- >>><<< Pagi November. Dia terjaga sebaik mendengar riuhnya burung-burung bercanda dibumbung teratak kecilnya. Sesekali, kedengaran anjing menyalak. Dia membuka jendela, melihat matahari sudah memanjat tinggi. Dia tidak pasti tadi malam kenapa kelopak matanya tidak mahu tertutup rapat. Tadi malam juga, dia rasakan malam merangkak terlalu perlahan ketika menuju siang. Dia merasa amat sepi. Ada ketikanya datang rasa kecewa, rasa sangsi, rasa benci dan kekadang ada rasa rindu yang menyusuk kalbu. Pelbagai imej yang melintas. Bayangan demi bayangan datang berbalam-balam, mahu bercakap-cakap, mahu berbicara itu dan ini tetapi berbelit-belit dan tersangatlah perit.
Sepi dan rasa bosan tadi malam, datang bersama waktu yang panjang. Malam yang sejuk itu buat Johan bangun lalu membancuh secangkir kopi, mencapai sebatang rokok, membakar hujungnya lalu menghisap dengan rasa puas. Dia membelek buku 'Terima Kasih SiBabi Hutan' hasil tulisan Ismail Ariffin @Lepat, yang diterbitkan oleh DuBook Press. Dia menyelak helai demi helai muka surat tetapi dia gagal untuk memahami isi kandungannya. Fikirannya bercelaru. Berserabut seperti sabut kelapa kering yang berjuraian bilamana terkena besi tajam sewaktu di kupas.
Udara malam, dinginnya sampai ketulang sum-sum. Hingus putih jernih mula keluar dari hidung. Aghhh! Selsema pulak bisik hatinya. Sudah hampir setengah kotak tissu digunakan untuk menyapu lendir hingusnya. Dia mengalah. Dia menelan sebiji tablet Zytec. Satelah 45 minit berlalu, matanya mula berbayang-bayang, berkilau-kilau, layu dan waktu menghampiri Subuh barulah dia diajak untuk beradu. Z-Z-z-z-z!
>>><<< Johan masih tercegat ditepi kamar jendela, merenung jauh kekaki bukit, melihat kehijauan pohun-pohun pisang yang terpaksa bersahabat dengan lalang serta senduduk yang meliar. Dia melirik pula pada jam meja, di sudut pangkin[1] yang jarumnya sudah melintas ke angka 0935 pagi. Astagahfirullah! Lewat bangun. Rungutnya sendirian. Kemudian, dia memandang pula burung-burung pipit yang bersidai ditalian arus letrik. Nampak riang. Keriangan pipit-pipit itu mula mengamit rasa rindunya kepada masa silam yang hampir hilang, tenggelam bersama usia didasar ruang yang usang.
Sudah hampir lima tahun Johan tinggal sendirian di teratak kecil itu tanpa anak tanpa isteri. Walaupun dia sudah berusia melebihi setengah abad, dia tetap rasa senang begitu. Bebas untuk membaca buku, bebas berbuat apa sahaja, tanpa gangguan. Tetapi, tadi malam ada yang menggangu jiwanya. Ya! Dia yakin yang menjelma dibenaknya tadi malam hanyalah fatamorgana.
>>><<< Johan beredar dari kamar, keluar lalu melabuhkan punggungnya dikerusi kayu dalam kawasan laman courtyard[2] sambil membayangkan cita rasa awalnya untuk membina sebuah teratak ala' chalet di Cherating tidak kesampaian. Apapun, dia tetap bersyukur kerana teratak kecil yang dibina dari simen, pasir dan batu bata putih itu sudah cukup buat dia. Biarlah aku tinggal di sini dengan tenang untuk menghabiskan sisa-sisa hidup aku. Hatinya berbisik sayu!
Johan masih duduk disitu sambil merenung kosong sekawan awan yang berarak. Di lihatnya awan-awan yang tergantung itu warnanya putih seakan kapas bergumpalan. Lama kelamaan kapas itu bertukar warna kelabu. Pada masa yang sama, angin dari kawasan berbukit pula datang, mengusap permukaan kulitnya yang semakin mengelap. Ketara benar kendur kulitnya terutama dibahagian pipi, dibawah kelopak mata dan kedut-kedut longgar di bahagian leher yang menjadikan dia nampak keriput[3] daripada usia yang sebenar.
Sekali lagi Johan mendongak ke langit. Dilihatnya, langit mula muram. Kemuraman langit itu dimulai dengan tetes-tetes halus bak mutiara, jatuh sedikit demi sedikit. Dari tetesan halus, bertukar dengan simbahan yang mencuruh-curah, membasahi lantai laman, tanah, rumput dan pohun-pohun sekitarnya.
Hujan pagi itu memaksa Johan bingkas bangun berdiri dan masuk ke bilik air untuk mandi. Selesai mandi. Di tenggeknya pula cerek air yang sudah kelihatan sedikit hitam kerana lama tidak dibersihkan. Pagi ini dia hanya bersarapan dengan secawan kopi pekat bersama dua ketul bun kelapa yang dibelinya tiga hari lepas.
>>><<< Diluar, deru angin dan hujan masih berterusan. Sedang Johan menghirup kopi, perlahan-lahan kenangan lampau menyelinap masuk kebenaknya. Dia teringat saat dia cuba memikat gadis ketika berada di sekolah menengah. Percubaan cintanya gagal. Mungkin itu yang dikata orang cinta monyet! Kemudian, sewaktu tahun akhir di ITM Shah Alam, dia jatuh hati pada gadis Batu Pahat. Ketika itu dia seperti orang bodoh kerana sering menghantar surat yang panjang berjela dengan ayat-ayat puitis yang di kutip dari buku-buku puisi, kemudian menganyam[4] dengan bait-bait indah, hanya sekadar untuk menyatakan tiga patah perkataan "Aku Cinta Padamu".
>>><<< Hujan sudah sampai kepenghujung. Sejuk pagi membawa waktu ke tengahari. Usai solat Zohur, Johan melangkah keluar bersama parang tapek tersisip di pinggang menuju kebun pisang. Niat hatinya hendak mencatas daun-daun pisang yang sudah kuning dan layu. Sebaik sahaja dia menghampiri kebun pisang, tiba-tiba langit bocor lagi. Dia segera berlari menuju tertak kecilnya untuk berlindung. Lariannya kali ini gagal apabila kaki kirinya tersangkut anak tunggul kayu, lalu tersembam dicelah perdu senduduk. Matanya berpinau. Dia mendongak ke langit, melihat lenggok hujan yang semakin menggila. Dalam kesakitan, dia mengumpul tenaga untuk bangun. Terhenjut-henjut dia melangkah dalam hujan bersama sebuku nasib.
>>><<< Hujan kali ini bertambah garang. Curahannya hanya berhenti ketika waktu senja. Malamnya, bersambung hingga ke subuh. Tiada siapa yang boleh menjangka, adakah esuk langit November masih berwarna biru dan awannya tidak kelabu. Titek!
20 December 2015
LANGIT NOVEMBER
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment