Lancang.
1- Istilah perkataan Lancang itu membawa erti kelakuan atau pengucapan yang tidak senonoh, tidak sopan atau biadap. Erti yang kedua pula bermaksud kapal layar yang laju. Seperti cerita rakyat Riau [Lancang Kuning] turun- temurun di daerah Pekan Baru Riau, Indonesia. Lancang yang bermaksud melaju [laju] dan kuning sebagai lambang daulat dan harkat mertabat. Cerita rakyat Riau itu adalah tentang konflik dan dendam peribadi penguasa yang akhirnya menghancurkan pemerintahan dan masyarakatnya.
2- Oleh kerana cerita rakyat Riau itu telah sebati dengan alam Melayu Nusantara lalu sebuah filem berjudul 'Lanchang Kuning' telah diterbitkan di Malaysia pada tahun 1962 dalam bentuk sinematografi hitam putih [tanpa warna]. Filem Melayu itu diedarkan oleh Catay Keris Filem Productions yang diarahkan oleh M. Amin dengan para pelakon hebat anatarnya Nordin Ahmad sebagai Panglima Alang Yahya, Latifah Omar [watak sebagai Telani], Yusof Latiff [Baginda Sultan], Hj Arshad memegang watak Panglima Ali dan pelakon Roseyatimah sebagai Teratai [adek kepada Panglima Ali].
3- Zaman telah berlalu. Begitu juga masa, tidak pernah menunggu walaupun sedetik cuma. Kini, pekan yang dahulunya dibarisi dengan rumah kedai beratap zing dan berdinding papan itu mula dirobohkan. Zaman bahari telah meninggalkan tapak-tapak kenangan dimana pekan kecil yang terletak diantara bandar Karak dan Mentakab itu adalah satu-satunya pekan kebangaan penduduk sekitarnya.
Hari ini, pekan Lancang yang dihubungkan melalui jalan lama Kuala Lumpur - Kuantan dan juga melalui Lebuhraya Pantai Timur [LPT] itu telah terbahagi kepada dua kawasan. Kawasan baru itu telah dibangunkan dengan pelbagai aktiviti mingguan seperti Pekan Sehari setiap hari Selasa dan Pasar Malam setiap malam Sabtu.
4- Lancang, kalau ikut peta adalah sebuah mukim yang terletak dalam pentadbiran Daerah Temerloh. Terkenal sebagai Pusat Pemeliharaan Gajah Kuala Gandah serta 'Deerland' yang juga terletak di Lancang. Selain itu, Lancang yang maksud ketiganya[3] adalah tumbuhan herba seperti ara tanah, gelang susu, keremak susu dan euphorbia hirta telah dikaitkan dengan kawasan pertanian yang luas. Terdapat beratus-ratus hektar tanah dijadikan kawasan pertanian antaranya skim Felda untuk tanaman getah dan kelapa sawit yang terletak di Felda Lakun dan Felda Bukit Damar misalnya.
- 5- Tidak habis disitu, Lancang juga mempunyai kawasan dusun buah-buahan kedua terbesar selepas Selangor dimana Taman Kekal Pengeluaran Makanan [TKPM] dijangka akan menghasilkan 1,500 tan buah-buahan setahun. Di sini, TKPM melalui rancangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur [ECER] telah diberi peranan besar dalam menjana pertanian negara kepada tahap sara diri serta mengumpul dan membekalkan makanan kepada rakyat.
Malah, Jabatan Pertanian Negeri Pahang juga telah memperuntukkan 3,600 hektar tanah bagi pembangunan kebun buah-buahan komersial dengan 3,200 hektar daripadanya diperuntukan bagi sektor swasta, manakala baki 400 hektar diperuntukan untuk diusahkan oleh pekebun kecil dengan bantuan syarikat tertentu.
6- Jika anda yang berada disekitar Kuala Lumpur dan Lemah Klang teringin datang sekadar untuk melihat-lihat dusun buah-buahan di TKPM, anda hanya perlu memandu selama satu jam setengah melalui tol Gombak, tol Bentung, tol Karak dan exit tol Lancang. Dari tol Lancang anda beluk ke kiri dan berhenti di Mempateh. Dari Mempateh, anda disaran terus memandu melepasi beberapa kampung sehingga ternampak papan tanda Kg Teris. Tidak jauh dari papan tanda tersebut ada simpang untuk masuk ke kanan [sedikit mendaki] dan terus memandu.
Sekiranya anda sudah melepasi pondok pengawal [tiada pengawal] di sebelah kiri dan bangunan berwarna putih disebelah kanan, ini bermakna anda sudah berada dalam kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan [TKPM]. Bangunan disebelah kanan yang anda lihat sekali imbas tadi ialah Kilang Malaysia Agriculture Food Cooperation [MAFC]. Sepatutnya, kilang tersebut menjalankan aktiviti pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan [CPPC] buah nangka untuk dieksport tetapi entah dimana silapnya, sehingga sekarang MAFC itu belum beroperasi.
7- Oppps! Lupakan cerita tentang orang Riau, tentang filem Lanchang Kuning atau tentang dusun buah-buahan. Saat aku berada di persimpangan, aku lihat pekan Lancang. Pekan itu tidak pernah berdusta apabila air selalu dicatu walaupun hujan sering turun membasahi rumput-rumput, membasahi jalan-jalan, membasahi atap-atap zing. Di lorong belakang, sebuah rumah dindingnya mula mereput. Di situ ada ibu tua sedang dilanda resah tatkala anak-anak menangis minta dibelanja sebatang ice cream. Petang harinya, aku terserempak seorang pemuda berbaju hitam-renyuk, bercelana hitam-lusuh, berselipar, kuku kakinya panjang, mundar-mandir sambil ketawa. Bila dia ketawa matanya berkilau menahan sedih. Katanya "Koi orang Lancang, belanjalah makan, Eh! Bagilah rokok sebatang" - Cut!
No comments:
Post a Comment