30 June 2013

Majlis Doa Buat 'ARYA DANIA'


Assalamualaikum!
Pagi Ahad - 20 Syaaban 1434, aku bersama isteri bersiap-siap untuk pergi ke Majlis Doa Selamat Arya Dania, anak pasangan Ahmed Faez dan Shila Majid yang diadakan di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan-Selangor DarulEhsan.



Seperti yang dijanjikan,
lebih kurang kul 0900 pagi adek aku Majid bersama Ady Yusof dan Lea Adam datang jemput kami kerana aku dan isteri kurang arif jalan menuju ke Taman Universiti Indah di Seri Kembangan. Mungkin tanpa Majid, boleh gak drive menuju Seri Kembangan - tetapi nak cari lorong atau jalan menuju rumah diaorang gelabah sikitlah. Walaupun boleh ikut papan tanda sebagai penunjuk arah tetapi kekadang boleh sesat gak!


Seminggu sebelum majlis ne, adek-beradik aku udah diberitahu (melalui sms) tetapi abang Omar tidak dapat turut serta kerana terlibat dengan Majlis Rukun Tetangga dan adek Misah pulak kene hantar Iqa Najiha balik kolej kat Kuala Kangsar.


Taman Universiti Indah! Kereta yang di pandu Majid sampai didepan pintu rumah. Aku turunkan beberapa beg plastik besar yang mengandungi 'door give' untuk kanak-kanak hadiah dari adek Midah. Oleh kerana acara majlis belum bermula, makanya Majid ajak kami sarapan dulu di sekitar rumah kedai sekitar Seri Kembangan.



Selesai Sarapan!
Kami gerak menuju tempat majlis diadakan. Ketika itu aku dengar sekumpulan kaum pompuan sedang marhaban, selawat serta salam keatas junjungan kita  Nabi Muhammad SAW. Sementara tu si Majid terpaksa layan call dari Zali dan Midah kerana diaorang tak jumpa pulak lorong masuk ke Taman Universiti Indah.


Satelah dua tiga kali Zali call Majid bagaitau tak jumpa rumah, Majid pong suruh diaorang tunggu kat depan Taman Universiti Indah dan nanti Majid datang jemput. Lepas Zali anak-beranak tiba, Kak Ana, Norlela serta keluarga NurAins pong sampai. Majlis diteruskan dengan acara 'Jom Kita Makan'!



Majlis Doa!
Berbalik semula kepada tajuk entri iaitu Majlis Doa Buat si Arya Dania, iaitu setiap anak yang dilahirkan bersifat bersih fitrahnya. Adalah menjadi tugas ibu bapa untuk mencorakkan kehidupan anak-anak seterusnya sama ada untuk menjadikannya baik atau sebaliknya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Semua anak yang dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan yang suci bersih. Maka kesalahan ibu bapalah menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi." 

Kata Penulis Harun Arrasyid! Anak yang baik akan memberi manfaat kepada ibu bapa apabila kembali kepada Allah. Anak-anak yang soleh akan menjadi sumber sedekah jariah bagi ibu bapa. Itupun jika anak-anak dididik, diasuh dan dijaga diri serta jiwanya dengan sempurna hingga menjadi mukmin yang sebenar. Hanya anak yang soleh yang melayakkan seorang ibu atau bapa memperolehi sedekah jariah di akhirat nanti.


Nota Kaki
: Sedikit sumber ne aku petik dari buku Pengorbanan Ibu Bapa Terhadap Anak susunan Harun Arrasyid Hj Tuskan. Sekiranya aku habis membaca buku ne nanti, bolehlah aku taip dan kita boleh berkongsi sedikit maklumat tentang pengorbanan dan harapan  masa depan anak-anak. Terima Kasih!







28 June 2013

HIKAYAT BAHAGIAN DUA!


 
Purnama berlalu pergi, sudah sekian lama dinanti umpama elegi dalam sepi. Harapan hanya tinggal harapan, yang ada dihadapan cuma kegelapan. Tidak dilihat lagi semarak kasih kepada pertiwi, malah segala harapan luntur di bawa angin sepi. 

Memanda menteri amatlah gembira, sebab rakyat makin makmur adanya. Dikhabarkan lagi bahawa rakyat tersangatlah menyayangi  memanda menteri yang sentisa dipandang tinggi kerana seluruh negara diberikan perhatian yang berlebihan sehingga tidak ada lagi ruang untuk berbakti dan memberi sumbangan. Sudah lebih dari kecukupan, sehingga ramai pula yang ditimpa musibah akibat terlalu senang hidup mereka. 

Kerana itu perlu berhati-hati untuk memberi lagi sebab dikhuatiri mendatangkan musibah kepada rakyat sendiri. Yang buncit perutnya ditakuti busung, yang besar kenderaannya khuatir tidak muat diaspal sana. Malah sudah ramai yang mata, hidung dan telinga mereka juga tersumbat akibat terlalu senang dan mewah adanya sampai terpaksa menyumbat segala macam lebihan ke segenap ruang yang berlubang. 

Memanda menteri bertanya lagi, di mana pula perlu dilawati, siapa pula patut diberi bantuan duniawi. Dicarilah orang bijak pandai, maka dipalu genderang riuh rendahmerata-rata sehingga ketepi belantara. Akhirnya datanglah sekumpulan kera mengadap memanda menteri dan terus menangis dan merayu katanya mereka kekurangan susu.

