26 February 2017

KAYUH ke MEMPATIH [2]


Tanah Kebun.

Petang Sabtu itu kami sepakat kayuh arah ke Mempateh melalui Wak Nasar Trail, serta dua buah kampung iaitu Kg Teris dan Kg Paya Laman. Sebaik melepasi simpang masuk ke Kg Lubuk Kawah, gear basikal jenama Exitway yang dikayuh oleh si Zaman menghadapi sedikit masalah. Kami berhenti. Zaman membelek gear, godek-godek sikit, sayangnya cover gear tetap bergesel dengan rantai. Aha! Setakat itu sahajalah kemampuan si Zaman.

Zaman mula gelabah. Apapun aku tiup sikit semangat pada Zaman. Aku cadangkan, kayuh dulu pelan-pelan, nanti bila sampai di Mempateh, singgah dibengkel motosiakal, manalah tahu kalau-kalau si makanik boleh tolong betulkan gear basikal. Si Zaman hairan, kenapa pulak tak pergi ke kedai atau bengkel basikal, soalnya. Hehehe! Aku senyum sambil bagitahu iaitu di Mempateh atau di pekan Lancang tidak ada kedai atau bengkel basikal. Di sini, walaupun sebahagian warganya bekerja sebagai petani dan peladang tetapi hampir semua mereka memiliki kenderaan seperti kereta dan motosikal. WoW! Si Zaman hairan buat kali keduanya.



Aku dan Zaman meneruskan kayuhan dilaluan yang sama ketika aku kayuh bersama Amat Besut, seperti mana yang pernah aku story pada entri 'Kayuh Petang ke Mempatih'[1] bertarikh 27|4|2015. Jalan berturap tar yang kami lalui menuju ke Mempateh masih lagi dalam keadaan baik. Maksud aku, tidak terdapat lansung lobang atau tar yang udah rosak seperti jalan masuk ke Tanah Kebun.
 

Aku kayuh tidaklah laju mana pun. Begitu juga si Zaman. Kayuh pelan-pelan. Biar lambat asalkan selamat. Tidak lama berkayuh, kami pun sampai di Mempateh[2] dan terus mahu menuju bengkel motosikal di seberang jalan sana. Alamak! Tutup pulak bengkel motosikal. Lalu kami menyandarkan basikal disalah sebuah kedai yang pintunya bertutup rapat. Si Zaman sekali lagi godek-godek gear basikal. Kali ini diambilnya dua ketul batu yang bertaburan ditepi longkang, diletaknya salah satu batu tersebut dicelah antara cover gear dan gear. Aku pula memusing pedal dengan tangan. Gear berpusing tanpa bergesel. Yes! Boleh kayuh seperti biasa, ujar si Zaman dengan wajah ceria.




Kami duduk berehat di kakilima sebuah kedai makan yang pintunya separuh tertutup. Sambil minum sambil memerhatikan kenderaan yang lalu-lalang di jalan besar. Jika hendak di ceritakan tentang Mempateh, beginilah lebih kurang. Di sini, hanya ada enam buah rumah kedai, tiga buah gerai makan, sebuah gerai menjual produk herba, sebuah bengkel motosikal, sebuah bengkel kereta [terlindung sedikit], sebuah masjid [masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq] dan nun diseberang jalan kelihatan sebuah balai polis, berhampiranya pula sebuah sekolah rendah. Petang Sabtu gini, sepatutnya semua kedai dibuka tetapi taktau pulok, kenapa hanya dua buah kedai runcit sahaja yang beroperasi. Pelik rasanya!


 

Usai berehat selama 15 minit, aku ajak si Zaman kayuh ke tepi jembatan sungai Semantan [kalu tak silap aku], berhampiran sebuah homestay. Ketika kami sampai di pinggir sungai itu beberapa remaja sedang melepak duduk diatas motosikal cupcai sambil jari-jemari mereka menguis screen hanpon. Sesekali mereka tesenyum. Ada kalanya ketawa berdekah-dekah. Begilah gelagat remaja zaman ini ketika menghabiskan waktu-waktu lapang mereka.




Petang itu, cuaca nampak redup. Aku dan Zaman gerak meninggalkan Mempateh. Kayuh menyusuri jalan yang sama melalui Kg Paya Laman dan berehat sekejap kerana kepenatan di tepi bukit yang kami gelar Bukit Simpang Wak Nasar[3]. Bukit ini dikira tinggi gak. Aku dan Zaman tidak dapat meneruskan kayuhan, terpaksa tolak dengan nafas tercungap-cungap. Take five sambil meneguk air yang kami bawa.

