24 November 2014

BACKPACKER [JAILANI ABU HASSAN]



Puas
sudah aku menyelongkar almari dan rak buku, kalau-kalau aku terjumpa majalah lama Fantasi [majalah grafik] yang menyiarkan sepanjang jalan  backpacker pelukis Jailani Abu Hassan [Jai] dari London, Belgium, Yugoslavia, Austria, Greece, Turki, Iran, Pakistan dan seterusnya ke Bangkok sebelum beliau tiba di Kolompo pada 26 Mei 1987, tiga hari lagi sebelum korang menyambut Aidilfitri.

Aku
cuba gak call beberapa orang rakan lama yang suka mengumpul majalah Fantasi kalau diaorang masih ada menyimpan kisah Sepanjang Jalan, kira aku nak pinjamlah. Ekeleh! Diaorang pun sama gak macam aku, suka bagi pinjam bila masa nak pulangkan memang liatlah[1]. Akhirnya lesap begitu sahaja! Apapun, aku tetap siarkan kembara backpacker beliau dengan tajuk Merempuh Perjalanan Yang Mencabar [bahagian akhir].




I- Sampai
juga aku akhirnya di Erzurum pada 16 Mei 1987 - sebuah bandar 'koboi' di tengah-tengah padang pasir. Aku jadi mengelabah[2]
dan tercengang-cengang apabila keluar saja dari keretapi. Tetapi aku cuba memujuk hati apabila Gunung Ararat sudah terbayang di depan mata.

Langkah
berikutnya, aku akan ke Dogubayazit, bandar perbatasan antara Turki dan Iran. Perjalanan ke sana dijangka memakan masa selama lima jam lagi. Dalam perjalanan ke Dogubayazit kami dihidangkan dengan air sejuk untuk menghilangkan dahaga. Sesungguhnya peristiwa 'jamuan' air sejuk ini tidak pernah kuduga, namun aku tetap berbangga dengan perhatian pekerja keretapi itu melayan penumpang-penumpangnya.

Sebaik
sahaja aku turun dari keretapi setibanya di Dogubayazit, datanglah beberapa orang kanak-kanak dan orang-orang dewasa mengerumuniku. Mungkin mereka kaget[3] dengan 'sifatku' yang asing. Dan ditambah lagi dengan fesyen rambutku yang bertocang ala-Mochigan[4] itu. Mengalir juga peluh dingin bila aku diperlakukan begitu, ada yang memegang-megang tubuhku serta ada pula yang cuba menarik rambutku. Tetapi nasibku agak 'terbela' apabila seorang lelaki yang boleh berbahasa Inggeris dengan pelat Iran menawarkan jasa baiknya untuk menghantarku ke sempadan Iran.

Aku terpaksa bersetuju setelah lelaki itu membelanjakan dengan dua gelas teh Turki yang sememangnya enak. Setelah membayar 4500 Lira[5], aku dibawa menuju ke sebuah kereta Fiat yang buruk. Hati ku merasa khuatir semula sebaik saja mengetahui pemandu kereta Fiat itu seorang yang berbangsa Kurdish. Mujur tiada apa-apa yang diingini berlaku sepanjang perjalanan itu.
Setelah selamat sampai, terpaksa lagi aku merempuh satu tentangan yang tidak kurang hebatnya  juga. Aku terpaksa lagi 'berlagak' seperti pendatang haram kerana terpaksa menyusup masuk ke Iran melalui pintu pagar yang sempit.

Suasana begitu sepi. Waktu sudah menunjukkan pukul 12 malam. Aku tercegat disitu seketika dengan perasaan yang gementar. Sambil itu aku melangkah menuju ke pejabat Imigresen. Didalamnya seorang lelaki beruiform seolah-olah baru bangun dari tidur membuka pintu setelah aku mengetuknya beberapa kali. Aku memberi salam tetapi dia mengalu-alukan aku dengan well come to Iran. Aku terasa hairan sambil itu aku terpaksa mengisi beberapa helai borang.

Sekali lagi aku diperlakukan sebagai illegal[6] dengan ditanya beberapa soalan seperti bangsa apa, agama apa dan dari mana hendak ke mana? Syukurlah urusan visa itu selesai setelah aku bertekak selama sejam lebih. Kini pelbagai persoalan dan permasalahan tergambar di fikiranku. Dalam aku 'berleka' itu muncul seorang pemuda Iran. Aku mengambil kesempatan bertanya bas menuju ke Tehran. Dan menurut pemuda itu, bas ke Tehran cuma bertolak pada jam tujuh pagi.

Untuk 'mengisi' masa, aku terpaksa mencari tempat tidur. Tetapi perasaanku semakin berdebar dan suasana bertambah sunyi dan lengang. Dalam masa terkial-kial itu muncul sebuah bas yang ingin ke Tehran. Nasibku sungguh baik kerana pemandu bas itu 'sudi' membawa aku bersama menumpang basnya. Mungkin dia merasa kasihan melihat wajahku yang sedang dilanda 'derita' itu.