Kasihan sungguh memanda menteri yang tulus orangnya sangat hebat kasihnya pada rakyat jelata. Lantas dititahkan kepada pembesar yang turut serta, segeralah kalian berkejar mencari susu untuk si kera ini kerana terlalu sedihnya wajah dan kurusnya tubuh, dan kuningnya kulit dan sebahagian mereka pula sudah hitam seperti terbakar matahari kerana terlalu kuat berusaha untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. 

Lalu dicarilah segera  si ibu dan bapa penyusuan, kerbau lembu rakyat juga diambil bagi memenuhi keperluan kera di hutan. Melompatlah rakyat marhaen anak yang dipangkuan juga kering susuan, hanya mengharap ternakan bagi mengganti susuan.

Hijau kuning mata, berdesing juga telinga, rambut lebatjuga gugur semua. Apakah ini maknanya, berikan betis mahukan paha. Ia sudah terlebih agaknya siapalah punya angkara.


Di kalangan rakyat jelata, ada Luncai namanya. Amat santai orangnya, bila ditanya apa cara mahu dipinta hak kita apa guna bernegara bila mana terlepas semuanaya. Lantsa dijawab oleh si Luncai 'biarkan biarkan, biar terjun dengan labu-labunya'.
 

Memanda menteri semakin leka, hingga seluruh negara dilawatinya kerana kebajikan ingin diberi. Katanya biarlah kita korbankan jiwa raga asalkan rakyat gembira umpama hidup dalam syurga meriah sungguh siang malamnya sentiasa umpama sedang berpesta. Berarak dan berusunglah ke sini ke sana.

Sudah kering air mata, sudah kurus anak di pangkuannya tapi teringgir tidak dipeduli. Para kera semua hebat sungguh mutakhir ini adanya. Besar tubuh menjangkau enau,  dilanggar kalau tidak ketepi, pengsan atau boleh mati jika tidak dituruti.

Beginilah onarnya mereka, berdusta setiap masa, mengadu domba tanpa sebarang rasa, malah terasa hebat sungguh adanya kera memanda menteri percaya umpama dipusing seperti roda dan terkesimalah dulu kini dan selamanya. 


Bukalah mata segera, bukalah minda sentiasa, jauhkan sengketa kerana sangat merbahaya. Jurang dalam menunggu kita, rakyat merhaen tidak lupa akan segala auta umpama kancil dan pelanduk nampak serupa tapi ia tetap berbeza. Hanya jauhari mengenal manikam mereka meskipun jenisnya berbeza. 


Penulis ialah Penasihat Majlis
Permuafakatan Ummah (Pewaris).




HIKAYAT OLEH DR AHMAD ZAKI ISMAIL






Bacalah dengan minda yang terbuka pepatah lama karangan orang dulu kala. Tentu banyak yang tersirat di dalamnya meskipun tidak ramai yang memahaminya kerana sudah terlalu moden adanya sehingga kehilangan jati diri dan rupa bangsa. Maka tentulah sukar untuk memahami duduk perkara dan buah bicara Melayu yang begitu hebat susun aturnya.



Arakian maka berlarilah semua para pembesar ke seluruh negara apabila melihat huru hara bakal menjelma. Sudah gemuruh bunyi garuda, sudah gegak gempita seantero benua bahawa malapetaka sudah menunggu hanya bala belum tentu bila ketikanya.


Ditanya oleh memenda menteri kepada sekelian pembesar negara bagaimana keadaan cuaca dan duduk bangun rakyat jelata semua?

Tanpa ragu, melompat-lompat seperti kera kene belacan para pembesar memberi laporan bahawa semuanya dalam sejahtera wahai mamanda. Janganlah bimbang, rakyat sangat gembira, hidup bagaikan dalam surga loka. Makanan melimpah ruah, ayam itek penuh dikandang, padi beras penuh digudang. Rakyat jelata semua jelas kekenyangan hingga mata puteh bundar dan buntang.

Mafhum aula sungguh gembira menteri memanda apabila mendengar perkhabaran itu. Lantas apakah yang riuh rendah dan gegak gempita di hujung sana soal memanda lagi. Oh, itu sebenarnya kumpulan pedagang yang datang menumpang kasih dan melulur sayang dari kita. Ada si Kitul dan juga Sang Li Po juga turut serta.


Lantas kerana rakyat jelata sudah cukup semua, moleklah juga kita tumpukan perhatian kepada mereka yang ke mari menumpang kasih. Berikanlah segala bantuan selagi terdaya walaupun tidak diminta oleh mereka kerana kita ini memang terkenal sebagai pemurah yang melimpah ruah sehingga tidak luak susu sebelanga, tidak surut air di sumur jika sekadar dikongsi dengan mereka. Berikanlah selagi mereka mahu.

Gagasan satu negara kita kongsikan juga, tidak mengapa kerana mereka itu tetamu kita. Kene muliakan dan berikan perhatian. Bangsa kita sudah senang lenang, campaklah sebiji benih di belakang kandang nescaya esoknya tumbuh subur hingga menjadi ladang. Tentulah ayam di kepuk tidak mati kelaparan dan itik di air tidak akan mati kehausan.


