03 April 2017

APRIL DATANG LAGI




Kalender!
Bulan April 2017 adalah bersamaan dengan bulan Rejab dan  pada 24 April pula ialah hari Israk dan Mik'raj yang jatuh pada 27 Rejab. Manakala pada 28 April pula  bermulanya bulan Syaban dan juga  Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Tun Razak 3, PWTC.


1-
Pada bulan Rejab, umat Islam disaran melakukan amal ibadat sunat seperti berpuasa sunat dan akan ditambah ganjaran pahala yang berlipat ganda jika dikerjakan pula  solat-solat sunat pada siang dan malam harinya. Solat-solat sunat itu termasuklah solat sunat bulan Rejab dan solat sunat lainnya seperti Tahajjud, Tasbih, Hajat, Isyraq, Dhuha, Taubat dan lain-lain lagi[1].


2-
Pada 27 Rejab pula ialah hari Israk dan Mik'raj. Tentulah bukan aku yang layak untuk  membicarakan tentang Israk dan Mik'raj ini. Apapun, aku salin syair dari Imam al-Bushiri[2] seperti berikut:


"Di gulungnya bumi dalam perjalananya. Lapisan langit habis didakinya. Di suatu malam yang sangat berkatnya, Nabi pilihan menunggang Buraqnya
[3]. Buraq mendaki membawa Nabi, hampir ke tempat dijunjung tinggi. Ke kemuncak kemuliaan yang sangat dicintai. Tiada seorang pun yang sampai ke sana lagi. Nabi tergesa-gesa membicarakan kaumnya. Tanda kesyukuran atas kurnia Tuhannya. Mencabar keraguan setiap peragunya. Tetap pendirian meskipun ribut menentanmgnya"



3-
Bulan Sya'ban pula
bermula pada 28 April dimana umat Islam terus mengerjakan amal ibadat kerana bulan Sya'ban juga bulan penuh dengan keberkatan dan kebaikan, termasuk fadilat dan kelebihannya. Oleh kerana setiap orang Islam mengharapkan agar amal ibadah masing-masing yang diangkatkan ke hadrat Allah SWT pada bulan Sya'ban itu diterima, maka sewajarnya kita memperbanyak lagi amal ibadah dengan penuh tawadhu', ikhlas dan taqwa kepada-Nya. Jika Allah SWT dapat menerima amal salih kita, maka sesungguhnya Allah SWT akan menaikkan darjat kita dalam kehidupan dunia dan juga akhirat[3].



4-
Pada 28 April hingga 27 Mei 2017 pula akan berlangsung Pesta Buku Antarabangsa KL yang diadakan di Dewan Tun Razak 3, PWTC. Pastinya, mereka-mereka yang memang ulat buku akan memenuhi gerai-gerai pameran dan jualan yang berlangsung selama 30 hari. Seperti yang pernah aku cerita dalam entri 'Di Pesta Buku Antarabangsa KL' bertarikh 4 May 2014 ...


5-
Nota Lutut :
[1]Bulan Rejab : Perengan ini diambil dari buku Kelebihan Amalan susunan Haji Johari Haji Alias yang diterbitkan oleh Darul Nu'Man, Wisma Yakin, jalan masjid India, Kuala Lumpur dengan cetakan ketiga pada tahun 1998.
[2]Syair Imam al-Bushiri : Syair dari Imam al-Bushiri disalin daripada buku Isra' Dan Mi'raj [satu analisa baru] m/s39 oleh Abdul Halim Mahmud. Buku ini dicetak pada 1981 dan 1985. Diterbitkan oleh Pustaka Nasional Pte Ltd Singapura.
[3]Bulan Sya'ban : Bab ini disalin dari buku Kelebihan Amalan, m/s 24 hasil tulisan Haji Alias Haji Alias.




No comments:

Post a Comment