Nota Lutut :
[1]'Kayuh Petang ke Mempateh' : Entri pada 27/4/15 adalah kisah aku pertama kali berkayuh ke Mempateh yang jaraknya dari Tanah Kebun ialah 20 kilometer pergi-balik. [2]Mempateh : Untuk mengetahui makna Mempateh sila selak entri pada 27/4/2015.[3]Bukit Simpang Wak Nasar : Aku namakan kerana bukit tersebut berada di simpang tiga. Dari TKPM, beluk kiri pergi Mempateh dan beluk kanan menghala ke Jergoh. Di simpang itulah letaknya gerai kopi Wak Nasar yang menunya hanya menjual Nasi Lemak dan Bakso!


 



22 February 2017

REMAJA BERBASIKAL!


Kuala Lumpur.

Aku beli senaskah akhbar kerana aku minat dengan berita-berita yang berantai[1] seperti berita pembunuhan keatas abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam pada 6 Februari lalu. Berita pemilihan calon Presiden persatuan Bola Sepak Malaysia [FAM], satu lawan satu antara Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Tan Sri Annuar Musa atau tentang insiden kemalangan yang mengorbankan lapan remaja akibat dirempuh kenderaan di Johor Bahru minggu lalu.

Aku masih lagi berminat untuk bercerita tentang remaja dan dunia basikal kerana insiden yang berlaku pada 18 Februari lalu masih lagi menjadi bualan di laman sosial dan beberapa rencana telah dicetak dan disiarkan antaranya dari Pensyarah Psikologi Universiti Utara Malaysia [UUM], Siti Azura Bahadin yang betajuk 'Usah Bebas Keterlaluan'[2], laporan dari Maisarah Sheikh Rahim - 'Polis Wajar Perinci Siasatan'[3] atau  rencana dari tulisan Lee Lam Thye yang bertajuk 'Tuding Jari Tidak Akan Selesai Masalah'.

Sebenarnya banyak lagi rencana yang membicarakan tentang kemalangan maut di Johor Bahru, Johor tempoh hari dan salah satu rencana yang wajar dikongsi dengan pembaca ialah tulisan dari Lee Lam Thye[4]. Dibawah ini aku salin semula rencana tersebut. Walaupun ada rasa perit jari-jemari menekan punat dipapan kekunci kerana rencananya sedikit panjang tetapi hati aku tetap puas. Puaslah sangat!


                  TUNDING JARI...


"Saya seringkali teringat peristiwa di sebuah sekolah di mana saya menyampaikan hadiah kepada pelajar cemerlang tidak lama dahulu. Apa yang sering bermain di kotak fikiran saya bukanlah mengenai kejayaan pelajar tersebut tetapi hakikat bahawa lebih separuh daripada mereka tidak mengucapkan terima kasih.

Mungkin ada yang menganggap
isu ini agak remeh tetapi bagi saya, ia menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena di dalam masyarakat kita apabila asas keperibadian mulia mula diketepikan. Selepas majlis berakhir, saya memaklumkan kepada guru sekolah bahawa mereka perlu mencari sebab mengapa ia berlaku dan membetulkan keadaan.

Jika ditanya kepada pihak sekolah, mereka selalunya mendakwa kelemahan itu bermula dirumah, tetapi jika soalan yang sama dilontarkan kepada ibu bapa, mereka pasti akan menyalahkan pihak sekolah.


Saya yakin masalah ini berpunca daripada kekurangan penekanan terhadap perkara asas yang mampu membentuk sahsiah[5] atau keperibadian yang baik dalam kalangan generasi muda. Pada masa yang sama, kecenderungan kita untuk menunding jari dan melepaskan tanggungjawab telah merumitkan keadaan.

Apabila kemalangan maut yang meragut nyawa lapan penunggang basikal remaja di Johor Bahru, Johor berlaku baru-baru ini, saya kembali teringat mengenai kejadian di sekolah berkenaan.

Betapa cepatnya kita memberi reaksi seolah-olah kita telah mengetahui punca sebenar remaja tersebut berkumpul dan menunggang basikal bersama rakan-rakan mereka ketika orang lain sedang nyenyak tidur.

Ada juga yang mencadangkan supaya keluarga mangsa didakwa kerana kecuaian di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebagai warga prihatin, adalah wajar untuk kita mengucapkan takziah kepada kelurga mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam nahas tersebut. Pada masa sama, kita perlu bersama-sama melihat faktor sosioekonomi yang menyebabkan kejadian itu, termasuk punca kewujudan kumpulan berbasikal tersebut.


