18 August 2017

REZEKI SUDAH DIBAHAGI




Tanah Kebun

  • Malam tadi begitu sepi. Wajah bulan yang biasanya tergantung di dada langit tidak kelihatan. Hanya awan yang gelap berarak dari timur ke barat. Sesekali angin menerpa masuk ikut jendela yang terbuka disusuli  pancaran kilat. Aku segera menutup jendela sebaik tetes hujan pertama  menyentuh atap zink dipondok aku. Sepanjang hujan turun malam tadi fikiran aku sedikit kacau. Hampir waktu subuh baharu hujan reda. - Jumaat 18|08|17



Sabtu Pukul 0630 pagi.

1- Aku terjaga sebaik mendengar salakan anjing. Alamak! Terlajak tidur. Aku bergegas ke bilik air untuk berwuduk. Pada masa yang sama, isteri aku sudah pun berada di bilik dapur,   memberi makan kucing-kucing yang sedang kelaparan. Aku pula, usai solat subuh hanya mahu berehat sambil teringin  membaca buku 'Rezekimu Tidak Diambil Orang Lain'[1] hasil tulisan Dr. Musthafa Murad.

Pagi merangkak perlahan. Jam berwarna putih yang tergantung di dinding, jarumnya baru menunjukkan pukul 0815 pagi. Aku dan isteri sedang bersarapan dengan pisang rebus dan secawan kopi pahit. Sambil menghirup hitam kopi, kami berbual tentang hujan diluar musim malam tadi. Apapun, hujan yang mencuruh malam tadi tetap membawa sekali barakahnya. Kita hanyalah manusia kerdil, tidak mungkin mampu meramal. Sememangnya kita bukan peramal!

2- Isteri aku masih sibuk di dapur. Ujarnya, hari ini mahu membuat muffin[2] nanas. Aku melangkah keluar untuk ke bilik sebelah bagi menghidupkan komputer riba. Tidak lama menunggu, terpampang wallpaper gambar beberapa ekor anak kucing menjadi penghias dinding komputer riba aku. Wallpaper ini sering kali aku tukar setiap awal bulan, agar aku tidak bosan ketika membuka dinding komputer.

Walaupun ketika ini aku berada  jauh di tanah kebun tetapi talian internet terus bersambung sebaik aku mencucuk wayer U mobile dan terpampang laman Google. Lalu jari-jemari aku menaip http://kakicontenglukisan.blogspot.com. Kali ini aku mahu berkongsi dengan pembaca blog tentang 'Rezeki Sudah Dibahagi'.

Aku sedang memuatkan tiga keping gambar. Sementara menanti image keluar didinding blog, aku teringatkan kerja kebun yang tidak pernah sudah-sudah. Ada sahaja kerja. Jika tidak menanam nanas atau membersihkan batas nanas, aku  menajak, membersihkan rumput di sekeliling pangkal pokok nangka, cempedak, pisang atau disekeling pokok limau kasturi. Lain-lain kerja termasuklah membaja atau mengetam rumput.

Oleh kerana pagi ini masih basah, rumput pula masih gigil kedinginan dan air masih bertakung di beberapa lopak, jadinya aku mengambil keputusan hanya menunggu sinar matahari datang mengintai dicelah jendela pondok aku. Mugkin tengahari nanti! Bagaimana jika sang matahari tidak setia dan gagal keluar diwaktu tengahari atau merajuk ketika waktu membawa ke petang. Adus! Terpaksalah aku berkurung sahaja di dalam pondok ini.

3-
Rezeki Sudah Dibahagi
Aku mula menaip akan kisahnya: Pada suatu hari, Ibnu Absad an-Nahwi berdiri diatas atap masjid Mesir. Dia sedang makan sesuatu dan pada masa yang sama disitu juga ada seekor kucing. Ibnu Absad memberikan secubit makanan kepada kucing tersebut. Kucing itu mengambilnya dan dibawanya pergi entah kemana. Kemudian kucing itu datang lagi. Lalu Ibnu Absad meleparkan sedikit makanan kepada kucing itu dan kucing itu melakukan seperti kali pertama tadi.

Berulang kali Ibnu Absad melemparkan makanan kepada kucing itu dan kucing itu mengambilnya, kemudian dibawa pergi dan tidak lama kemudian datang kembali. Ibnu Absad hairan dengan apa yang telah dilakukan oleh kucing itu. Dia tahu, bahawa kucing itu tidak mungkin makan sendirian makanan yang diberikan tadi kepadanya kerana Ibnu Absad telah memberikan makanan yang banyak kepada kucing tersebut.

Disebabkan rasa ingin tahu, maka Ibnu Absad mengekori kucing tersebut dari belakang. Kucing itu masuk ke dalam rumah yang sudah roboh. Disana ada seekor kucing lain yang buta. Makanan yang telah dibawa oleh kucing pertama tadi telah diberikan kepada kucing yang buta itu. Ibnu Absad melihat perbuatan kucing  pertama tadi yang telah meletakan makanan tersebut di depan kucing itu lalu kucing yang buta itu memakannya.

Ibnu Absad kagum dengan apa yang telah dilihatnya lalu dia berkata, "Kucing yang buta pun boleh hidup dan dapat makan kerana Allah telah menundukkan kucing pertama itu untuk rasa cukup [mencukupi] dan memberikan makanan kepada kucing buta. Maka bagaimana mungkin Allah menyia-nyiakan orang yang seperti diriku ini?" - Wallahuaklam!





No comments:

Post a Comment