21 June 2013

TERKENANG DI MASA DULU!



As Salam! Kita dapat berjumpa lagi dengan izin Allah, dientri Terkenang DiMasa Dulu. Dengan izinNya juga, dua biji mata kita masih lagi boleh melihat screen komputer, jari jemari nan sepuluh ini dapat memegang tetikus, boleh menaip abjad di papan kekunci, otak kita pulak masih lagi berfungsi dengan baik - menyimpan data-data lama yang sudah berhabuk.

Teringat aku lirik sebuah lagu lama iaitu "Semasa ku masih lagi kecil, sememangnya ku degil, di kampung dihalaman ku. Ku berenang-renang disungai dengan kawan-kawan, dikampung dihalaman ku". Begitulah lebih kurang lirik lagu tersebut.

Kenangan muncul semula di kepala otak aku setelah balik dari Majlis Reunion Black House yang diadakan kat Batu 6 Gombak, pada 16 Jun 2013. Seperti yang aku sudah story sebelum nie, iaitu Gombak adalah tempat aku membesar, dari zaman budak sekolah hingglah zaman remaja. Kira, Gombak nie macam kampung akulah Bro!

[1] Kisah Bermula! Masa itu aku derjah tiga ketika belajar di Sekolah Rendah Bukit Belimbing[SRBB], Kuala Selangor. Keluarga kami tinggal dan menyewa di-belakang rumah Hj Omar iaitu bapa kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Abu Hassan Omar. Oleh kerana pendapatan [income] arwah ayah masa itu tidak menentu, Cikgu Mat Zain [Guru Besar SRBB] cadangkan kami sekeluarga berpindah ke Gombak.

Di Gombak,
kami sekeluarga tinggal disebuah rumah berkembar satu bilik. Di belakang rumah ada sungai yang airnya masih bersih kerana tidak ramai penduduk tinggal ditepi sungai ketika itu. Tidak jauh dari rumah kami ialah sebuah penempatan pekerja ladang getah yang kebanyakannya terdiri dari kaum India.

Setiap Pagi! Lebih kurang jam 0600 gitu, kami empat beradik lelaki selalunya naik bas Leng Seng pergi ke sekolah [Sek. Rendah Ulu Gombak] di Batu Tujuh. Waktu itu keadaan sekeliling sentiasa berkabus, maklumlah penempatan tersebut masih dikira pingitan lagi. Sejuknya kekadang sampai menggigil lutut. Walaupong arwah ayah, pendapatannya tidak menentu tetapi masih mampu menyediakan pakaian seragam sekolah kami empat beradik siap dengan duit poket 20 sen untuk tambang dan belanja di kantin.

Tidak lama kemudian arwah ayah dapat kojer tetap di Majlis Bandaran Gombak, yang berpusat di Gombak Setia. Arwah ayah sudah punya ramai kenalan termasuk seorang mandor yang tinggal di Sungai Cincin. Mandor yang baik hati itu mencadangkan arwah ayah pindah dan tinggal di tanah beliau  yang terletak di Batu Enam agar arwah ayah mudah berulang-alik ke tempat kerja.

Setelah arwah ayah dan rakan-rakannya siap membuat sebuah rumah papan di Batu 6, keluarga kami pun berpindah dari Batu 8 Gombak ke Batu 6 Gombak. Disinilah aku membesar dan bercampur-gaul dengan rakan sebaya seperti Zakaria, Karim, CheSu, Ibarahim, Aman, Majid, Amir(Parumasivam), Ariffin, Ajak Manan, Azmi, Bakar, Ajis Keropok, Jimmy, Kamal, Mail dan ramai lagi.

[2] Aku tamat sekolah derjah 6 di Sekolah Rendah Ulu Gombak dan masuk ke-tingkatan satu dan bersekolah [menumpang] di Sekolah Rendah Setapak. Masa itu hanya ada dua kelas tingkatan satu dan dua kelas tingkatan dua. Waktu pagi, kelas tersebut digunakan oleh bebudak sekolah rendah dan petangnya kami pulak gunakannya. Oleh kerana kami hanya menumpang jadinya tiadalah terfikir akan kami tentang bilik khas melukis, bilik pertukangan tangan atau bilik sains. Jauh sekalilah dapat bermain takraw, hoki atau menyertai kelab pengakap, polis kedet atau palang merah [sekarang nie dikenali sebagai Bulan Sabit].

Masa tingkatan 2, sekali lagi aku berpindah sekolah  yang dikenali sebagai Sekolah Darjah Menengah Gombak Setia [menumpang lagi]. Sama seperti di Setapak iaitu hanya ada empat (4) kelas di ketuai oleh Guru Besar bernama Cikgu Mat Zain, guru kelas aku bernama Cikgu Sukma Murni.

[3]
Ketika meniti zaman remaja banyak aktiviti yang aku lalukan antaranya
aku bersama rakan  [Karim] pernah kayuh basikal ke padang sasar berhampiran Batu Cave, mengutip peluru terpakai. Berjogging dengan Ariffin Rahmat dari Batu 6 hingga ke Chow Kit Road. Pernah juga menyertai projek larian berkumpulan  membawa bendera Belia 4B hingga ke sempadan Selangor - Pahang. Banyak lagi kenangan jika hendak diceritakan!

Peristiwa
besar dalam kenangan ialah kejadian 13 Mei 1969, sehingga PM masa itu Tunku Abdul Rahman Putra istiharkan darurat. Selepas itu ada kejadian tunjuk perasaan dari pelajar Universiti yang diketuai oleh Anwar Ibarahim seorang pemimpin pelajar di sekitar bangunan AIA Jalan Ampang. Antaranya isu yang di laungkan ialah tentang kemiskinan dan kelaparan orang kampung di Baling. Tunjuk perasaan itu teryata memberi kesan kepada Tunku dan akhirnya jalan terbaik ketika itu buat Tunku adalah berundur. 

Bah Besar
[banjir] di Kuala Lumpur pulak pada tahun 1971, Perdana Menteri masa itu ialah Tun Abdul Razak telah  mengumumkan negara berada dalam bencana kebangsaan. Hujan lebat tanpa henti selama seminggu itu telah menengelamkan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kampung Baru serta Kampung Datuk Keramat.

Tentera Merah Jepun! Peristiwa berlaku pada 4 Ogas 1975 apabila Japanese Red Army (JRA) seramai 8 orang, lengkap bersenjata telah menawan 50 orang tebusan di Bangunan AIA, Jalan Ampang, KL. Masa itu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali telah berunding dengan pengganas JRA, akhirnya JRA membebaskan tebusan dan patuh syarat yang telah dijanjikan. Sebuah pesawat Jepun [sepertimana permintaan JRA itu] telah menerbangkan anggota JRA ke Libya. 



[4] Trit! trit! trittt! Bunyi jam handpon yang aku set pada pukul 1000 malam sudah berdering.  Terpaksalah aku off entri ini sebab aku nak layan Ashley Banjo's Secret Street Crew kat  8TV. - Salam dari Mj!


 


No comments:

Post a Comment