Melopong dan terngagalah sekelian rakyat jelata, bila mana memanda menteri terus-terusan memberi tanpa henti kepada para tamu itu adanya. Malah tanpa diminta, diberi juga. Lalu fikir mereka barangkali hanya untuk sementara sahaja. Mungkin ada nazarnya sebab beroleh kebajikan atau mimpi terpijak batu permata berjuta-juta. Lantas ditanya rakyat jelata kepada pembesar daerah, pembesar negeri dan juga pembesar negara apa makna ini semua.
Lantas kata para pembesar itulah perkongsian pintar namanya. Hak kita biar diberi sama rata, hak mereka tentulah mereka akan jaga sebab sudah jauh mereka berkelana dari benua nun jauh di sana ke negara kita. Berikanlah kesenangan kepada mereka sebab nanti mereka lebih gembira untuk tinggal bersama kita. Makan bersama malah disuapkan pula adanya.

Makin melopong lagilah rakyat marhaen yang sudah sekian lama tidak disapa. Malah jalan ke desa juga sudah terlupa agaknya.

Sahibul hikayat mengirim pesan dan menitip khabar pada memenda menteri katanya sudah terlupakah kami di sini sana hingga atap tiris sini sana, anak kembung angin sahaja, nak santap untuk hari ini pun susah sungguh rasanya entah esok lupa bagaimana pula. Kenapa gah benar memberi, tidak kasihankah kepada kami, segala bakti telah kami beri tapi kami dipandang sepi. Perkiriman dikhabarkan pada pembesar, tidak disampai kepada memanda sebab bunyinya berbeza sudah tentu nanti dimurka.



Nota Kaki : Setakat ini sahaja yang dapat aku taip. Sambungan entri ne akan menyusul dengan tajuk 'Hikayat Bhg Dua'. Penulis sebenar hikayat ini ialah Dr Ahmad Zaki Ismail, Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (PewariS). Salam hormat dari Mj!

26 June 2013

PAHLAWAN KIYAI SALLEH BHG 2



Bahagian Kedua!

Aku sambung menaip kisah Pahlawan Kiyai Salleh atau nama penuhnya Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim yang sinonim dengan sejarah silam Batu Pahat. Beliau merupakan pemimpin Tentera Selempang Merah yang bangkit menentang kekejaman pengganas komunis selepas kekalahan tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua.

 

Kisahnya! Persatuan Muhammadiah sudan dua tahun ditubuhkan selepas Tanah Melayu jatuh ketangan Jepun. Persatuan itu ditubuhkan bertujuan menentang kekejaman pengganas komunis. Salleh akhirnya menerima tawaran dari  Haji Kadri menjadi ketua Persatuan Muhammadiah walaupun beliau bukan anak tempatan.

Dipendekan Cerita! Selepas Parit Bagas diserang komunis, Kampung Pasir menerima nasib yang sama. Rumah-rumah penduduk kampung dibakar hingga menjadi abu. Seluruh kampung menjadi padang jarak padang tekukur.

Hati Salleh berdetik! Sudah tiba masanya untuk beliau tampil ke-medan pertempuran. Masyarakat yang sebangsa dan seagama sedang ditindas dengan kejam. Dengan keyakinan yang jitu, Salleh tampil kehadapan, berpakaian hitam, parang pusaka Raja-raja Riau tersisip dipinggang, lagaknya seperti pahlawan Melayu sejati.

Malam itu!
Selepas solat Isyak, semua anggota Persatuan Muhammadiah berkumul dan Salleh menurunkan beberapa amalan. Setelah mempelajari ilmu yang dipeturunkan, mereka yang lulus ujian ditauliahkan Selempang Merah.

Sembelih Babi! Tindakan kaum  Cina berkomplot dengan komunis menyembelih babi didalam masjid di Parit Sulong benar-benar menaikan darah ahli Selempang Merah. Seramai 200 orang sudah siap sedia dengan senjata masing-masing untuk memerangi komunis di Parit Sulong, sebuah pekan kecil di Batu Pahat yang majoritinya didiami kaum Cina.



Serangan Megejut! Tentera Selempang Merah yang hanya bersenjatakan parang panjang, lembing, pedang, keris, tombak, sundang dan senapang patah telah membuatkan komunis kalah. Bermula dari situ Tentera Selempang Merah membuat gerakan pembersihan disetiap kampung hingga menimbulkan kemarahan komunis.

Organisasi! Selepas memperolehi kejayaan besar, Salleh merasakan pasukan Selempang Merah perlu mempunyai organisasi yang terancang. Buat masa ini mereka hanya tertumpu kepada daerah Batu Pahat dan Muar, bukannya seluruh negeri Johor.


Kejayaan!
Banyak lagi kisah-kisah Kiyai Salleh mendapat kejayaan ketika menggempur kubu-kubu Askar Bintang Tiga (komunis) antaranya di Bukit Berdiri, Bukit Alam, Parit Sulong, Parit Lubok, Semerah, Kangkar Senange, Air Kuning, Bakri dan Muar.


