03 October 2017

JENDELA OKTOBER


03| Oktober | 2017

Intro!
Jendela Oktober kali ini bermula dengan intro tentang sebuah rencana bertajuk 'Suhu Bumi Berubah' tulisan Bahrain Samah pada muka surat 15, Sinar Harian 01 Okt 2017 Ahad. Di ikuti dengan cerita Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 di tapak ekspo Maeps Serdang Selangor. Menyusul pula berita panas mengenai cubaan penganjuran pesta arak atau lebih dikenali sebagai 'Octoberfest' bertemakan 'Better Beer Festival 2027'. Titik!
 


Tanah Kebun

1- Bulan September sudah berlalu. Pagi Oktober datang seperti sebelumnya dimana keadaan sekeliling kebun berkabus dan embun masih melekat dihujung rumput. Burung-burung keluar dari sarang, berterbangan, bebas-sebebasnya. Aku, Ammar dan isteri aku si Mawa, awal-awal pagi sudah pun bersarapan dengan secawan kopi segera jenama Alicafe, dua biji telur setengah masak, sedikit baked bean[1]
dan dua keping ruti bersalutkan jam resberry.

Usai sarapan, aku segera menyarung boot getah, menyisipkan sebilah parang di pinggag dan bergerak ke arah kebun nanas dibelakang pondok sambil menolak wheelbarrow yang dibeli dua tahun lalu. Ketika berada di antara batas-batas nanas itu, aku berfikir seketika sambil menyelami proses kehidupan tumbuh-tumbuhan dan binatang. Proses kehidupan itu juga hampir sama dengan cara kehidupan manusia dan sedikit sebanyak telah mengajar aku tentang erti kehidupan yang sebenar.


Di kebun itu ada pohon yang baru berbunga, ada yang telah berputik dan ada juga yang sudah berbuah. Buahnya pula ada yang besar ada pula yang kecil. Ketika dalam proses tumbuh-besar, ada  musuh tanaman yang berjalan pantas seperti tikus, melompat seperti tupai dan ada juga perosak yang berkepak terbang dari pohon ke pohon menebuk buah seperti belalang kunyit dan penyengat berdada kuning. Tidak ketingalan juga musuh seperti babi hutan yang bergerak diwaktu malam terutama selepas hujan.


Musuh tanaman tidak mengira buah itu masih mentah atau sudah masak. Seperti buah nanas yang masih hijau misalnya. Belum pun sempat membesar sehingga mencapai gred A,[2] buah tersebut sudah ditebuk. Oleh kerana kita tidak mengetahui dengan tepat siapa gerangan yang menebuknya, adalah dinasihatkan kepada pekerja ladang nanas atau pengemar nanas tegar, jangan sesekali memakan baki nanas yang di tebuk tadi. Ini kerana, air liur bintang tersebut barangkali telah meresap ke dalam buah nanas dan boleh menyebabkan si pemakan akan sakit perut atau cirit-birit.

2- Pada masa yang sama, di tepi pondok kayu dua tingkat dua orang mekanik sedang membaiki sebuah jentera kubota dengan diperhatikan oleh anak buah aku si Ammar. Hampir 45 minit kemudian barulah kedengaran bunyi enjin kubota itu dihidupkan. Ammar terus sahaja testdrive jentera tersebut, bergerak melalui lorong berhampiran kebun nanas di belakang pondok. Dari raut wajah si Ammar, kelihatannya sangat berpuas hati atas kerja-kerja dua orang makenik tersebut.

Sebaik Ammar menyerahkan sejumlah wang sebagai upah membaiki enjin kubota kepada salah seorang makenik tersebut, masuk pula sebuah trak pick-up berwarna putih dan terus menuju ke arah kami berdua yang sedang siap sedia untuk mengutip buah nangka di kebun atas. Pemandu itu memberhentikan trak. Dua orang keluar dan memberi salam. Kedua-dua tetamu itu memang kami kenal kerana sering bertandang ke tanah kebun kerana membeli buah nanas.


3- Melangkah waktu ke tengahari, aku dan Ammar sepakat untuk mengutip buah nangka[3] yang sebahagiannya untuk dijual dan selebihnya akan diberikan kepada rakan yang akan datang menghantar atap terpakai petang nanti. Di ladang nangka, ada pohon dan tumbuh-tumbuhan lain yang turut hidup antaranya kelapa gading, cempedak, mangga, belimbing besi dan limau kasturi.


Ketika menyusuri jalan di ladang nangka, trak pick-up yang di pandu Ammar terhuyung-hayang kerana permukaan jalan yang tidak rata. Kelihatan barisan pohon-pohon nangka yang kebanyakan buahnya sudah di balut dengan pelastik biru bagi mengelak serangga menebuk masuk buah nangka. Jika tidak dibalut, buah akan busuk sebelum masak atau jika buah tersebut masak akan mengandungi banyak ulat serangga.  

Ammar memberhentikan trak apabila melihat sebiji nangka yang sarungnya sudah tertanggal, buahnya pula retak hampir terbelah dua. Sementara si Ammar menghampiri buah tersebut aku pula mencantas empat biji nangka muda dan meletakan kedalam trak. Aku lihat Ammar bergerak dari satu pohon ke satu pohon nangka sambil menyelak sarung pelastik berwarna biru dan menepuk-nepuk bahagian kulitnya.

Aku menghampiri pohon cempedak[4]. Buahnya lebat. Ada yang masih berputik dan pula buah yang sudah matang. Kata seorang pakar, jika tidak dijaga dengan baik, pohon cempedak itu mudah di serang bakteria yang dikenali 'Erwina Caratorora' dimana dahan pohon yang diserang akan mengeluarkan getah berwarna hitam dan akhirnya dahan tersebut akan mati.

