16 October 2017

AHAD | MAJLIS RESEPSI


Pagi Ahad

Hari minggu muncul lagi. Kami bertiga pagi itu sudah keluar dari tanah kebun menuju Simpang Mempatih dengan menggunakan kereta MyVi. Janji pertemuan kami dengan Ammar bersama isteri serta baby Mardiah ialah dihadapan Masjid Saidina Abu Bakar di-Mempatih. Ketika kami sampai, kelihatan si-Ammar tersenyum sambil mempakir trak pick-up dihadapan masjid. Tiga susuk tubuh keluar dari perut kenderaan dan kami bersalaman.

Kami berbincang seketika. Kami sepakat menggunakan sebuah kenderaan sahaja untuk ke-majlis resepsi di rumah adek Midah yang terletak disekitar Sungai Buloh Selangor. Jimat petrol dan jimat tol. Bukanlah kami kedekut sangat seperti watak Haji Bakhil dalam pilem hitam putih 'Labu Labi'[1] tetapi lebih kepada berjimat cermat. Lagipun, duit lebihan itu boleh kami gunakan untuk ngopi di Genting Sempah nanti.


Ammar dengan senang hati pagi itu duduk dikerusi pemandu. Disebelah Ammar ialah isterinya yang memangku baby. Adek Ali duduk di kerusi belakang belah kiri, aku ditengah, manakala isteri aku duduk dibelah kanan. Kenderaan warna oren  yang dipandu Ammar meluncur laju sebaik melepasi tol Lancang. Seperti hari-hari biasa, pelbagai kenderaan bergerak diatas lebuhraya. Paling mengerikan aku ialah melihat bas, lori dan trailer trucks yang selamba memotong kenderaan kecil diselekoh. Sepanjang perjalanan itu, adek Ali melayan What's Up, isteri aku pula berbual sambil melayan keletah[2] baby Mardiah.


Kereta MyVi warna oren itu baru sahaja melepasi tol Karak dan tol Bentung.  Lebuh Raya tiga lorong yang juga dikenali sebagai 'East Coast Expressway'[3] itu sudah mula dipenuhi pelbagai jenama dan saiz kenderaan. Ada besar ada kecil, ada pendek ada panjang. Dalam keriuhan bunyi injen dan tayar yang bergesel itu, ada yang dikesalkan, bilamana setengah kenderaan berat lebih gemar menggunakan tayar celup. Ini akan memberi ancaman kepada pengguna lebuhraya.  

Kenderaan bergerak perlahan sebaik mendaki bukit terutama  bas-bas persiaran dan  trailer. Asap hitam berkepol-kepol keluar dari serombong lalu naik keudara dan hilang entah kemana. Tiba-tiba berdesup dua tiga buah motosikal berkuasa tinggi atau Mamat Moto panggil super bike[4]. Lagaknya macam rider Velentino Rossi yang menunggang jentera Yamaha di MotoGP dan LebuhRaya Pantai Timur telah menjadi mangsa. - Cut!


2-
Genting-Sempah.

Kereta yang di pandu Ammar membeluk ke kiri sebaik melihat papan tanda kawasan rehat Genting-Sempah. Melepasi stesen minyak Petronas, gerak perlahan mencari ruang petak kosong tetapi waktu sebegini kebiasaannya sudah penuh. Aku cadangan pakir kereta dibasment. Setelah kereta dipakir, kami memanjat tangga untuk ke stall Ruti Leleh yang terletak disayap kanan berhampiran outlet Mc Donald's.

Di kauter minuman, aku memesan air durian belanda[5], untuk isteriku Mawar, segelas teh kosong dan Nescafe tarik untuk adek Ali. Sementara aku memesan minuman, aku lihat di stall sebelah, si Ammar tiga beranak sudah pun memesan ruti yang disapu dengan susu bersama mentega. Aku gerak kesebelah stall, memesan dua set telur setengah masak dan dua set ruti bakar. Adek Ali pula hanya mahu minum dan pekena rokok.

Dikauter minuman, aku lihat pesanan aku telah siap. Aku ambil air minuman dan bayar. Aku letak diatas meja bulat. Aku gerak ke stall sebelah. Bayar dahulu untuk dua set telur dan ruti bakar. Tidak lama kemudian, satu set ruti bakar telah dihantar ke meja kami oleh seorang crew. Aku dan isteri berkongsi makan sepiring ruti bakar yang dicalit bersama kaya dan planta.

Air durian belanda aku sedut sudah habis. Yang tinggal hanya ketulan ais yang semakin mencair namun dua set telur dan satu set lagi ruti bakar belum dihantar. Tidak lama kelihatan seorang crew wanita membawa sepiring ruti bakar tetapi ruti tersebut diserahkan kepada pelanggan disebelah meja kami. Aku bangun, gerak ke kauter 'Ruti Leleh' bertanyakan tentang pesanan kami. Wajah crew tersebut kelihatan sedikit keliru dan memberitahu, telur setengah masak belum siap dan satu set ruti bakar akan dihantar sebentar lagi. Pulok dah!