Nota Kaki : Sekiranya kenkawan berminat untuk terus menggetahuinya, silalah baca buku Kiyai Salleh. Boleh didapati dikedai-kedai buku atau hubungi Pengedar di: Pejabat Urusan PSN, No 38, Jalan Matahari U5/AB, Bandar Pinggiran Subang, 40160 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Tel: 03-78317687 / 78421700. E-mail: admin@psn.com.my

 
 


PAHLAWAN KIYAI SALLEH



As Salam! Hari ini Rabu bersamaan 16 Syaaban 1434, aku sekali lagi menaip kisah seorang Pahlawan Melayu yang tidak didendang ketika tentera Jepun menduduki Tanah Melayu sekitar tahun 1942 hingga 1945. Kisah Kiyai Salleh ini pernah aku taip pada 09 July 2012 dengan entri bertajuk Tentera Selempang Merah. 

Messages! Sejak aku post entri kisah Tentera Selempang Merah, ada beberapa messages yang aku terima kat fb bertanyakan mengenai buku pahlawan tersebut. Untuk pengetahuan kenkawan semua, tajuk buku tersebut ialah Kiyai Salleh hasil tulisan Abdul Latip Talib, terbitan dan edaran PSN Publications Sdn Bhd.

Kamus Dewan! Sabelum aku meneruskan penceritaan pasal Kiyai Salleh ada baiknya kita selak dulu kamus mengenai maksud pahlawan. Ikut kata Kamus Dewan Edisi Baru muka surat 888 iaitu pahlawan ialah orang yang gagah dan berani atau perwira tanahair.

               PAHLAWAN KIYAI SALLEH!
 

Kisahnya! Kiyai Salleh berasal dari Kg Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir-Muor. Ketika Salleh berumur 13 tahun beliau pernah belajar ilmu agama dan ilmu kepahlawanan daripada beberapa guru terkenal antaranya Haji Hussein, Haji Alis, Haji Adam dan Hj Ahmad.

Salleh juga pernah berguru dengan Kiyai Haji Abdul Fadhil bin Abu Bakar Banten, seorang ulama yang mengamalkan ajaran Wirid Khaujakan. Kiyai Hj Abdul Fadhil menjelaskan iaitu Wirid Khaujakan adalah salah satu daripada amalan Tariqat Naqshabandiayah disamping Tariqat Tijaniyah. Ia mengandungi ayat-ayat Al-Quran, zikir dan selawat, Asma' ul Husna dan doa-doa pilihan yang amat mustajab.

Menurut ulama itu lagi, Wirid Khaujakan telah dikenali oleh masyarakat Islam pada zaman Syeikh Abdul Kadir Jailani dan as-Syaid Muhammad Haqqi An-Nazali lagi iaitu kira-kira 1000 tahun yang lalu. Ia masih  terus diamalkan oleh masyarakat Islam hingga hari ini.

Ijabkabul! Salleh diijabkabukan dengan gadis teman seperguruanya bernama Esah. Esah bukan calang-calang gadis, ilmu mempertahankan dirinya jauh lebih hebat daripada Salleh. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Yusof dan Omar. 


 
Satu Hari! Salleh minta kebenaran dari isterinya  untuk merantau ke Batu Pahat. Selalunya beliau akan bermalam di surau atau masjid. Ketika berada di masjid Kampung Seri Medan, Salleh di pelawa tinggal di rumah Haji Kadri. Ketika tinggal disitu Salleh sempat belajar silat dengan Tuan Guru Haji Hussein. Setelah kemahiran silat Salleh diuji, beliau diajar pula dengan ilmu kebatinan.

Pengutip Cukai! Salleh pernah dipaksa menyertai Parti Komunis Malaya. Beliau tiada pilihan melainkan menurut sahaja arahan Jeneral Ming iaitu bekerja sebagai pengutip cukai daripada penduduk kampung dan juga para peniaga. Bagi penduduk Seri Medan, Salleh seorang pengkhinat. Namun dipihak komunis, Salleh menjadi orang harapan mereka.

Robin Hood! Salleh akhirnya berpaling tadah, beliau memberikan hasil kutipan cukai kepada penduduk kampung sekitar Parit Gantung. Jeneral Ming marah lantas mengarahkan Salleh ditangkap. Satu malam pengikut Jeneral Meng mengepung rumah Salleh, menendang pintu dan menyerbu masuk tetapi kelibat Salleh tidak kelihatan dengan mata kasar kerana Salleh belajar ilmu ghaib daripada Tuan Guru Hj Hussein.


Alamak! Jam dinding udah kul 1130 malam. Kene stop menaip pasal nak on talibesen, nak dengar gak rancangan Muhasabah Diri kat TV AlHijarah. Jangan mare ye! Nanti kalau aku masih sihat dan panjang umur, aku sambung lagi entri Pahlawan Kiyai Salleh Bahagian II.  Hehehe - Fullstop!

 

24 June 2013

JEREBU & SEJARAH UTUSAN MELAYU




Assalamualikum! 

Malam ini - 14 Syaaban, tiada kelihatan wajah bulan kerana terlindung dek jerebu akibat pembakaran terbuka nun jauh disebalik gunung-ganang. Jerebu itu datangnya tidak diundang malah angin juga tidak mampu menghalang kiranya jerebu mahu melintasi Selat Melaka atau Laut China Selatan.

