28 August 2017

MENYELAK KALENDAR OGAS


            Menyelak Kalendar Ogas

            

Kita sering menyelak kalendar, melihat bulan berganti bulan dan bulan itu sampai juga di langit Ogas. Di dada langit tergantung gumpalan awan menyaksi gunung dan ombak merintih apabila bukit serta pokok-pokok rebah satu persatu dalam tangan manusia yang rakus.

Ogas itu datang berulang tahun. Kita seperti sebelumnya, sudah bersedia  dengan ungkapan warisan moyang[1]. Anak-anak dahulunya bermain guli pastinya kini setelah enam dekat mereka sudah dewasa. Mereka dewasa membawa sekali jiwa dan minda merdeka, mengenggam erat kuasa. Mereka yang dewasa itu tidak lagi membiarkan bangsa lain menjarah bahasa[2] dan agama kita.

Fajar Ogas bertandang. Kita seperti sebelumnya ada kenangan hitam tentang sejarah silam. Nostalgia itu kekadang melekakan kita bilamana penjajah telah menjajah minda kita dengan hiburan, fesyen dan dadah. Kita hampir terlupa tentang pahlawan bangsa seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Maharajalela dan Dol Said. Kita juga jarang di dendang dengan cerita  tokoh pejuang Pahlawan Kiyai Salleh[3] di Batu Pahat, Leftenan Adanan di Singapura serta Kanang anak Langkau menetak leher penderhaka. Ramai pahlawan kita yang terkorban dilereng bukit Tanjung Putri, bermandi darah di-rumah pasung Bukit Kepong, Peristiwa Kalabakan[4] dan Serang Hendap di Ulu Legong[5].

Pagi Ogas datang lagi. Enam puloh tahun berlalu kita memikul beban derita. Kini kita boleh gumbira melihat disekeliling kita anak bangsa hidup mewah. Dimewahkan lagi dengan kemudahan berteknologi tinggi. Kita juga  ada kemudahan awam seperti Komuter, Monorail  Lrt dan yang terbaru Mrt[6].

Ini negara kita, tempat tumpah darah kita. Anak-anak tidak lagi bermain api apatah lagi bermain guli. Mereka kini bermain dengan gajet sendiri-sendiri. Patah tumbuh hilang berganti. Pemuda pemudi harapan negara segera dibeban dengan TN50[7]. Baik Melayu, India dan Cina bersama peribumi Sabah dan Serawak mahu hidup sehati sejiwa satu bangsa satu bahasa berlainan agama itu biasa.

Bangsa kita sudah merdeka. Peninggalan penjajah masih tersemat di kalbu jiwa. Kita juga dimewahkan dengan kepintaran teknologi. Ada internet, facebook dan blog. Minda kita juga dibebani dengan berita serta hadis  tidak sahih yang disampaikan oleh kumpulan WhatsApp. Mata kita jadi buta bilamana kita melihat bermacam-macam imej dari YouTube. Akhirnya kita celaru, lalu kita meminta bantuan dari sekumpulan Ustaz maya dari Google.

Malah di Google juga, kita yang telah lama bodoh akan menjadi pandai. Yang miskin menjadi kaya. Ada yang telah menjadi ahli kimia,  yang menjadi chef di rumah dan ahli politik yang penuh dengan tektik. Hanya klik di hujung jari kita terus lali. Sanggup berjam-jam malah barangkali mengulang pelajaran di Google berhari-hari. Merdeka kah kita jika kita masih menjadi hamba kepada teknoloji. Jawablah sendiri.

Jari jemari kita menyelak kalendar lagi. Hari demi hari kita bersama minda merdeka mendengar berita ada tangan gaib yang menumbangkan bukit dan pohon-pohon lalu tanah menjadi rata. Ada beberapa cerita yang menjadi sejarah antaranya tentang rahsia Bank Negara yang rugi dalam urusniaga mata wang asing [forex] pada 1990-an[8]. Sebuah lagi cerita sedih yang telah dicetak diatas kertas putih[9] bertajuk Peristiwa Mamali[10].

Sejarah tetap menjadi sejarah. Sebelum matahari Ogas bersimpuh di kaki langit, anak bangsa kita telah mencipta sejarah dalam Sukan SEA KL2017[11]. Dominasi Malaysia dalam banyak acara sukan telah meletakan nama Malaysia dalam peta Asia Tenggara sebagai #KitaJuara.