Menunding jari untuk mencari kesalahan tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Saya percaya, kita perlu mengambil penyelesaian menyeluruh untuk isu ini di samping penguatkusaan undang-undang yang lebih ketat.

Adalah tidak wajar untuk kita menghalang golongan remaja daripada berbasikal kerana ia adalah aktiviti riadah yang sihat dan mampu menjauhkan mereka daripada penyakit sosial lain termasuk penagihan dadah.

Pada hemat saya, pihak berkuasa perlu meningkatkan aspek keselamatan untuk penunggang basikal dengan mewajibkan pemakaian topi keledar dan pemasangan lampu di basikal mereka. Di samping itu, garis panduan lengkap dan bantuan perlu dibrikan kepada penunggang muda supaya mereka dapat meneruskan aktiviti dengan selamat.

Papan tanda yang sesuai juga perlu dipasang di jalan raya yang mempunyai laluan khas untuk basikal manakala sempadan keselamatan perlu diwujudkan untuk zon berbasikal. Kita juga perlu membina kawasan khas untuk peminat aktiviti berbasikal manakala lebih banyak pertandingan berbasikal perlu dianjurkan.

Pengguna jalan raya juga perlu menghormati penunggang basikal dan bersama-sama memastikan keselamatan mereka.

Saya turut berharap polis dan pihak berkuasa tempatan dapat memantau kawasan yang menjadi tumpuan penunggang basikal muda dan menahan mereka yang tidak mematahui peraturan yang ditetapkan.

Bagi memastikan ibu bapa tidak melepaskan tanggung-jawab mereka, saya berpendapat mereka perlu diwajibkan untuk mengambil anak-anak mereka selepas bersama-sama menyertai sesi kaunseling di balai polis atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Untuk menimbulkan kesedaran, remaja yang melakukan kesalahan berulang kali perlu dikenekan hukuman melakukan kerja-kerja komuniti manakala basikal mereka pula seeloknya dirampas.

Untuk mendapatkan hasil yang lebih baik, pihak kerajaan dengan kerjasama universiti tempatan perlu menjalankan kajian mengenai kewujudan kumpulan remaja berbasikal ini. Ini akan membantu kerajaan menyediakan penyelesaian jangka panjang bagi isu ini, yang besar kemungkinan timbul akibat masalah sosioekonomi seperti kemiskinan, pengangguran dan keciciran persekolahan.

Pada masa sama, kita perlu memainkan peranan kita untuk menyemai nilai-nilai positif dalam jiwa generasi muda agar mereka dapat membezakan antara kaca dan permata.

Kita seharusnya berpegang kepada peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, yang membawa maksud mendidik anak-anak seeloknya bermula semasa kecil kerana apabila sudah besar, ia akan menjadi lebih sukar". -[Tan Sri Lee Lam Thye ialah seorang aktivis masyarakat].



Nota Lutut : [1]Berantai [2]Usah Bebas Keterlaluan : Sila semak Utusan Malaysia|Khmis|23 Feb 2017 [Mega Rona ms23].[3]Polis Wajar Perinci Siasatan : Utusan Malaysia|Khamis|23/2/17 [Dalam Negeri ms12]. [4]Lee Lam Thye [5]Sahsiah.
     

17 February 2017

KAYUH ke WAK NASAR TRAIL


Ahad 190217.
Hari ini memang hari Ahad!
"Ahad malam Senin - waktu melangkah ke pukul satu pagi, tetapi mata aku masih terbeliak, barangkali penangan secawan kopi 'Alicafe'. Agaknya!"

 

1- Petang Khamis lepas, aku dan Zaman berkayuh melalui trek Wak Nasar Trail. Sengaja aku beri nama Wak Nasar Trail kerana nanti di situlah penamat kayuhan kami. Bermula dari pondok di Tanah Kebun, kami berkayuh melalui  offroad yang permukaan jalan adalah campuran tanah merah dan batu kerikil, sejauh satu kilometer lebihkurang gitu!



Selepas laluan offroad, kayuhan lebih santai kerana sebahagian jalan menuju gerai Wak Nasar telah diturap dengan tar. Mudah! Itu hanyalah jangkaan aku. Sebenarnya kami terpaksa berkayuh melalui beberapa anak bukit. Oleh kerana udah lama juga aku tidak berkayuh dan bukit adalah kelemahan aku, maka aku terpaksa tolak sahaja basikal ketika pendakian. Jika aku memaksa atau memerah kudrat untuk terus berkayuh, kemungkinan jantung aku berdegup laju atau tiba-tiba degupnya terhenti. Fuhhh! Masalahtu.