Jerebu Itu! Telah terbang dan singgah diruang udara Muor dan Ledang dengan tahap pencemaran pada paras kecemasan. Malah daerah itu telah diisytiharkan Darurat Bencana Jerebu apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara melebihi 500.

Tiada tanda hujan akan turun malam ini dan bahang panas terus dirasa. Panas dan jerebu itu tentulah bukan milik kita, kene terimalah dengan tenang akan takdirNya, pasti ada hikmah disebalik kejadiaNya. 



Malam Berlalu Lesu! Aku cuba habiskan entri ini dengan story Sejarah Utusan Melayu. Aku sendiri tentunya tidak mengetahui akan kisah disebalik sejarah awal sekiranya tidak membaca rencana tulisan oleh Zin Mahmud.

Seperti yang ditulis  Zin Mahmud iaitu Akbar Utusan Melayu diterbitkan sebagai tindakan balas kepada sikap akbar Melayu tunggal di Singapura, Warta Malaya yang hanya menyiarkan berita-berita mengenai masyarakat Melayu keturunan Arab serta kepentingan mereka sahaja.
 

Seorang ahli perniagaan bernama Yusof Ishak telah berusaha menerbitkan akbar Utusan Melayu. Usaha beliau merupakan sebahagian daripada perjuangan bangsa, sebab ketika itu sekitar tahun 1930'an di Singapura orang Melayu mempertikaikan sesama sendiri mengenai keturunan masing-masing. 

Dipendekan cerita, iaitu pada zaman Jepun, penjajah telah memaksa Utusan Melayu dicantumkan dengan Warta Malaya untuk menjadi Warta Malai, tetapi pada hakikatnya ia digerakkan oleh wartawan Utusan Melayu diketuai oleh A Samad Ismail, seorang Melayu keturunan Jawa.

Yusof Ishak pula ialah seorang Melayu keturunan Minang. Dikalangan orang Melayu Nusantara, Minang adalah suku kaum yang terkenal suka dan pandai berniaga. Berbanding orang Jawa yang lebih gemar bekerja keras. Maka dapat dilihat gandingan sesuai antara Yusof dan Samad dalam usaha menerbitkan Utusan Melayu.




Jelas Zin Mahmud lagi Yusof dan Samad berbeza fahaman politik walaupun sama-sama mengambil berat terhadap nasib bangsa Melayu. Yusof adalah anggota Persatuan Melayu Singapura yang amat membenci Ibrahim Yaakob dan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Sedangkan Samad adalah pengasas Gerakan Rakyat Muda (Geram) dan mempunyai hubungan baik dengan Ibrahim Yaakob dan KMM.
 

Lama-kelamaan! Yusof dan Samad sudah tidak sehaluan dan akhirnya memaksa Samad  bekerja di Straits Times untuk membina Berita Harian akbar nasional. Samad boleh dikatakan pengasas Berita Harian sebagai akbar, yang kemudianya menyaingi Utusan Melayu.

 
Ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, akbar bahasa Melayu yang bertulisan rumi terbesar ialah Berita Harian. Masa itu Utusan Melayu masih bertulisan jawi sedangkan anak-anak muda mula memilih rumi lebih daripada jawi. 


Sabenarnya! Pertelingkahan Yusof dengan Samad merugikan Utusan Melayu. Andai kata Samad tidak meninggalkan Utusan, maka kemungkinan Utusan Melayu akan jauh lebih berkembang, lebih-lebih lagi jika diterbitkan dalam edisi rumi lebih awal lagi. 

Menurut Othman Wok dalam wawancara yang dibuat oleh Pusat Maklumat Utusan baru-baru ini pemegang terbesar saham Utusan Melayu ialah seorang Jaksa Pendamai (JP) bernama Daud Shah melalui syarikatnya Federal Transpot. Syarikatnya ini adalah syarikat pengangkutan yang memiliki banyak lori, yang antaranya diupah oleh Utusan Melayu untuk menghantar akbar dari Singapura ke Tanah Melayu.

UMNO menawarkan untuk membeli saham-saham Utusan Melayu melalui Federal Transport dan nomineenya. Tidak ada bantahan daripada sesiapa termasuk wartawan Utusan Melayu yang antaranya adalah dari golongna yang menolak UMNO. Ketika UMNO dibawah Tunku Abdul Rahman pada mulanya tidak menggangu editorial Utusan Melayu walaupun ketua sidang pengarangnya Said Zahari.

Apabila Tanan Melayu merdeka, maka Utusan Melayu dipindahkan ke Kuala Lumpur, satu proses yang dianggap wajar. Ini keran Singapura adalah tanah jajahan Inggeris sedangkan Kuala Lumpur sedang dibagunkan sebagai ibu kota baru negara Malaya merdeka.

Dipendekan lagi story! Satelah Said Zahari disingkirkan dari Utusan Melayu kerana beliau cenderong menyiarkan berita-berita mengenai Indonesia, UMNO melantik Melan Abdullah sebagai ketua pengarang. Beliau adalah antara wartawan awal Utusan Melayu ketika diSingapura bersama-sama Samad. Dibawah Melan Abdullah, Utusan Melayu menerbitkan Utusan Malaysia bertulisan rumi. Pada mulanya ia hanyalah terjemahan kepada Utusan Melayu tetapi akhirnya ia menjadi akbar genarasi baharu.


