15 October 2016

Seorang Pelacur Menolong Seekor Anjing.



Aku!
Sudah sepuloh hari berada di tanah kebun, Lancang-Pahang. Sengaja aku tidak membawa bersama laptop agar aku boleh bermesra dengan alam seratus persen. Sudah sepuloh hari aku melihat kabus dingin dipagi hari bersama tetes-tetes embun. Mendengar decitan burung-burung terbang mencari makan. Aku, sudah sepuloh hari menyaksikan warna langit biru polos dan matahari panas membahang.

Petangnya redup, membuat aku gumbira memetik pucuk ubi dan limau kasturi. Bilamana matahari merah di kaki langit lalu burung-burung pulang kesarang. Malam. Selepas solat Isha, terhidang di atas meja nasi putih, gulai lemak pucuk ubi dan ikan sepat masin goreng. Malam itu, usai makan malam lalu aku beradu. Mimpi datang. Aku lihat seorang bidadari bersama seekor anjing. Anjing itu menyalak berkali-kali, lalu aku terjaga. Subuh sudah didepan mata.


2-
Pagi pun datang tanpa sinar matahari yang segar seperti kebiasaannya. Dia duduk dibawah redup rimbunan buluh melihat dedaun hijau segar bugar, sejuk dan damai. Jika berlaku kemarau panjang, pastinya daun-daun buluh itu menjadi kuning, tanah berdebu dan retak seribu. Semak belukar terjuntai kaku, burung-burung tidak  berkicau meriuhkan alam seperti dulu.

Ketika itu langit tidak lagi membiru dan awan kemawan kabur menghilang entah kemana. Matahari merah menyala. Terik panasnya begitu berat menindih alam bagaikan esuk akan pupus dan yang terpeta di minda hanyalah bayang-bayang kematian. Seolah-olah alam berada dalam  sengsara dan kepapaan.

Itulah yang dicemaskan oleh salah seorang sufi yang digelar waliyullah, Ibrahim bin Adham, ketika sebuah ayat tanzir memperingatkan tentang berbagai kerosakan yang terjadi di daratan dan lautan, kesemuanya di sebabkan oleh tingkah laku manusia sendiri yang tidak bertanggungjawab lagi zalim. Ayat lainnya juga memperingatkan:

"Dan Allah memberikan gambaran tentang sebuah negeri yang tadinya aman tenteram. Rezeki datang melimpah ruah. Datang dari segala arah. Akan tetapi, mereka kemudian menganiaya kurnia Allah itu. Maka ditimpakan atas mereka selubung kelaparan dan ketakutan sebagai akibat dari perbuatan mereka sendiri."[An-NahL: 112]


Semenjak firman Allah itu bergema di dada sang wali, Ibrahim bin Adham lebih banyak menghabiskan waktunya untuk beribadah dan berkebun, selain itu beliau melakukan perjalanan menjelajah negeri-negeri untuk menghirup udara segar di tengah alam yang bebas lepas, sambil menghayati kenikmatan Allah dengan kesedaran dan keimanan yang semakin menebal.

Dalam penuh kekaguman, salah seorang muridnya bertanya:

"Wahai Waliyullah. Alangkah mulianya peribadimu yang meninggalkan kehidupan berumahtangga untuk meningkatkan iman dan menguatkan ibadahmu."

"Keliru, sungguh keliru. Kesibukanmu mengurus kelurga lebih utama daripada yang kulakukan ini." Sang Wali menjawab.

"Tetapi, kenapa tuan tidak beristeri?"

"Sebab aku sudah jatuh cinta kepada alam dan Yang Menciptakannya."