Isteri aku perasan, crew Ruti Leleh tersalah hantar menyebabkan kami tertunggu-tunggu. Kemudian satu set telur setengah masak dihantar ke-meja kami diikuti satu piring ruti bakar. Satu set lagi telur akan dihantar, ujar crew tersebut. Aku garu kepala walaupun kepala aku tidak gatal. Hairan aku, walaupun ketika itu tidak ramai pelanggan tetapi pesanan tetap gagal dihantar. Kami tidak mahu menunggu lagi. Kami tinggalkan stall Ruti Leleh, menuruni tangga ke basment dan kereta yang dipandu Ammar pun gerak memasukki terowong.

Melalui terowong, pasti ada sejarahnya. Pembinaan terowong LebuhRaya KL-Karak yang terawal itu, ia dibina pada tahun 1977 dan siap pada tahun 1979. Pada tahun yang sama juga, terowong itu dibuka secara resmi oleh  bekas Menteri Kerja Raya, Dato Abdul Ghani Gilong. Terowong tersebut adalah tanda sempadan antara Gombak di-Selangor dengan Genting Sempah di Pahang. Satu-satunya tempat rawat dan rehat ketika ini ialah di Genting Sempah. Lokasi tersebut juga terkenal sebagai transit untuk ke Genting Higland. - Cut!




3- Sungai Buloh.
Perjalanan kami sampai ke destinasi dengan selamat. Ammar terpaksa memandu hingga kehujung jalan kerana ketika ini ruang pakir telah penuh walaupun jam tangan aku baru menunjukkan pukul 12.05 tengahari. Kami bersalaman dengan tuan rumah dan terus sahaja ke meja buffet. Setelah pinggan di isi dengan nasi minyak, sedikit daging, sedikit sayur nenas dan secawan air sirap berwarna merah, kami tercari-cari pula kalau-kalau ada meja kosong berhampiran meja buffet. Tidak ada!

Tercangak-cangak mencari meja. Akhirnya kami dapat duduk diluar kemah utama. Kami layan makan nasi minyak sambil mata memerhati ketibaan tetamu yang bertali arus. Selesai makan kami bertegur sapa dan berbual dengan sanak saudara, sepupu dan ipar duai yang datang dari jauh, sejauh dari Segamat Johor misalnya. Dalam rancak berbual, sepupu aku si Khir dan isterinya Nureha berminat mahu ikut kami balik ke tanah kebun. Sekadar mahu jalan-jalan melihat kebun kata si Khir. Boleh. No Hal!

Waktu tengahari telah membawa ke petang. Kami cadangnya mahu gerak lebih awal balik ke tanah kebun tanpa menunggu kehadiran pasangan pengantin. Apapun niat itu terpaksa dibatalkan kerana terlihat kelibat kawan-kawan lama yang dikenali sebagai 'PajaBatu Enam' dari Gombak. Antaranya Lan Sanjoi, Lan Tekcuk, Baha, Kamal Pendy dan lain-lain lagi.

Petang itu di majlis resepsi, panas terik sama seperti petang semalam di tanah kebun. Walaupun panas tetapi senyum  tidak pernah lekang[6] dari bibir rakan-rakan yang datang dari Gombak. Sesekali gelak ketawa berselang seli dengan bualan mesra antara kami. Waktu terus melangkah ke pukul dua. Kami tinggalkan majlis resepsi, sanak saudara dan rakan taulan. Balik ke tanah kebun melalui lebuh raya yang sama, di-ikuti dari belakang sebuah kereta milik Khir sekelurga.



4-
Tanah Kebun
Pukul 0315 petang kami tiba di Simpang Mempatih. Singgah dimasjid, solat. Selesai urusan dimasjid, trak pick-up berwarna putih yang dipandu Ammar gerak ke Madrasah Paya Siput. Aku dan adek Ali ke-kedai kopi diseberang jalan. Sementara itu isteri aku masih di masjid. Di kedai kopi kami berdua minum, sambil menunggu ketibaan si Khir sekeluarga. Tidak lama menunggu, kereta  yang dipandu Khir tiba. Isteri aku juga sudah selesai solat. Kami gerak ke tanah kebun.

Kereta pun dipakir. Sebaik keluar dari kereta, kucing-kucing sedang menunggu dimuka pintu, kelaparan. Aku segera memberi kucing makan. Khir, Nureha dan anak perempuannya melihat-lihat sekitar green house. Didapur, isteri aku mengeluarkan sebotol air pepsi dari peti sejuk. Di-tuangnya kedalam jag dan ditambah dengan ketulan ais. Aku mempelawa tetamu minum. Hanya Nureha dan anaknya sahaja yang masuk ke ruang dapur, minum.

Si Khir merayau-rayau sekitar kebun nanas sambil memegang kamera. Membidik ke-arah sudut yang dirasanya menarik untuk disimpan sebagai kenangan. Aku pula memasukkan enam biji nanas Md2 dan sebiji nangka j33 ke dalam bonet kereta Khir. Adek Ali pula membawa setandan pisang tanduk untuk diberikan kepada keluarga Khir dan Nureha.

Matahari merah dikaki langit sewaktu kereta  Khir keluar dari tanah kebun untuk balik ke Gombak Selangor. Adek Ali menutup pintu pagar. Isteri aku berkemas di dapur. Aku pula segera ke bilik air, mandi dan berwuduk. Malam pun datang. Usai solat, kami ke-ruang dapur. Masak dua bungkus maggi perencah kari yang ditambah dengan dua biji telur. Cepat di-masak, cepat di-makan dan cepat pula kenyang. - Titik!
 

No comments:

Post a Comment