29 March 2011

GETARAN SENI


ANTARA SENIMAN & ARTIS KELKATU

Tertarik aku apabila membaca ruangan Getaran Seni dari penulis dan kaki komen iaitu Ku Seman Ku Hussain.

Ketika ini kalau disebut "seniman" maka terbayanglah kita kepada golongan penyair, novelis, pelukis atau pengukir. Apabila disebut "artis" pula ialah     pelakon dan penyanyi, malah juruhebah radio atau pengacara televisyen juga dikelaskan sebagai artis.

Antara seniman dan artis dipisahkan kasta- seniman adalah golongan yang tidak popular sementara artis mereka yang berada di pentas gemerlapan.

Hubungan antara kedua-duanya juga berjurang. Artis tidak memberikan penghayatan sepatutnya terhadap karya seniman. Sementara seniman pula seperti tidak dapat masuk dalam gemerlapan artis yang sebahagian besarnya tidak berisi. Artis kita lebih petah bercerita tentang hal remeh sekeliling mereka daripada bercakap tentang dunia seni yang dilayarinya. Maka artis itu senama dengan remeh-temeh.

Tetapi hal ini berbeza ketika kebangkitan Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) dan kemuncak filem Melayu di Singapura. Dunia filem, muzik dan sastera erat menjadi satu. Mereka saling memberikan penghayatan kepada karya daripada kelompok lain. Barangkali ketika itu semuanya dikelaskan sebagai seniman.

Karya-karya filem P.Ramlee misalnya dihayati oleh golongan sasterawan di Singapura. A. Samad Said, Usman Awang, Asraf misalnya mempunyai sudut pandangan tertentu terhadap karya-karya seniman filem seperti P. Ramlee. Ini terbukti apabila Samad dan Usman Awang misalnya menulis puisi mengenang pemergian P.Ramlee membuktikan mereka mempunyai hubungan yang rapat.

Semasa perasmian Pustaka Peringatan P.Ramlee pada 23 Mac 1986, Samad mendeklamasikan puisi Lagu Bunga II(1986). Saya rasa terhidu sendu sepi yang terturap dalam puisi itu. Ada rasa kehilangan tetapi bagi penyair, di- sebalik kehilangan itu ada rasa lain yang mengacau jiwa.

Dalam renyai hujan kota selepas senja di Jalan Derdap bertingkah dengan suara serak Samad, saya yang tidak mengenali P.Ramlee merasakan suatu yang luar biasa ada kepada seniman ini. Usman Awang pula membuat catatan puisinya beberapa hari selepas pemergian P.Ramlee 29 Mei 1973. Puisi yang disiarkan dalam Dewan Sastera Jun 1973 itu menyingkap bagaimana seorang sasterawan menerima berita duka perginya seorang rakan seniman seorang pengarah filem dan pencipta lagu.

Usman secara penuh kesyahduan merakamkan detik perpisahan dari alam seniman yang panjang dan tidak berkesudahan.Tetapi sekarang berapa kerat artis yang hadir ke acara sastera, mempunyai hubungan akrab dengan saterawan, kenal saterwan, kenal pelakon teater (bukan artis), hadir acara deklamasi puisi Kbuku tentang kesenian lain daripada bidang mereka?

Artis perlu keluar dari kepompong mereka dan mengambil sedikit usaha menghayati kerja seniman lain. Ini untuk kebaikan mereka. Artis tidak boleh berterusan menjadi kelkatu yang hanya mengerumuni lampu dan akhirnya sayap sendiri yang terbakar.

ku seman @yahoo.com
http://Kayangdailypost.blogspot.com

No comments:

Post a Comment