28 June 2013

HIKAYAT BAHAGIAN DUA!


 
Purnama berlalu pergi, sudah sekian lama dinanti umpama elegi dalam sepi. Harapan hanya tinggal harapan, yang ada dihadapan cuma kegelapan. Tidak dilihat lagi semarak kasih kepada pertiwi, malah segala harapan luntur di bawa angin sepi. 

Memanda menteri amatlah gembira, sebab rakyat makin makmur adanya. Dikhabarkan lagi bahawa rakyat tersangatlah menyayangi  memanda menteri yang sentisa dipandang tinggi kerana seluruh negara diberikan perhatian yang berlebihan sehingga tidak ada lagi ruang untuk berbakti dan memberi sumbangan. Sudah lebih dari kecukupan, sehingga ramai pula yang ditimpa musibah akibat terlalu senang hidup mereka. 

Kerana itu perlu berhati-hati untuk memberi lagi sebab dikhuatiri mendatangkan musibah kepada rakyat sendiri. Yang buncit perutnya ditakuti busung, yang besar kenderaannya khuatir tidak muat diaspal sana. Malah sudah ramai yang mata, hidung dan telinga mereka juga tersumbat akibat terlalu senang dan mewah adanya sampai terpaksa menyumbat segala macam lebihan ke segenap ruang yang berlubang. 

Memanda menteri bertanya lagi, di mana pula perlu dilawati, siapa pula patut diberi bantuan duniawi. Dicarilah orang bijak pandai, maka dipalu genderang riuh rendahmerata-rata sehingga ketepi belantara. Akhirnya datanglah sekumpulan kera mengadap memanda menteri dan terus menangis dan merayu katanya mereka kekurangan susu.

Kasihan sungguh memanda menteri yang tulus orangnya sangat hebat kasihnya pada rakyat jelata. Lantas dititahkan kepada pembesar yang turut serta, segeralah kalian berkejar mencari susu untuk si kera ini kerana terlalu sedihnya wajah dan kurusnya tubuh, dan kuningnya kulit dan sebahagian mereka pula sudah hitam seperti terbakar matahari kerana terlalu kuat berusaha untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. 

Lalu dicarilah segera  si ibu dan bapa penyusuan, kerbau lembu rakyat juga diambil bagi memenuhi keperluan kera di hutan. Melompatlah rakyat marhaen anak yang dipangkuan juga kering susuan, hanya mengharap ternakan bagi mengganti susuan.

Hijau kuning mata, berdesing juga telinga, rambut lebatjuga gugur semua. Apakah ini maknanya, berikan betis mahukan paha. Ia sudah terlebih agaknya siapalah punya angkara.


Di kalangan rakyat jelata, ada Luncai namanya. Amat santai orangnya, bila ditanya apa cara mahu dipinta hak kita apa guna bernegara bila mana terlepas semuanaya. Lantsa dijawab oleh si Luncai 'biarkan biarkan, biar terjun dengan labu-labunya'.
 

Memanda menteri semakin leka, hingga seluruh negara dilawatinya kerana kebajikan ingin diberi. Katanya biarlah kita korbankan jiwa raga asalkan rakyat gembira umpama hidup dalam syurga meriah sungguh siang malamnya sentiasa umpama sedang berpesta. Berarak dan berusunglah ke sini ke sana.

Sudah kering air mata, sudah kurus anak di pangkuannya tapi teringgir tidak dipeduli. Para kera semua hebat sungguh mutakhir ini adanya. Besar tubuh menjangkau enau,  dilanggar kalau tidak ketepi, pengsan atau boleh mati jika tidak dituruti.

Beginilah onarnya mereka, berdusta setiap masa, mengadu domba tanpa sebarang rasa, malah terasa hebat sungguh adanya kera memanda menteri percaya umpama dipusing seperti roda dan terkesimalah dulu kini dan selamanya. 


Bukalah mata segera, bukalah minda sentiasa, jauhkan sengketa kerana sangat merbahaya. Jurang dalam menunggu kita, rakyat merhaen tidak lupa akan segala auta umpama kancil dan pelanduk nampak serupa tapi ia tetap berbeza. Hanya jauhari mengenal manikam mereka meskipun jenisnya berbeza. 


Penulis ialah Penasihat Majlis
Permuafakatan Ummah (Pewaris).




No comments:

Post a Comment