21 March 2017

CERITA BULAN MARCH!



Bulan March!

Senja pun datang, menolak siang ke kaki langit dan  malam tahu akan tugasnya lalu menjemput bulan dan bintang-bintang bagi menghias langit malam. Di dalam pondok, aku baru sahaja menutup suiz tv setelah usai mendengar berita Nasional 12. Aku cuba melelapkan mata tetapi gagal kerana perut terasa lapar. Aku bangun, panaskan air, tuang sepeket Nestum bijirin dan sedikit corn flakes  ke dalam mangkuk. Aku menikmati bijirin yang mengandungi sumber serat, protein, vitamin A & C dan sumber zat besi.

Malam bertambah sepi. Sayup-sayup kedengaran anjing menyalak. Salakan anjing tersebut kekadang kuat kekadang perlahan dan mendayu-dayu. Entah mengapa, tetiba semangat untuk bercerita itu datang lalu aku mengetuk sebaris demi sebaris ayat. Walaupun aku belum tahu dari mana semangat itu datang tetapi yang pastinya aku terus mahu bercerita tentang 'Cerita Bulan March'.

Tidak banyak yang dapat dilakukan pada bulan March tahun ini. Aku tidak dapat datang pada pameran 'A Solo Curated by Tsabri Ibrahim - A Shukri Elias yang diadakan di Galeri Potret BSVN
  pada 3-25 Mac 2017. Begitu juga, aku gagal menghadirkan diri pada majlis perkahwinan anak Ali Bonsai yang diadakan di Sekincan Selangor. Masa banyak di habiskan kat Tanah Kebun kerana bulan ini adalah bulan nenas matang, sesuai untuk di tuai[1].

Bulan March kali ini datang nampak macam biasa-biasa sahaja tetapi bagi aku ia sedikit berbeza jika hendak dibandingkan pada bulan March 2015. Pada masatu, musim panas sudah bermula. Panasnya membawa ke tengah malam dan aku pernah bercerita tentang cuaca panas dalam entri 'Panas Di Tanah Kebun' [23 March 2015]. Begitu juga March 2016. Walaupun cuaca panas tetapi sempat juga aku buat kembara backpacker dari KL-Kuala Lipis-Kota Bharu-Gerik[2] dan juga  story pada entri 'Lancang ke KL Sentral' [25 March 2016].

Ketika ini di Tanah Kebun musim panas belum bermula. Buktinya, bahang panas waktu malam belum terasa dan ada juga sesekali hujan lebat dengan di iringi angin kencang. Angin kencang itu membawa sekali perkhabaran bahawa musim panas dan kering akan tiba tidak lama lagi. Bahangnya akan bertambah panas apabila kita dilambakkan dengan berita rasuah, dadah dan aktiviti pelacuran. Malah, berita pemilihan Presiden[3] baru FAM yang bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Tuanku Mahkota Johor[TMJ] dengan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan [KAFA], Tan Sri Annuar Musa juga di kira panas juga.

Bercakap pasal Presiden, aku terkejut jugak bila mendengar berita Presiden Korea Selatan, Park Geunhye [wanita] dipecat dari jawatannya apabila Mahkamah Perlembagaan mengekalkan keputusan Parlimen untuk memecat beliau pada Disember 2016. Beliau di tuduh menerima wang rasuah daripada beberapa bos konglomerat besar termasuk ketua Samsung, Jay Y. Lee. Beliau juga di tuduh bersubahat dengan rakannya, Choi Soon-sil untuk memaksa syarikat-syarikat besar supaya menderma kepada dua yayasan yang menyokong dasar pentadbirannya. - [Mj]


Nota Lutut : Tiada!


No comments:

Post a Comment