Tarikh keramat 31 Ogas[11] akan kita sambut dengan bahasa merdeka. Kita lupakan api sengketa yang pernah membara dijiwa kita. Kita lupakan sekali certera angan-angan Mat Jenin, Pak Kadok naik junjung, Pak Pandir yang pandir sangat dan akhirnya cerita basi tentang si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan! - Walalhuaklam.



Nota Lutut :
[1]Warisan Moyang: Lagu Warisan ini boleh anda baca pada entri bertajuk
"WARISAN | MASYARAKAT PINCANG" pada 26 December 2009. Entri ini adalah permulaan aku belajar menulis dan bercerita. Kira, masa tu aku baru bertatih. Biasalah orang baru belajar. Ayat-ayat pun lintang pukang. Kalau aku baca balik entri pada tahun 2009, aku senyum sendirian. Pun begitu, tidak tergamak untuk aku memadamnya. Nostalgia gitu!

[2]Menjarah Bahasa 

[3]Paglima Kiyai Salleh: Sila singgah dientri bertajuk 'Pahlawan Kiyai Salleh [26 June 2013].

[4]Peristiwa Kalabakan: Entri yang sudah dipost pada 13 March 2013.

[5]Serang Hendap Ulu Legong: Selak entri pada 03 October 2014

[6]MRT : Mass Rapid Transit. Stesen Sg Buloh-Kajang[SBK]. Projek Pasa Satu ini diketuai oleh MRT Corp Sdn Bhd bersama MMC Gamuda KVMRT, Projek Delivery Partner[PDP], Work Package Contractors[WPC] termasuk beberapa buah agensi kerajaan.

[7]TN50 [8]Forex Bank Negara

[9]Kertas Putih: Kertas yang diterbitan oleh kerajaan [Kertas Perintah 21 Tahun 1986] bertajuk "Ancaman Terhadap Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara" pada 8 November 1984.
[10]Peristiwa Mamali: Bertempat di Kampung Memali, Mukim Siong, Daerah Baling di Negeri Kedah pada 19 November 1985 yang meragut 18 nyawa termasuk 4 orang anggota Polis.
[11]Sukan SEA KL2017 [12]31 Ogas.

18 August 2017

REZEKI SUDAH DIBAHAGI




Tanah Kebun

  • Malam tadi begitu sepi. Wajah bulan yang biasanya tergantung di dada langit tidak kelihatan. Hanya awan yang gelap berarak dari timur ke barat. Sesekali angin menerpa masuk ikut jendela yang terbuka disusuli  pancaran kilat. Aku segera menutup jendela sebaik tetes hujan pertama  menyentuh atap zink dipondok aku. Sepanjang hujan turun malam tadi fikiran aku sedikit kacau. Hampir waktu subuh baharu hujan reda. - Jumaat 18|08|17



Sabtu Pukul 0630 pagi.

1- Aku terjaga sebaik mendengar salakan anjing. Alamak! Terlajak tidur. Aku bergegas ke bilik air untuk berwuduk. Pada masa yang sama, isteri aku sudah pun berada di bilik dapur,   memberi makan kucing-kucing yang sedang kelaparan. Aku pula, usai solat subuh hanya mahu berehat sambil teringin  membaca buku 'Rezekimu Tidak Diambil Orang Lain'[1] hasil tulisan Dr. Musthafa Murad.

Pagi merangkak perlahan. Jam berwarna putih yang tergantung di dinding, jarumnya baru menunjukkan pukul 0815 pagi. Aku dan isteri sedang bersarapan dengan pisang rebus dan secawan kopi pahit. Sambil menghirup hitam kopi, kami berbual tentang hujan diluar musim malam tadi. Apapun, hujan yang mencuruh malam tadi tetap membawa sekali barakahnya. Kita hanyalah manusia kerdil, tidak mungkin mampu meramal. Sememangnya kita bukan peramal!

2- Isteri aku masih sibuk di dapur. Ujarnya, hari ini mahu membuat muffin[2] nanas. Aku melangkah keluar untuk ke bilik sebelah bagi menghidupkan komputer riba. Tidak lama menunggu, terpampang wallpaper gambar beberapa ekor anak kucing menjadi penghias dinding komputer riba aku. Wallpaper ini sering kali aku tukar setiap awal bulan, agar aku tidak bosan ketika membuka dinding komputer.