Alangkah bijaknya ucapan Ibrahim bin Adham. Pun begitu, beliau memang tidak mahu berkahwin, namun tetap menganggap orang lain yang beristeri dan beranak-pinak itu lebih mulia daripada cara hidupnya. Ia memilih cara hidup yang ganjil, iaitu bersahabat dengan alam. Sebab, jika alam tidak disantuni dengan penuh kearifan, pasti akan timbul ketimpangan dan kebinasaan. Oleh kerana itu, dengan dalih apapun, merosak dan menyia-nyiakan alam adalah kezaliman yang sangat dikutuk.



3-
Teringat akan kisah menjelang keberangkatan tentera beliau menuju medan perang Mu'tah, dimana antara pesan Nabi SAW yang terpenting adalah agar pasukan Muslimin jangan sesekali menebang pepohon yang daunnya rimbun, lantaran orang boleh berteduh di bawahnya. Juga, jangan pula merobohkan tanaman-tanaman yang berbuah, sebab hasilnya akan dapat dinikmati oleh setiap makhluk.

Bahkan Rasulullah pernah bersabda, "Andaikata  esuk pagi hari kiamat tiba, sedangkan di tangan kamu masih menggengam sebutir biji benih kurma, apakah yang harus kamu lakukan? Membuangnya adalah sia-sia kerana kamu putus asa? Tidak! Kamu teruskan menanam benih kurma tersebut ini kerana bagimu telah tersedia pahala menanamnya."

Begitulah cintanya Nabi SAW kepada alam, tumbuhan dan binatang, sampai beliau dengan jelas berkata, "Seandainya kamu berumah di tepi sungai, kamupun wajib berhemah dalam menggunakan air."

Untuk menganjurkan agar umatnya sentiasa mengasihi sesama ciptaan Tuhan, Rasulullah SAW mengisahkan tentang seorang pelacur di zaman Bani Israil, yang kehabisan bekal makanan di tengah gurun. Bibirnya telah kering dan pecah-pecah. Matanya berkunang-kunang kerana kehausan di bakar terik matahari. Sedang dia menyeret-nyeret kakinya tanpa tujuan lagi, tiba-tiba dia menjumpai sebuah telaga lama yang lubangnya sempit dan airnya jauh kebawah. Namun, dengan usaha dan susah payah dia turun juga dan berhasil memuaskan dahaganya. Selepas itu, dengan lebih susah payah pula, dia merangkak naik keatas.

Tatkala dia sudah merasa segar dan siap sedia untuk meneruskan perjalannaya, pelacur itu melihat sesekor anjing yang kurus kering, sedang lidanya menjilat-jilat ke pasir. Air liurnya sudah kering dan anjing itu hampir mati kehausan. Pelacur tadi membayangkan, barangkali begitulah keadaannya jika belum berhasil menghirup air.

Maka pelacur itu segera turun kembali ke dalam telaga yang sempit dan dalam itu. Hampir saja dia terjatuh ke bawah dan binasa. Dengan usaha gigihnya dia dapat mengambil air dengan menggunakan sepatunya sebagai gayung. Lalu dengan menggigit sepatu berisi air itu dimulutnya, dia merangkak naik ke atas. Alangkah sengsaranya pekerjaan yang dilakukannya itu.



Sesudah selamat, dia bergegas mendatangi anjing tersebut dan memberikan air. Lahap sekali anjing itu minum hingga segar semula dan berlari dalam keadaan sihat walafiat.

Rasulullah SAW kemudian berkata kepada para sahabat-sahabatnya, "Kerana kasih sayang pelacur itu kepada anjing yang hampir mati kehausan, semua dosanya diampunkan oleh Allah dan bakal masuk syurga selama-lamanya.

Salah seorang sahabatnya bertanya:

"Apakah kami bakal memperolehi ganjaran hanya dengan menolong seekor anjing?"

"Bukan hanya dengan menolong anjing. Bahkan dengan menolong semua makhluk yang bernyawa mahupun tidak bernyawa, kalian akan memperolehi balasan berlipat ganda." Rasulullah SAW menjawab. - Wallahuaklam! 

No comments:

Post a Comment