12 June 2013

ULASAN DARI AHMAD ZAHID HAMIDI




Assalamualaikum!
Buku Nasib Melayu DiBumi Melayu hasil tulisan Mohd Ridhuan Tee Abdullah, mungkin udah berbulan aku beli tapi belum lagi membacanya. Aku hanya sempat membaca sepintas lalu dikulit belakang dan Sekapur Sirih dari Ahmad Zahid Hamidi. 



                    SEKAPUR SIRIH!


     Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Setinggi-tinggi kesyukuran  dipanjatkan ke hadrat Allah SWT diatas kehadiran buku yang berjudul Nasib Melayu diBumi Melayu, yang saya kira amat tepat pada masanya. Tahniah, saya ucapkan kepada penulis, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang begitu bersungguh-sungguh, kritis dan analitikal dalam menghasilkan buku ini. Saya percaya buku ini akan mencetuskan kontroversi dan perbincangan hangat.  Keberanian dan keikhlasan penulis patut dipuji, walaupun risiko yang terpaksa ditanggung adalah amat tinggi. Itulah yang dinamakan perjuangan.

Nasib Melayu di Bumi Melayu
merupakan cetusan hati nurani seorang insan yang saya kenali sekian lama. Semasa kecil, ketika berada disekolah menengah, beliau bersekolah dikawasan parlimen saya di SMK Sri Muara, Bagan Datoh, Perak.


Berlatarbelakangkan seorang saudara Muslim berbangsa Cina, saya tidak nampak beliau lebih Melayu daripada Melayu, sebagaimana yang dituduhkan oleh sesetengah pihak. Semua itu dilakukan untuk memburuk-burukan beliau yang suka berkata benar walaupun amat pahit untuk diterima oleh bangsanya sendiri. Memang tidak dinafikan beliau suka berkawan dan bergaul dengan orang Melayu, tetapi pergaluan ini tidak mengikis jati diri beliau.

Sepanjang mengenalinya, saya tidak nampak beliau menolak atau sengaja memburuk-burukan bangsanya sendiri. Kefahaman beliau terhadap Islam tidak boleh dipertikaikan. Menolak bangsa sendiri bermakna menolak kejadian Allah SWT. Saya yakin beliau amat memahami hakikat itu. Beliau tidak berniat langsung untuk memburuk-burukan orang lain.


Nasib Melayu di Bumi Melayu adalah pandangan ikhlas beliau yang mahu melihat Islam dan Melayu dihormati dan diterima dengan sewajarnya oleh semua pihak di bumi mereka sendiri.

Semua sedia maklum bahawa Malaysia merupakan salah sebuah negara yang terletak di kepulauan Melayu. Sebelum pembentukan Malaysia pada 1963, yakni dengan kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak, Malaysia dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu. Tanah Melayu juga dikenali dalam kalangan negara-negara China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit) di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih-Cina), Mailiur (Siam) dan Melayo (Albuquerque/Portugis).

Fakta dan hujah ini menunjukkan bahawa setiap negara atau tempat yang dijadikan  Allah SWT bermula dengan satu bangsa. Nama sesuatu bangsa itu akan membentuk nama negara tersebut. Misalnya, bangsa Cina membentuk negara China, bangsa Arab membentuk negara-negara Arab, bangsa India membentuk negara India, begitu jugalah negara-negara lain. 


Ini bermakna, bermasyarakat majmuk atau berbilang kaum tidak berlaku dengan sendirinya. Akan tetapi, ia berlaku disebabkan oleh proses interaksi dan penghijrahan. Sejarah sebegini perlu difahami agar wujud sikap saling menghormati antara satu sama lain, terutama hak-hak istimewa bangsa peribumi, apatah lagi jika telah  termaktub dalam perlembagaan. Teringat kepada kata-kata sejarawan yang berbunyi: "Seseorang yang tidak mengetahui sejarah, dia akan dihukum oleh sejarah itu sendiri."

Selaku bangsa majoriti, saya yakin apa sahaja yang terjadi kepada orang Melayu Islam, akan meninggalkan kesan keutuhan agama Islam itu sendiri. Justeru, adalah amat penting, orang Melayu merenung sejenak nasib Melayu di bumi Melayu, agar kita dapat bangun semula mencipta kegemilangan demi menjaga maruah agama, bangsa dan negara.

Saya berharap setiap daripada kita dapat membaca buku yang mencabar minda  ini untuk memikir sejenak akan nasib anak bangsa kita. Kita harus melihat permasalahan yang berlaku dalam kalangan bangsa Melayu Islam dan masyarakat lainnya di Malaysia, agar ia dapat ditangani dengan penuh keinsafan , kesungguhan dan penuh iltizam. Sekali lagi, sekalung tahniah kepada penulis. Semuga akan terus berkarya, untuk menghasilkan bahan-bahan bermutu bagi tatapan anak bangsa dan membuka minda ummah tercinta.

Salam perjuangan dan salam hormat daripada saya.

Ahmad Zahid Hamidi, PhD

Menteri Pertahanan Malaysia.


Nota KakiBuku Nasib Melayu DiBumi Melayu ini diterbitkan oleh Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd pada tahun 2010 dan diulang cetak pada 2011. Ketika ini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah Menteri Dalam Negeri Malaysia. - Salam dari Mj!


 

No comments:

Post a Comment