Walaupun ketika ini aku berada  jauh di tanah kebun tetapi talian internet terus bersambung sebaik aku mencucuk wayer U mobile dan terpampang laman Google. Lalu jari-jemari aku menaip http://kakicontenglukisan.blogspot.com. Kali ini aku mahu berkongsi dengan pembaca blog tentang 'Rezeki Sudah Dibahagi'.

Aku sedang memuatkan tiga keping gambar. Sementara menanti image keluar didinding blog, aku teringatkan kerja kebun yang tidak pernah sudah-sudah. Ada sahaja kerja. Jika tidak menanam nanas atau membersihkan batas nanas, aku  menajak, membersihkan rumput di sekeliling pangkal pokok nangka, cempedak, pisang atau disekeling pokok limau kasturi. Lain-lain kerja termasuklah membaja atau mengetam rumput.

Oleh kerana pagi ini masih basah, rumput pula masih gigil kedinginan dan air masih bertakung di beberapa lopak, jadinya aku mengambil keputusan hanya menunggu sinar matahari datang mengintai dicelah jendela pondok aku. Mugkin tengahari nanti! Bagaimana jika sang matahari tidak setia dan gagal keluar diwaktu tengahari atau merajuk ketika waktu membawa ke petang. Adus! Terpaksalah aku berkurung sahaja di dalam pondok ini.

3-
Rezeki Sudah Dibahagi
Aku mula menaip akan kisahnya: Pada suatu hari, Ibnu Absad an-Nahwi berdiri diatas atap masjid Mesir. Dia sedang makan sesuatu dan pada masa yang sama disitu juga ada seekor kucing. Ibnu Absad memberikan secubit makanan kepada kucing tersebut. Kucing itu mengambilnya dan dibawanya pergi entah kemana. Kemudian kucing itu datang lagi. Lalu Ibnu Absad meleparkan sedikit makanan kepada kucing itu dan kucing itu melakukan seperti kali pertama tadi.

Berulang kali Ibnu Absad melemparkan makanan kepada kucing itu dan kucing itu mengambilnya, kemudian dibawa pergi dan tidak lama kemudian datang kembali. Ibnu Absad hairan dengan apa yang telah dilakukan oleh kucing itu. Dia tahu, bahawa kucing itu tidak mungkin makan sendirian makanan yang diberikan tadi kepadanya kerana Ibnu Absad telah memberikan makanan yang banyak kepada kucing tersebut.

Disebabkan rasa ingin tahu, maka Ibnu Absad mengekori kucing tersebut dari belakang. Kucing itu masuk ke dalam rumah yang sudah roboh. Disana ada seekor kucing lain yang buta. Makanan yang telah dibawa oleh kucing pertama tadi telah diberikan kepada kucing yang buta itu. Ibnu Absad melihat perbuatan kucing  pertama tadi yang telah meletakan makanan tersebut di depan kucing itu lalu kucing yang buta itu memakannya.

Ibnu Absad kagum dengan apa yang telah dilihatnya lalu dia berkata, "Kucing yang buta pun boleh hidup dan dapat makan kerana Allah telah menundukkan kucing pertama itu untuk rasa cukup [mencukupi] dan memberikan makanan kepada kucing buta. Maka bagaimana mungkin Allah menyia-nyiakan orang yang seperti diriku ini?" - Wallahuaklam!





13 August 2017

Bertemu di KUALA GANDAH


[Nota : Kisah aku, gajah dan Kuala Gandah telah aku post pada 8 April 2017. Sila selak entri bertajuk 'Gajah di Kuala Gandah'] TQ!










09 August 2017

MRT = PASAR SENI ke KAJANG




Kuala Lumpur

Aku tiba dihadapan pintu utama Pasar Seni. Semasa menunggu rakan, aku melihat sekeliling. Orang sentiasa ramai disini terutama pelancung yang menjadikan Pasar Seni sebagai salah satu lokasi yang 'mesti' mereka kunjungi. Dikenali juga sebagai Pasar Budaya atau Central Market[1] oleh penduduk Kolompo. Pasar ini diubahsuai sekitar tahun 1985 dan siap sepenuhnya  pada tahun 1986.