Nota Kaki : Rencana ini ditulis oleh Zin Mahmud melalui Keluaran Khas 75 Tahun Utusan. Rencana ne aku taip semula secara ringkas dan kiranya kenkawan teringin nak baca sepenuhnya bolehlah cari kat akbar Utusan Melayu pada hari Selasa iaitu 18 Jun 2013. Sekian Salam hormat dari Mj! 
  

23 June 2013

TENGAHARI @LEMBAH PANTAI


As Salam! 
Jam 1130 pagi - Matahari  bulan Jun tidak kelihatan dilangit, rumput bertukar warna menjadi kuning dan kering. Jerebu kian teruk melanda daerah ini dan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan 300 ke atas mungkin esuk sekolah ditutup.

Aku baru sahaja selesai membaca buku Tenggelamnya Kapal Prince of Wales dan dibilik utama, isteri aku pula sedang bersiap-siap untuk hadir pada majlis resepsi anak perempuan kepada pasangan Mohd Noor dan Rohaiyah. Asalnya berat gak hati aku nak pergi majlis tu sebab cuaca diluar panas, berjerebu serta kualiti udara tidak sihat. 


Jam 1200 tengahari!
Kereta bergerak menyusuri Jalan Kucing dalam keadaan jarah penglihatan yang dikira terhad. Lalu dihadapan Muzium Negara, beluk kanan dan gerak arah ke Kampung Kerinci. Lepas tu gerak arah  Bangsar South, Apartment Andalusia, Condominium Pantai Hill Park dan akhirnya kereta kami sampai dipenghujung jalan iaitu  Pusat Komuniti Lembah Pantai.


Memasuki kawasan  Dewan Komuniti!
Bertembung dengan Kak Diah bersama anak beliau si Dila di kawasan petak kereta. Bersalaman dengan tuan rumah dan menulis sedikit  kata-kata pujangga atau ayat ucapan tahniah kat buku masuk yang disediakan oleh pihak pengantin.


Ketika kami masuk, hampir separuh dewan telah dipenuhi dengan tetamu. Aku bersama isteri menghampiri meja buffet yang disediakan oleh syarikat Alya Jaya Catering dari Kg Sungai Pencala, Kelompo. Catering ini boleh dihubungi melalui En Ahmad Khairiri Idris di talian 019-3860605, atau boleh layari di website www.alyajaya.com.


Halua Telinga!
Sambil menjamu selera, tetamu dihiburkan dengan lagu-lagu klasik yang kebanyakan tajuk lagunya aku udah lupa. Selesai makan, aku pergi ke meja dessert dimana terdapat bubur kacang hijau, tiga jenis kueh Melayu serta teh dan kopi panas.


Rakan Kojer!
Aku masih dimeja ini sedang menikmati secangkir kopi bersama isteri aku, Kak Diah, Dila dan tiga lagi tetamu wanita kenalan Kak Diah serta isteri aku. Pada masa yang sama kelihatan rakan kojer isteri aku sedang beratur dimeja buffet iaitu si Mat Dani, Rashidah, Mansor, Nazirah dan sorang lagi yang pakai spek (aku belum kenal) sedang beratur untuk ambik makanan.


Mana Gambar Pengantin!
Masa pengantin masuk dewan mungkin masa tu aku berada dalam tandas. Bila aku masuk ke dalam dewan semula, aku nampak pasangan pengantin tu sedang duduk bersanding atas pelamin. Masa tu ramai jurugambar sedang merakam gambar pasangan tersebut. Aku pong tumpang sekaki nak rakam konon, tapi pasal kamera aku (Nikon Coolpix) takleh zoommmm jadi aku terpaksa batalkan hasrat dihati.


DoorGive!
Jam tangan aku menunjukan hampir kul 0200 petang. Diluar dewan tentunya cuaca panas dan berjerebu. Kami gerak tinggalkan dewan makan, bersalaman dengan tuan rumah dan terima pemberian sebuah kotak kecil yang tertulis Majlis Perkahwinan Nadira & Azad 23 Jun 2013.




Setingan Garden!
Kami keluar dari Pusat Komuniti Lembah Pantai melalui Condo Pantai Hill Park, Apartment Andalusia, beluk kiri dan melintasi deretan bangunan yang sedang dalam pembinana. Dolunya dikiri kanan jalan ne terdapat banyak gerai dan rumah orang Melayu yang juga dikenali dengan jolokan Setingan Garden.
Lalu pulak depan Bangsar South, Flat Pantai dan terus menuju ke Jalan Kucing.


Eh! Kepada pembaca blog yang budiman, nak tautak apa isinya dalam kotak comel
(door give) tadi. Isinya ialah 4 biji kurma dan senaskah Surah Yaasiin. Salam sayang dan panjang umur kita bertemu lagi!



21 June 2013

TERKENANG DI MASA DULU!



As Salam! Kita dapat berjumpa lagi dengan izin Allah, dientri Terkenang DiMasa Dulu. Dengan izinNya juga, dua biji mata kita masih lagi boleh melihat screen komputer, jari jemari nan sepuluh ini dapat memegang tetikus, boleh menaip abjad di papan kekunci, otak kita pulak masih lagi berfungsi dengan baik - menyimpan data-data lama yang udah berhabuk.

