terpulang kepada individu itu sendiri adakah mereka termakan umpanan 'panggilan hangit' kerana sifat tamak mereka atau sebaliknya. Meminjam kata-kata Dr Muhaya Muhamad[2] dalam rencana Jom Audit iaitu:


Dalam konsep 'Reset Minda' ditekankan tentang bagaimana mengawal fikiran, emosi, respon atau tindakan kita. Sebab itu dalam peribahasa Melayu banyak dikias ibaratkan tentang akal dengan tindakan dan personaliti seseorang ditentukan oleh akal. Antaranya, "Akal akar berpulas tak patah" maksudnya, orang yang pandai, tak akan mudah kalah dalam perdebatan. "Akal labah-labah; digua buruk suka merakut [memasang jaring]" bereti, orang jahat yang suka menipu orang. "Akal sebagai makan nasi lecek" maknanya, orang yang fikirannya seperti anak-anak. Demikaianlah hakikatnya, mental/fikiran, spiritual/kerohanian dan emosi mempengaruhi manifestasi kepada fizikal kita. Oleh sebab itu bersihkan jiwa/roh kita daripada emosi dan fikiran negatif. [Pengarah Pusat Mata dan Lasik Prof. Muhaya]


Berbalik kepada cerita orang yang menunggu masa persaraan. Ikut emosi, tipulah jika tidak rasa sedih, rasa pilu yang memilu. Lagi-lagi bilamana ada rakan yang menyelitakan ungkapan seperti:


              Tuai padi antara masak
          Esok jangan layu-layuan
              Intai kami antara nampak
          Esok jangan rindu-rinduan.


              Nasi lemak buah bidara
          Sayang selasih hamba lurutkan
              Tinggal boss tinggal saudara

          Kerana bersara hamba turutkan.


Kita boleh lihat bagaimana sahabat atau jiran-jiran kita yang sudah bersara.
Sudah menjadi kebiasaan bagi kaum 'lelaki pencen', rutin harian mereka hanya lepak-lepak di kedai kopi setelah menghantar cucu  ke sekolah. Aktiviti sampingan, basuh kereta, siram bunga dan senjanya berkumpul di surau atau masjid. Usai solat Isya, jika tidak ada kuliah atau aktiviti di surau, mereka akan melepak semula di kedai kopi.

Lelaki pecen lainnya pula, ada yang berniaga sendiri. Ada yang membawa teksi, memandu kereta Uber dan ada juga segelintir yang  bersenam, berjalan kaki, berjogging  atau berkayuh basikal di taman. Gaya hidup sihat dan senaman bersesuaian akan menjadikan kehidupan 'lelaki pencen' lebih berkeyakinan dan sekaligus membentuk keluarga cergas dan melahirkan masyarakat yang sihat.

Betul, apabila kita bersara kita memerlukan berbelanjaan harian seperti hari-hari sebelum persaraan. Tentulah keutamaan perbelanjaan untuk membayar pinjaman rumah dan pembiayaan kereta, kerana itu adalah prioriti. Selebihnya untuk membayar bil api, air, perkhidmatan [service apartment], internet, astro, belanja pasar, menghantar duit ke kampung dan tidak termasuk perbelanjaan luar jangkaan.

Perbelanjaan 'luarjangka' mugkin sedikit membebankan kerana ia diluar kawalan kita. Misalnya seperti kereta rosak, saman trafik, paip bilik air pecah, bayaran yuran tambahan anak dikolej atau IPTA. Mungkin juga dikejutkan dengan keinginan anak teruna yang baru tamat belajar, tetiba hendak bernikah pulak. Tentu memerlukan berbelanjaan besar!

Janganlah risau, janganlah gelabah kerana sesungguhnya kita sedang diuji. Barangkali kita hanya dapat menyimpan dalam KWSP sebanyak RM20,000.00 atau kita diuji dengan mendapat duit ganjaran bernilai ratusan ribu ringgit. Kita juga pada masa yang sama diuji dengan ketakutan akan kehabisan wang simpanan atau kekurangan harta benda. Kita juga diuji dengan rasa kegumbiraan kerana memiliki wang dan harta yang banyak. Seperti maksud ayat dibawah ini :

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh lagi mendirikan sembahyang dan membayar zakat untuk mereka itu pahala di sisi Tuhannya dan tak ada ketakutan atas mereka dan tiada mereka berduka cita"  [Al Baqorah 227]


Tawakal kepada Allah. Di-ceritakan dalam buku 'Rezekimu Tidak Diambil Orang Lain' iaitu: Tawakal kepada Allah memiliki beberapa asas, yang mana tawakal itu berdiri diatasnya. Muhammad bin Abi Imran pernah mendengar bahawa ada seseorang bertanya kepada Hatim al-Asham lalu beliau menjawab mengenai tawakal itu perlu berlandaskan kepada empat perkara iaitu:


1- Bahawa rezekiku tidak akan dimakan orang lain, maka hatiku tenang.

2- Bahawa amal ibadahku tidak akan dilakukan oleh orang lain, maka aku bersungguh-sungguh menjalankannya.

3- Bahawa kematian akan datang kepadaku dengan tiba-tiba, maka aku selalu mempersiapkannya.

4- Bahawa diriku tidak boleh terlepas dari pandangan Allah di manapun aku berada, maka aku malu kepada-Nya.



Bersara
atau berhenti kerja bukalah penamat dalam kehidupan kita. Ia adalah permulaan kehidupan baru bagi pusingan kedua. Bagi mereka-mereka yang telah bersedia untuk menerima sesuatu yang baru maka sesungguhnya sesuatu itu akan datang padanya. Ia juga bergantung kepada pengelaman hidup kerana pengelaman adalah guru yang terbaik dalam hidup kita. Semakin banyak pengelaman semakin banyak pula kita mendapat pelajaran. Maka pelajaran itu membuat kita mempunyai kesedaran jiwa, sehingga membuat kita matang dalam kehidupan. Kematangan, bererti kita tahu membawa diri kita dalam menghadapi hidup bermasyarakat. - Walahuaklam!




No comments:

Post a Comment