Tidak lama menunggu, rakan aku si Idris tiba. Idris cadangkan sarapan dahulu sementara menunggu kedatangan si Hosni.  Aku dan Idris sepakat mahu pekena teh tarik dan ruti banjir di Restoran Yusof dan Zakir yang terletak dihadapan 'Kasturi Walk'. Sebaik sahaja  kami mengambil tempat duduk, segera datang pelayan lelaki India lalu mengambil pesanan. Pada waktu yang sama, aku menghantar pesanan ringkas melalui handpon kepada Hosni, memberitahu  pertukaran lokasi pertemuan.


Dua gelas teh tarik dan dua pinggan ruti banjir telah terhidang diatas meja. Aku, sambil menghirup teh tarik, retina aku menerjah kehadapan dimana orang ramai sedang mundar mandir. Di lorong ini juga ada pertemuan budaya dagang dan seni. Ada yang suka membeli dan ada yang hanya melihat-lihat hasil seni. Dari jauh aku lihat si Hosni melangkah masuk, tersenyum dan kami bersalaman. Hosni melambai pelayan, segera datang dan lantas mengambil pesanan. 

2- Kami bertiga selesai bersarapan. Usai membayar harga makanan kami bertiga melangkah, berjalan kaki, mengheret kasut, meninggalkan kesan-kesan tapak kasut, menuju stesen Mrt[2] yang letaknya bersebelahan stesen Lrt Pasar Seni. Mungkin ramai orang Kolompo tidak perasan bahawa stesen Mrt bawah tanah itu ialah bekas tapak bas dan teksi yang dolunya dikenali sebagai 'Klang Bus Stand'.

Setelah membeli 'token' dikauter dengan hanya separuh harga, kami beriringan menuruni tangga eskalator. Oleh kerana stesen ini berada dibawah tanah, tentulah anak tangganya banyak. Aku berhati-hati ketika menggunakan eskalator. Aku juga memastikan tali kasut telah disimpul rapi. Manalah tahu, malang pulak tidak barbau. Tali kasut kita atau pakaian labuh kita tersangkut pada anak-anak tangga yang sedang bergerak. Masalahtu!

Selain eskalator, kita juga boleh menggunakan tangga biasa tetapi tidak ramai orang yang sanggup berbuat demikaian. Tidak dilupakan juga kemudahan bagi orang tua, ibu mengandung atau penumpang yang membawa 'baby stroller' - mereka boleh menggunakan lift gitu!

3- Kami bertiga sudah pun berada didalam perut Mrt. Inilah kali pertama kami berpergian ke Bandar Kajang menggunakan khidmat tren Mrt. Ini semua disebabkan terpengaruh dengan iklan tv, penawaran diskaun tambang 50 peratus sehingga 31 Ogas dan satu lagi sebab ialah cerita Mrt ini telah menjadi bualan ramai warga Metropolis. Ini buat aku teruja!

Malah, perkhidmatan Mrt laluan Sungai Buloh-Kajang Fasa Kedua ini akan melalui perjalanan sejauh 51 kilometer dengan 31 stesen termasuk tujuh buah stesen yang berada pada kedalaman yang bersamaan ketinggian bangunan 13 tingkat. WoW! Biar betul.


Mrt bergerak meninggalkan stesen Pasar Seni yang dikatakan mempunyai reka bentuk dan bertemakan 'pertembungan'. Ketujuh-tujuh stesen bawah tanah ini mempunyai reka bentuknya yang tersendiri menggikut ciri persekitaran lokasi stesen. Antaranya  ialah stesen Cochrane yang bertemakan 'kehidupan urban', stesen Merdeka[tema kemerdekaan], Tun Razak Exchange [Islamik Koporat], Muzium Negara[peralihan], Bukit Bintang[dinamik] dan stesen Maluri bertemakan 'genarasi baru'.

4- Sepanjang perjalanan menuju Bandar  Kajang,  apa yang aku nampak, yang aku suka, yang aku rasa ada sedikit rasa kesian ialah  berakhirnya rumah-rumah usang, gerai makan, bengkel, stor barang lusuh dan entah apa lagi, yang selama ini mereka kebal mendiami tanah-tanah kerajaan termasuk rizab jalan.

Setelah melepasi beberapa stesen, akhirnya kami melangkah keluar dari Mrt, turun ikut tangga eskalator menuju Restoran Sate Kajang Haji Samuri[3] yang jaraknya hanya 100 meter dari stesen Stadium Kajang. WoW! Ramainya kaum!


