22 December 2016

JENDELA TAHUN BARU



1- Pagi itu, aku terlewat lagi membuka jendela. Aku lihat matahari telah berbalam dicelah-celah dahan dan pohon-pohon. Aku dengar irama burung yang berlagu. Aku dongak melihat langit warnanya kelam tidak selalu membiru. Aku terlewat lagi menghitung hari. Tidak terasa waktu berlalu menghambat usia, hingga hitam bertukar warna, hayat semakin singkat.

Aku harap tidak terlewat lagi membuka jendela tahun baru.
Mahu melupakan bait-bait kenangan pahit tahun lalu. Dari jendela ini, semuanya kembali terimbas tentang suhu panas awal tahun lalu dimana suhu melebehi 37 darjah Celsius yang memaksa penutupan sekolah-sekolah di Perlis dan Kedah. Fenomena El-Nino itu juga  hampir-hampir mengeringkan Sungai Pahang.

Bahang panas dan kering yang melanda negara tidak terhenti disitu bilamana suhunya bertambah panas dengan berita mengenai dana kerajaan yang diseleweng berjumlah rm20 juta. Kisah mewah terlampau Setiausaha Bahagian KBS bersama lapan kontraktor menyeleweng dana lebih rm100 juta. Lalu, cerita tentang salah guna kuasa itu terus tersebar dari bulan ke bulan apabila SPRM terus melakukan Op Tiris dan ramai lagi yang menunggu nasib.

Dari jendela ini, aku mengimbas kenangan. Melihat retak orang Melayu semakin menggaris. Berjalan tidak
sehaluan. Seperti kemarin juga orang Melayu ceritanya berkisar tentang 'badut' yang menyerang di media sosial. Memfitnah dan menghasut buat kita bertelagah  dan akhirnya kita berpecah belah. Sepatutnya, setiap cerita dan berita yang di-lihat dan di-dengar, harus  dinilai  dengan akal yang waras. Bak kata pepatah orang Jawa, hidupnya perlu ada tiga teras iaitu waras, keras dan beras.


2- Aku pernah mendengar dari Ustaz iaitu kita sekarang sedang berada pada zaman fasa ke-4 iaitu   zaman penuh kezaliman, ketidak adilan dan zaman fitnah memfitnah. Zaman dimana pegar yang diharapkan menjaga sawah padi akhirnya  ingkar. Zaman dimana rakyat Palestin terus  dizalimi Zionis. Zaman topeng, dimana Aung San Suu Kyi itu kononnya wirawati pejuang hak asasi manusia. Walaupun sudah terang bahawa Rohingya itu juga manusia tetapi hakikatnya nyawa manusia Rohingya di Myanmar itu bagaikan tiada berharga.

Kini bandar Aleppo pula bermandi darah. Kumpulan penentang Presiden Syria [Bashar Al-Assad]
 
telah kalah kerana bantuan militia Syiah Hizbollah dari Lebanon serta bantuan serangan udara bertubi-tubi oleh Rusia. Apabila dunia berada dihujung usiannya, manusia sudah tidak tahu kenapa manusia lain dibunuh. Manusia hilang akal, hilang budi. Akhlak dan nilai moral  manusia hancur menyembah bumi.  Tidak ada lagi kebijaksanaan, keberanian, keperwiraan dan keadilan.


3-
Semoga jendela tahun baru tidak lagi ditutupi jelaga dan berharap sangat warna kelam langit bertukar ceria. Muga tidak ada lagi cerita duka tentang diskriminasi dan penghapusan etnik Rohingya di Myanmar. Muga, tidak ada lagi kekejaman Zionis di Gaza. Biarlah bara sengketa yang dahulunya membakar panas baran manusia terpadam. Semoga zaman pemujaan wang dan ketidakadilan sosial tamat.

S
elamat tahun baru. Kepada anak-anak yang baru lahir muga ibu bapa tidak menamakan anak lelaki mereka 'Basher Al-Assad' dan anak perempun mereka 'Aung San Suu Kyi'.  Selamat tahun baru. Lihatlah, anak-anak kita semakin  membesar, janganlah dipakaikan baju berwarna merah atau baju berwarna kuning. Pakaikanlah anak-anak dengan akhlak bersumberkan wahyu yang tidak boleh diubah. Zaman ini adalah zaman anak-anak siswazah perit dan sukar mendapat kerja walaupun segulung ijazah sudah dijaja. Selamat Tahun Baru!





No comments:

Post a Comment