Teringat aku lirik sebuah lagu lama iaitu "Semasa ku masih lagi kecil, sememangnya ku degil, di kampung dihalaman ku. Ku berenang-renang disungai dengan kawan-kawan, dikampung dihalaman ku". Begitulah lebih kurang lirik lagu tersebut.

Kenangan muncul semula kat kepala aku setelah balik dari Majlis Reunion Black House yang diadakan kat Batu 6 Gombak, pada 16 Jun 2013. Seperti yang aku udah story sebelum ne, iaitu Gombak adalah tempat aku membesar, dari zaman budak sekolah hingglah zaman remaja. Kira, Gombak ne udah macam kampung akulah Bro!

Kisah Bermula! Masa tu aku derjah tiga ketika belajar diSekolah Rendah Bukit Belimbing, Kuala Selangor. Keluarga kami tinggal  (menyewa) dibelakang rumah Hj Omar iaitu bapa kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Abu Hassan Omar. Oleh kerana pendapatan (income) arwah ayah masa tu tak menentu, Cikgu Mat Zain (Guru Besar) cadangkan kami sekeluarga berpindah ke Gombak.

Di Gombak,
kami sekeluarga tinggal disebuah rumah berkembar satu bilik. Di belakang rumah ada sungai yang airnya masih bersih kerana tidak ramai penduduk tinggal ditepi sungai ketika itu. Tidak jauh dari rumah kami ialah sebuah penempatan pekerja ladang getah yang kebanyakannya terdiri dari kaum India.

Setiap Pagi! Lebih kurang jam 0600, kami empat beradik lelaki selalunya naik bas Leng Seng pergi ke sekolah di Batu Tujuh. Waktu tu keadaan sekeliling masih berkabus, sejuknya kekadang sampai menggigil lutut - maklumlah pakai seluar pendek. Walaupong arwah ayah, pendapatannya tidak menentu tetapi masih mampu menyediakan pakaian seragam sekolah kami empat beradik siap dengan duit poket (20 sen) untuk tambang dan belanja di kantin.

Dapat Kojer! Akhirnya, arwah ayah dapat kojer tetap di Majlis Bandaran Gombak, yang berpusat di Gombak Setia. Lepas tu kami berpindah dari Batu 8 Gombak ke Batu 6 Gombak. Disinilah aku membesar dan bercampur-gaul dengan rakan sebaya seperti Zakaria, Karim, CheSu, Ibarahim, Aman, Majid, Amir(Parumasivam), Ariffin, Ajak Manan, Azmi, Bakar, Ajis Keropok, Jimmy, Kamal, Mail dan ramai lagi.

Sekolah Darjah Menengah! Aku tamat sekolah derjah 6 di Sekolah Rendah Gombak Utara dan masuk ke-tingkatan satu, menumpang di Sekolah Rendah Setapak. Masa tu hanya ada dua kelas tingkatan satu dan 2 kelas tingkatan dua. Waktu pagi, kelas tu digunakan oleh bebudak sekolah rendah dan petangnya kami pulak gunakannya. Takde terfikir pong pasal bilik khas melukis, bilik pertukangan tangan atau bilik sains. Jauh sekalilah dapat main takraw, hoki atau menyertai kelab pengakap, polis kedet atau palang merah (sekarang ne dikenali sebagai Bulan Sabit).

Pindah Sekolah! Masa ditingkatan 2, sekolah aku dikenali sebagai Sekolah Darjah Menengah Gombak Setia kerana menumpang kat Sekolah Rendah Gombak Setia. Sama macam di Setapak iaitu hanya ada empat (4) kelas di ketuai oleh Guru Besar bernama Cikgu Mat Zain, guru kelas aku bernama Cikgu Sukma dan sorang lagi bernama Cikgu Agos kalau tak silap akulah!

Masa tinggal di Gombak! Zaman bebudak sekolah aku dengan Karim pernah kayuh basikal ke padang sasar dekat Batu Cave pasal nak kutip peluru. Pernah berjogging dengan Ariffin Rahmat dari Batu 6 hingga ke Chow Kit Road. Juga pernah menyertai projek lari berkumpulan  membawa bendera Belia 4B hingga ke sempadan Selangor - Pahang.

Peristiwa
lain dalam kenangan ialah kejadian 13 Mei 1969, sehingga PM masa tu Tunku Abdul Rahman Putra istiharkan darurat. Lepas tu ada kejadian tunjuk perasaan dari pelajar Universiti yang diketuai oleh Anwar Ibarahim yang masa itu menjadi pemimpin pelajar dengan isunya Baling, Miskin dan Kelaparan. Tunjuk perasaan itu teryata memberi kesan kepada Tunku dan akhirnya jalan terbaik ketika itu buat Tunku adalah berundur.

Bah Besar
(banjir) di Kelompo pulak pada tahun 1971, Perdana Menteri masa tu Tun Abdul Razak  umumkan negara berada dalam bencana kebangsaan. Hujan lebat tanpa henti selama seminggu telah menengelamkan Bangunan Sultan Abdul Samad, serta Kg Baru dan Keramat.

