Setelah selesai menunaikan solat Subuh aku keluar dari hotel. Quetta masih nyenyak dibuai mimpi. Perjalanan ke Kerachi dijangka memakan masa selama dua belas jam. Dalam perjalanan aku sempat berkenalan dengan seorang art historian, Nasir namanya. Setibanya disuatu kawasan pemeriksaan, aku sekali lagi diperlakukan seperti pendatang haram. Barang-barang habis digelidah oleh pihak kastam. Tetapi aku masih tetap bersyukur kerana tiada apa-apa yang menimpaku. Aku masih dapat membayangkan tentang keramahan dan istirehat yang dihulurkan oleh Quetta kepadaku.
Di Kerachi aku menginap di hotel Shalimar dengan bayaran 27 rupee, sebuah hotel yang serba serbi kekurangan. Kepalaku mula berdenyut-denyut, mungkin kesan dari cuaca yang terlalu panas. Untuk menghilangkan ketegangan aku mandi dan berbaring. Di luar kamar hotel suasana hingar-bingar, mungkin sibuk untuk persiapan berbuka puasa. Aku terlelap dan sedar kira-kira jam 9.30 malam. Aku gagahi diriku bangun dan keluar hotel untuk makan malam dan mencari ubat [panadol] bagi meredakan sakit kepala.
Keadaan diriku bertambah baik. Kesihatanku semakin beransur pulih seperti sediakala. Aku keluar pusing-pusing kota dan mengeposkan surat kepada buah hati. Di samping itu dapat juga aku bersembahyang zohor di sebuah masjid dan sempat curi-curi minum. Penerbangan ke Bangkok yang sepatutnya pada 24 Mei terpaksa ditunda pula pada keesokan hari pada jam 12.45. Aku sungguh kecewa!
Kerana geram, aku menyewa sebuah hotel dekat lapangan terbang - Airport Inn yang lebih dikenali dengan five star hotel dengan bayaran 350 rupee. Keadaannya sungguh memuaskan. Aku dilayan bagaikan seorang putera raja dan seolah-olah tidak mahu balik pula ke tanahair. Begitulah jadinya diriku kerana sudah lama tidak menerima layanan yang mesra, sesekali bila kufikirkan manusia memang perlu 'keistimewaan' dalam hidupnya.
Selepas sarapan pagi, pintu kamar hotelku diketuk. Dan selepas segala-galanya selesai aku dihantar ke lapangan terbang dan mengambil penerbangan ke Bangkok [transit sehari diBangkok]. Aku sungguh bersyukur kerana 'penderitaan' yang kualami hampir dua puluh hari akan tamat. Berakhirlah suatu perjalanan yang susah untuk kupercayai, bagaimana insan sepertiku yang kerdil ini sanggup menghadapinya.
Selama hampir tiga minggu aku terlontar-lontar, berjalan mencari Ararat, hinggakan aku terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan. Seribu satu macam peristiwa itu kualami dengan pelbagai kenangan yang mustahil dapat kulupakan selagi hayatku masih berbaki lagi. Sesungguhnya, terasa aku betapa luasnya bumi Tuhan ini dan betapa pula kerdilnya aku merayap di atasnya dengan serba kejahilan. Di dalam hatiku tidak putus-putus menyanjungi limpah dan kurnia yang telah diperuntukkan untukku oleh Tuhan yang Maha Pengasih. Padaku, perjalanan yang telah kutempuh ini merupakan suatu penghayatan dan perenungan yang mungkin sukar untuk kulakukan pada kali keduanya.
Setelah menginap semalam di Dragon Inn Bangkok, aku berangkat pulang ke tanahair dengan keterharuan, ketakjupan dan kegembiraan betapa ketabahan dan dan kepercayaan kepada diri sendiri adalah 'senjata' batin yang paling unggul bagi menentukan sesuatu kejayaan. Sepanjang perjalanan ke KL aku asyik memikirkan kisah-kisah yang terjadi, terserlah dan terlukis dengan pelbagai keanehan seperti pengalaman-pengalaman berlapar, bergaul dengan pelarian Afghanistan serta kebaikan Ramatullah sekelurga.
Betapa perjalanan dari London - Belgium - Yugoslavia - Austria - Greece - Turki - Iran - Pakistan dan Bangkok adalah perencah hidupku yang menjalinkan kenangan demi kenangan manis yang dapat membentuk peribadiku menjadi seorang manusia yang berfikir, menghayati dan merenung bahawa kehidupan ini adalah hamparan-hamparan permaidani yang syahdu. Akhirnya sampai juga aku di tanahair pada 26 Mei 1987, tiga hari sebelum aidilfitri yang mulia. - Jailani Abu Hassan [Majalah Fantasi November 1987].
Sedikit Info: 1985 - BA [Fine Art] MARA Institute of Technologi, Shah Alam Selangor.
1988 - MA, The Slade School of Fine Art, University Collage of London.
1994 - MFA, Pratt Institute New York.
2005-2014 PhD [Studio Practice Reserch in Painting] UiTM, Shah Alam Selangor.
|
No comments:
Post a Comment