Dari jauh udah kelihatan orang ramai sedang memenuhi setiap inci ruang. Ada yang sedang beratur dikauter, ada yang sedang menunggu hidangan dengan berbual-bual, ada yang sedang makan sate dengan asyiknya dan ada juga macam kami, sedang tercari-cari meja kosong.

Kami melangkah, mencelah-celah diantara pengunjung yang ramai itu sehingga ke penghujung restoran. Kami sepakat memilih meja mengadap jalan. Hosni beriya-iya dan sanggup beratur dikauter bayaran. Aku dan Idris hanya mampu menunggu dengar sabar.

Keadaan dewan makan di restoran ketika itu memang nampak sedikit kelang-kabut. Setelah jarum jam berlalu selama 25 minit barulah nampak kelibat si Hosni menghampiri meja kami. Selepas itu menyusul seorang pelayan lelaki membawa minuman yang kami pesan. Kemudian datang pula seorang pelayan lain,  menghantar pesanan kami tetapi yang dihidang hanya nasi himpit dan kuah sate sahaja.

Air teh O limau udah separuh habis disedut. Perut aku mula berkeroncong yang bunyinya hanya aku sahaja dapat mendengar tetapi sate yang dipesan belum juga tiba. Setengah jam berlalu barulah sate dihidangkan diatas meja. Walaupun kuah dan satenya udah sejuk, kami bertiga tetap rasa gumbira ketika menikmatinya. Tambah-tambah gumbira lagi bilamana makan tengahari kali ini telah dibayar oleh si Hosni.

5- Usai makan sate, kami bertiga gerak menaiki tangga eskalator, membeli token dan menunggu tren. Sebaik tren berhenti dan membuka pintu, tidak ramai penumpang yang masuk kedalam tren. Tren bergerak meninggalkan  Stadium Kajang menuju Sungai Buloh. Pergerakan tren yang selesa buat kami asyik melihat pemandangan. Serta merta aku teringat akan satu lagi projek mega kerajaan iaitu ECRL[4] laluan antara Stesen Gombak ke Stesen Wakaf Bharu, Tumpat Kelantan.

Khabarnya, kos pembinaan ECRL sebanyak RM55 bilion itu ialah projek kerajasama antara Malaysia dengan China yang akan menyediakan landasan keretapi elektrik sejauh 688 kilometer. Landasan itu nanti akan menghubungkan Lembah Klang dengan Pahang [di Kota SAS, Bandar Indra Mahkota][5], Terengganu serta Kelantan dengan tempoh perjalanan mengambil masa cuma 4 jam gitu!

Rancangan kami seterusnya ialah hendak turun di Stesen Bukit Bintang, kemudian menaiki Monorail ke Stesen Titiwangsa. Dari Titiwangsa, si Idris akan balik ke Kampung Pandan dengan Lrt dan kami berdua pula akan turun di Stesen Masjid Jamek. Sebelum balik rumah, kami berdua mahu mengambil masa untuk bertenang  di Mamak Stall, Malayan Mansion - Jalan Masjid India, Kolompo. Fullstop!


Nota Lutut:
[1]Central Market [2]Mrt [3]Sate Kajang Hj Samuri [4]ECRL [5]Kota SAS Bnadar Indra Mahkota.

06 August 2017

Majlis @D'Saji TITIWANGSA


Ahad 6 Ogas, 2017

Kereta bergerak melalui Jalan Kucing menuju Restoran D'Saji Titiwangsa[1]. Beluk ke Jalan Tun Razak, melepasi bangunan Istana Budaya lalu exit ke-kiri, menyusuri Jalan Temerloh. Berhenti di hadapan restoran. Ketika melangkah masuk, kelihatan sebuah poster berwarna puith, tercetak Majlis Perkahwinan Hisyam dengan Dharryl.



Di hadapan meja penyambut tetamu, aku dan isteri bertemu tuan rumah iaitu Tuan Hosni Idris. Kami bersalaman dan bertanya khabar. Pada masa yang sama cucu pompuan Tuan Hosni menyerahkan 'door give' iaitu setin choklat dan gula-gula. Aku dan isteri tidak terus masuk ke dalam dewan makan kerana mahu menunggu Tuan Idris Baba yang ujar beliau dalam pesanan ringkasnya 'ontheway'.