Tercungap-cungap dan peluh jantan mengalir. Kami terus kayuh, masuk kebun getah, melalui single trek yang sedikit lecak. Meredah lopak-lopak air dan kekadang hampir tersadung kerana terlangar akar-akar pokok getah. Sekawan nyamuk mengejar kami dari belakang, berlumba-lumba untuk mencuck jarum ke permukaan kulit kami, tetapi nyamuk-nyamuk tersebut gagal berbuat demikian!

Kami tiba dihadapan gerai Wak Nasar. Pintu gerai tertutup rapat. Khabarnya Wak Nasar sekeluarga sedang bercuti, balik kampung gitu. Niat hati tadi nak pekena teh o iced limau terpaksa dipendam sahaja. Sambil kami berehat, kami meneguk air mineral yang kami bawa



2. Bercerita mengenai hobi berbasikal ini, aku tumpang sedih dan merakam takziah kepada semua keluarga mangsa dalam kejadian malang yang menimpa sekumpulan penunggang basikal [remaja] dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, awal pagi semalam. Tragedi tersebut telah meragut lapan nyawa, dua kritikal dan enam cedera [masih dirawat] di Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah [HSA].

Dari sumber yang boleh dipercayai, kawasan Tanah perkuburan Islam Mahmoodiah di Jalan Lingkaran Dalam hingga ke jalan utama telah lama menjadi 'port' remaja bawah umur berlumba atau menunjuk bakat kepada rakan aksi-aksi berbasikal. Hebat!


"Sebelum kejadian pada pukul 3 pagi itu, sekitar 30 hingga 40 remaja berhenti di tepi jalan, menunggu rakan yang lain [berkumpul] bersebelahan kawasan kubur, dekat dengan stesen minyak Petronas, kelihatan sebuah kereta Nissan Almera dipandu seorang wanita, bergerak laju, lalu melanggar kami" ujar salah seorang mangsa yang tercedra.


"Biar dia yang menangis, jangan kita menangis. Saya pun ada anak dan dah pergi tak kembali, kalau saya sedih, awak sebagai ibu dan bapa kepada mangsa mesti lebih sedih. Ingat pesanan saya," kata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ketika meluangkan masa kira-kira 10 minit bersama keluarga mangsa di Hospital Sultanah Aminah.


Nota Lutut:
Dalam kejadian yang telah meragut lapan nyawa remaja dan beberapa lagi cedera parah, jangan kita cepat melatah dan terus menunding jari kepada sesiapa termasuklah ibu bapa yang sepatutnya mengawasi aktiviti anak-anak mereka terutama pada lewat malam hingga membawa waktu ke pagi. Malang tidak barbau!

Bagi aku, aktiviti berbasikal waktu malam perlu diteruskan kerana ia adalah salah satu aktiviti yang sihat. Tidak perlulah kita meminta kerajaan buat undang-undang baru bagi melarang remaja berbasikal di waktu malam. Yang perlu dipantau oleh ibu bapa, guru-guru, pihak berkuasa dan masyarakat ialah memberi nasihat tentang keselamatan ketika berkayuh dalam satu kumpulan yang besar.


Adakah ia menjadi satu isu yang rumit sekiranya sudah mengetahui bahawa aktiviti berbasikal  menjadi rutin pada hujung minggu. Apa salahnya jika pihak berkuasa seperti anggota polis, anggota Rela atau badan-badan sukarela di JB buat kerja lebih masa memantau pergerakan mereka termasuk pergerakan kenderaan yang lalu lalang disepanjang Jalan Lingkaran Dalam. Jika kumpulan remaja tersebut hendak berhenti kerana mahu menunggu rakan, ada baiknya mereka diarahkan berkumpul di dalam kawasan lapang stesen minyak Petronas. Bukan jauh mana pun stesen Petronas tu!


Kita pun tahu, memang gitulah sikap dan gaya remaja. Perkara yang dilarang itulah yang akan dilakukan oleh mereka. Barangkali anak-anak yang tidak mengendahkan atau tidak ambil peduli akan teguran dan larangan dari ibu bapa itu sedang menghadapi kecelaruan kelakuan iaitu gangguan tingkah laku dan emosi yang serius. Barangkali juga anak-anak yang mempunyai masalah disiplin adalah tergolong dalam keluarga atau masyarakat yang pincang. Siapa tahu? - Wallahuaklam!



12 February 2017

intai-intai LADANG NANAS


Petang diTanah Kebun.