Untuk menuju ke Tehran sekali lagi terpaksa merempuh suatu perjalanan yang jauh. Aku terpaksa 'dilambung' oleh jalan-jalan yang sempit yang jaraknya sejauh 950km itu. Sesekali bas berhenti untuk memberi peluang penumpang berehat serta mengisi perut. Kesemua kami yang musafir ini makan dengan tenang dan seolah-olah tiada berada dalam bulan Ramadan. Aku pula makan roti cicah yogurt[7] bercampur madu dengan bayaran 300 rial. Di lain-lain perhentian aku terpaksa berjuadahkan air sejuk saja untuk menjimatkan wang sebagai langkah berhati-hati.

Bas terpaksa meredah gurun yang panas memijar tetapi hatiku agak terhibur kerana dapat menatap seorang gadis berpurdah yang berwajah ayu serta seorang teman baru yang sudi berbual-bual mengenai pelbagi perkara untuk mengisi masa. Aku masih belum dapat menduga dan membayangkan suasana yang bagaimana dan keadaan Tehran yang masih hangat dengan api revolusi itu. Selama ini aku cuma mendengar dari cerita-cerita mulut saja.

Sepanjang jalan didapati papantanda dan semua sepanduk tertulis dengan tulisan jawi saja. Kira-kira jam enam petang bas pun sampai ke Tehran. Nasibku sungguh baik kerana pemandu bas itu membenarkan aku menumpang dengan percuma saja.

Bagi menambahkan dan menampung wang untuk merempuh perjalanan selanjutnya aku terpaksa menjual boot[8] adidasku dengan harga 5000 rial kepada seorang saudagar Pakistan. Aku pula terpaksa mengekori saudagar dengan tiga orang itu beserta temanya menuju ke Terminalojunu yang terletak 15km dari Asadi, stesen bas tempat aku turun tadi.

Sepanjang perjalanan, lorong-lorong dipenuhi dengan cogan kata dan slogan-slogan anti-Amerika dan di mana-mana saja dengan kemarakan api revolusi yang masih belum reda. Sungguh hangat pergolakan yang sedang menimbulkan Iran, khususnya dengan suasana dan perkembangan yang sedang terjadi di Tehran.

Aku ingin menjuju ke Zahedan, malangnya bas ke sana telah habis. Empat orang saudagar Pakistan itu meninggalkanku keseorangan. Mereka telah bertolak ke Isfahan. Aku terpaksa mundar-mandir dan menahan sebuah teksi menuju ke hotel Amir Khabir. Nasib ku bertambah malang kerana hotel itu telah lama ditutup. Suasana semakin gelap. Malam semakin merangkak dan nasibku agak baik kerana sebuah hotel yang sederhana masih 'sudi' menerimaku dengan bayaran 300 rial.
 

Perutku mula merasa lapar. Aku keluar mencari warung tetapi semuanya sudah ditutup. Nasib baik seorang pondan[9] memberi sedikit roti baki makanannya. Keesokannya, pagi-pagi lagi aku sudah terbangun untuk mencari bank. Aku terpaksa mengalami kesulitan lagi kerana bank-bank disini amat susah berurusan dengan mereka yang menggunakan cek pengembara. Nasib baik baki wang jualan boot adidasku masih banyak lagi. Tanpa berfikir, aku membeli tiket menuju ke Zahedan. Aku sudah bosan dengan suasana yang wujud di Tehran yang begitu mengamalkan dasar 'pintu' tertututp dengan orang asing.


II- Perjalanan
menuju ke Zahedan dijangka memakan masa 24jam  lagi. Seperti kelaziman, perjalanan juga terpaksa meredah gurun pasir yang gersang dan kering. Apabila berhenti rehat, aku terpaksa mengikat perut[10] untuk menjimatkan perbelanjaan. Tetapi disalah satu tempat berehat tanpa kuduga seorang tauke restoran yang baik hati telah memberi sehelai resit lantas aku disuruh  ke dapur memilih makanan. Setelah menikmati hidangan dengan 'lahap'[11], aku mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada tauke yang sungguh baik hati itu. Aku berdoa semoga perniagaannya bertambah maju.

Jam enam petang [18 Mei], aku pun sampai ke Zahedan tetapi terpaksa pula bertolak menuju ke Nirjaveh - perbatasan antara Pakistan dan Iran. Disini sekali lagi aku dicabar dengan pelbagai masalah. Malam beransur-ansur tiba. Dalam masa aku tergapai-gapai itu, tiba-tiba terdengar suara azan. Lantas tanpa berlengah-lengah lagi aku menuju ke arah terbitnya suara azan itu, hinggalah aku sampai ke sebuah surau. Aku pun bersembahyang Isyak.