Tentera Merah Jepun! Peristiwa ne berlaku pada 4 Ogas 1975 apabila Japanese Red Army (JRA) seramai 8 orang, lengkap bersenjata telah menawan 50 orang tebusan di Bangunan AIA, Jalan Ampang, Kelompo. Masa tu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali telah berunding dengan JRA, akhirnya JRA bebaskan tebusan dan ikut syarat yang telah dijanjikan, maka pesawat Jepun pong menerbangkan anggota JRA ke Libya. 



Trit! trit! trittt! Bunyi jam handphone yang aku set kul 1000 udah berdering.  Terpaksalah aku off entri ne sebab aku nak layan Ashley Banjo's Secret Street Crew kat  8TV. - Salam dari Mj!


 


17 June 2013

MAJLIS REUNION BLACK HOUSE!



Assalamualaikum! Aku doakan semuga kenkawan yang terkelik blog aku dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Semalam (Ahad) jam 1200 tengahari aku bersama isteri pergi ke Majlis Perkahwinan anak lelaki Puan Rabeah @Busu  Johari yang di adakan kat Batu 11 Gombak Utara. 


Makan! Ketika kami sampai udah ramai tetamu yang sedang menjamu selera. Kami pong terus menuju meja buffet untuk makan tengahari. Nasi bryani dan air sirap udah diambik tapi takde pulak meja yang kosong. Isteri aku masuk ke dalam rumah dan aku pulak makan dibawah pokok tanpa meja ditemani Zainal, Amir dan MatLijas.

Selepas  acara pasangan pengatin bersanding, Kak Ana ajak kami pergi Jamuan Reunion Black House yang diadakan di Batu 6 Gombak, Selangor. Yang ikut serta ke majlis tersebut ialah Majid, Midah, Kak Ana, Ammar dan Ziela pulak tunggu kami dihadapan Masjid berhampiran Taman Kamariah.


Reunion Blackhouse
!
  Kami berlima tinggalkan majlis kahwin menuju Batu 6 Gombak. Hampir 35 tahun kami tidak berjumpa rakan-rakan lama  kami, yang sama-sama membesar dan tinggal disekitar kejiranan Black House, Lembah, Kg Kerdas, Kg Manggis, Taman Kamariah  dan Gombak Setia. Ketika kami sampai dimajlis tersebut orang pertama yang kami berjabat salam dan bertanya kabar ialah Zakaria Yusof rakan lama aku ketika zaman remaja.


Lama Tak Jumpa!
  Agak-agak Bro, kalau udah lama tak jumpa macam mana suasananya ya. Tentulah haru-biru, kecoh dengan soalan standard seperti tinggal kat mana, anak berapa, buat apa sekarang dan ada yang nakal tu tanya isteri berapa orang! Hehehe...


Macam Kenal! Bila renung lama-lama wajah diorang satu persatu barulah aku ingat siapa dia, maklumlah wajah dan susuk badan udah berubah. Aku dapat berjumpa si Amir (saudara baru) atau nama lamanya Parumasivam kalau tak silap. Si Amir ne sebenarnya rakan abang aku, tapi hampir semua rakan abang aku adalah rakan aku juga.


Kelihatan juga kat majlis ne, Abang Ibrahim (guru silat gayung) yang dolunya menjadi ketua kami ketika aktiviti gotong royong membersihkan kolam masjid, bersihkan kubur dan lain-lain aktiviti. Aku dapat gak bertemu rakan lama seperti Mail Lompong, Amat, Karim, Ajak Manan, Majid @Din Simen, Amy Tempe, Bahrin, Lan Ten Cuk, Atan dan Ramlee Mohamad.



Orang Lama!
Ramai gak Otai yang aku temui kat sini seperti Abang Yunus (Tok Empat), Din Tena, Abang Leman (abang kepada Che'Su), Abang Ali, Abang Hussein, Abang Din dan Abang Zinol Lanun. Yang lain-lain tu aku udah tak ingat namanya.


Ada gak rakan lama aku ketika remaja yang tak datang seperti Ibrahim, Aman, Majid, Ajak Jinjang dan Suhaimi @Che'Su. Yang lain tu (bukan member black house) seperti Tahir anak Pak Ali, Yahya Gora-Gora, Amat Brongko dan Ipin Pok - diorang kata udah meninggal. 


Imbas Kembali! Terkenang aku ummah cat hitam yang terletak ditepi jalan berhampiran dengan Taman Kamariah
ini memang dikenali sebagai Black House. Ketika zaman remaja aku, ummah inilah tempat kami berkumpul dan beriadah ketika hujung minggu. Selalunya aktiviti kami ialah bermain takraw, carrom, dam haji dan lain-lain. Malam harinya pulak ada kenkawang yang ikut kelas belajar seni bela diri (silat gayung) di Dewan Gombak Setia.



Waktu Terus Berlalu!
Bila masing-masing udah bekerja
dan berkahwin maka kenkawan lama pong (termasuk akulah) berpindah dan mencari tempat kediaman dan rakan baru. Inilah kehidupan yang terpaksa kita lalui dan menerima hakikat bahawa perpisahan tetap berlaku. Bagaimanapong, takdir telah menentukan bahawa semalam kita bertemu semula di Jamuan BlackHouse Reunion!



Terima kasih daun keladi aku ucapkan kepada tuan rumah. Kalau ada reunion lagi jangan lupakan kami.  Salam sayang dari Mj dan Jumpa Lagi!