Ya! Ketika ini hujan gerimis. Aku berkurung didalam pondok sambil jari jemari cuba menekan keyboard, mencetak beberapa ayat sebagai pemanas entri. Sebelum ini banyak juga entri yang tidak sempat aku bercerita kerana keletihan. Antara entri tersebut ialah Tetamu Awal Januari, Enam Ekor Kucing!, Garis-Garis dan Warna, Singgah di Tanah Kebun, Lama Dah Tak Kayuh dan Petang Itu di Tanah Kebun.


1- Semalam.
Pagi Ahad, anak buah aku si Ammar dan rakannya mengajak intai-intai ladang nenas di TKPM[1] Lancang Pahang. Kami intai dari luar pagar sahaja. Disebelah kiri nampak landscape yang cantek. Mungkin pengusaha sedang tanam nanas madu, morris atau nanas MD2. Belah kanan juga di tanam nanas dan ladang tersebut  adalah milik Felda.



Khabarnya, LPNM[2] menggalakan agar lebih ramai peladang muda menanam nanas MD2 kerana menjanjikan pulangan yang lebih baik. Baka nanas MD2 yang telah dibawa masuk dari Filipina itu mampu dijual hingga RM6 [enam hengit sekilogram]. Ujar Ketua Pengarah LPNM satu ketika dolu, nanas MD2 telah mendapat permintaan tinggi di China, Korea Selatan dan Jepun. Melalui program 'Jutawan Nanas' yang diperkenalkan oleh LPNM tidak lama dolu, diharap lebih ramai usahawan muda khususnya, menceburi bidang tanaman nanas MD2.



2- Aku pernah  bercerita tentang nanas MD2 pada entri bertarikh 27 July 2016 yang bertajuk 'Buah Kedondong + Nanas MD2'[3]. Antara ceritanya  ialah pasal nanas MD2 dimana kulitnya berwarna kuning keemasan bila sudah cukup masak. Kelopak kulitnya [matanya] lebih besar berbanding nanas-nanas lain. Aromanya semerbak dan boleh buat air liur meleleh. Buahnya berbentuk selinder dan empatsegi lonjong. Sesudah dikupas, isinya berwarna kuning dan sangat juicy. Yang pastinya ketika makan nanas MD2, lidah tidak melidas. Harganya pula bergantung pada berat buah tersebut!

Usai intai-intai ladang nenas, Ammar dan rakannya gerak ke kawasan semak yang dipenuhi rimbunan pohun renek dan melihat anak-anak pisang, pelastik dan besi buruk yang barangkali dibuang oleh pekerja-pekerja ladang berhampiran. Nyamuk tak usah nak cakaplah, berterbangan mengerumuni kami dan cuba hendak menyedut  darah. Terpaksalah kami bersilat!


Tak boleh tunggu lama. Kami segera tinggalkan kawasan yang dipenuhi nyamuk, sebaik selesai merakam gambar. Ammar dan rakannya terus gerak ke Madarasah Darul Ulum di Paya Siput. Aku pula bercadang hendak ke kedai runcit di Mempateh untuk membeli makanan kucing [cat food] dan sedikit barang keperluan dapur. Jika aku tidak ke Mempateh nanti kucing-kucing bising pulak kerana kelaparan dan dapur aku tentunya tidak berasap!  


3- Pekan Lancang.
Matahari hampir segalah ketika aku sampai di Mempateh. Singgah di kedai runcit untuk membeli makanan kucing tetapi sudah habis pulok! Terpaksalah aku gerak ke Lancang yang jaraknya lagi tiga kilometer lebihkurang. Di Lancang, aku sempat membeli senaskah akbar Mingguan Malaysia dan minum secawah teh panas sebelum masuk ke dalam mini market.

Tadi di kedai kopi, sambil aku menghirup teh sambil mata menatap akhbar. Walaupun tajuk utama muka hadapan akbar mengenai wanita muda dalang pelaburan palsu yang dapat menipu hampir RM55 juta, tetapi tidak berminat untuk terus membacanya. Bagi aku berita yang lebih menarik  ialah mengenai kerugian sebanyak RM44 bilion yang dialami Bank Negara Malaysia [BNM] melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang era pentadbiran Dr Mahathir, sepertimana yang didedahkan oleh bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid.  Ia adalah merupakan skandal yang tidak diperkatakan sepanjang tempoh 24 tahun lalu. Soalnya, kenapa baru sekarang skandal tersebut mahu ditelanjangkan! - Wallahuaklam!


Nota Lutut: [1]TKPM :
Taman Kekal Pengeluaran Makanan. [2]LPNM : Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia. [3]Buah Kedondong + Nanas MD2 : Entri yang bertarikh  27 July 2016.