Selepas
selesai menunaikan sembahyang terawih orang ramai mula mengerumuniku. Salah seorang dari mereka memperkenalkan diri - Rahmatullah, begitulah namanya. Beliau mempelawa ke rumahnya untuk makan malam. Aku sungguh terharu dengan budi baiknya. Rumahnya berhampiran dengan surau. Sebaik saja sampai dirumahnya, aku dijamu dengan nasi, acar tomato, roti yogurt dan susu kambing. Sekali lagi aku tersentak apabila Rahmatullah menyuruh anaknya membeli dua batang rokok setelah kami selesai menghabiskan hidangan makan malam.

Kira-kira pukul dua pagi sekali lagi aku dikejutkan untuk bersahur pula. Kami bersembang pula hingga berlarutan sampai waktu Subuh. Selepas selesai menunaikan  solat Subuh, dengan jasa baik Rahmatullah, aku ditumpangkan menuju ke Mirjaveh seterusnya menuju ke Taftan. Sesampai sahaja di sempadan Pakistan suasana seolah-olah baru dilanggar garuda. Lenggang dan sepi - rupa-rupanya pada waktu awal pagi pejabat Imigresen masih belum dibuka.

Jam
lapan pagi setelah segala urusan visa diselsesaikan, aku masih terkapai-kapai lagi. Suasana sungguh menjelikkan dengan pandangan yang 'menyeksa' mata. Peristiwa aku dikerumuni[12] berulang lagi. Kali ini oleh penduduk-penduduk suku kaum nomad. Dengan ditemani oleh dua orang yang ingin ke Quetta, kami menumpang sebuah van. Kami terpaksa menempuh perjalanan sejauh 550km lagi dan terpaksa melalui jalan kampung dengan gurun-gurun yang datar serta kering-kontang.

Kulitku mula mengelupas dan hidungku turut berdarah juga. Van yang ditumpangi itu memecut dengan laju sehingga kami teroleng-oleng[13] dilambung perjalanan yang tidak kurang seksanya itu. Namun aku tetap bertekad untuk sampai di Quetta. Di pertengahan perjalanan, kami berhenti rehat di Nok Kundi. Aku sempat menggalas perut dengan memakan cepati dan daging unta berserta dengan dua botol coca-cola dengan bayaran 200 rupee saja. Murah!

Sepanjang perjalanan itu pemandangan hanya kelihatan dipenuhi dengan unta-unta liar dan sering terserempak dengan kaum-kaum nomad yang sedang menggembala lembu atau kambing. Akhirnya sampai juga aku di Quetta pada 21 Mei setelah menempuh pelbagai pengelaman di perjalanan seperti kebaikan Ramatullah sekeluarga yang tidak akan kulupakan sepanjang hidupku. Perjalanan yang sejauh 1450km yang terpaksa kurempuh dari Taftan itu adalah suatu perjalanan yang penuh dengan pelbagai pancaroba.

Di Quetta aku menyewa sebuah hotel yang agak selesa - hotel Nile dengan bayaran 80 rupee. Suasana di Quetta sungguh menarik walaupun dikelilingi oleh gurun-gurun pasir. Bandar ini 'hidup' di waktu malam. Di sana-sini kelihatan ramai pelarian Afghanistan mundar-mandir. Dan yang agak membanggakan ramai di kalangan mereka mengambil peluang mencari rezeki, berniga secara kecil-kecikan.

Aku sungguh bangga dengan kesungguhan mereka itu, walaupun terbuang dari tanahair tetapi semangat mereka tetap tabah menjalani kehidupan. Aku berehat selama dua hari di sini dengan membersihkan diri dan sempat melihat wajahku dicermin setelah seminggu tidak berbuat demikaian. Disini aku dapat menunaikan ibat puasa dengan sempurna. Syukur!

Tengahari
aku sempat ke bank untuk menukar cek pengembara. Di samping itu, aku juga menempah tiket kapal terbang ke KL, tetapi terpaksa transit[14] sehari di Bangkok. Aku rasa lega sungguh pun terpaksa menghadapi seperempat lagi perjalanan. Setelah mendapat tiket, aku mencari bas untuk ke Kerachi pada hari esok. - Bersambung!


Nota Lutut: Kisah perjalanan 'backpacker' pelukis Jailani Abu Hassan [Jai] ini berhenti kat sini dahulu kerana waktu Magrib dah nak masuk Bai!. Apapun, nanti aku sambung semula bahagian dua [2]. Korang kalau minat dengan ilustrasi komik Jai bolehlah sekodeng entri pada 18 September 2014 bertajuk Komik [Jailani Abu Hassan]. - Jumpa Lagi!





No comments:

Post a Comment