|
Bacalah dengan minda yang terbuka pepatah lama karangan orang dulu kala. Tentu banyak yang tersirat di dalamnya meskipun tidak ramai yang memahaminya kerana sudah terlalu moden adanya sehingga kehilangan jati diri dan rupa bangsa. Maka tentulah sukar untuk memahami duduk perkara dan buah bicara Melayu yang begitu hebat susun aturnya.
Arakian maka berlarilah semua para pembesar ke seluruh negara apabila melihat huru hara bakal menjelma. Sudah gemuruh bunyi garuda, sudah gegak gempita seantero benua bahawa malapetaka sudah menunggu hanya bala belum tentu bila ketikanya.
Ditanya oleh memenda menteri kepada sekelian pembesar negara bagaimana keadaan cuaca dan duduk bangun rakyat jelata semua?
Tanpa ragu, melompat-lompat seperti kera kene belacan para pembesar memberi laporan bahawa semuanya dalam sejahtera wahai mamanda. Janganlah bimbang, rakyat sangat gembira, hidup bagaikan dalam surga loka. Makanan melimpah ruah, ayam itek penuh dikandang, padi beras penuh digudang. Rakyat jelata semua jelas kekenyangan hingga mata puteh bundar dan buntang.
Mafhum aula sungguh gembira menteri memanda apabila mendengar perkhabaran itu. Lantas apakah yang riuh rendah dan gegak gempita di hujung sana soal memanda lagi. Oh, itu sebenarnya kumpulan pedagang yang datang menumpang kasih dan melulur sayang dari kita. Ada si Kitul dan juga Sang Li Po juga turut serta.
Lantas kerana rakyat jelata sudah cukup semua, moleklah juga kita tumpukan perhatian kepada mereka yang ke mari menumpang kasih. Berikanlah segala bantuan selagi terdaya walaupun tidak diminta oleh mereka kerana kita ini memang terkenal sebagai pemurah yang melimpah ruah sehingga tidak luak susu sebelanga, tidak surut air di sumur jika sekadar dikongsi dengan mereka. Berikanlah selagi mereka mahu.
Gagasan satu negara kita kongsikan juga, tidak mengapa kerana mereka itu tetamu kita. Kene muliakan dan berikan perhatian. Bangsa kita sudah senang lenang, campaklah sebiji benih di belakang kandang nescaya esoknya tumbuh subur hingga menjadi ladang. Tentulah ayam di kepuk tidak mati kelaparan dan itik di air tidak akan mati kehausan.
Melopong dan terngagalah sekelian rakyat jelata, bila mana memanda menteri terus-terusan memberi tanpa henti kepada para tamu itu adanya. Malah tanpa diminta, diberi juga. Lalu fikir mereka barangkali hanya untuk sementara sahaja. Mungkin ada nazarnya sebab beroleh kebajikan atau mimpi terpijak batu permata berjuta-juta. Lantas ditanya rakyat jelata kepada pembesar daerah, pembesar negeri dan juga pembesar negara apa makna ini semua. |
Lantas kata para pembesar itulah perkongsian pintar namanya. Hak kita biar diberi sama rata, hak mereka tentulah mereka akan jaga sebab sudah jauh mereka berkelana dari benua nun jauh di sana ke negara kita. Berikanlah kesenangan kepada mereka sebab nanti mereka lebih gembira untuk tinggal bersama kita. Makan bersama malah disuapkan pula adanya.
Makin melopong lagilah rakyat marhaen yang sudah sekian lama tidak disapa. Malah jalan ke desa juga sudah terlupa agaknya.
Sahibul hikayat mengirim pesan dan menitip khabar pada memenda menteri katanya sudah terlupakah kami di sini sana hingga atap tiris sini sana, anak kembung angin sahaja, nak santap untuk hari ini pun susah sungguh rasanya entah esok lupa bagaimana pula. Kenapa gah benar memberi, tidak kasihankah kepada kami, segala bakti telah kami beri tapi kami dipandang sepi. Perkiriman dikhabarkan pada pembesar, tidak disampai kepada memanda sebab bunyinya berbeza sudah tentu nanti dimurka.
Nota Kaki : Setakat ini sahaja yang dapat aku taip. Sambungan entri ne akan menyusul dengan tajuk 'Hikayat Bhg Dua'. Penulis sebenar hikayat ini ialah Dr Ahmad Zaki Ismail, Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (PewariS). Salam hormat dari Mj!
No comments:
Post a Comment