Aku duduk di sebuah sofa kosong. Disebelah aku duduk seorang lelaki berbaju Melayu dan bersongkok. Kami bersalaman. Tuan Hosni Idris datang menghampiri kami dan memperkenalkan lelaki tersebut adalah dari kaum kerabat beliau yang telah lama tinggal di Kampung Baru, Kolompo. Kami berbual mengenai pembangunan Kampung Baru serta cerita lama tentang Peristiwa 13 Mei[2]. Aku tentulah seronok mendengar kisah itu dari bibir anak jati Kampung Baru. Mana tidaknya, kisah tragedi 13 Mei itu telah mengorbankan hampir dua ribu nyawa Beb!

 

Isteri Tuan Hosni bersalaman dengan isteri aku. Beliau mencadangkankan kami makan dahulu sambil menunggu rakan di dalam dewan makan. Kami setuju. Gerak ke meja buffet. Kelihatan bersih dan teratur. Malah tidak perlu beratur panjang ketika mahu memilih lauk-pauk kerana jemputan adalah terhad. Maksud aku, majlis tersebut dilangsungkan dalam suasana sederhana dengan hanya dihadiri oleh keluarga, kaum kerabat dan rakan terdekat gitu!


Aku dan isteri duduk semeja dengan Tuan Shaman serta isteri. Tuan Shaman yang aku kenal pada pertengahan tahun 70'an itu adalah anak kepada bekas TYT Yang Dipertua Negeri Melaka[3]. Aku juga sering terserempak dengan beliau ketika selesai solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad[4], Kolompo.
Kisahnya!



Didalam dewan makan itu, selain duduk semeja bersama Tuan Shaman, aku dan isteri menikmati makan tengahari bersama dengan Tuan Roslan Harun dan isteri serta rakan karib aku Tuan Idris Baba dan isteri. Aku dan Tuan Roslan Harun mengimbas semula tentang sekeping foto hitam putih yang aku pernah terlihat didinding fb Tuan Dzulkifli Dol.

Foto itu menceritakan kisah beberapa rakan Tuan Roslan berpergian ke Taman Negara Kuala Tahan sekitar tahun 70'an. Rakan Tuan Roslan itu antaranya ialah arkitek Tuan Ridwan[arwah], Tuan Hariri Sanzali, Tuan Shaman, arkitek Tuan Dzulkifli Dol dan seorang lagi yang aku udah lupa nama beliau.



Usai menikmati makan nasi minyak, isteri aku minta ambilkan seketul dua kuih dan buah sebagai pencuci mulut. Aku bangun menuju meja dessert. Nampak, semuanya sedap-sedap belaka. Pada masa yang sama kelihatan isteri Tuan Hosni sedang melayan beberapa wanita, barangkali kaum kerabat beliau yang datang dari Singapura.


Sementara isteri aku berbual sambil menikmati pencuci mulut,
sekali lagi aku meninggalkan meja makan. Kali ini aku kearah pentas utama dimana pasangan pengantin sedang duduk diatas pelamin. Beberapa juru gambar sedang merakam gambar mereka. Aku juga sempat membidik dua keping gambar. Salah satu gambar pasangan tersebut telah aku sunting kepada warna hitam putih.

Sudah lebih setengah jam kami berada didalam dewan makan. Tuan Shaman dan isteri serta Tuan Idris Baba dan isteri, bangun minta diri untuk keluar dewan. Kami bersalaman. Kemudian aku dan isteri juga keluar dari dewan. Ketika di luar dewan sempat lagi kami bergambar dengan rakan kolej Tuan Hosni Idris serta Tuan Shaman.

Aku dan isteri bersalaman dengan tuan Hosni Idris dan mengucapkan terima kasih kerana menjemput kami merasa keenakan nasi minyak di Restoran D'Saji. Selepas ini pula, atur cara hujung minggu kami ialah hendak menziarahi Puan Jamilah yang tinggal di Lorong Empat Taman Ibu Kota, Kolompo. - Wallahuaklam!

Nota Lutut :
[1]D'Saji Titiwangsa
[2]
Peristiwa 13 Mei : Sila selak blog Kakiconteng di entri '13 Mei' pada 12 May 2017.

[3]TYT Yg Dipertua Negeri Melaka : Dolunya dikenali sebagai Gabenor sebelum Merdeka 1957 bagi negeri-negeri Selat iaitu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. 
[4]Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kolompo.