Buah cempedak itu berangkali satu keluarga dengan nangka. Ada juga tumbuhan liar yang menyerupai keluarga cempedak iaitu buah bongkong dan buah terap. Kedua-dua buah itu juga boleh di makan. Perbezaan antara cempedak dengan nangka ialah buah cempedak lebih kecil dan pada hujung tangkai daunnya terdapat bulu-bulu halus berwarna choklat.

4- Petang itu, kelihatan dari jauh sebuah lori satu tan berkepala merah sedang bergerak masuk melalui pagar yang sedia terbuka. Lori yang dipandu si Deris itu membawa atap pelastik terpakai untuk kegunaan membuat dua buah garaj, dua buah store dan sebuah bilik untuk rumah kucing. Atap tersebut sebenarnya sudah lama terbiar di Kampung Cangkat Gombak[5], Selangor.

Kerja-kerja memunggah atap sudah selesai. Aku, Ammar, Deris bersama rakannya, melepak dihadapan pondok, dibawah ribunan pohon buluh sambil meneguk orange juice. Di atas meja juga ada sepinggan nanas  yang siap di potong serta sebungkus goreng pisang yang dibeli oleh si Deris ketika berhenti makan tengahari di simpang Kampung Mempateh.

5- Usai sudah solat Asar. Si Deris bersama rakannya telah balik ke Gombak. Si Ammar pula gerak ke Madrasah Paya Siput. Aku seperti biasa, sebaik selesai solat akan melakukan kerja-kerja merumput di batas nanas selama dua jam. Ketika sedang asyik, kedengaran bunyi ringtone dari telipon bimbit. Sahabat aku si Azam call. Katanya hendak singgah sekejap di pondok aku setelah selesai melawat tapak green house bagi penanaman buah tin yang lokasinya tidak jauh dari ladang buluh yang juga dikenali sebagai Bamboo Inn dot com[6].

Aku segera memetik sepuloh biji buah nanas gred B kerana gred A sudah habis di tunai ketika buahnya cukup matang pada bulan Ramadan lalu. Tidak lama kemudian Azam dan rakannya tiba. Kami bersalaman dan bertanya khabar. Seperti sebelumnya, kami bertiga duduk dihadapan pondok, dibawah teduhan pohon buluh sambil berbual. Bercerita tentang beberapa isu, minum kopi dan makan nanas yang telah siap dipotong dadu.

Matahari petang itu kian mengesot dan cahayanya hilang disebalik bukit. Track pick-up yang dinaiki Azam dan rakanya bergerak keluar melalui pondok kayu dua tingkat dan terus keluar dari kawasan tahan kebun. Aku bergegas ke bilik air, mandi, berwuduk dan kemudian azan pun kedengaran melalui corong radio, menandakan telah masuk waktu Magrib.


5- Waktu terus membawa ke malam. Diluar pondok sunyi. Tiada sinar bulan. Hanya kelihatan sinar bintang-bintang yang tergantung di dada langit. Sewaktu aku hendak melelapkan mata teringat akan rencana tentang suhu bumi berubah yang kononnya pemanasn bumi sedang berlaku sejajr dengan peningkatan karbon dioksida atmosfera.

Sebuah rencana milik Bahrain Samah menyebut iaitu realitinya iklim suhu bumi sedang berkurangan secara beransur-ansur, bukannya meningkat seperti yang digembar-gemburkan oleh pegempar iklim. Mereka juga mendakwa ais lautan Artik semakin berkurangan sedangkan sebaliknya dimana ais semakin bertambah sejak lima tahun lepas iaitu sejak 2012 lagi.

Ujar Bahrain lagi, ais dipermukaan bumi Greenland [terletak diLautan Artik] juga dikatakan telah bertambah 10 kali ganda berbanding lima tahun lalu-merekodkan paras kelima tertinggi. Di Amerika Syarikat pula, musim panas semakin pendek. Suhu maksima musim panas dan gelombang haba juga semakin rendah. Manakala penduduk Denmark mengalami bulan Julai tahun ini tanpa musim panas di mana kali terakhir dialami ialah empat dekat lalu.

Ringkasnya, ramai saintis meramalkan bahawa bumi akan mengalami sekurang-kurangnya tahap Zaman Ais[Little Ice Kecil] bermula tahun 2030 atau tahun 2040. Proses penyejukan bumi dikatakan telah berlaku sejak beberapa tahun lalu dan akan berterusan  dengan penurunan suhu secara beransur-ansur. Saintis juga menjangkakan suhu udara laut yang sejuk akibat aktiviti tompok matahari rendah akan mengubah sifat fizikal kerak bumi. Ia akan mengakibatkan berlakunya banyak gempa bumi dan aktiviti gunung berapi, ujar Bahrain Samah.

Sayup-sayup dibawa angin, bunyi anjing menyalak nun di kaki bukit. Salakan itu disahut oleh anjing-anjing sekitar ladang. Sahut menyahut berterusan beberapa minit. Anjing-anjing itu sedang berhubung diantara satu sama lain. Aku pula, mata masih cekang. Teringat pula cerita Hari Peladang, Peternak dan Nelayan. Tentang cubaan penganjuran 'Oktoberfet', tentang bermacam-macam perkara lagi sehingga aku tidak sedar bila masanya aku dijemut oleh malam masuk beradu. - zzz-Z-Z-Z!




No comments:

Post a Comment