05 February 2016

BACKPACKER KE ULU LEGONG




 

Kenapa backpacker ke Ulu Legong. Apa ada kat sana. Itulah persoalan yang dilontar oleh beberapa orang sahabat ketika kami minum petang di sebuah restoran. Sahabat aku hanya ingin tahu tetapi mereka bukanlah peminat backpacker. Bagi mereka, mengembara dengan memikul bebanan dibelakang hanya membuang masa, buang tenaga dan sangat-sangatlah menyusahkan lagi meletihkan!               



1- Ulu Legong
terperosok nun jauh belah Utara bersempadan dengan Betong. Pekan yang paling hampir ialah Kelian Intan. Banyak kisah silam yang tersimpan di Ulu Legong antaranya ialah sejarah hitam serang hendap komunis terhadap Tentera Darat yang mengakibatkan 10 orang perajurit dari Batalion Ke-22 [RAMD] terkorban dan mayat mereka dizalimi dengan sekejam-kejamnya. @[entri pada 3/Oct/2014 'Serang Hendap Ulu Legong']

Bagi aku sebagai pengembara, untuk sampai ke Ulu Legong, ada dua pilihan laluan. Pilihan pertama[I] ialah bermula di KL Sentral dengan menaiki keretapi  pagi, terus menuju Butterworth. Untuk menghilangkan rasa letih kerana lama duduk dalam tren, ada baiknya bermalam di George Town. Boleh juga meluruskan kaki dan berehat sebelum keluar semula menuju Butterworth.

Dari Butterworth naik bas ke Baling dan jika sempat terus sahaja ke Kelian Intan. Dari Kelian Intan naik teksi ke Ulu Lagong untuk tinggal kat Homestay disalah satu kampung seperti Kampung 15, Kampung Kuala Kedua, Kampung Seberang dan Kampung Lalang. [Hanya Kampung Lalang sahaja yang tercatet dalam peta Peninsular Malaysia]. Kat sini nanti aku bercadang untuk merasa makanan tradisi orang kampung atau setidak-tidaknya dapat menjenguk dan merasa madu kelulut.

Esuknya, keluar dari Ulu Legong menuju Kelian Intan dengan bas atau teksi sapu. Dari Kelian naik bas untuk sampai ke Bandar Grik. Tido di hotel bajet sambil merasa dinginnya udara Grik kerana Grik udah dekat dengan hutan hujan Banding dan Tasek Temenggor. Jika berkesempatan, teringin juga hendak bermalam di Banding atau Tasek Temenggor tetapi belum ada kata putus dari kawan-kawan.

Dari Grik, kami akan gerak dengan bas menuju Dabong melalui Pekan Jeli. Kami akan bermalam di Dabong sebelum meneruskan backpacker ke Kuala Lipis. Bandar Kuala Lipis adalah bandar terakhir pengembaran kami sebelum esuknya kami menaiki tren dan balik ke KL Sentral.


2- Laluan pilihan Ke-2. Laluan ne aku lebih berminat dari laluan pertama tadi. Bermula di Jalan Pekeliling Kolumpo, naik bas menuju Bandar Kuala Lipis. Tido semalam dan gerak dengan tren atau bas terus ke Dabong. Bermalam di Dabong sebelum meneruskan backpacker arah ke Grik. Macam laluan pertama tadi, mesti bermalam di Grik jika hendak melihat kabus dan merasa kedinginan malam kerana Bandar Grik hampir dengan Banding dan Tasek Temenggor.

Dari Grik naik bas ke Kelian Intan dan terus ke Ulu Legong dan bermalam di homestay kat salah satu desa pingitan kat situ. Esuknya gerak ke Butterworth dan masuk ke George Town dengan menaiki fery. Tinggal semalam dua di George Town sebelum balik ke Kolumpo guna tren atau bas express.

3- Kali ini,
aku merancang  backpacker pada bulan Mac. Tidak seperti kebiasaan iaitu setiap tahun aku memilih bulan Disember. Ini kerana perubahan cuaca yang tidak menentu dan musim tengkujuh kini bukan lagi pada hujung tahun. Cuaca juga mungkin seperti watak manusia yang tersalah arah atau kadang-kadang keliru. Ia menginsafkan kita!


Ya!
Nampak atas kertas macam mudah. Apapun, harap dipermudahkanlah. Kita hanya merancang dan yang menentukan, yang memberi perlindungan kepada kita untuk mengembara melihat warna alam yang membiru dan hutan belentara yang menghijau itu adalah dengan izinNya jua.


Nota Lutut - Tiada! 

No comments:

Post a Comment